Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 peminjam PTPTN tidak pernah buat bayaran balik

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Seramai 539,284 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September lepas, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan jumlah itu adalah daripada 2,424,009 peminjam yang telah menamatkan pengajian dan patut mula membayar balik pinjaman mereka yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

“Daripada jumlah itu seramai 1,884,725 orang peminjam telah membuat bayaran balik dengan 751,216 peminjam telah menyelesaikan pinjaman.

“Seramai 427,861 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual bayaran balik manakala 705,648 peminjam membuat bayaran balik namun secara tidak konsisten,” menurut kementerian itu.

KPT menjawab persoalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu bilangan peminjam yang masih berhutang dengan PTPTN dan jumlah kewangan yang terlibat.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 30 September lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran  lebih RM64.8 bilion.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam selesai tuntutan bayaran balik GST lebih RM4 bilion

PUTRAJAYA, 2 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelesaikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.006 bilion yang melibatkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan dalam tempoh antara 22 Jun dan 30 Nov lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata terdapat 82,517 tuntutan pembayaran balik GST tidak dapat diproses dan dibayar, melibatkan 48,225 syarikat dengan nilai tuntutan berjumlah RM1.316 bilion.

“Antara masalah utama yang dihadapi JKDM untuk memproses tuntutan ini ialah penuntut gagal memberi maklum balas dari segi mengemukakan dokumen yang dikehendaki dan maklumat bank yang tidak sah.

“Keadaan ini berlaku disebabkan penuntut tidak mengemas kini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan emel dalam sistem MyGST yang menyebabkan notis atau pemaklumat tidak sampai ke pengetahuan penuntut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Latif meminta syarikat yang masih belum menerima tuntutan bayaran balik GST mengemas kini maklumat pendaftaran dan maklumat bank dalam Taxpayer Access Point (TAP), MyGST.

Penuntut juga boleh menghubungi JKDM melalui emel ke Cawangan Kawalan Operasi dan Pulangbalik, Ibu Pejabat [email protected], katanya.

Pada 15 Jun lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun 2020 dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka selesai selewat-lewatnya pada Disember ini.

Ditanya sama ada terdapat syarikat yang dikesan membuat tuntutan palsu, Abdul Latif berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan serta audit terlebih dahulu sebelum mengklasifikasikan sesuatu tuntutan itu adalah palsu.

“Kita tidak boleh terus kata ada syarikat tertentu buat tuntutan GST palsu. Audit perlu dibuat dan jika ada asas, kita akan ambil tindakan kerana menipu kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia (MPPKSM) ke-94 selama dua hari diadakan secara dalam talian bermula hari ini bagi memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Tujuan utama mesyuarat ini diadakan ialah untuk membincangkan dasar-dasar jabatan selain membincangkan tahap pemantauan ke atas tindakan-tindakan terhadap sesuatu dasar yang diperkenalkan,” katanya.

-BERNAMA