Categories
AGENDA NASIONAL

Belajar melalui YouTube, mampu tutur lima bahasa utama dunia

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Bayangkan dengan hanya berbekalkan ilmu dari YouTube, seorang anak muda kelahiran Sabah mampu bertutur lima bahasa utama di dunia, selain turut fasih berbahasa Melayu dan sukuan Sungai Kalabuan.

Kedengarannya memang sukar, namun itulah dibuktikan Azrey Henderey, 20, dari Tongod, sebuah daerah pedalaman di Sabah, apabila beliau menunjukkan kemampuannya bertutur dalam bahasa Jepun, Rusia, Sepanyol, Mandarin, bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya, dialek Sungai Kalabuan dan bahasa Melayu menerusi satu video di aplikasi TikTok.

Menerusi paparan video TikTok itu, Azrey begitu selesa, selamba dan fasih menuturkan bahasa utama dunia itu ketika bersembang dalam talian menerusi media sosial dengan kenalannya di luar negara.

“Saya mahu mengembara ke seluruh dunia suatu hari nanti, jadi saya mahu belajar pelbagai budaya dan mahu lebih memahami mereka, jadi kalau boleh saya mahu belajar bukan sahaja tujuh lapan tapi sebanyak boleh bahasa yang saya mampu,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan kebolehannya berbahasa Mandarin, Azrey berkata kemahiran itu diperoleh ketika belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sabah pada usia tujuh tahun, sebelum menyambungnya setahun kemudian di Johor kerana mengikuti keluarganya berpindah ke negeri itu.

Ketika di sekolah menengah pula, beliau berkata kekangan bahasa yang dihadapi beliau untuk berkomunikasi dengan pelajar dari Jepun yang mengikuti program pertukaran pelajar di sekolahnya membuatkan beliau nekad untuk mempelajari bahasa Jepun menerusi saluran YouTube.

“Saya tidak mampu mengikuti kelas sebab yurannya agak mahal, jadi saya gunakan medium percuma iaitu YouTube selain menonton siri anime Jepun,” katanya menambah, beliau lebih mudah dan cepat belajar menggunakan video berbanding buku.

Bercerita lanjut, Azrey berkata setelah menamatkan persekolahannya beliau berkenalan dengan ramai sahabat dari luar negara seperti Sepanyol, Kazakhtsan, Rusia serta Jepun, kebanyakannya menerusi media sosial sehingga mendorong beliau untuk mempelajari lebih banyak bahasa untuk memudahkan komunikasi.

Mengakui bukanlah semudah yang disangkakan, Azrey berkata setiap ilmu yang diperolehnya di YouTube perlu dipraktikkan menerusi latihan percakapan dan beliau banyak menggunakan aplikasi OmeTV yang membolehkannya berinteraksi dengan pelbagai individu dari seluruh dunia.

“Pada pendapat saya kalau kita belajar sesuatu bahasa, kita dapat lebih memahami seseorang itu dan kita dapat memahami budaya mereka.

“Kalau kita bercakap menggunakan bahasa ibunda seseorang itu, orang itu akan lebih terbuka berkongsi masalah dan pendapat dengan kita,” katanya yang berhasrat mempelajari bahasa Poland, Jerman dan Korea selepas ini.

Penuntut Tahun pertama Diploma in Broadcasting di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang bercita-cita menjadi penyampai radio itu turut menasihatkan anak-anak muda untuk mempelajari lebih daripada satu bahasa.

“Teknologi pun makin canggih gunakanlah peluang ini sebaiknya, kamu akan rasa keindahan bila kamu mampu bercerita dengan orang yang kamu gunakan bahasa mereka, kamu akan dapat pelajari banyak benda yang tiada di sekolah,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera – Anwar

SHAH ALAM, 30 DIS: Aspek bahasa, budaya dan sastera tidak harus diremehkan memandangkan ia merupakan asas kehidupan manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata masyarakat kini dilihat lebih mengutamakan bidang ekonomi dan teknologi dan menganggap ia tuntutan penting negara.

“Ini tidak salah tapi bila isu seni, budaya diremehkan, ia akan mengakibatkan nilai akhlak dan etika asas manusia dipinggirkan,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 karya Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman.

Menurutnya, karya sastera merupakan satu penyampaian indah serta tulus yang tidak mungkin dapat dihasilkan setiap individu.

“Terpancar dari hati berkenaan visi dan wawasan. Ini menjadikannya indah dan bukan hanya luahan rasa peribadi. Bila digabungkan ia menghasilkan mutu seni yang amat tinggi nilainya,” kata Anwar.

Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman berucap ketika majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Dinsman berkata buku beliau memuatkan hasil karya yang menggambarkan dunia gelap dalam bidang seni dan sastera.

Katanya, sebahagian kandungan buku terbabit tidak diketahui memandangkan ia hanya dikeluarkan di akhbar Harakah sahaja.

“Saya mahu menganjurkan seminar era reformasi yang cuba digelapkan pihak tertentu namun ia agak sukar.

“Sepatutnya seminar ini dijadualkan berlangsung sebelum Covid-19 namun terpaksa ditunda. Ia mendapat kerjasama dari Akademi Pengajian Melayu di UM (Universiti Malaya). Saya tidak tahu sama ada orang lain berani mengadakannya (selepas ini),” katanya.

Karya Dinsman itu mempunyai keunikan tersendiri yang menceritakan latar proses reformasi negara sepanjang 2008 hingga 2011.

Isi kandungan buku itu turut memuatkan pengalaman perjuangannya dalam membentuk masyarakat, polisi dan negara dari pelbagai sudut selain terdapat nukilan khas untuk Anwar.

Categories
NASIONAL

Pemimpin negara patut guna bahasa rasmi, bukan ‘rojak’

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pemimpin negara sepatutnya tidak menggunakan bahasa ‘rojak’ dalam menyampaikan ucaptama sebaliknya memilih penggunaan bahasa bersesuaian dengan khalayak dan majlis.

Pandangan itu disuarakan Timbalan Pengarah (Penyelidikan), Akademi Kajian Ketamadunan, Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir ketika diminta mengulas insiden penggunaan bahasa campuran Inggeris dan Melayu sewaktu berucap pada majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Alinor“Keadaan sedemikian tidak sepatutnya terjadi.

“Sepatutnya beliau menggunakan bahasa yang beliau fasih, bukannya bahasa Inggeris atau Melayu yang tunggang langgang,” katanya kepada Selangor Kini.

Memetik laporan portal The Malaysian Insider semalam, Ahmad Husni berbuat demikian sewaktu menceritakan pengalamannya membesar di Ipoh dan dibantu rakan bukan Melayu dalam mata pelajaran Matematik.

Gaya bahasa sama turut diulang di hujung ucapannya dan sekali lagi berbuat demikian sewaktu menasihati hadirin yang sebahagiannya terdiri daripada murid sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

EZY