Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar dasar semalam dijangka pengaruhi ringgit

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan memandangkan pelabur menunggu keputusan bank pusat berhubung kadar dasar semalam (OPR) seterusnya.

Penganalisis berkata pengumuman itu akan menjadi faktor dalam menentukan kedudukan ekonomi bagi beberapa bulan akan datang dengan tempoh moratorium perbankan akan berakhir pada September ini.

“Berdasarkan pasaran pekerjaan tempatan yang mengalami kesukaran dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan kemelesetan juga masih membelenggu keadaan, pengurangan lagi OPR dijangka dilaksanakan untuk meningkatkan mudah tunai kewangan serta melengkapkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

OPR Malaysia kini berada pada 2.00 peratus, terendah sejak Krisis Ekonomi Global 2008-2009, dan menurut nota penyelidikan, Bank Negara Malaysia mungkin mengurangkan 25 mata asas lagi menjadi 1.75 peratus untuk melindungi ekonomi selepas mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

Mengenai pelaburan asing, beliau berkata mata wang tempatan kini diniagakan dalam mod tidak banyak berubah susulan ketidaktentuan pasaran global akan berterusan, oleh itu pelabur menangguhkan untuk menetapkan semula pegangan masing-masing.

“Pasaran minyak global kekal tidak berubah pada US$40 setong kerana permintaan masih lembap selepas ekonomi mulai dibuka kembali. Selagi logistik dan perjalanan udara masih disekat, permintaan akan kekal suram,” katanya.

Bagi prestasi mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.2840 2900 ketika ditutup pada Jumaat, daripada 4.2890/2930 semasa penutupan pada Jumaat minggu lepas.

Unit tempatan juga naik berbanding dolar Singapuran kepada 3.0718/0766 daripada 3.0827/0865 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9855/9918 daripada 4.0114/0155.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3332/3423 daripada 5.3124/3190 minggu lepas namun stabil berbanding euro kepada 4.8101/8185 daripada 4.8118/8167.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KDNK suku pertama 2020 berkembang sederhana 0.7 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih sederhana iaitu 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 berbanding dengan 4.5 peratus semasa suku yang sama tahun lepas, susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata selepas mencatatkan pengembangan stabil pada dua bulan pertama tahun ini, aktiviti ekonomi mengalami penyusutan mendadak berikutan PKP mulai 18 Mac.

“Sekatan pergerakan termasuk sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik, pengehadan kerja dan tempoh operasi serta penjarakan sosial wajib telah amat membataskan aktiviti ekonomi.

“Pengeluaran hanya dibenarkan untuk barang dan perkhidmatan penting serta industri penting bersama rantaian bekalan mereka. Sektor berintensifkan pekerja dan berorientasikan pengguna turut terjejas,” menurut bank pusat dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 hari ini.

Semasa tempoh tersebut, BNM berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana pada kadar 0.9 peratus, mencerminkan terutama luputnya baki kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta inflasi barangan harganya yang tidak menentu yang lebih rendah manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.3 peratus.

Bagi perkembangan kadar pertukaran, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2020, berikutan aliran keluar portfolio bukan pemastautin yang besar dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion (US$6.3 bilion) susulan aktiviti penghindaran risiko yang semakin meningkat di peringkat global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.3350/3450 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza daripada kenaikan semalam apabila dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini menjelang pengumuman keputusan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2020.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan disebut pada 4.3350/3450 berbanding dolar AS daripada 4.3270/3370 ketika ditutup pada Selasa.

Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan prestasi itu hari ini, dengan pertumbuhan diunjurkan di antara 0.8 peratus dengan lebih 4.0 peratus.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata susulan risiko dagangan adalah lemah di pasaran Amerika Syarikat serta penurunan harga minyak mentah, ringgit akan bergelut untuk mencatatkan pergerakan meningkat hari ini.

“Bagaimanapun, penurunan itu akan kekal dihadkan memandangkan sentimen tempatan masih dipengaruhi oleh dasar People’s Bank of China, yang boleh diperkukuhkan secara ketara pada Mei.

“Namun, kebimbangan mengenai gelombang kedua penularan Covid-19 dan ketegangan Australia-China akan terus menjejaskan landskap serantau bagi jangka terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali berbanding pound Britain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0588/0670 daripada 3.0530/0597 ketika ditutup semalam, serta rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0438/0543 daripada 4.0247/0326.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 4.7048/7174 daripada 4.6814/6909 semalam namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3164/3300 daripada 5.3356/3464.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM tambah baik dasar pertukaran asing

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penambahbaikan selanjutnya dalam dasar pertukaran asing bertujuan meningkatkan kecekapan perniagaan dan menawarkan fleksibiliti kepada syarikat untuk menguruskan pendedahan risiko pertukaran asing mereka dengan lebih baik.

Terdapat lima langkah kesemuanya yang berkuat kuasa serta-merta.

Penambahbaikan pertama dalam dasar ialah pengecualian daripada syarat bagi pengeksport pemastautin untuk menukar hasil eksport di bawah RM200,000 setiap urus niaga kepada ringgit.

“Fleksibiliti ini akan meringankan beban pentadbiran untuk pengeksport, terutamanya PKS, bagi memenuhi obligasi mata wang asing (FC) mereka,” menurut bank pusat dalam kenyataan.

Langkah kedua ialah pemastautin bebas untuk melindung nilai obligasi pinjaman mata wang asing sehingga tempoh asas.

Sebelum ini, pemastautin boleh melindung nilai obligasi pinjaman mata wang asing mereka sehingga 12 bulan sahaja. Fleksibiliti ini membolehkan pemastautin menguruskan risiko FX mereka dengan lebih baik daripada pendedahan pinjaman mata wang asing jangka panjang.

“Penambahbaikan ketiga dalam dasar ialah semua entiti dibenarkan untuk melepaskan kedudukan hadapan mereka dalam menguruskan kos lindung nilai mereka kecuali bagi pelaburan portfolio berikutan keadaan pasaran yang berubah. Sebelum ini, pemastautin dan bukan pemastautin perlu mendapatkan kelulusan Bank untuk melepaskan kedudukan lindung nilai.

“Pemastautin juga bebas untuk mendapatkan jaminan kewangan daripada bukan pemastautin. Sebelum ini, mereka hanya boleh mendapat jaminan kewangan sehingga had agregat sebanyak RM100 juta,” menurut BNM, menyatakan menghapuskan had tersebut membolehkan pelabur asing menyokong entiti mereka yang beroperasi di Malaysia dengan lebih baik.

Bagi langkah kelima, pemastautin bebas untuk mengeluarkan jaminan kewangan kepada bukan pemastautin dengan beberapa pengecualian daripada had agregat sebelum ini sebanyak RM50 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dana RM3.3 bilion BNM, kesediaan bank akan bantu PKS

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Ketika penularan Covid-19 memasuki gelombang keduanya di Malaysia, kesediaan bank-bank selain langkah-langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan rangsangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) semasa tempoh sukar ketika ini.

“Sebagai tulang belakang ekonomi negara, sektor PKS layak mendapat semua bantuan yang ia boleh dapatkan semasa tempoh-tempoh mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Keutamaannya adalah menyediakan PKS dengan modal kerja tambahan bagi mengekalkan perniagaan mereka dan, seterusnya melindungi pekerjaan, terutamanya dalam sektor terjejas seperti pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan makanan dan minuman,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi emel.

Bagi tujuan ini, pakej RM3.3 bilion BNM sudah pastinya akan membantu meringankan beban kewangan PKS.

“Selain daripada pembiayaan, kami juga menyambut baik inisiatif seperti Kemudahan Agrofood bernilai RM1 bilion serta Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS sebanyak RM300 juta.

“Kemudahan ini bukan sahaja mempunyai kadar pembiayaan rendah tetapi juga tempoh yang lebih panjang. Ciri-ciri pembiayaan seumpama itu penting bagi memudahkan pelan pertumbuhan jangka sederhana PKS,” katanya.

CIMB juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa semua permohonan bagi penstrukturan semula dan penjadualan semula kemudahan pembiayaan mereka akan diberikan pertimbangam sewajarnya.

“Jika perlu, kami juga mungkin melanjutkan tempoh pembayaran semula bagi pelanggan. Bagi melengkapkan inisiatif nasional kami, CIMB juga komited mengagihkan RM15 bilion pada 2019-2020 untuk membantu PKS berkembang dan, ditambah dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini kami percaya sektor PKS Malaysia akan mendapat sokongan padu bagi mengharungi krisis ketika ini yang disebabkan oleh Covid-19 dan cabaran operasi lain,” katanya.

BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada 3 Mac, 2020, yang merupakan pengurangan kadar kedua oleh bank pusat itu tahun ini. Penurunan itu bertujuan menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif untuk menyokong jangkaan peningkatan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah kestabilan harga.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank Domenic Fuda berkata bank itu optimis ekonomi domestik akan kekal kukuh, disokong oleh langkah-langkah monetari dan fiskal, serta institusi kewangan yang proaktif membantu pelanggan mengharungi tempoh sukar ini.

“Kami juga komited untuk memudahkan kemudahan dalam mengekalkan pembiayaan yang sesuai semasa tempoh ini, dan membantu pelanggan kami yang mungkin mengalami gangguan aliran tunai jangka pendek bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan mereka dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya.

Penularan Covid-19 telah menjejaskan perniagaan di seluruh dunia yang membawa kepada naik turun pasaran ketika ini, dengan PKS terutamanya lemah dari segi menguruskan aliran tunai, inventori dan pengedaran barang dan perkhidmatan mereka semasa tempoh ini, kata Fuda.

Beliau juga sependapat dengan Tengku Zafrul bahawa Kemudahan Bantuan Khas BNM yang menyediakan bantuan RM2 billon dalam bentuk modal kerja bagi PKS serta Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bukan hanya akan membantu PKS yang terjejas memastikan kesinambungan perniagaan mereka dan memudahkan modal kerja mereka pada tempoh mencabar ini tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk meningkatkan sumber, agar mereka boleh bangkit semula dengan pantas sebaik sahaja situasi bertambah baik.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami telah menyediakan Pelan Bantuan Kewangan Pelanggan untuk menyokong PKS dan pelanggan individu yang terjejas akibat Covid-19, dengan menstrukturkan semula dan menjadualkan semula pinjaman dan pembiayaan mereka, bagi membantu situasi aliran tunai jangka pendek mereka,” katanya.

Ini, bersama-sama dengan penurunan OPR dan langkah-langkah lain yang disebut di atas akan menyediakan bantuan yang amat diperlukan bagi peminjam yang terjejas secara langsung oleh penularan wabak tersebut, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.1410/1450 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan penyusutan minat terhadap unit tempatan susulan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang lebih lemah daripada dijangkakan.

Pada jam 9.26 pagi, ringgit diniaga pada 4.1410/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1390​/ 1420 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata minat pelabur beralih daripada ringgit selepas prestasi KDNK suku keempat 2019 mencatatkan 3.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku keempat 2018.

“Selain itu, Bank Negara Malaysia pula membayangkan satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam masa terdekat yang dilihat tidak menguntungkan pelabur,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali berbanding pound Britain yang menyaksikannya susut kepada 5.4011/4067 daripada 5.3683/3730 sewaktu ditutup semalam.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9800/9839 daripada 2.9824/9852 semalam.

Ia turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7714/7754 daripada 3.7716/7747 dan meningkat berbanding euro kepada 4.4859/4919 daripada 4.5041/5082, sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.1410/1440 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini susulan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih lemah berbanding jangkaan mengekang minat pelabur terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1380 ketika ditutup pada Rabu.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau turut berkata bank pusat memiliki banyak ruang untuk melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mendepani cabaran ekonomi.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata prestasi lebih rendah itu boleh menimbulkan jangkaan di dalam pasaran bahawa langkah pengurangan kadar faedah akan dilaksanakan lebih awal.

Beliau juga berkata peningkatan sentimen risiko serantau semakin baik selepas kes jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di China dilihat berkurangan selain kenaikan harga minyak mentah sewajarnya menyediakan sokongan serta-merta kepada ringgit.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9834/9867 daripada 2.9817/9858 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7669/7700 daripada 3.7591/7625.

Mata wang tempatan bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.5021/5070 daripada 4.5150/519 semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3651/3694 daripada 5.3668/3724.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Kadar-kadar jangka pendek diunjur kekal stabil minggu depan susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan lebihan kecairan dalam pasaran kewangan.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar purata rujukan Islam kekal tidak berubah pada 2.96 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sepanjang minggu ini, BNM melakukan operasi harian bagi mengurangkan lebihan dana daripada sistem kewangan dengan melaksanakan tender pasaran wang konvensional, tender Qard, tender repo berbalik, Bil Islam Antara Bank Bank Negara dan Bil Antara Bank-Bank Negara.

Jumlah lebihan mudahan tunai dalam sistem konvensional bagi minggu ini menokok kepada RM30.94 bilion berbanding RM28.11 bilion minggu lepas, ia merosot kepada RM8.93 bilion daripada RM9.70 bilion sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek ditutup stabil

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Berikutan itu, lebihan dalam sistem konvensional susut kepada kepada RM30.94 bilion daripada RM35.69 bilion pagi ini manakala dalam sistem Islam ia berkurangan kepada RM8.93 bilion daripada RM14.34 bilion.

Awal hari ini, bank pusat itu menjalankan masing-masing tiga tender pasaran wang dan tiga tender Qard.

Pada 4 petang, BNM melaksanakan tender pasaran wang konvensional RM30.90 billon dan tender pasaran wang Murabahah RM8.90 bilion Murabahah, kesemuanya untuk wang empat hari.

Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.96 peratus manakala kadar bagi satu, dua dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek ditutup stabil

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan tunai daripada sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional turun kepada RM27.11 bilion daripada RM31.27 bilion pagi ini manakala dalam sistem Islam, ia susut kepada RM10.90 bilion daripada RM14.07 bilion.

Terdahulu, hari ini, BNM menawarkan tiga tender pasaran wang konvensional, tiga tender Qard dan Bil Islam Antara Bank Bank Negara (BNIBI).

Bank pusat juga menyemak semula tender semalaman konvensional kepada RM26.6 bilion daripada RM26.3 bilion.

Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM26.6 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM10.8 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.

Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.90 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing berada pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek ditutup kukuh

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kadar jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional susut kepada RM29.79 bilion daripada RM30.95 bilion pada sebelah pagi, manakala dalam sistem Islam, ia berkurangan kepada RM9.00 bilion daripada RM13.61 bilion.

Terdahulu, BNM menawarkan dua tender pasaran wang konvensional, tiga tender Qard dan satu tender repo berbalik.

Bank pusat juga menyemak semula tender semalaman konvensional kepada RM29.0 bilion daripada RM27.3 bilion.

Pada 4 petang, BNM mengeluarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM29.00 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM9 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.

Kadar faedah semalaman Islam purata pada 2.90 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil hari ini dengan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dianggarkan RM30.95 bilion dalam sistem konvensional dan RM13.61 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan mengeluarkan dua tender pasaran wang konvensional masing-masing bernilai RM2 bilion yang setiap satunya untuk lapan hari dan 14 hari.

BNM juga akan menawarkan tender Qard RM1 bilion untuk lapan hari, RM1.5 bilion bagi 14 hari dan RM1.5 bilion untuk 21 hari.

BNM turut melaksanakan tender repo berbalik RM385 juta untuk 31 hari.

Pada 4 petang, BNM akan menawarkan tender semalaman konvensional sehingga RM27.3 bilion dan tender semalaman Murabahah bagi RM9.7 bilion.

– BERNAMA