Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tidak sangka Selangor hulur bantuan, waris mangsa banjir lumpur terharu

YAN BESAR, 1 SEPT: Waris mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos lalu tidak menyangka menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor.

Mohamad Firdaus Zainol, 36, berkata beliau dihubungi pejabat daerah memaklumkan ibunya akan menerima sumbangan yang diberikan sendiri Dato’ Menteri Besar Selangor yang mengadakan lawatan ke kawasan air terjun Titi Hayun.

Waris mangsa terkorban Mohamad Firdaus Zainol. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya rasa syukur dan terharu pemimpin Selangor sanggup datang ke sini. Alhamdulillah kerana sumbangan ini boleh digunakan untuk keperluan ibu,” katanya yang hadir menerima sumbangan mewakili ibunya.

Menceritakan kejadian, Mohamad Firdaus berkata orang tuanya menetap di Sungai Petani tetapi ketika kejadian ayah pergi ke kebun yang terletak di kawasan air terjun.

“Ayah ada memaklumkan bahawa pulang lewat sedikit kerana air deras tetapi sehingga malam masih tidak belum pulang ke rumah,” katanya.

Suri rumah Nahra Siza Murhaban, 46, berkata beliau bersyukur apabila mendapat sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor yang membantu mengurangkan beban.

“Saya dan anak-anak bergantung sepenuhnya dengan arwah suami dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai kerana hilang sumber pendapatan.

“Namun walaupun arwah suami telah tiada, saya perlu kuat untuk menyara tiga anak yang berusia 14 hingga tujuh tahun,” katanya.

Amirudin ketika mengadakan lawatan menyampaikan sumbangan kepada waris enam mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

Beliau turut menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor hulur bantuan untuk mangsa banjir lumpur di Yan

YAN BESAR, 31 OGOS: Kerajaan Selangor menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sumbangan diserah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada EXCO sumber manusia Kedah Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad.

“Mungkin jumlah yang diberikan terlalu kecil untuk keperluan dan kos pemulihan memakan belanja sehingga RM60 juta.

“Terpulang kepada mereka tetapi mungkin boleh diberikan kepada yang memerlukan ikut kesesuian dan pelan kerajaan Kedah,” kata Amirudin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat kesan banjir akibat fenomena kepala air dalam sesi lawatan ke kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun, Yan Besar pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam lawatan ke air terjun Titi Hayun hari ini, beliau turut menyerahkan barang keperluan harian daripada Yayasan Selgate kepada keluarga terjejas.

Dato Menteri Besar juga menyampaikan sumbangan wang tunai kepada enam keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, enam orang terkorban dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Categories
AGENDA GLOBAL

44 terkorban, ramai hilang dalam banjir lumpur di Indonesia

JAKARTA, 4 APRIL: Seramai 44 orang disahkan terkorban setakat ini dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kabupaten Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam satu kenyataan, puluhan rumah di beberapa desa di kabupaten berkenaan, ditenggelami lumpur akibat banjir, selain ditimbusi tanah runtuh.

“Halangan di lapangan adalah akses satu-satunya (ke tempat kejadian) adalah menyeberang laut ke Pulau Adonara. Hujan, angin dan gelombang laut ketika ini menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan BNPB setakat 7 malam ini.

Hujan lebat sejak tiga hari lepas di kawasan berkenaan menyebabkan berlakunya banjir lumpur sejak awal pagi tadi, melibatkan beberapa desa dan penempatan penduduk.

Jumlah korban dikhuatiri meningkat berikutan masih ramai dilaporkan hilang dan tertimbus dalam runtuhan tanah dan timbunan banjir lumpur, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA