Categories
SELANGOR

Arca pokok Ginkgo warnai Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APRIL: Arca bermotifkan pokok Ginkgo yang merupakan pokok rasmi Bandaraya Hanam, Korea Selatan kini diletakkan di Laman Arca Antarabangsa, Dataran Kemerdekaan, di sini sebagai simbolik jalinan kerjasama antara bandaraya itu dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pelancaran arca memperlihatkan transformasi baharu dan peluang besar supaya Shah Alam akan lebih dikenali serta menjadi hasil karya dalam persekitaran bandar yang meriah.

Katanya, bandaraya itu merupakan bandar pertama yang menyumbang di laman berkenaan.

“Arca yang juga dinamakan ‘blooming’ ini merupakan karya seni kreatif dari bandar raya berkembar di Republik Korea. Ia tidak akan wujud tanpa sokongan jitu dari semua pihak.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, saya yakin dan percaya kita akan memasang beberapa lagi arca melalui kerjasama dengan beberapa bandaraya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Arca Bandaraya Hanam, Korea Selatan di Laman Arca Antarabangsa, Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama 20 delegasi Hanam yang diketui Datuk Bandar Hanam, Kim Sang Ho.

Arca dengan ketinggian 3,400 milimiter (mm) dengan lebar 2,300 mm turut memaparkan lambang tiga ekor burung migrasi ‘swan’ yang banyak terdapat di bandaraya itu.

Rashidi berkata, laman berkenaan dibina berdekatan dengan Dataran Kemerdekaan yang merupakan kawasan hijau dan menjadi tumpuan masyarakat sekitar beriadah.

“Menjadi kebanggaan kepada seluruh penduduk Shah Alam untuk menerima arca ini dan diharapkan persabahatan serta kerjasama ini terus mekar dan berkekalan.

“MBSA komited mewujudkan persekitaran kondusif untuk perkembangan budaya dan keseniaan. Kewujudan arca ini sebagai elemen penting bagi menarik minat pelancong,” katanya.

Sementara itu, Sang Ho berkata, pihaknya berterima kasih kepada MBSA kerana memberi komitmen dan kerjasama jitu dalam kerjasama dua hala itu.

“Kami juga berbesar hati meletakkan arca ini di sini dan menerima arca dari MBSA yang diletakkan di Hanam.

“Reka bentuk arca ini merupakan simbolik kepada pokok Ginkgo yang memberi tenaga positif dan terus mekar pada masa akan datang.

“Saya berharap hubungan persahabatan dan kerjasama ini akan terus berkembang dari masa ke masa,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBSA-Bandaraya Hanam erat kerjasama dua hala

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menarik minat Delegasi Bandaraya Hanam, Korea Selatan bagi memperkasa kerjasama dua hala.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, beberapa perkara dibincangkan antaranya membabitkan cadangan pertukaran kakitangan antara kedua-dua bandar raya serta kerjasama dari aspek kebudayaan dan sukan.

“Pihak MBSA dan Bandaraya Hanam juga turut menyatakan hasrat menyertai aktiviti yang akan dianjurkan kedua-dua bandar raya pada masa akan datang,” katanya.

Seramai sembilan delegasi dari Bandaraya Hanam menyertai lawatan diketuai Pengarah Biro Keselamatan dan Pentadbiran Bandaraya Hanam, Kim Jaeyoun.

img 1001Shahrin berkata, sebelum ini, MBSA dan Bandaraya Hanam telah mula mengadakan kerjasama melalui perjanjian yang dimeterai pada 2013.

“Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui adalah sektor pembangunan, teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi dan pelaburan, serta pendidikan dan pelancongan.

“Ia merupakan kesinambungan jalinan kerjasama antarabangsa yang bermula sejak 2013 sebagai salah satu inisiatif pihak MBSA menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya bertaraf dunia,” katanya.

-nR-