Categories
AGENSI SELANGOR

Rai Nuzul Quran, warga emas Bait al-Mawaddah anjur mini tilawah

SHAH ALAM, 4 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan sambutan Nuzul al-Quran di pusat jagaan warga emas Bait al-Mawaddah di sini, Jumaat lalu.

Antara program yang diatur ialah slot ceramah yang disampaikan Pencetus Ummah Nor Hamizi Jamaluddin secara maya dan pertandingan mini tilawah.

Turut diadakan, mini kuiz al-Quran, pentandingan melakar poster dan khatam al-Quran.

“Majlis ini kemuncak bagi aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan mulai 12 April yang dikendalikan oleh Unit Kerohanian dengan kerjasama warga kerja Bait al-Mawaddah,” menurut LZS di Facebook.

Agensi itu menambah pusat jagaan terbabit turut menganjurkan solat tarawih berjemaah, tadarus al- Quran, program literasi al-Quran dan bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan.

“Mudah-mudahan dengan aktiviti seperti ini ayahanda dan bonda Bait al-Mawaddah akan terus mencintai al-Quran dengan mengamalkan membaca dan mentadabbur sepanjang masa,” kata LZS.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

40 warga emas diberi taklimat vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 40 warga emas menyertai taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai persediaan awal menerima suntikan vaksin.

Ketua Jabatan Pengurusan Institusinya berkata program bagi mendedahkan penghuni kompleks Bait Al-Mawaddah terhadap kepentingan vaksin memandangkan mereka adalah penerima fasa kedua bermula bulan ini.

“Sebahagian daripada warga emas itu tidak jelas mengenai suntikan dan kesannya namun lebih memahami selepas diberi penerangan,” kata Md Yusmizan Yusof kepada SelangorKini.

Taklimat disampaikan Ahli Jawatankuasa Penasihat Bait Al-Mawaddah merangkap doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Ungku Ahmad Ameen Ungku Mohd Zam.

Dalam program itu, tahap kesihatan penghuni turut diperiksa bagi mengenal pasti penyakit atau alahan sebelum menerima suntikan.

Md Yusmizan menambah kumpulan itu termasuk kakitangan kompleks sudah didaftarkan sebagai penerima vaksin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JKM kini dalam proses mengemas kini borang kebenaran waris sebelum suntikan diberikan,” katanya.