Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Sejuta anak pokok ditanam sekitar Sepang, imbangi pembangunan fizikal

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menanam lebih sejuta anak pokok pelbagai spesies di seluruh kawasan pentadbirannya sejak 2008 hingga Januari tahun ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata inisiatif bersama pemaju membuktikan kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mewujudkan bandar rendah karbon menjelang 2030.

“Sejak 2008, Kerajaan Selangor mengadakan kempen menanam pokok dan menyasarkan sebanyak 50,000 pokok ditanam setiap tahun oleh PBT.

“Usaha meningkatkan jumlah tanaman pokok akan diteruskan bagi mencapai hasrat berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Sementara itu, Abd Hamid berkata kaedah penyelenggaran terbaik digunakan untuk memelihara dan memulihara pokok di seluruh kawasan di daerah berkenaan.

“Pokok perlu dihargai kerana tumbuhan itu akan mengindahkan dan meningkatkan nilai estetik sesuatu kawasan.

“Di sisi lain pula, pokok memberi teduhan selain mengurangkan pencemaran udara dan bunyi termasuk agen penyerap karbon. Justeru kita kena imbangi pembangunan fizikal dan alam sekitar,” katanya lagi.

Sukarelawan yang menyertai program penanaman anak pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Usaha laksana bandar rendah karbon perlu sokongan semua

KLANG, 30 SEPT: Kerajaan Negeri bangga dengan usaha Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menjayakan agenda Klang sebagai Bandar Rendah Karbon (LCC) menjelang 2027.

EXCO kerajaan tempatan berkata usaha berkenaan perlu mendapat sokongan semua pihak dengan memainkan peranan masing-masing supaya dapat menikmati kehidupan selesa.

“Pembangunan perbandaran di daerah Klang yang semakin pesat telah memberikan kesan besar kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Untuk tujuan itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan cabaran yang wujud dapat diatasi bersama,” kata Ng Sze Han ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon MPK 2020 di Hotel Premiere semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada MPK atas kejayaan diperoleh sepanjang pelaksanaan Bandar Rendah Karbon selain usaha menambah laluan Bas Smart Selangor bagi mengurangkan pembebasan karbon dan ia wajar dicontohi pihak berkuasa tempatan lain.

Pada majlis sama Sze Han turut melancarkan penerbitan Buku Laporan Pelan Tindakan Program Bandar Rendah Karbon Selaras Dengan Matlamat Pembangunan Mampan (LCC SDG) 2020-2022 dan Buku Laporan Tindakan SDG MPK sambil diiringi Yang Dipertua, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Categories
PBT SELANGOR

MPK terbit buku laporan program Bandar Rendah Karbon

KLANG, 29 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited untuk menjayakan agenda daerah itu sebagai Bandar Rendah Karbon (LCC) menjelang 2027.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata hasrat itu diterjemah dengan penerbitan buku laporan Pelan Tindakan Program Bandar Rendah Karbon Selaras Dengan Matlamat Pembangunan Mampan (LCC SDG) 2020-2022 dan buku laporan Tindakan SDG MPK.

“Buku laporan pelan tindakan ini mengandungi perancangan untuk jangka masa pendek 2020-2022 yang dirancang bersama dalam usaha mencapai Klang mampan dan lestari yang melibatkan semua Jawatankuasa Agenda Tempatan (LA21) Klang Smart Mampan.

“Segala usaha, perancangan dan program LCC bukan sahaja dihebahkan serta dikongsi di peringkat MPK tetapi beberapa siri jemputan taklimat juga dibuat di pihak berkuasa tempatan lain, juga di peringkat kebangsaan melalui Greentech Malaysia,” katanya ketika Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon Majlis Perbandaran Klang 2020 hari ini.

Beliau menjelaskan, semua 14 agensi kerajaan, 141 sekolah dan institusi keagamaan yang terlibat telah melaksanakan Program Bandar Rendah Karbon.

Menurutnya, tiga agensi kerajaan serta 13 sekolah telah mengemukanan bukti data program manakala dua institusi masjid serta surau secara sukarela mengumpulkan data dan membuat perkiraan pelepasan karbon.

“Melalui usaha tersebut MPK menerima 31 anugerah pengiktirafan di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Fadzli menyeru semua pihak terutama warga kerja MPK merealisasikan hasrat berkenaan dengan mengamalkan pemikiran terbuka serta berinovasi.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ diiktiraf, realisasi bandar rendah karbon

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG JAYA, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dicalonkan bagi kategori Bandar Alam Sekitar Mampan bagi Anugerah ASEAN Environmentally Sustainable Cities (ESC).

MPAJ dalam kenyataannya memaklumkan, pencalonan dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Malaysia National Focal Point on Asia Working Gropup on Enviromentally Sustainable Cities (AWGESC).

“Penyertaan ini sebagai medium terbaik mempromosikan MPAJ amnya sebagai bandar lestari serta memberi pengiktirafan daripada segi usaha bagi menjadikan Ampang Jaya bersih, hijau dan sesuai untuk didiami.

“Pencalonan ini juga bertujuan mengiktiraf, di samping mendapatkan pengalaman dari negara lain,” menurut kenyataan itu.

ydp-mpaj-abd-hamid-hussainPenganjuran ESC diadakan di Siem Reap, Kemboja menyaksikan penyertaan negara luar untuk diiktiraf hasil komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu membudayakan perbandaran rendah karbon.

Terdahulu, MPAJ optimis menjadikan perbandaran itu sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030.

Yang Dipertuanya, Abd. Hamid Hussain berkata, pelbagai inisiatif harus dilaksanakan segera oleh semua pihak terutamanya lapisan masyarakat bagi mencapai matlamat berkenaan.

“MPAJ menyediakan Pelan Tindakan Ampang Jaya Bandar Rendah Karbon 2030 dan menyasarkan penurunan karbon sebanyak 30 peratus, menjelang 2030.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak dapat mendengar dan membincangkan isu yang mungkin akan menghalang kelancaran pelaksanaan pembangunan bandar rendah karbon,” katanya.