Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Masjid di Sepang terima sumbangan RM135,000 sempena Ramadan

SEPANG, 27 APRIL: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM135,000 kepada 27 masjid di Sepang, semalam.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata daripada jumlah itu setiap masjid di daerah tersebut menerima RM5,000.

“Bantuan ini bagi menampung kekurangan dana rumah ibadat untuk melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan atau membaiki kerosakan kemudahan asas,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan Kepada Masjid disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid As-Syakirin di sini.

Mohd Zawawi berharap kariah sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang beribadat di masjid sama ada pada bulan puasa atau sebaliknya.

Sementara itu, Nazir Masjid As-Syakirin, Mohd Yusuff Omar berkata pihaknya berterima kasih di atas bantuan tersebut dan semoga diteruskan pada masa depan.

“Dengan sumbangan ini saya dan pihak pengurusan bercadang mahu mengecat dinding masjid. Selain itu, mengimarahkan rumah ibadat dengan pelbagai aktiviti,” katanya yang telah enam tahun menjadi nazir.

Hampir RM2 juta diperuntuk Kerajaan Selangor untuk diberikan kepada semua masjid di negeri ini sepanjang Ramadan bagi melaksanakan aktiviti.

Categories
PBT SELANGOR

MPS serah bantuan Ramadan kepada 135 ibu tunggal

SHAH ALAM, 26 APRIL: Seramai 135 ibu tunggal dari sembilan pangsapuri kos rendah di Selayang menerima sumbangan sempena Ramadan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata Program Ihya Ramadan peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mensasarkan mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Kesemua penerima yang dipilih dari 10 pangsapuri kos rendah di kawasan pentadbiran MPS menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan dan juga duit raya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

PBT berkata program berkenaan merupakan lanjutan daripada lawatan Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ke Pangsapuri Julia Bandar Baru Selayang sebelum ini.

Katanya, aktiviti itu mendapat kerjasama dari ahli majlis MPS dan tiga ahli majlis zon, selain Jabatan Perpaduan Dan Intergrasi Nasional Gombak dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Categories
AGENSI SELANGOR

21 cawangan LZS beroperasi sepanjang Ramadan

PUCHONG, 12 APRIL: Sebanyak 21 daripada 25 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) beroperasi sepanjang Ramadan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah dan harta.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf berkata 20 cawangan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang (hari biasa) manakala 9 pagi hingga 3 petang (hujung minggu dan cuti umum).

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid ditemui pada Program Bantuan Ramadan dan Aidilfitri di Dewan Serbaguna MPSJ, Puchong pada 12 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Abdul Basith Hamid menjelaskan cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam pula dibuka setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti umum dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

“Jika Ramadan tahun lalu negara dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tahun ini rutin LZS kembali seperti tahun sebelumnya dalam suasana norma baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai Majlis Keselamatan Negara.

“Justeru, bagi mereka yang ingin menunaikan zakat di cawangan berhampiran, jangan bimbang kerana kami sentiasa memastikan cawangan berkenaan disanitasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Ramadan dan Aidilfitri yang disempurnakan Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong hari ini.

Abdul Basith menambah pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat tanpa tunai di saluran EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

Difahamkan, empat cawangan lain iaitu di Sungai Buloh, Taman Keramat, Klang Sentral dan Cyberjaya tidak beroperasi sejak PKP tahun lalu.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA agih RM200,000 bantu golongan susah sepanjang Ramadan, Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntuk kira-kira RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pemangku Datuk Bandar berkata bantuan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, orang kelainan upaya dan warga emas.

“Kita juga rancang bantuan dipanjangkan kepada pelajar Univeristi Teknologi Mara bagi memastikan tiada yang terputus bekalan makanan,” kata Mohd Rashidi Ruslan dalam sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, dana diperoleh hasil kutipan caj beg plastik oleh pasar raya 99 Speedmart dan sumbangan pihak tertentu yang dikumpul sejak bulan lalu.

Bermula 8 Februari, pihak berkuasa tempatan itu melaksana program Bakul Prihatin bagi menyalurkan bantuan makanan dan nutrisi bayi kepada golongan kurang berkemampuan.

Program dengan kerjasama 99 Speedmart turut mengalu-alukan orang ramai membeli baucar pakej makanan asas atau nutrisi melalui 80 cawangan pasar raya terbabit di seluruh pentadbiran MBSA.