Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.1290/1320 berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ringgit meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko lebih baik terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1290/1320 berbanding dolar US daripada 4.1320/1350 pada Selasa.

Peniaga berkata walaupun dolar US mengukuh berikutan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 menjadikan pelabur memilih mata wang Amerika Syarikat itu sebagai mata wang selamat, ringgit mencatatkan prestasi lebih baik menjejaki yuan China yang kukuh.

Katanya kebanyakan mata wang Asia mengukuh selepas China menyuntik 1.7 trilion yuan (US$242.74 bilion) melalui repo berbalik untuk mengurangkan impak kepada ekonomi akibat penularan virus itu.

Di peringkat tempatan, katanya pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang dijadualkan hari ini oleh Bank Negara Malaysia akan menyediakan pemangkin pasaran yang baharu.

Ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9767/9800 daripada 2.9780/9806 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7612 daripada 3.7608/7639, dan menambah berbanding euro kepada 4.5064/5113 daripada 4.5088/5138 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3491/3547 daripada 5.3456/3511 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM596 juta Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara diluluskan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM596 juta telah diluluskan setakat 31 Oktober, 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata BNM dan institusi kewangan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari tahun ini.

“Penambahbaikan telah berkuat kuasa pada 1 September, 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) tentang sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana tersebut, Lim berkata pembeli rumah pertama, terutama golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Wang haram: 35 akaun dibeku, RM4 juta duit dan hartanah disita

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Sejumlah 35 akaun bank dibekukan selain wang tunai dan hartanah berjumlah RM4 juta disita dalam serbuan terhadap rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan (MSB) wang haram di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Bank Negara dalam satu kenyataan berkata, serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Ogos itu turut merampas dokumen, komputer dan telefon bimbit yang berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, 14 individu disoal siasat untuk membantu siasatan selain 22 pendatang tanpa izin, yang disyaki kakitangan dan pelanggan pengendali haram itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Serbuan itu dibuat bagi kesalahan disyaki menjalankan aktiviti MSB tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Mereka yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA, individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kenyataan itu menyebut orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pengendali MSB haram untuk menghantar wang.

Sesiapa yang terbabit tidak akan dilindungi daripada kerugian kewangan jika berlaku pertikaian.

Orang ramai harus menjalankan urus niaga mereka dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang disenaraikan di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my), kata kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

BNM umum dana RM1 bilion, langkah khas untuk pembeli rumah

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penubuhan Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion untuk membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara bagi membiayai pembelian rumah pertama mereka.

Menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini, dana berkenaan akan tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.

“Di bawah dana ini, pembeli rumah yang layak boleh mendapatkan pembiayaan (konvensional atau Islam) pada kadar konsesi di institusi kewangan yang mengambil bahagian,” katanya dan menyenaraikan institusi kewangan yang mengambil bahagian ialah AmBank, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.

Dana bagi Rumah Mampu Milik BNM layak dipohon oleh warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM2,300.

Menurut bank pusat, kriteria lain ialah harga hartanah sehingga RM150,000 dan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

“Memiliki rumah merupakan pelaburan atau komitmen utama bagi kebanyakan orang. Oleh itu, bakal pembeli rumah perlu menilai kemampuan mereka bagi memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan memiliki rumah, termasuk bayaran balik gadai janji dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

“Bagi membantu pembeli rumah pertama kali ini, modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah akan disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pembeli rumah yang memohon pembiayaan di bawah dana ini,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut BNM, pelancaran dana itu akan dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah yang pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah membeli rumah pertama mereka yang berharga sehingga RM300,000.

“Langkah-langkah yang dijalankan untuk pembiayaan rumah yang layak daripada semua institusi kewangan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi peminjam yang berkelayakan.

“Langkah-langkah tersebut termasuk pengecualian duti setem, kadar yang berpatutan untuk jumlah perlindungan gadai janji dan pelepasan yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pembiayaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

BNM rendahkan CTR harian kepada RM25,000 bermula 1 Jan 2019

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan laporan transaksi tunai (CTR) harian kepada RM25,000 daripada RM50,000 pada masa ini, berkuat kuasa 1 Jan, 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah itu akan menjadikan CTR Malaysia setara dengan negara lain, memandangkan had semasa adalah terlalu tinggi dan tidak menepati saiz ekonomi negara, terutama apabila berkaitan dengan kuasa beli.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mencari pendekatan memperkukuh kawalan tersebut dalam mengurangkan jenayah kewangan, iaitu dengan keperluan CTR,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018 di sini, hari ini.

Menurut laman web BNM, CTR merujuk kepada transaksi tunai melebihi RM50,000 (atau sebarang jumlah lain yang dinyatakan) melibatkan mata wang fizikal (mata wang domestik atau asing) dan instrumen boleh runding pembawa seperti cek pengembara, tidak termasuk draf, cek, pindahan elektronik atau pembiayaan semula atau pembaharuan deposit tetap.

Ia juga termasuk transaksi melibatkan pengeluaran tunai daripada akaun atau tukaran instrumen boleh runding pembawa bagi tunai. Pada masa ini, hanya institusi perbankan dan kasino berlesen diwajibkan menyediakan CTR.

Nor Shamsiah berkata dengan CTR dikurangkan, bank pusat menjangkakan tiada sebarang kesan dari segi aktiviti ekonomi, malah meningkatkan keberkesanan dalam mengawal kegiatan ekonomi di luar sistem pengawalseliaan dan pencukaian yang masih bergantung kepada transaksi tunai.

Beliau menjelaskan CTR yang lebih rendah juga boleh memperkukuh kawalan untuk mengurangkan jenayah kewangan, kerana pengekalan transaksi tunai dalam kalangan awam serta perniagaan kecil dan sederhana masih tinggi, walaupun dengan kemunculan teknologi.

“Ini mendedahkan ekonomi ini kepada risiko, memandangkan tunai masih digunakan oleh penjenayah sebagai cara untuk melaburkan hasil haram,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, transaksi tunai juga merupakan kaedah pilihan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Justeru itu, CTR perlu dikemas kini, katanya.

Nor Shamsiah berkata, mata wang dalam edaran di Malaysia telah meningkat kira-kira 150 peratus sejak​​​​​​​sedekad lepas.

“Bagaimanapun, jika kita menilainya berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar, ia agak stabil, berada dalam julat antara 6.1 dan 6.9 peratus sejak lima tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, semasa sidang media, Pengerusi Penganjuran IFCTF 2018, V Maslamani berkata merendahkan CTR itu merupakan langkah baharu yang tepat pada waktunya memandangkan had RM50,000 adalah tinggi berbanding di Amerika Syarikat, yang melaksanakan CTR hanya pada US$10,000.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa langkah BNM tersebut akan meningkatkan kos tambahan bagi bank namun ia adalah minimum.

IFCTF 2018 selama dua hari mulai hari ini dianjurkan Institut Kewangan Asia dengan kerjasama Kumpulan Jaringan Pegawai Pematuhan, menampilkan lebih 40 penceramah dan pakar khusus berkongsi penyelesaian rentas sempadan dalam menangani jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

PKS digesa manfaat dana PKS BNM berbaki RM3.9 bilion

PUTRAJAYA, 25 SEPT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memanfaatkan dana PKS Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM3.9 bilion ketika ini.

Mengulas aduan disuarakan PKS mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman, katanya, mereka boleh berhubung terus dengan BNM yang sentiasa sedia untuk membantu sekiranya mengalami masalah seperti tiada cagaran dan sebagainya.

“BNM ada Penolong Gabenor yang khas menguruskan dana PKS ini…jadi tiada sebab mengapa susah untuk PKS mendapatkan pinjaman.

“PKS yang ada masalah dengan bank, boleh hubungi BNM untuk membuat aduan dan kita benar-benar hendak bantu PKS dan kita mahu dana ini dipinjamkan kepada PKS,” kata Lim pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM Abu Hassan Alshari Yahaya berkata daripada keseluruhan dana PKS yang berjumlah RM3.9 bilion itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk PKS dalam semua sektor ekonomi, Projek Usahawan Bumiputera Fund-i (RM191.4 juta), Sektor Pertanian Primer (RM97.9 juta) dan perusahaan mikro (RM6.9 juta).

“Kita akan sentiasa cuba permudahkan sebagai satu daripada usaha kita untuk memastikan mereka yang berdaya saing akan terus mendapat pinjaman,” katanya pada sidang media yang sama.

Abu Hassan berkata BNM akan cuba melihat isu-isu yang dihadapi oleh PKS secara terperinci seperti operasi perniagaan dan daya saing menjalankan perniagaan.

Dana PKS BNM yang merupakan dana pusingan mudah dan mampu dimiliki oleh PKS, diperkenalkan pada akhir 1990-an dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10.4 bilion.

Dana itu yang disediakan di semua bank perdagangan dan bank Islam, institusi kewangan pembangunan (IKP) dan juga Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyediakan bantuan kewangan sehingga RM5 juta dan PKS dikehendaki membayar balik dalam tempoh lima tahun.

Bagi PKS yang ingin mendapatkan pinjaman atau membuat aduan boleh menghubungi BNM di talian 03-26988044 (samb 7986) atau 03-26919335, telefon bimbit 019-2821015 atau emel ke [email protected].

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan dana dalam pasaran wang.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kadar rujukan Islam semalaman tidak berubah daripada paras minggu sebelumnya pada 3.19 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu tidak berubah masing-masing pada 3.26 peratus, 3.30 peratus dan 3.35 peratus.

Sementara itu, KLIBOR tiga bulan pendasar kekal berada pada 3.69 peratus.

Sepanjang minggu ini, operasi bank pusat menyerap lebihan mudah tunai setiap hari daripada sistem kewangan dengan menawarkan tender seperti pasaran wang konvensional, Qard dan repo.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional bagi minggu ini susut kepada RM23.16 bilion berbanding RM24.84 bilion pada minggu sebelumnya, manakala dalam bank Islam, ia meningkat kepada RM12.99 bilion daripada RM8.85 bilion.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

BNM semak semula KDNK 2018 kepada 5.0 peratus

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun penuh Malaysia bagi 2018 kepada 5.0 peratus daripada 5.5-6.0 peratus yang dijangkakan sebelum ini berikutan gangguan pengeluaran minyak dan gas yang berlanjutan serta kekangan pengeluaran sektor pertanian.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, bagaimanapun berkata, pertumbuhan itu akan disokong oleh sentimen perniagaan, pengguna serta perbelanjaan pengguna yang kukuh berikutan kelepasan cukai dari Jun hingga Ogos serta pengembangan kapasiti pengeluaran perkilangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku kedua 2018 di sini, hari ini.

Menurutnya, bersandarkan unjuran pertumbuhan 5.0 peratus itu, Nor Shamsiah percaya Malaysia akan terus menjadi antara ekonomi yang berkembang pesat di rantau ini.

Mengulas prospek pada 2019, Gabenor BNM itu berkata momentum pertumbuhan dijangka terus mampan, disokong oleh perkembangan perdagangan global yang kekal mantap, peningkatan pengeluaran komoditi serta persekitaran pasaran buruh yang lebih baik.

Selain itu, mengulas kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap inflasi negara, Nor Shamsiah berkata impaknya adalah lebih kecil berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya, ini berikutan 52 peratus daripada kumpulan Indeks Harga Pengguna adalah tertakluk kepada GST manakala SST sebaliknya hanya meliputi 28 peratus barangan tersebut.

“Ini bermakna impaknya terhadap inflasi tidaklah sehebat yang kita lihat di bawah pelaksanaan rejim GST.

“Bagaimanapun, ini masih bergantung kepada sikap peniaga dari segi strategi penetapan harga dan bagaimana mereka mungkin melepaskan kos itu kepada pengguna,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Bank Negara: Sudah tiba masanya rakyat peroleh gaji bersesuaian

KUALA LUMPUR 29 MAC: Dalam usaha Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya, rakyat memperoleh paras gaji yang bersesuaian, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata paras gaji dalam pasaran buruh adalah rendah dengan separuh daripada tenaga kerja menerima pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan, manakala purata gaji permulaan bagi pemegang diploma hanya kira-kira RM350 melebihi gaji minimum sebanyak RM1,200.

“Sejak 2014, pendapatan kumpulan isi rumah 40 peratus terendah (B40) naik sebanyak 5.8 peratus setiap tahun, bersamaan dengan RM156 sebulan.

“Bagaimanapun, perbelanjaan meningkat pada kadar yang lebih cepat sebanyak enam peratus, atau RM120 sebulan, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sedikit untuk berbelanja,” katanya dalam taklimat media mengenai Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017 di ibunegara semalam.

Muhammad berkata paras gaji di Kuala Lumpur (KL) pada 2016 dianggarkan sebanyak RM2,700 bagi golongan dewasa, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

“Ini hanya garis panduan yang digunakan oleh banyak negara maju untuk memberi idea mengenai paras gaji yang dianggap sesuai.

“Di Malaysia, kos sara hidup paling tinggi sebenarnya di sini, dan pada tahap tertentu, cadangan gaji minimum juga boleh diaplikasikan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Jika anda bujang menetap di Muar dan memperoleh RM2,700, anda akan hidup dengan selesa kerana kadar sewa dan kos sara hidupnya rendah,” katanya.

Katanya taraf hidup sedemikian melebihi keperluan asas, berikutan ia membabitkan penyertaan yang bermakna dalam masyarakat, perkembangan peribadi dan keluarga selain bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

Penetapan gaji juga perlu sepadan dengan produktiviti, dan boleh menjadi langkah ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi di Malaysia, katanya sambil menambah gaji boleh menjadi panduan kepada tahap pendapatan yang diperlukan untuk mencapai taraf hidup yang boleh diterima.

Muhammad berkata sebanyak 27 peratus daripada isi rumah di KL memperoleh pendapatan di bawah gaji minimum, dan mereka kebanyakannya lepasan sekolah menengah dengan kemahiran kerja yang rendah hingga sederhana.

Sebaliknya, mereka yang memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum kebanyakannya graduan dengan kemahiran yang tinggi, katanya.

 

Beliau berkata dapatan turut menekankan kepentingan untuk mewujudkan tenaga kerja yang dilengkapi dengan keupayaan untuk memperoleh kemahiran yang lebih tinggi dan pekerjaan dengan gaji yang tinggi, membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi.

“Terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan, kos sara hidup dan peningkatan pendapatan – dan ini sebabnya kerajaan melaksanakan pelbagai strategi untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi,” katanya.

Muhammad berkata BNM merancang untuk menubuhkan Biro Perangkaan Buruh Malaysia pada tahun depan, yang akan membolehkan kerajaan memantau mengenai peluang pekerjaan dan gaji bulanan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Kalau Bank Negara nak tanah, bagi sahaja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Bank Negara perlu membayar RM2 bilion untuk membeli tanah dari Kerajaan Persekutuan.

Ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 beliau berkata sepatutnya Kerajaan Persekutuan memberikan tanah yang diminta Bank Negara secara percuma tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Kalau Bank Negara nak tanah, bagi sahaja.

“Bank Negara beli tanah RM2 bilion. percayalah duit itu beransur-ansur hilang,” katanya.

Menurutnya, keadaan seperti itu kini dihadapi Malaysia sehingga di dianggap antara negara rasuah tertinggi dalam dunia.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menginginkan kemenangan pada PRU-14 atau terpaksa ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam ucapannya, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu turut menggesa rakyat supaya tidak takut untuk mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bank Negara: Aset rizab berjumlah AS$101.8 juta

KUALA LUMPUR 30 DIS: Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan aset rizab rasmi negara sehingga akhir November lalu berjumlah AS$101.8 juta, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BNM, aset mata wang asing lain dalam tempoh yang sama pula berjumlah AS$1.828 juta.

Menurutnya, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan, diunjurkan sebanyak AS$254.1 juta.

“Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek sebanyak AS$11,092.0 juta pada akhir bulan November 2017 dan ia mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah, dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak AS$2.486 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$179.0 juta,” katanya di sini.

Tambahnya lagi, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

Mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat mengenai saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang dianggarkan terlebih dulu dan di luar jangkaan, bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

Categories
EKONOMI

Bank Negara: Waspada pemberi pinjaman wang haram

KUALA LUMPUR 6 DIS: Bank Negara Malaysia (BNM) meminta orang ramai berwaspada terhadap individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang haram menggunakan lesen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh bank pusat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata pihak yang terbabit menyasarkan untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai mereka sebagai pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai membuat pembayaran awal untuk pelbagai tujuan berkaitan pinjaman seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

“BNM tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kegiatan penipuan ini dijalankan menerusi laman web, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain,” kata BNM.

Bank pusat menggesa mangsa penipuan kewangan seperti ini supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana pihak yang mendakwa diberikan lesen oleh BNM.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan mengikut undang-undang yang ditadbir oleh BNM, dengan melayari http://www.bnm.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi perniagaan atau pelaburan.

SUMBER: BERNAMA