Categories
SELANGOR

KPRU: Status Ketua Pembangkang wajar setaraf Menteri Kabinet

Logo-KPRUiiiSHAH ALAM 17 OKT : Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneladani kesungguhan Kerajaan Selangor mengamalkan pengiktirafan Ketua Pembangkang.

Menurut KPRU, pengiktirafan Ketua Pembangkang mustahak bagi merapatkan jurang saraan dan elaun antara Ketua Pembangkang dengan Menteri Kabinet atau Yang diPertua Dewan Rakyat.

“Pejabat Ketua Pembangkang patut diberi peruntukan menggaji kakitangan bagi menjalankan pelbagai tugas merangkumi pegawai penyelidik, pegawai media dan pembantu eksekutif serta kemudahan lain.

“Peruntukan ini bagi membolehkan memperolehi tenaga kerja mencukupi menjalankan kewajipannya,” kata KPRU dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dengan memberi elaun istimewa berjumlah RM8,620 kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setiap bulan.

“Langkah ini merupakan perubahan yang ?pecah rekod? bagi memartabatkan dan menjunjung prinsip demokrasi dengan mempertahankan hak suara oposisi,” kata KPRU.

Kata KPRU, dalam tempoh dua penggal menerajui pemerintahan negeri, Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang berjaya mengambil inisiatif menggerakkan pendemokrasian DUN dan menunjukkan teladan kepada kerajaan negeri lain.

Ironinya, Kerajaan Pusat, biarpun selepas memerintah lebih daripada separuh abad, masih gagal mencatat pencapaian membanggakan.

“Manakah letaknya air muka Kerajaan BN sekiranya masih kebelakangan dan ketinggalan dalam menjunjung prinsip demokrasi sedangkan beria-ia dengan laungan ?transformasi? dan ?endless possibilities”, kata KPRU.

Categories
NASIONAL

KPRU : Penguatkuasaan ‘Cacat’ Punca Jenayah Berat Berleluasa

tembak-01

SHAH ALAM, 3 OGOS: Peningkatan kes jenayah berat mutakhir ini adalah akibat kecacatan proses penguatkuasaan undang-undang dan proses kehakiman negara ini, tegas Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Justeru, KPRU menyaran pihak berkuasa agar mengkaji semula dan memperbaikkan kelemahan proses penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi proses siasatan, pengumpulan bukti, pendakwaan dan juga perbicaraan kehakiman.

“Didapati bahawa sejumlah 31 kes serangan atau pembunuhan melibatkan senjata api telah berlaku dalam tempoh empat bulan yang singkat dari April hingga Julai tahun 2013 ini.

“Di mana seramai 43 orang telah dipermangsakan, antaranya 22 nyawa telah diragut manakala 21 orang mengalami kecederaan.

“Dan dalam bulan Julai sahaja telah pun memperlihatkan sebanyak 14 kes tembak-bunuh,” kata KPRU dalam kenyataan medianya.

Jelas PKRU, kajian yang dijalankan Penang Institute menunjukkan bahawa dalam tempoh empat bulan pertama 2013 sahaja telah memperlihatkan bilangan kes tembak-bunuh yang jauh lebih banyak daripada 2012 dengan mencatat sebanyak 38 kes.

Katanya, ia menunjukkan di mana dua kejadian tembak-bunuh berlaku dalam tempoh seminggu secara purata.

“Dengan mengambil kira kedua-dua kajian KPRU dan Penang Institute, adalah jelas bahawa kes tembak-bunuh berlaku dengan begitu konsisitennya sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini tanpa berhenti, secara purata dua kes seminggu.

“Kekerapan yang setinggi ini sejurus mencetuskan kebimbangan dan ketakutan di kalangan masyarakat,” jelas badan pemikir itu.

Ujar KPRU lagi, kerajaan digesa untuk memberi tumpuan kepada peningkatan taraf penyiasatan polis dan bukan menggubal undang-undang pencegahan yang baru untuk menyelesaikan masalah jenayah yang serius di Malaysia.

“Pengagihan tenaga polis yang tidak seimbang merupakan faktor kegagalan pihak polis dalam menyelesaikan kemelut peningkatan gejala jenayah yang semakin serius dalam negara ini,” kata KPRU.