Categories
AGENDA SUKANKINI

Jurulatih Korea Selatan nasihat pemain Malaysia, pesan usah putus asa

SHAH ALAM, 20 FEB: Barisan pemain perseorangan wanita negara dinasihat usah berputus asa dalam usaha mereka untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa, menurut jurulatih perseorangan Korea Selatan Wong Tat Meng.

Jurulatih kelahiran Malaysia yang sudah berpangkalan di Korea Selatan sejak tiga tahun lepas mengakui mendengar kritikan daripada pihak luar yang mengatakan para pemain negara kurang bagus ketika beraksi di gelanggang.

“Saya sedar perseorangan wanita di Malaysia menghadapi tekanan, semua cakap tak bagus namun saya harap mereka jangan risau dan usah berputus asa…berlatih lebih keras, tetapkan satu sasaran dan berusaha untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pasukannya menewaskan Malaysia, 3-0, pada separuh akhir berpasukan wanita di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di sini, semalam.

Semalam, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann mengakui jurang kem perseorangan wanita negara masih lagi besar jika dibandingkan dengan kuasa besar dunia lain terutamanya dari segi mental dan fizikal.

Bagaimanapun, Choong Hann yakin anak buahnya boleh mempamerkan cabaran lebih sengit pada masa depan selepas barisan kejurulatihan sedang meningkatkan intensiti latihan kepada pemain ketika ini.

Tat Meng pada masa sama berkata agak sukar baginya untuk mengukur tahap keupayaan pemain Malaysia, yang rata-ratanya masih muda ketika ini, namun kesemuanya terserah kepada mereka untuk menggunakan potensi dimiliki bagi menjadi pemain hebat satu hari nanti.

Tat Meng, yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih di BAM pada 2003-2011 dan 2013-2016, merupakan individu yang bertanggungjawab mengasah bakat pemain perseorangan wanita Korea Selatan ketika ini antaranya An Seyoung, Sung Jihyun dan Kim Gaeun.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ketiga-tiga pemain itu berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia yang menyaksikan Seyoung di tangga keempat diikuti Jihyun (18) dan Gaeun (20).

Pemain perseorangan wanita utama kebangsaan, S. Kisona pula menghuni tangga ke-64 dunia manakala Soniia Cheah, yang bergerak secara profesional, berada di tangga ke-38 dunia.

Mengenai sasaran seterusnya bersama kem Korea Selatan, Tat Meng, yang melatih lapan pemain perseorangan wanita mereka buat masa ini mahu menumpukan usaha untuk menyasarkan empat pemainnya dapat menembusi kelompok 16 terbaik dunia selepas ini.

Beliau, yang pernah berkelana di Scotland pada 2016 juga mengakui cukup seronok menabur bakti di Korea Selatan memandangkan persatuan badminton negara itu mempunyai sasaran dan tugasan yang sangat jelas diberikan kepada jurulatih dan pemain.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk kembali ke Malaysia satu hari nanti, Tat Meng secara berseloroh hanya menjawab, ‘hati selalu di Malaysia namun kerja di sana (Korea Selatan)’.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton Asia: Siti Nurshuhaini paling menyerlah – Choong Hann

SHAH ALAM, 19 FEB: Pemain perseorangan wanita muda negara Siti Nurshuhaini Azman disifatkan sebagai pemain paling menyerlah dari kaca mata Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, di sini.

Choong Hann berkata beliau sangat mengagumi kesungguhan Siti Nurshuhaini yang juga pemain ranking 311 dunia, selepas menampilkan corak serangan serta bertahan yang baik sepanjang kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, sejak Selasa lepas.

Bagaimanapun katanya masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki pemain berusia 17 tahun itu terutamanya dari segi pendekatan taktikal serta kemahiran di dalam gelanggang untuk menjadi pemain yang baik.

“Saya rasa Siti Nurshuhaini mempunyai kekuatan dari segi bentuk badan, namun beliau perlu tingkatkan kemahiran supaya mempunyai pilihan taktikal atau ‘game plan’ ketika bermain di gelanggang.

“Kawalan gelanggang memang bagus, namun beliau perlu menambah baik dari segi mencari mata,” katanya ketika ditemui selepas Malaysia tewas 0-3 kepada Korea Selatan di peringkat separuh akhir BATC 2022, di sini.

Choong Hann pada masa sama percaya Siti Nurshuhaini boleh digilap untuk menyertai kelompok sekurang-kurangnya 40 pemain terbaik dunia tidak lama lagi sekiranya dapat meningkatkan daya pukulan serta kemahiran.

Mengulas mengenai persembahan Malaysia hari ini, Choong Hann mengakui pasukan negara tewas kepada skuad yang lebih kuat dan banyak lagi perlu diperbaiki anak buahnya dalam sesi latihan selepas ini.

Walaupun tewas 11-21, 21-15, 13-21 kepada Lee Se Yeon, Siti Nurshuhaini muncul satu-satunya pemain negara yang mengheret perlawanan ke set penentuan hari ini, selepas dua lagi wakil negara tewas ‘straight set’ kepada lawan masing-masing.

Pemain perseorangan utama negara, S. Kisona tewas 16-21, 17-21 kepada Sim Yujin dalam aksi pertama, manakala beregu ke-14 terbaik dunia Baek Ha Na-Seong Seung Yeon mudah menewaskan pasangan negara Valeree Siow-Pearly Tan 21-15, 21-14.

Nama Siti Nurshuhaini turut menjadi buah mulut dalam kalangan peminat badminton tanah air apabila kemenangannya pada perlawanan ketiga menentang Hina Akechi dari Jepun 21-16, 22-20 dalam aksi Kumpulan Y Selasa lepas, memberi inspirasi kepada Malaysia untuk bangkit daripada ketinggalan, seterusnya menang 3-2 ke atas juara bertahan itu.

Ditanya mengenai prestasi Kisona, Choong Hann berkata pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, menunjukkan peningkatan selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu selain dijangkiti Covid-19 tahun lepas.

“Kisona memang ada peningkatan dari segi pergerakan dalam gelanggang, namun perlu sedikit masa lagi untuk menjadi lebih kuat,” katanya.

Sementara itu Choong Hann mengakui jurang kem perseorangan wanita negara masih besar jika dibandingkan dengan kuasa besar dunia lain terutamanya dari segi mental dan fizikal, namun yakin mereka boleh mempamerkan cabaran lebih sengit pada masa depan apabila barisan kejurulatihan bertindak meningkatkan intensiti latihan kepada pemain ketika ini.

Walaupun tidak berupaya ke final BATC 2022, skuad wanita Malaysia masih boleh berbangga terhadap pencapaian mereka apabila menepati sasaran ke separuh akhir, seterusnya menyaksikan Malaysia secara automatik ke Piala Uber yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

Sementara itu jurulatih perseorangan Korea Selatan kelahiran Malaysia Wong Tat Meng berkata beliau berpuas hati dengan keazaman tinggi ditunjukkan barisan muda negara itu dalam kejohanan kali ini.

Justeru Tat Meng yang pernah menjadi jurulatih di BAM, berharap para pemainnya dapat melakukan yang terbaik menewaskan Indonesia pada aksi final esok dalam usaha muncul juara buat kali pertama di BATC selepas bergelar naib juara edisi 2020, yang merupakan pencapaian terbaik mereka setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Permaisuri Selangor berkenan tonton separuh akhir Badminton Asia

SHAH ALAM, 19 FEB: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat menyaksikan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Mohd Khairuddin Othman di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Baginda berkenan menonton perlawanan skuad lelaki negara yang menentang Korea Selatan sebagai penentuan ke peringkat akhir selepas menjuarai kumpulan B.

Perjuangan skuad wanita negara ke peringkat akhir BATC terhenti apabila tewas 3-0 pagi tadi, namun layak secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari lalu ditaja Kerajaan Selangor serta anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Invest Selangor.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Perlawanan disertai Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan juga disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan dan media sosial.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Siti Nurshuhaini akui kurang fokus, berdebar lawan Korea Selatan

SHAH ALAM, 19 FEB: Kurang fokus selain berdebar antara punca Siti Nurshuhaini Azman tewas di tangan Korea Selatan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Meskipun kecewa, namun pemain perseorangan berusia 18 tahun itu menjadikan kekalahan dalam perlawanan hari ini sebagai sumber kekuatan untuk melangkah lebih jauh.

“Agak kecewa juga kerana tidak dapat beraksi seperti menewaskan Jepun hari itu. Mungkin kerana saya terlalu berdebar dan tidak dapat ikut lenggok gaya bermain pihak lawan.

“Tetapi saya bangga dapat wakili Malaysia ke peringkat separuh akhir. Insya-Allah akan jadikan pengalaman hari ini sebagai sumber kekuatan pada masa depan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Setia City.

Pemain muda itu turut mengakui sedikit tertekan selepas dua perlawanan perseorangan dan beregu wanita negara tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi pagi tadi.

“Mungkin agak tertekan sehingga hilang fokus tetapi pengadil minta bertahan, saya cuba buat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Siti Nurshuhaini yang memberi saingan sengit tewas di tangan Lee Se Yeon 21-11, 15-21 dan 21-13 sekali gus menoktahkan perjuangan skuad negara ke peringkat akhir.

Categories
AGENDA SUKANKINI

BATC 2022: Korea Selatan ranapkan impian Malaysia ke peringkat akhir

SHAH ALAM, 19 FEB: Perjuangan skuad wanita negara ke peringkat akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 terhenti apabila tewas kepada Korea Selatan 3-0 sebentar tadi.

Perseorangan wanita S Kisona gagal menghadiahkan mata pertama apabila ditundukkan Sim Yujin 21-16, 21,17 dalam aksi selama 38 minit di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Pemain perseorangan wanita negara S Kisona ketika beraksi menentang Sim Yujin dari Korea Selatan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pasangan beregu Siow Valeree dan Tan Pearly juga gagal menyamakan kedudukan apabila tumpas kepada Baek Ha Na dan Seong Seung Yeon 21-15, 21-14.

Pemain perseorangan negara Siti Nurshuhaini Azman yang memberi saingan sengit juga tewas di tangan Lee Se Yeon 21-11, 15-21 dan 21-13 sekali gus menoktahkan perjuangan skuad negara.

Biarpun tewas pada peringkat kali ini, kem wanita negara yang muncul juara Kumpulan Y layak secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei.

Pasukan lelaki dijadual menentang Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir jam 4 petang ini.

Korea Selatan akan berdepan Indonesia pada aksi akhir esok menentang Indonesia selepas Jepun menarik diri untuk aksi separuh akhir hari ini.

Pemain beregu wanita Pearly Tan dan Valeree Siow beraksi menentang beregu dari Korea Selatan, Baek Ha Na dan Seong Seung Yeon pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton Asia: Skuad negara tidak pandang rendah lawan, azam baiki kelemahan

SHAH ALAM, 17 FEB: Pemain perseorangan negara Kok Jing Hong tidak memandang rendah pencabarnya meskipun menang mudah dalam aksi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 petang tadi.

Atlet berusia 20 tahun yang menewaskan pemain Kazakhstan Tajibullayev Makshut 21-8, 21-4 terus
berazam untuk memperbaiki kelemahan dan mencari kekuatan diri dalam perlawanan seterusnya.

“Terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia kerana beri peluang saya terlibat dalam perlawanan hari ini, saya cuba lontarkan kebolehan termasuk tidak memandang rendah pihak lawan.

“Masih banyak perlu belajar dan saya masih mencari kekurangan serta kekuatan diri sendiri. Harap dapat buat yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” kataya.

Sementara itu, gandingan beregu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun mengakui sorakan penyokong membakar semangat mereka untuk menentang pihak lawan.

“Kita tidak tahu apa kelemahan pihak lawan, apa yang ditonjolkan tadi adalah usaha kami bersama dan sokongan daripada penonton juga, terima kasih buat semua,” kata Wei Chong.

Skuad lelaki negara mengesahkan slot ke separuh akhir BATC 2022 secara automatik apabila membenam Kazakhstan 5-0 dan dijadual menentang Jepun dalam aksi terakhir kumpulan, jam 4 petang esok.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad lelaki mudah tewaskan Kazakhstan 5-0, tempah slot separuh akhir

SHAH ALAM, 17 FEB: Skuad lelaki negara mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 secara automatik apabila membenam Kazakhstan 5-0 sebentar tadi.

Saingan kedua peringkat kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City di sini menyaksikan Malaysia meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan Aidil Sholeh yang menewaskan Niyazov Artur 21-11, 21-12.

Perseorangan kedua Lim Chong Khim turut mempamerkan aksi cemerlang selepas mudah menundukkan Kulmatov Khaitmurat 21-11, 21-11 dalam perlawanan selama 29 minit.

Pemain perseorangan lelaki Lim Chong King ketika beraksi menentang pasukan Kazakhstan Kulmatov Khaitmurat pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto BERNAMA

Misi memburu mata ketiga diteruskan Kok Jing Hong yang dilihat ‘tidak berpeluh’ untuk menumbangkan Tajibullayev Makshut 21-8, 21-4.

Biarpun kemenangan pemain nombor 237 dunia itu cukup meletakkan Malaysia di depan, namun pemain beregu Man Wei Chong-Tee Kai Wun tetap bersemangat mencari mata keempat apabila mudah mengatasi Ibrayev Jangir-Lysenko Ilya 21-5, 21-5.

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin melengkapkan kemenangan skuad negara apabila menundukkan Shalagin Andrey-Tajibullayev Makshut 21-8, 21-4.

Malaysia dijadual menentang Jepun dalam aksi terakhir kumpulan jam 4 petang esok.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad wanita ke separuh akhir lepas benam India 3-2

SHAH ALAM, 16 FEB: Skuad wanita negara meneruskan saingan kedua peringkat kumpulan Y dengan cemerlang apabila membenam India 3-2 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai juara kumpulan dan layak ke separuh akhir.

Sebelum itu, mata pertama negara hadir menerusi pemain perseorangan S Kisona yang menewaskan Aakarshi Kashyap 21-16, 18-21 dan 21-16 dalam aksi selama satu jam 12 minit.

Gandingan sementara Pearly Tan-Valeree Siow menyumbang mata kedua negara apabila mudah mengenepikan Kushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6.

Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk memperoleh mata ketiga melalui perseorangan kedua Siti Nurshuhaini Azman gagal apabila tewas di tangan Ashmita Chaliha 11-21, 19-21.

Pemain beregu wanita negara Valeree Siow dan Pearly Tan beraksi ketika menentang pemain dari India Kushi Gupta dan Mehreen Riza pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 16 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sorakan penyokong di Pusat Konvensyen Setia City di sini membakar semangat beregu kedua Teoh Mei Xing-Anna Cheong untuk meraih mata ketiga apabila menumpaskan Arul Bala Radhakrishnan-Nilla Valluvan 21-10, 21-12.

Myisha Mohd Khairul yang turun selaku perseorangan ketiga pula tewas di tangan Tara Shah 16-21, 15-21.

Lawan pasukan negara pada aksi separuh akhir akan ditentukan pada undian yang akan dibuat sebaik tamat semua perlawanan peringkat kumpulan malam esok.

Perlawanan kelompok empat terbaik dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Skuad lelaki negara belasah Singapura 5-0

SHAH ALAM, 16 FEB: Skuad lelaki negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dengan bergaya apabila menumpaskan Singapura 5-0 pada aksi pertama peringkat kumpulan B sebentar tadi.

Seperti dijangka, Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama buat kem negara tidak berdepan masalah untuk menundukkan juara dunia Loh Kean Yew 21-6, 21-14 dalam perlawanan selama 30 minit.

Rentak cemerlang pasukan negara diteruskan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mengenepikan cabaran Danny Bawa Chrisnanta-Eng Keat Wesley Koh 21-14, 21-12.

Ng Tze Yong yang turun selaku pemain ketiga negara pula memastikan kemenangan awal Malaysia biarpun bergelut selama satu jam 18 minit sebelum menumbangkan Jia Heng Jason Teh 17-21, 24-22 dan 21-19.

Beregu lelaki negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) beraksi ketika menentang beregu dari Singapura Danny Bawa Chrisnanita dan Eng Keat Wesley Koh dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 16 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beregu kedua negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei meraih mata keempat selepas menundukkan gandingan Terry Hee-Andy Kwek 21-10, 21-13.

Perseorangan ketiga negara Leong Jun Hao menoktahkan kemenangan skuad negara apabila mengatasi Joel Koh Jia Wei 21-17, 22-20.

Malaysia dijadual membuat perhitungan dengan Kazakhstan dalam aksi kedua peringkat kumpulan pada jam 4 petang esok.

Jika menang, kem lelaki negara secara automatik layak ke separuh akhir sekali gus mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Layan pemain seperti anak sendiri, Lee Zii Jia bangga berguru semula dengan Indra

SHAH ALAM, 16 FEB: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia bangga diberi peluang berguru semula dengan Indra Wijaya selepas bergerak secara profesional.

Juara All England itu berkata pengendali skuad perseorangan wanita kebangsaan tersebut banyak membimbingnya sejak dari awal pembabitan dalam karier badminton.

“Sejujurnya saya gembira dapat bekerjasama lagi dengan beliau. Beliau salah seorang jurulatih yang menjadikan siapa diri saya sekarang (pemain badminton profesional).

“Beliau juga mesra dengan pemain, malah melayan saya seperti anak sendiri selain fokus terhadap kerja,” katanya ditemui selepas aksi perlawanan pertama kumpulan B menentang Singapura hari ini.

Dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, pemain nombor tujuh dunia itu mudah membenam juara dunia Loh Kean Yew 21-6, 21-14.

Kemenangan itu meletakkan kem badminton lelaki negara mendahului Singapura 1-0.

Hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh mengesahkan Indra, 48, sudah menghantar surat peletakan jawatannya minggu lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 seangkatan bekas juara dunia 1995 Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Beliau juga abang kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki Candra Wijaya.

Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Badminton Asia: Tonton pasukan negara berentap secara langsung

SHAH ALAM, 16 FEB: Orang ramai berpeluang menyaksikan kem negara berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 mulai 15 Februari secara langsung di dua platform.

Aksi pasukan lelaki boleh ditonton melalui pautan https://www.facebook.com/events/330192459054061/
manakala pasukan wanita di https://youtu.be/FfUpCuR-MU4 sehingga 20 Februari.

Perkara itu dikongsikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor melalui Twitter rasminya.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Badminton Asia bukti usaha keras Selangor anjur sukan berprestij

SUBANG JAYA, 15 FEB: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menjadi penanda aras dan bukti usaha keras Kerajaan Negeri dalam membangunkan program sukan negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sentiasa komited untuk menganjur dan menjayakan sukan berprestij malah yakin mendapat sambutan negara luar.

“BATC 2022 bukti berterusan Selangor mahu jadi yang terbaik. Kita jangka perlawanan sengit kerana empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan mendapat laluan automatik Piala Thomas dan Uber di Bangkok pada Mei,” katanya.

Bercakap pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan kepada penaja BATC 2022 malam tadi, beliau berkata penularan Covid-19 dan langkah pembendungan menyebabkan banyak negara tidak dapat beraksi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan Penaja Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2022 di Hotel Sunway & Resort, Subang Jaya pada 14 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin turut mengingatkan peserta, pegawai dan penonton supaya mematuhi peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak kebimbangan susulan penularan wabak ketika ini.

“Penganjur berusaha untuk pastikan semua yang terlibat berada dalam persekitaran selamat,” katanya.

Kejohanan selama enam hari mulai hari ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam ditaja Kerajaan Selangor serta anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Selain itu, Invest Selangor, KDEB Waste Management, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Perlawanan disertai Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan juga disiarkan secara langsung di Astro.