Categories
AGENDA NASIONAL

Daging kerbau import dari India bebas virus Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus Covid-19.

Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik Covid-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

“Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

“Setelah tiada virus Covid-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB bebas Covid-19 tapi masih bertugas dari rumah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Dato’ Menteri Besar dan isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad disahkan negatif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan semalam.

Perkara itu dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya hari ini.

“Alhamdulillah saya dan isteri bebas Covid 19, namun untuk elak risiko saya masih menghadkan urusan dari rumah dan mesyuarat akan diadakan secara dalam talian.

“Program melibatkan hubungan ramai juga saya gantikan EXCO lain. Dalam empat hingga lima hari ini saya akan buat saringan lagi,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan akan bertugas dari rumah berkuat kuasa serta-merta sehingga 4 Oktober.

Amirudin dan isteri menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus pulang dari Sabah kerana terlibat dengan program parti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan semua individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan di pintu masuk antarabangsa bermula 27 September hingga 10 Oktober.

Saringan itu dibuat kerana terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 berikutan peningkatan wabak berkenaan di Sabah.

Dato’ Seri Amirudin Shari disahkan bebas Covid-19 seperti laporan ujian saringan pada 28 September yang dikongsikan menerusi Twitter pada 29 September 2020.
Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri bebas Covid-19, selesai kuarantin 14 hari

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif Covid-19 oleh pihak KKM dua minggu lepas.

“Berikutan kes-kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini (Khamis, 9 April 2020),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah, yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak Covid-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan atas kepentingan diri sendiri. Ini menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 positif dan pertambahan kawasan-kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 ini dengan terus berada di rumah. Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan jarakan sosial,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya para wira dan wirawati di barisan hadapan, atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Peratusan tinggi pesakit Covid-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa-mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda Berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan Allah S.W.T semoga Malaysia sentiasa di dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

– BERNAMA