Categories
AGENDA NASIONAL

‘Cuci duit’: SPRM panggil 13 pegawai kanan polis bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Seramai 13 pegawai kanan polis dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Sumber SPRM berkata dua daripada mereka adalah ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan di sebuah kontinjen polis negeri, masing-masing berpangkat ACP.

“Tiga lagi pegawai kanan ialah ketua polis daerah yang dua daripada mereka berpangkat ACP manakala seorang lagi berpangkat Superintenden.

“Selain itu, lapan lagi pegawai polis dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan,” katanya kepada Bernama semalam.

Semalam, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata pihaknya telah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota yang ditahan.

Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit disyaki menyalah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Pada 8 Oktober lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram terbabit.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Wang haram: 35 akaun dibeku, RM4 juta duit dan hartanah disita

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Sejumlah 35 akaun bank dibekukan selain wang tunai dan hartanah berjumlah RM4 juta disita dalam serbuan terhadap rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan (MSB) wang haram di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Bank Negara dalam satu kenyataan berkata, serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Ogos itu turut merampas dokumen, komputer dan telefon bimbit yang berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, 14 individu disoal siasat untuk membantu siasatan selain 22 pendatang tanpa izin, yang disyaki kakitangan dan pelanggan pengendali haram itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Serbuan itu dibuat bagi kesalahan disyaki menjalankan aktiviti MSB tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Mereka yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA, individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kenyataan itu menyebut orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pengendali MSB haram untuk menghantar wang.

Sesiapa yang terbabit tidak akan dilindungi daripada kerugian kewangan jika berlaku pertikaian.

Orang ramai harus menjalankan urus niaga mereka dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang disenaraikan di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my), kata kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

GFI sahkan aliran wang haram berkait rapat rasuah

Laporan GFI “Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 – 2011” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002 – 2011) mengesahkan bahawa ada kaitan rapat di antara rasuah dan jumlah aliran wang haram yang keluar dari sesebuah negara.

Ini adalah salah satu daripada kesimpulan paling utama yang dibuat di dalam laporan terkini yang dikeluarkan semalam.

Mukasurat (xi) laporan menyatakan bahawa “..The panel data regressions also show that an increase in corruption increases trade misinvoicing..” Kesimpulan ini dibuat berdasarkan analisa empirikal data-data kewangan dari semua negara yang terbabit termasuklah Malaysia.

Laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang sebelum ini mempersoalkan kaedah yang digunakan.

Selain menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan GFI kali ini juga menyanggah kenyataan Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang menyalahkan ketepatan statistik (berhubung errors and omission) bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.

Dengan jawapan-jawapan dan kaedah baru yang digunapakai oleh GFI, maka Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat oleh GFI.

rafizi-TI-01Jumlah aliran wang haram yang mencecah USD54 bilion dalam tahun 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak USD370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011 juga bertepatan dengan bukti-bukti semasa yang rakyat sedia maklum.

Contohnya, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat. Perlakuan rasuah dan penyelewengan (incidents of corruption) seperti yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara saban tahun tidak berkurang, malah jumlahnya makin bertambah setiap tahun.

Pertambahan perlakuan rasuah dan penyelewengan ini tepat juga dengan laporan GFI yang menunjukkan aliran wang haram meningkat saban tahun kerana aliran wang haram berhubung rapat dengan rasuah.

Laporan-laporan urusniaga di luar negara seperti London juga mengesahkan bahawa terdapat pelbagai urusniaga mewah melibatkan rakyat Malaysia yang mengesahkan bahawa terdapat aliran wang keluar negara yang besar sejak kebelakangan ini.

Jumlah aliran wang keluar dari Malaysia yang keempat tertinggi di dunia juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan 15 tahun berturut-turut.

Defisit belanjawan ini jelas menunjukkan perbelanjaan yang melonjak naik termasuklah perbelanjaan-perbelanjaan besar yang melibatkan bayaran ke seluruh dunia.

Maka, laporan GFI yang terbaru mengesahkan bahawa ada kaitan di antara jumlah aliran wang haram yang tinggi di Malaysia dengan pelbagai masalah kewangan yang dihadapi negara kerana semuanya banyak berpunca dari masalah yang sama iaitu rasuah.

Laporan tahunan GFI akan menjadi satu lagi laporan, seperti juga Laporan Ketua Audit Negara, yang mengesahkan berleluasanya rasuah di Malaysia. Kedegilan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menerimapakai kesimpulan-kesimpulan ini akan terus merencatkan kemajuan ekonomi negara dan menekan rakyat.

Dato’ Seri Najib Tun Razak sewajarnya melepaskan jawatan Menteri Kewangan kerana jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi ini adalah bukti kegagalan beliau sebagai Menteri Kewangan.

* RAFIZI RAMLI adalah Pengarah Strategi PKR

Categories
NASIONAL

PR Desak PM Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Pampasan ‘Wang Darah’

PC PR 1

PETALING JAYA, 8 JAN: Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes berhubung pampasan ‘Wang Darah’  berjumlah RM207 bilion daripada kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia.

Wang berkenaan diberikan sebagai pampasan kepada rakyat negara ini  yang terlibat di dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km daripada Siam ke Burma ketika perang dunia kedua 1942-1946.

Menurut Anwar, beliau sekali lagi menegaskan sekali lagi bahawa kewangan tersebut tidak diagihkan kepada Perbendaharaan Negara ketika beliau masih bertanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.

“Saya dah sebut bahawa ia tidak diagihkan melalui Perbendaharaan.

“Saya seru Perdana Menteri, Najib Abdul Razak supaya melakukan siasatan bebas ke atas isu ini kerana RM207 bilion ialah satu jumlah yang besar.

“Beliau tidak boleh terus berdiam diri,” katanya ketika diminta mengulas perkara berkenaan.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Selain itu, Anwar turut mendesak Najib supaya menyiasat isu pengeluaran wang haram yang dikeluarkan dari Malaysia seperti yang didedahkan sebelum ini  berdasarkan laporan Global Financial Integrity (GFI).

“Saya merujuk kepada laporan GFI tahun 2010, yang menyatakan RM190 bilion diseludup keluar dari negara ini.

“Hingga hari ini, PM dan Kementerian Kewangan terus berdiam diri. Jelas sekali mereka mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini mendedahkan kegagalan Najib menguruskan ekonomi negara dibuktikan melalui jumlah aliran keluar wang haram yang meningkat 111 peratus dari angka US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010.

Berbanding negara lain, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah aliran keluar wang haram meingkat satu kali ganda dalam tempoh 2009 hingga 2010.