Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah rasuah dibanteras, pelaku diadili segera

SHAH ALAM, 4 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah supaya pelaku rasuah dibanteras segera bersandarkan bukti kukuh dan pengadilan di mahkamah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan itu perlu diadili dengan pantas supaya menjadi taulan kepada masyarakat untuk menjauhi kegiatan terbabit.

“Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

“Oleh yang demikian, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah rasuah dan fitnah semakin berleluasa ketika ini juga adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat serta dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Titah baginda kedua-dua perbuatan itu menjadi punca perpecahan dalam situasi politik negara seterusnya mencemarkan reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu,” titah baginda lagi.

Justeru, baginda menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan menghentikan perbuatan tidak bermoral kerana boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.

Sebelum ini, Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkah kerajaan banteras rasuah mula berhasil – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kerajaan akan terus bekerja keras dengan mandat yang diberikan rakyat untuk mengubah negara ini menjadi sebuah negara berintegriti, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dalam kenyataan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa semalam, beliau menggariskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membasmi gejala rasuah di dalam negara.

Antara lain, beliau menyentuh langkah kerajaan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), pengisytiharaan aset oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN), dasar tiada penerimaan hadiah oleh kerajaan serta beberapa kes rasuah berprofil tinggi.

Kok berkata amalan rasuah hanya boleh dikurangkan secara berperingkat di mana kepimpinan teras sesebuah negara itu bersih dan bebas rasuah.

Mengulas langkah antirasuah, katanya, beberapa agensi kerajaan penting tidak lagi berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kini agensi berkenaan melaporkan kepada Parlimen.

Ini termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Jabatan Audit Negara.

Kok berkata pelbagai langkah diambil kerajaan dan usaha SPRM membasmi rasuah sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata Malaysia mula membersihkan nama daripada skandal rasuah di mata dunia dengan beberapa kes rasuah terhadap beberapa bekas pemimpin kanan negara.

“ Biar kita jangan lupa dengan berbilion ringgit yang hilang dalam projek utama dan skim pelaburan semasa negara diterajui oleh kerajaan terdahulu,” katanya merujuk kepada kerugian yang dialami oleh Felda dan Tabung Haji.

Memetik kes rasuah di bawah kementeriannya, Kok berkata Lembaga Getah Malaysia (MRB) dilanda masalah rasuah yang besar membabitkan pegawai kerajaan dan kroni sebuah parti politik.

Menurut Laporan Audit Negara, Kok berkata, kerajaan terdahulu telah memperdaya dan memaksa MRB menjual 2,800 ekar tanahnya di Sungai Buloh pada harga di bawah pasaran sebanyak RM1.5 bilion pada 2010.

Kok berkata usaha mencegah rasuah oleh kerajaan tidak terlepas pandangan.

Menurut Kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai persepsi rakyat mengenai kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah telah meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepadda 70.8 peratus tahun lalu, katanya.

Beliau berkata indeks seperti Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan telah meningkat kepada 60 peratus tahun ini berbanding 46 peratus pada 2018.

Beliau berkata, tahun lalu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International menunjukkan Malaysia kini berada pada kedudukan 61 daripada 180 buah negara

Menurutnya, dengan pelancaran Pelan Antirasuah Nasional tahun ini serta pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi, Malaysia kemungkinan akan memperbaiki ranking dalam CPI.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha mematikan rasuah dilakukan tanpa henti – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan usaha mematikan rasuah sedang dilakukan tanpa henti demi mewujudkan kesejahteraan dalam negara.

Beliau berkata rasuah bagai barah yang merosakkan tubuh badan mana-mana kerajaan, jika tidak dibendung atau disekat pembiakannya secepat mungkin.

“Usaha yang sangat gigih sedang dijalankan untuk membanteras rasuah yang pada masa lalu telah berakar umbi dalam berbagai-bagai lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Hikayat Raja Pasai di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya semua pihak boleh memanfaatkan pembelajaran sejarah menerusi naskhah klasik Hikayat Raja Pasai yang menekankan akhlak ‘sang penguasa’ sebagai penentu kesejahteraan bagi sesebuah kerajaan dan juga Islam yang sangat mementingkan akhlak pemimpin.

Dr Wan Azizah berkata apa yang didedahkan di dalam hikayat itu bagai ada keserasian dengan kerajaan Malaysia hari ini yang bersungguh-sungguh menegakkan prinsip ajaran Islam yang menekankan akhlak manusia dalam upaya bernegara.

“Dalam naratif Hikayat Raja Pasai, pengarang cuba menunjukkan bahawa akibat kezaliman dan keserakahan tingkah laku seorang rajanya, Pasai telah ditakluki oleh tentera Majapahit,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan Samudera-Pasai menjadi makmur kerana sifat kemajmukan masyarakatnya sebagai kota pelabuhan yang dikunjungi pelbagai bangsa yang berdagang.

Katanya, ciri kemajmukan itu juga sama seperti ciri Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, namun perlembagaan juga mensyaratkan supaya keharmonian pemeluk agama berlainan dijaga.

“Perlembagaan negara sama sekali menolak sikap melampau atau yang menampilkan extremisme daripada mana-mana golongan dalam hal ehwal beragama,” katanya.

Hikayat Raja Pasai merupakan salah satu karya ulung dan menjadi warisan turun temurun Melayu yang disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam.

Kajian awal mengenai naskhah ini telah dibuat oleh beberapa pihak seperti J.P Mead (1914), Dr A.H. Hill (1960), Teuku Ibrahim Alfiah (1973) dan Russel Jones (1987).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ada tidak suka kerajaan PAKATAN kerana giat banteras rasuah

IPOH, 5 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui terdapat kalangan rakyat termasuk penjawat awam mahu kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak diteruskan untuk penggal akan datang hanya kerana kelantangannya mengekang rasuah.

Malah, Dr Mahathir berkata, terdapat pihak yang menganggap kerajaan PAKATAN tidak sebaik pentadbiran terdahulu hanya kerana menolak amalan tidak bermoral tersebut.

“Ada yang berpendapat kerajaan sekarang tidak sebaik kerajaan lepas kerana kerajaan ini tidak benarkan terima rasuah.

“Ada yang anggap kerajaan hari ini tidak harus diteruskan tetapi kembali kepada kerajaan rasuah yang akan menguntungkan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta kira-kira 1,500 penjawat awam.

Menjelas lanjut, Dr Mahathir berkata, apabila pemimpin dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum mengamalkan rasuah, maka banyak pihak yang akan menjadi mangsa termasuk generasi akan datang.

Selain itu, segala perancangan kerajaan untuk memajukan dan membangunkan negara agar kembali menjadi ‘Asian Tiger’ tidak dapat direalisasikan, katanya.

“Kita sedar kerajaan lepas jatuh kerana rasuah, walaupun mereka berpendapat dengan rasuah akan dapat sokongan rakyat, tapi akhirnya rakyat jatuhkan meraka walaupun beli dengan macam-macam upah,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri juga berkata, kekayaan negara wajar dikongsikan dengan semua pihak dalam negara tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Kalau kita abaikan usaha untuk agihkan kekayaan dengan baik maka akan berlaku perasaan tidak senang antara satu sama lain lama kelamaan perasaan itu akan cetuskan huru hara dalam negara. Sebab itu dalam semua usaha mesti tentukan agihan, peluang dalam negara dan macam-macam hasil dirasai oleh kita semua,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, masih terdapat sebilangan kecil penjawat awam negeri yang masih terperangkap dengan sentimen terhadap ‘boss-boss’ lama daripada pentadbiran terdahulu.

“Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada ikatan persahabatan yang dibina di antara penjawat awam dengan anggota pentadbiran sebelum ini.

“Pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud mendesak supaya hubungan silaturrahim itu mesti diputuskan, kerana ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang suci ini. Ia juga bertentangan dengan prinsip politik matang yang diamalkan pentadbiran ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perlu ada batasan supaya keputusan dan tindakan tidak dipengaruhi oleh hubungan persahabatan lama.

“Jangan sekali-kali gadaikan sumpah janji taat setia kepada kerajaan dengan melengah-lengahkan arahan yang diberikan atau tidak melaksanakan arahan atau keputusan, disebabkan konflik sentimen terhadap pentadbiran terdahulu.

“Ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat. Hentikan bermain politik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA