Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Bank Dunia unjur Covid-19 beri impak besar KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara -0.1 peratus dengan -4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan wabak Covid-19, menurut Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia dalam Kewangan, Daya Saing dan Inovasi Amalan Global, Smita Kuriakose berkata kesan terhadap ekonomi Malaysia itu dijangka besar berdasarkan kesan negatif Covid-19 ke atas pelaburan langsung asing (FDI), komoditi dan pelancongan selain kejutan domestik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia merupakan antara ekonomi yang amat berkaitan dengan rantaian bekalan global.

Beliau berkata secara global, perdagangan telah merosot sama dengan fasa paling teruk krisis kewangan global 2008/2009.

Sejak wabak Covid-19 bermula dan hingga 23 Mac, berlakunya aliran keluar terbesar dari pasaran pesat membangun dengan rekod pada US$83 bilion, manakala FDI global diunjurkan susut sebanyak 30 hingga 40 peratus tahun ini, katanya.

Dalam pada itu, 75 juta pekerjaan berdepan risiko yang berlaku dalam sektor perjalanan dan pelancongan, dengan dua pertiga daripadanya adalah di Asia.

“Kita perlu mengakui fakta bahawa pemulihan tidak akan sama di seluruh sektor dan juga negara,” katanya.

Beliau berkata inisiatif yang mencukupi perlu dilaksanakan untuk membantu PKS dalam keadaan berlakunya gangguan rantaian penawaran dan permintaan.

Smita berkata PKS tempatan khususnya masih lagi ketinggalan dalam penggunaan platform digital dan ini perlu ditangani.

Walaupun kerajaan menunjukkan komitmennya dengan pantas dan menyediakan sejumlah sumber yang besar sebagai tindak balas terhadap kesan wabak itu, pemulihan pula dijangka mengambil masa bertahun-tahun, katanya.

Minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan unjuran KDNK Malaysia bagi 2020 dianggarkan di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus, berbanding pertumbuhan pada 4.3 peratus tahun lepas.

“Sebaik sahaja keyakinan rakyat pulih, aktiviti ekonomi akan meningkat semula dan anda akan mendapati permintaan akan melonjak yang akan mendorong kepada pemulihan,” kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus.

BNM juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi domestik meningkat semula sebelum akhir tahun ini dan seterusnya pada 2021 apabila risiko daripada pandemik itu reda, sejajar dengan unjuran pemulihan dalam ekonomi global.

Pada 2019, KDNK Malaysia berkembang pada 4.3 peratus.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bank Dunia iktiraf usaha Malaysia tingkat sektor telekomunikasi

PUTRAJAYA, 6 JUL: Usaha progresif Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan sektor telekomunikasi negara diiktiraf Bank Dunia dalam laporan terkininya “Malaysia Economic Monitor: Re-energising the Public Service,” yang diterbitkan pada 30 Jun tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata satu artikel dalam laporan itu bertajuk “Malaysia’s Need for Speed: How Regulatory Action Is Unleashing Ultrafast Internet” mengakui inisiatif yang diambil suruhanjaya dalam menyokong Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menghasilkan slogan “Gandakan kelajuan pada separuh harga” sebagai garis panduan utama dalam memberikan perkhidmatan jalur lebar tetap yang mampu dilanggan dengan hubungan internet yang lebih pantas.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata laporan Bank Dunia itu satu bukti kepada keberkesanan inisiatif, dasar dan tindakan yang dilaksanakan MCMC.

“Selaku pengawal selia industri komunikasi dan multimedia, sasaran kami adalah memastikan standard ketersambungan seluruh negara boleh memberikan nilai tambah kepada rakyat juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan buat negara.

Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) oleh MCMC dalam Oktober 2018 menghasilkan secara purata pengurangan 49 peratus pada harga jalur lebar berkelajuan tinggi,” kata kenyataan itu.

Sebelum pengurangan harga, MCMC berkata harga pakej permulaan daripada RM119 hingga RM129 untuk 10 megabit sesaat (Mbps) tetapi dengan MSAP, harga pakej permulaan daripada RM79 hingga RM89 untuk 30 Mbps.

Tambahan pula, bilangan langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat lapan kali ganda kepada 1.2 juta pelanggan dalam 2018, daripada 150,000 pada 2017, katanya.

Menurut MCMC lagi, dalam bentuk capaian, artikel Bank Dunia itu menggariskan Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk merapatkan jurang antara negara pendahulu dalam kelajuan internet.

Kelajuan purata jalur lebar tetap telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam 17 bulan, dari 22.5 Mbps pada Januari 2018 kepada 68.5 Mbps pada Mei 2019, di atas purata global 59.6 Mbps.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), MCMC telah merancang untuk mempertingkatkan kemampuan, kualiti dan akses kepada ketersambungan digital sebagai satu laluan kepada negara untuk membawa Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang mengandungi teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, data raya dan kejuruteraan maya, katanya lagi. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia unjur KDNK Malaysia tumbuh 4.6 peratus

PUTRAJAYA, 1 JUL: Ekonomi Malaysia dijangkakan berkembang pada kadar yang agak sederhana, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencatatkan 4.6 peratus pada 2019, kata Bank Dunia.

Ahli ekonomi utama dalam makroekonomi, perdagangan dan pelaburan Richard Record berkata KDNK mencatatkan 0.1 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini, mencerminkan aktiviti pelaburan dan eksport yang lebih lemah berbanding unjuran pada suku pertama (Q1) 2019.

Pada April Bank Dunia mengekalkan unjuran KDNK pada 4.7 peratus.

“Risiko berpotensi ke atas pertumbuhan termasuk perkara berkaitan ketegangan perdagangan, pertumbuhan ekonomi utama yang lebih perlahan berbanding jangkaan, selain ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dan komoditi.

“Kadar hutang swasta dan awam yang agak tinggi juga menimbulkan risiko kepada pertumbuhan,” katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun penggunaan swasta dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri, pertumbuhannya dijangkakan berkurangan kepada 6.6 peratus tahun ini.

Ini berikutan pengembangan yang teguh pada 2018, terutama semasa tempoh GST berkadar sifar.

“Dalam sektor awam, rasionalisasi berterusan perbelanjaan kerajaan akan menyebabkan sumbangannya berkurangan, dengan kadar pertumbuhan dijangkakan bertahan pada 1.8 peratus bagi tahun ini,” kata Record.

Sementara itu, Malaysia terus berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

“Pendapatan negara kasar (GNI) per kapita Malaysia berjumlah US$10,460 pada 2018, US$1,915 di bawah had US$12,375 yang ditetapkan oleh Bank Dunia dalam menentukan status negara berpendapatan tinggi,” kata Record.

Beliau berkata Malaysia boleh mencapai had yang lebih tinggi daripada ang ditetapkan pada satu ketika antara 2021 dan 2024.

“Seiring penyertaan ekonomi Malaysia dan ekonomi berpendapatan tinggi, perhatian harus diberikan kepada aspek-aspek pembangunan dan kesejahteraan masyarakat secara lebih luas seperti kesihatan, pendidikan dan pengagihan kekayaan, yang tidak dicapai secukupnya hasil dari segi peningkatan dalam pendapatan per kapita,” katanya.

Menurut edisi ke-20 Pemantauan Ekonomi Bank Dunia (MEM) yang dilancarkan hari ini, dasar harus ditumoukan kepada usaha untuk meningkatkan daya tahan dan melindungi golongan yang lemah dalam jangka pendek.

Laporan itu menyebut penampan dasar fiskal perlu dibangunkan selain memudahkan pelaburan swasta dan memastikan perlindungan sosial yang mencukupi untuk isi rumah berpendapatan rendah yang mudah terjejas.

“Asas pendapatan kerajaan juga perlu dipeluas menerusi usaha dalam mengembangkan dan meningkatkan sistem perlindungan sosial ke arah kemajuan yang lebih baik secara menyeluruh.

“Langkah yang dirancang kerajaan untuk melaksanakan rangka kerja subsidi bahan bakar bersasar boleh meningkatkan simpanan untuk dilaburkan semula dalam program kebajikan sosial utama,” menurut laporan itu. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Bank dunia bakal laksana proses pemilihan presiden seterusnya

WASHINGTON, 11 JAN: Bank Dunia pada semalam memaklumkan pihaknya bakal melaksanakan proses pemilihan presiden seterusnya bagi menerajui bank pembangunan pelbagai hala itu, semalam.

Ia bagi menggantikan Jim Yong Kim, yang tiba-tiba mengumumkan pengunduran awal dari Bank Dunia pada awal minggu ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan badan dunia itu.

Susulan satu mesyuarat pada 9 Januari lalu, Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia mengesahkan komitmennya kepada proses pemilihan ‘terbuka, berdasarkan merit dan telus’.

“Pengarah Eksekutif bersetuju bahawa calon harus komited terhadap pelaksanaan Forward Look dan perjanjian pakej modal sebagaimana yang disebut dalam Sustainable Financing for Sustainable Development Paper,” menurut kenyataan itu.

Menurut Bank Dunia, calon harus memenuhi beberapa kriteria penting, termasuk rekod prestasi kepimpinan, pengalaman dalam menguruskan organisasi besar dengan pendedahan antarabangsa, dan komitmen tegas serta penghargaan terhadap kerjasama pelbagai hala.

Bank itu berkata, pencalonan untuk presiden seterusnya hendaklah dikemukakan antara 7 Februari dan 14 Mac ini sementara pengarah eksekutif akan memutuskan senarai pendek tiga calon.

“Temu bual rasmi Pengarah Eksekutif akan dijalankan untuk semua calon yang disenarai pendek dengan jangkaan memilih Presiden baharu sebelum Mesyuarat Musim Bunga pada April,” kata bank itu.

Kim pada 7 Januari lalu mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada jawatannya di Bank Dunia berkuat kuasa 1 Februari, tiga tahun lebih awal daripada tempoh penggal keduanya sebagai presiden institusi pembiayaan antarabangsa itu berakhir iaitu pada 2022.

Kim menjadi presiden ke-12 Bank Dunia pada 1 Julai 2012.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai presiden institusi akademik Amerika Syarikat yang terkenal iaitu Kolej Dartmouth.

Global Infrastructure Partners (GIP), pelabur infrastruktur global yang berpangkalan di New York, pada Selasa telah mengesahkan bahawa Kim akan menjadi rakan kongsi dan naib pengerusi GIP mulai 1 Feb.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

Malaysia naik ke tangga 15 dalam senarai menjalankan perniagaan Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Malaysia naik sebanyak sembilan tangga untuk berada di kedudukan ke-15 di kalangan 190 ekonomi dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2019 Bank Dunia, yang memberi pengiktirafan ke atas peraturan-peraturan mudah cara bagi menjalankan perniagaan yang terbaik.

Ahli Ekonomi Kanan dan Perangkaan (Pembangunan Ekonomi – Kumpulan Petunjuk Global) Bank Dunia, Arvind Jain berkata kepantasan dalam pembaharuan telah membantu melonjakkan Malaysia untuk berada di kalangan 20 ekonomi terbaik di dunia.

“Malaysia telah melaksanakan enam pembaharuan perniagaan pada tahun lepas, ini menyebabkan peningkatan dramatik dalam skor perniagaan secara keseluruhan, yang meningkatkan kedudukan Malaysia ke tangga 15 pada 2018 berbanding 24 sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam taklimat mengenai laporan itu, semalam.

Katanya, pembaharuan itu merangkumi kemudahan memulakan perniagaan, urusan memperoleh permit pembinaan, kemudahan elektrik, pendaftaran hartanah, perdagangan merentasi sempadan dan penyelesaian insolvensi.

Arvind mengakui membuat pembaharuan bukan mudah, beliau memuji rekod Malaysia pada kitaran sebelum ini dalam agenda reformasi dan berharap Malaysia akan terus berada dalam 20 senarai terbaik.

Menurut laporan berkenaan, lima negara teratas dalam kemudahan menjalankan perniagaan adalah New Zealand dengan skor sebanyak 86.59, Singapura (85.24), Denmark (84.64) Hong Kong (84.22) dan Korea Selatan (84.14).

Di ASEAN, Malaysia menduduki posisi kedua atau di belakang Singapura dengan markah 80.60, tetapi mendahului Thailand (kedudukan ke-27), Brunei (ke-55), Vietnam (ke-69), Indonesia (ke-73) dan Myanmar (ke-171).

Laporan Bank Dunia itu memberitahu Malaysia juga memiliki prestasi terbaik dalam beberapa bidang berkaitan dengan menjalankan perniagaan, seperti perlindungan ke atas pelabur minoriti di mana ia menduduki tempat kedua selepas New Zealand.

Kecemerlangan negara dalam bidang ini diperkukuhkan lagi dengan skor sebanyak 10 dalam Indeks Pendedahan.

“Pembaharuan yang dibuat pada tahun sebelum ini bagi menambah baik proses permit pembinaan telah membantu negara naik ke tangga ketiga dalam bidang berkaitan, sekarang hanya 54 hari sahaja diperlukan bagi mendapatkan permit di Malaysia berbanding dengan 158 hari di kebanyakan negara atau 133 hari secara purata di Asia Tenggara dan Pasifik.

Dalam urusan bagi mendapatkan bekalan elektrik, Malaysia sekarang disenaraikan pada tempat keempat di peringkat global, dengan kos untuk mendapatkan sambungan elektrik oleh perniagaan baharu di negara ini adalah lebih murah sebanyak 26 peratus daripada pendapatan per kapita berbanding purata sebanyak 625 peratus di Asia Timur dan Pasifik.

Bagaimanapun, negara masih lemah dalam urusan memulakan perniagaan, ia masih tertinggal pada kedudukan ke-122.

“Walaupun pelbagai pembaharuan telah dibuat pada tahun-tahun sebelum ini, pendaftaran perniagaan masih mengambil masa selama 13.5 hari dan langkah sebanyak 9.5 prosedur, berbanding dengan dua prosedur serta 1.5 hari di Singapura dan 3.5 prosedur serta 5.5 hari di Brunei, mereka adalah yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata dalam satu kenyataan bahawa fokus dan hala tuju inisiatif pembaharuan sedang berada di landasan yang betul, ini telah dicerminkan melalui kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam tanda aras global.

Katanya, salah satu daripada inisiatif-inisiatif ini merupakan tindakan susulan yang diambil melalui cadangan yang telah disampaikan oleh kumpulan Bank Dunia kepada Malaysia.

Darell berkata, kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), telah banyak membuat pembaharuan kawal selia dan penambahbaikan melalui sokongan pihak-pihak yang berkepentingan.

Melangkah ke hadapan, dalam usaha mempercepatkan pembaharuan kawal selia untuk meningkatkan daya saing perniagaan, struktur tersebut akan diperkukuhkan bagi menangani sebarang isu di peringkat dasar dan pelaksanaan dengan lebih baik, katanya.

Katanya, kerajaan melalui Pemudah akan melaksanakan lebih banyak inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia baharu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Bank Dunia: Malaysia dijangka kekalkan pertumbuhan, capai status pendapatan tinggi 2024

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 4.7 peratus pada 2019 dan 4.6 peratus pada 2020 meskipun berdepan cabaran dan negara dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024, kata Bank Dunia.

Bagi 2018, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat ini, berkembang 4.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta.

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus berdepan risiko berikutan ketidakpastian dalam persekitaran luaran,” kata Bank Dunia dalam laporan ekonomi terbaharunya bagi rantau ini.

Dalam laporan “Navigating Uncertainty”, East Asia and Pacific Economic Update edisi Oktober 2018, Bank Dunia berkata, keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, yang berpunca sama ada daripada jangkaan peralihan dasar monetari di ekonomi maju atau krisis di rantau lain, boleh menular ke ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, menerusi aliran keluar modal dan tekanan terhadap kadar pertukaran.

“Risiko utama lain berkait dengan peningkatan kecenderungan melindungi perdagangan di beberapa ekonomi utama yang boleh membawa kesan negatif ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi tingginya dengan pasaran global dan kebergantungannya terhadap rantaian nilai global sebagai sumber pertumbuhan,” kata bank itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Bank Dunia ramal ekonomi Malaysia berkembang 4.3%

KUALA LUMPUR 11 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4.3 peratus pada 2017 dan 4.5 peratus tahun depan selepas pasaran dapat menyesuaikan kesan harga bahan api rendah serta harga komoditi menjadi lebih stabil.

Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata angka itu menandakan aliran pengembangan sederhana daripada pertumbuhan rendah 4.2 peratus yang dijangkakan pada 2016.

Katanya pertumbuhan dalam kalangan negara pengeksport komoditi di rantau ini diunjur meningkat dengan pesat.

“Indonesia dijangka meningkat kepada 5.3 peratus pada 2017 daripada 5.1 peratus dalam tahun yang baru berakhir ini hasil daripada peningkatan pelaburan swasta.

“Malaysia dijangka meningkat kepada 4.3 peratus pada 2017 apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi stabil,” kata bank itu.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) negara berkurangan kepada lima peratus pada 2015 daripada enam peratus pada 2014.

VIEW OF THE NORTHPORT.                                              ATTD ROMEO FOR 9TH MALAYSIA PLAN *** Local Caption *** The slump in US technology-related demand, where new US orders fell a sharp 4.7% in June from May, had affected electrical and electronic exports ***************************************************************************************** Economy seen growing 5%–6% A filepic showing containers at Northport. Malaysia's export markets are increasingly diversified, with almost 54% of total exports going to the Asian ex-Japan economies compared with 46.2% in 2001. 20080327   StarBiz   Pg12 - Yan

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan merosot di beberapa negara pengeksport komoditi yang lebih kecil seperti Mongolia dan Papua New Guinea apabila kejutan terma perdagangan diburukkan lagi dengan kelemahan domestik.

Mengenai prospek pertumbuhan di Asia Timur dan rantau Pasifik, Bank Dunia mengunjurkan ia susut kepada 6.2 peratus tahun ini susulan pertumbuhan perlahan di China yang menyederhana susulan peningkatan negara lain di rantau itu.

“Pengeluaran di China dijangka perlahan kepada 6.5 peratus tahun ini.

“Dasar makroekonomi dijangka menyokong pemacu pertumbuhan domestik utama meskipun kelemahan permintaan luaran dan lebihan kapasiti dalam beberapa sektor. Kecuali China, pertumbuhan di rantau itu dilihat berkembang lebih pesat pada kadar lima peratus pada 2017,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bank Dunia ramal ekonomi global berkembang 2.7%

WASHINGTON 11 JAN: Bank Dunia meramalkan ekonomi global pertumbuhan global boleh berkembang pada kadar tahunan 2.7 peratus tahun ini.

Ia secara keseluruhan akan tumbuh sedikit lebih cepat sedikit pada tahun ini selepas mencatatkan prestasi paling teruk tahun lalu sejak krisis kewangan 2008.

Itu adalah lebih rendah daripada ramalan bank itu pada Jun, iaitu pertumbuhan 2.8 peratus tahun ini, tetapi adalah lebih baik daripada pertumbuhan 2.3 peratus pada tahun lalu.

Menurut Bank Dunia, pengeksport komoditi dalam pasaran baru muncul dan negara membangun lain seharusnya menyaksikan ekonomi mereka berkembang sebanyak 2.1 peratus pada 2017 selepas meningkat 0.3 peratus dan hampir tidak dapat dilihat pada 2016.

Ekonomi global menghadapi beberapa halangan tahun lalu, daripada masalah ekonomi di China hingga kepada kegawatan pasaran kewangan.

“Kami berharap untuk melihat prospek ekonomi yang lebih kukuh,” kata Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim.

Laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan 2.2 peratus di Amerika Syarikat, meningkat daripada ramalan kira-kira 1.6 peratus pada 2016.

Unjuran AS bagi 2016 adalah lebih rendah daripada unjuran pertumbuhan Jun iaitu 1.9 peratus, manakala prospek bagi tahun Ini adalah tidak berubah.

Pada tahun-tahun sejak krisis kewangan 2008, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa berulang kali terbukti terlalu optimistik dalam ramalan mereka.

Pertumbuhan AS pada separuh pertama tahun lalu adalah lemah apabila syarikat Amerika bergelut dengan kesan dolar yang kukuh, yang mengurangkan jumlah eksport.

Kejatuhan besar harga minyak mencetuskan pengurangan mendadak dalam perbelanjaan pelaburan oleh syarikat tenaga.

Di peringkat global, banyak negara membangun bergelut dengan kejatuhan harga komoditi yang mengurangkan pendapatan yang mereka terima daripada barangan terbabit.

Unjuran baru itu menjangkakan harga komoditi akan pulih semula secara beransur-ansur serta Russia dan Brazil meneruskan pertumbuhan selepas mengalami krisis ekonomi tahun lalu.

=EZY=