Categories
NASIONAL

Debu bauksit boleh sebabkan Alzheimer

SHAH ALAM 6 JAN: Pendedahan berpanjangan terhadap debu bauksit terutama pekerja di kawasan perlombongan dan penduduk yang berada di sepanjang laluan pengangkutan bauksit berisiko menghidap penyakit Alzheimer.

Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Azman Azid berkata, bauksit mengandungi aluminium hidroksida dan debu bahan itu yang terbebas ke udara apabila dihidu dalam tempoh yang lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekali gus ke sistem saraf.

Bauksit“Apabila otak kekurangan oksigen ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan risiko untuk menghidap penyakit Azheimer atau penyakit lupa,” katanya dipetik BERNAMA.

Menurutnya, hasil kajian dijalankan institut itu di beberapa lokasi terjejas dengan keadaan itu beberapa bulan lepas termasuk di Sekolah Tahfiz Bukit Goh, antara laluan utama kenderaan bauskit mendapati indeks pencemaran udaranya melebihi tahap berbahaya iaitu mencecah sehingga 468.

Azman menyifatkan pencemaran udara di kawasan yang terlibat dengan aktiviti itu sebagai serius dan menganggarkan zarah terampai bawah 10 mikron (PM10) berada di tahap lebih 200g/m3, melebihi piawaian yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia, iaitu 150 g/m3.

Azman bimbang sikap sesetengah penduduk dan pekerja yang tidak mengendahkan kesihatan mereka kerana tidak memakai topeng keselamatan apabila berada di kawasan tercemar dengan aktiviti itu kerana mereka berdepan masalah pernafasan, batuk, alahan radang paru-paru serta gatal-gatal pada bahagian mata selain masalah kepada hati.

“Manusia yang terdedah dengan tahap kualiti udara yang tidak sihat untuk tempoh lama juga boleh mengalami simptom kesukaran dan masalah pernafasan sebelum menjadi kronik apabila tidak dikawal.

“Selain pekerja perlombongan, mereka yang berisiko untuk menghidapinya termasuk juga golongan bayi, kanak-kanak, dan warga emas kerana keperluan udara yang tinggi untuk pernafasan dan lemah imuniti tubuh badan melawan penyakit tersebut,” katanya.

Menurut Azman, masalah pencemaran dapat dikurangkan sekiranya agensi penguatkuasaan berkaitan mengambil tindakan sewajarnya sejak aktiviti itu mula berlaku di daerah ini.

“Secara peribadi saya berpendapat agensi berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar sepatutnya sejak awal memantau keadaan ini terutama aspek pelaksanaan dalam kerja-kerja perlombongan.

“Debu yang terbebas di udara boleh dikurangkan sekiranya lori-lori bauksit ini menutup dengan rapi lori mereka semasa mengangkut bahan tersebut dan jalan-jalan yang dilalui pula disembur dengan air.

“Dalam masa yang sama, penampan perlu dibina sepanjang laluan itu untuk menapis air berkenaan sebelum memasuki anak-anak sungai,” katanya.

Katanya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga perlu memainkan peranan memastikan semua pekerja yang terlibat dalam industri itu memakai topeng keselamatan bagi mengelakkan kesihatan mereka daripada terjejas untuk jangka masa panjang.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN kecewa kenyataan Kuantan Port Consortium

OLEH : Lee Chean Chung

Biro Alam Sekitar KEADILAN merasa kecewa dengan dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port Consortium (KPC) Datuk Khasbullah A Kadir yang dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab syarikat tersebut dalam isu pencemaran laut dan sungai di sekitar Pelabuhan Kuantan akibat daripada aktiviti perlombongan bauksit.

KPC dalam kenyataannya cuba untuk melepaskan tanggungjawab dengan membuat dakwaan bahawa sungai yang mengalir ke laut di kawasan Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam tidak bersambung dengan Sungai Pengorak. Namun, ini tidak bermaksud pencemaran tidak berlaku di kawasan Pelabuhan Kuantan, malahan di Sungai Pengorak.

Gambar 1 Pencemaran Pelabuhan OktoberMaka, saya melampirkan bersama gambar yang diambil di Pelabuhan Kuantan dan mencabar pihak KPC memberi penjelasan tentang keadaan yang berlaku di dalam gambar ini. Adakah pihak KPC berpendapat bahawa keadaan pelabuhan yang digambarkan di bawah ini tidak mencemarkan air laut di sekitar Pelabuhan Kuantan?

Saya turut ingin mengingatkan pihak KPC bahawa pendedahan telah dibuat pada bulan Oktober dimana air cucian sekitar Pelabuhan Kuantan yang mengandungi bauksit dibiarkan mengalir ke dalam laut dengan begitu sahaja.
Bukan kali pertamanya pencemaran berlaku di pelabuhan dan adalah amat tidak bertanggungjawab bagi pihak KPC membuat rumusan bahawa pencemaran di Pantai Balok bukannya berpunca daripada pencemaran di sekitar pelabuhan.

Saya juga ingin menuntut penjelasan KPC tentang laporan kandungan merkuri setinggi 0.0224 di Sungai Pengorak yang dilaporkan sebelum ini. Seandainya perlombongan bauksit bukan puncanya pencemaran logam berat di sungai ini, apakah punca sebenar yang mengeluarkan sisa toksik ke dalam Sungai Pengorak?

12509833_511420342359631_4541587231362182849_nAdakah ini bermaksud terdapat industri lain atau aktiviti lain yang sedang mencemarkan laut dan sungai di sekitar Kuantan tanpa disedari kita? KPC wajib menjawab kemusykilan ini dengan segera.

KEADILAN menegaskan bahawa semua segala aktiviti perlombongan perlu dihentikan dengan kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Kami juga mendesak Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob yang kelihatan membisu dalam isu bauksit supaya menyelesaikan isu ini dengan segera. Rakyat Pahang malahan seluruh Malaysia masih menanti-nantikan jawapan daripada MB Pahang yang masih membisu sehingga sekarang ini.

* Lee Chean Chung adalah Ketua Biro Alam Sekitar KEADILAN, Ketua Penerangan AMK Pusat dan ADUN Semambu

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bauksit: Kampung jadi merah bagai Planet Marikh, ikan bunuh diri

OLEH: Syed Ibrahim Syed Noh

Isu operasi bauksit di Kuantan sudah melangkau dan melanggar hak kemanusiaan dan alam. Rakyat bukan sahaja menanggung risiko kesihatan sekarang tetapi pada masa hadapan.

Rakyat bukan lagi tuan yang sepatutnya ditunaikan hak dan amanah ke atasnya tetapi menjadi hamba kepada tuan yang tamak haloba dan seolah-olah lupa Tuhan.

Walaupun bahan bauksit boleh membawa manfaat untuk rakyat dan negara jika dikawal selia dengan baik tetapi akibat ketamakan, sikap tidak amanah dan tidak berpegang kepada prinsip mensejahtera dan memelihara rakyat, maka kesemua itu menjadi manis di bibir sahaja, malah lebih malang lagi membawa keburukan dan kerosakan kepada manusia dan alam.

BauksitLebih banyak bauksit dilombong, lebih banyak wang yang masuk dalam kantung hinggakan kelabu mata walau menjahanamkan seluruh sistem ekologi atau ekosistem dan nyawa manusia. Insiden laut dan sungai bertukar merah adalah buktinya.

Ini salah siapa? Adakah benar ini salah pelombong bauksit? Adakah benar ini salah pemandu lori?

Adakah benar ini salah penguatkuasa? Atau salah Konsortium Pelabuhan Kuantan? Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)? Pejabat Tanah dan Galian (PTG)? Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)? Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?Atau salah kerabat diraja Pahang? Atau sebenarnya salah MB dan Kerajaan Negeri Pahang? Atau salah Kerajaan Persekutuan?

Ada yang berani berkata ini salah semua! Yang merancang, yang memudahcara, yang melaksana, yang merestui, yang berdiam diri dan yang bersubahat.

Sebenarnya sebagai langkah paling bertanggungjawab dan amanah, wajib ada pihak yang tampil ke hadapan dan memberi pengakuan mengambil tanggungjawab lama dahulu, malah berani meletakkan jawatan sambil yang lebih penting mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum termasuk dalam ranking dunia sebagai antara tragedi terburuk dunia.

Matlamat tertinggi sesebuah kerajaan yang adil yang dipilih dan diberi amanah oleh rakyat ialah mensejahtera, memelihara, mentadbir sumber alam dan potensi yang ada agar kemakmuran, keadilan, kebebasan dan keamanan dapat dikecapi oleh rakyat merentasi sempadan bangsa, kaum, budaya dan agama.

Fungsinya meluaskan rahmat kepada rakyat yang merangkumi segala aspek objektif syariah (maqasid syariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah kemanusiaan.

BauksitSekiranya matlamat dan fungsi ini difahami, insiden operasi bauksit di Kuantan tidak akan berpanjangan, malah tidak boleh berlaku.

Bolehkah YAB Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negerinya dan Kerajaan Persekutuan diharapkan atau mereka akan terus berdiam diri dan menghukum rakyat?

Saya kagumi usaha Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Indera Mahkota, YB Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit (GERAM) yang berusaha di setiap peringkat untuk mengatasi masalah ini walaupun berdepan banyak halangan.

Saya percaya seluruh rakyat Kuantan dan persekitarannya menyokong usaha mereka dan tidak akan berdiam diri sehingga isu ini selesai.

Pelombongan bauksit ini perlu dihentikan segera selagi mana tiada usaha terancang dilakukan dengan mengambil kira kepentingan kemanusiaan dan alam sebagai kepentingan paling utama.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

 

Categories
NASIONAL

Bauksit: Tak cukup gantung tiga bulan

SHAH ALAM 5 JAN: Penggantungan selama tiga bulan ke atas perlombongan bauksit di Kuantan tidak mencukupi bagi melakukan semakan peraturan dan penguatkuasan undang-undang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata lebih banyak masa diperlukan bagi tujuan itu memandangkan kemusnahan alam sekitar yang teruk akibat kelemahan Kerajaan Pahang daripada segi kawalan dan pemantauan.

Bauksit1“Gantung (operasi) itu bukan gantung begitu saja. Paling penting kenapa banyak pelombong haram. Itu sebab kena tengok kenapa selama ini aspek penguatkuasaan gagal.

“Kalau gantung setakat nak bagi rakyat diam, tidak guna. Mesti segera disusuli pemuliharaan alam sekitar. Akibat banyak tanah dikorek sampai jadi botak, tindakan memulihara hal kritikal mesti dilakukan sekarang,” katanya dipetik Malaysia Dateline.

Mengakui kesal dengan situasi luar kawalan di pihak Menteri Besar Pahang dalam menangani isu berlarutan sehingga sudah memakan korban pada 21 Disember lalu.

Beliau menyifatkan Kerajaan Pahang seolah-olah hilang upaya untuk melaksanakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Bebas untuk semua dari A hingga Z, daripada melombong, mengorek, mengangkut sehinggalah mengurus ‘stockpile’ dan mengalih ke atas kapal untuk dieksport,” katanya.

Beliau berkata, Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) perlu turut bertanggungjawab kerana pengeksport menyewa untuk menggunakan kawasan sekitar pelabuhan itu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Masih berjalan, mana arahan henti perlombongan bauksit?

Oleh: Wong Chun Yuan

Berikutan Pengumuman Kabinet semalam yang mengarahkan supaya segala aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang dihentikan sementara[1], saya telah mengadakan lawatan ke tapak perlombongan bauksit di sekitar Jabor pada tengah hari tadi.

Lawatan saya pada jam 12:30 tengah hari tadi mendapati bahawa aktiviti perlombongan bauksit di kawasan Jabor bukan sahaja tidak dihentikan, malahan kelihatan lebih giat dan lebih aktif berbanding dengan keadaan sebelum pengumuman kabinet dibuat.

Lori dan treler kelihatan beratur di simpang masuk ke tapak perlombongan bauksit dan setiap lori yang keluar dari tapak perlombongan penuh dengan angkutan hasil lombong bauksit.

bauksitPengiraan saya di tapak menganggarkan bahawa sejumlah 100 buah lori dan treler yang mengangkut hasil lombong bauksit keluar dari tapak perlombongan bauksit dalam masa satu jam saya berada di situ.

Persoalan yang saya ingin bangkitkan adalah mengapakah pihak berkuasa tidak kelihatan menjalankan tugas sedangkan arahan berhenti lombong telah diberi oleh kabinet?

Adakah ini bermaksud perlombongan bauksit secara bermaharajalela ini boleh diteruskan sedangkan kabinet telah mengarahakan supaya perlombongan dihentikan sementara?

Saya mendesak Kerajaan Persekutuan supaya bertindak keras dalam isu bauksit dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengingkar arahan yang diberi ini.

Jangan menjadi semacam Kerajaan Negeri Pahang yang kelihatan tidak berkemampuan dalam menangani isu pencemaran bauksit ini.

Sudah setahun isu ini dibangkitkan tetapi Kerajaan Negeri masih kelihatan tidak berkemampuan dalam menyelesaikan isu ini.

Keadaan yang teruk sekarang di mana laut dan sungai dicemari serta air minuman harian warga Kuantan mengandungi merkuri dan logam yang melebihi piawai adalah disebabkan oleh sikap Kerajaan Negeri Pahang yang tidak serius serta tidak mengendahkan nasib dan kesihatan warga Kuantan!

Isu pencemaran bauksit sudah sampai ke satu tahap yang perlu penyelesaian segera dan tiada ruang untuk bertolak ansur.

Maka, Angkatan Muda KEADILAN Pahang mendesak supaya segala aktiviti perlombongan dihentikan SEGERA secara SEPENUHNYA. Buktikan bahawa
RAKYAT Didahulukan tetapi bukan KRONI Didahulukan.

* Wong Chun Yuan adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pahang patut henti segera perlombongan bauksit

SHAH ALAM 23 DIS: Kerajaan Pahang digesa mengambil tindakan segera dengan memberhentikan semua aktiviti perlombongan bauksit.

Adun Beserah, Andansura Rabu, berkata penduduk kini semakin berani bertindak sendiri dengan membakar lori bauksit kerana kecewa dengan tindakan Kerajaan Pahang yang gagal menangani masalah itu.

bauksitKatanya melihat trend kemarahan itu, Kerajaan Pahang perlu segera menangani masalah itu sebelum tercetusnya masalah lebih rumit.

“Kerajaan Pahang tidak boleh melengah-lengahkan lagi perkara itu dan saya bimbang kejadian sama terus berulang memandangkan ini kali keenam kejadian lori terbakar berlaku.

“Jadi dalam hal ini, Kerajaan Pahang atau pihak berkenaan perlu membuat sesuatu agar masyarakat tidak bertindak sendiri kerana ia boleh mengundang sesuatu lebih teruk lagi berlaku,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, kebangkitan masyarakat di Pahang dapat dilihat selepas kejadian maut membabitkan seorang guru akibat ditimba tayar lori bauksit yang tercabut dan terpelanting.

“Selepas tragedi itu, masyarakat mula melihat kegagalan pihak berkuasa menangani dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah itu.

“Alasan ini menyebabkan masyarakat nekad untuk mengambil tindakan sendiri dan ini mengundang pelbagai kejadian tidak diingini,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Memorandum bantah perlombongan bauksit di Kuantan

Oleh : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Gabungan Badan Bertindak Bauksit mengemukakan memorandum bantahan berkenaan projek perlombongan di Kuantan didakwa mendatangkan mudarat kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata Kerajaan Persekutuan dan Pahang perlu bertindak segera bagi menangani ancaman Arsenik hasil daripada perlombongan berkenaan.

“Kita membawa petisen warga Kuantan yang menanggung akibat daripada isu perlombongan ini di mana apa dikemukakan adalah menggantung lesen eksport sementara bauksit.

fuziahsalleh“Ia perlu dikawal selia dan dikaji kesan kepada kesihatan ekoran banyak kerosakan berlaku.

“Air sungai dikaji Jabatan Alam Sekitar Pahang juga meghasilkan keputusan pada tahap kelas lima yang boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan serius,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Bauksit berkata, tindakan Timbalan Speaker yang menyokong kerajaan dalam isu itu juga tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, bantahan warga Kuantan terhadap isu perlombongan itu adalah nyata dan harus dihentikan segera.

“Di mana suara rakyat boleh didengar kecuali di Parlimen.

“Kalau di luar negara apabila rakyat mengemukakan petisyen, ia diizinkan dan sepatutnya Parlimenperkara sama dibenarkan di sini tetapi berlaku sebaliknya,” katanya.

Pejabat Ahli Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, Pejabat Adun Beserah, Semambu, Tanjung Lumpur dan Teruntum hari ini mengemukakan momerandum bantahan diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pihak terbabit menuntut Ahli Parlimen menyokong dan bersetuju meminta kerajaan memberhentikan pengeluaran permit eksport bauksit.

Perlombongan itu dikatakan mencemari kualiti udara di persekitaran kediaman, premis awam, dan pusat perniagaan, mengotori jalan awam, saliran, sungai dan laut.

-AA-