Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diseru derma darah, bekalan dijangka turun musim cuti

SHAH ALAM, 17 DIS: Pusat Darah Negara (PDN) meminta orang ramai tampil menderma darah yang dijangka mengalami penurunan bekalan semasa cuti sekolah dan perayaan.

Menerusi kenyataan media, orang ramai diminta menderma darah di PDN dan tabung darah seluruh negara.

Orang ramai boleh melayari Facebook PDN dan tabung darah negeri untuk maklumat lanjut

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan darah di HRPZ II meruncing, mampu bertahan tiga hari sahaja

KOTA BHARU, 1 JUN: Bekalan darah untuk kegunaan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini semakin meruncing dan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata bekalan darah tidak stabil susulan situasi semasa sedangkan dalam masa sama keperluan darah terus meningkat.

Beliau berkata antara inisiatif untuk menangani masalah itu adalah dengan menggalakkan petugas hospital menderma darah selain rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, kita turut memanjangkan tempoh pengoperasian pusat transfusi darah HRPZ II hingga jam11 malam,” katanya kepada pemberita di hospital berkenaan hari ini.

Dr Selasawati berkata secara purata, penggunaan harian bekalan darah di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan adalah sekitar 100 sehingga 120 beg sehari manakala penggunaan di HRPZ II melibatkan 50 hingga 80 beg sehari.

Beliau berkata kutipan bekalan darah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Februari hingga Mei lepas kurang memuaskan memandangkan tiada pergerakan termasuk ketiadaan pelajar di universiti.

“Oleh itu, saya merayu rakyat Kelantan untuk datang ke hospital bagi menderma darah memandangkan pihak kami tidak boleh mengadakan program besar di luar ketika ini sekali gus menjadi kekangan untuk kami memperoleh bekalan darah.

“Bagi bekas pesakit Covid-19 yang bercadang untuk menderma darah, kita menyarankan mereka menderma darah selepas pulih sekurang-kurangnya selepas tempoh tiga bulan, namun saya berharap lebih ramai penderma yang bukan pesakit wabak itu untuk menderma,” katanya dengan menambah pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini diharap dapat mengurangkan permintaan terhadap bekalan darah.

Dr Selasawati turut berharap masyarakat kekal patuh terhadap sekatan pergerakan penuh supaya mengurangkan kemungkinan berlaku kecemasan, kemalangan ataupun trauma yang akan menyumbang kepada pembedahan yang memerlukan bekalan darah yang tinggi.

“Dengan adanya langkah itu, kita dapat memaksimumkan penggunaan bekalan darah kepada pesakit memerlukan ketika menjalani pembedahan kecemasan, ibu-ibu bersalin atau pelanggan tetap hospital termasuk pesakit talasemia dan sebagainya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan darah di Pusat Darah Negara bawah zon selamat

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) kini pada paras bawah zon selamat, khususnya bagi jumlah stok darah jenis A dan O yang rendah, kata Timbalan Pengarah 1 PDN Dr Tun Maizura Mohd Fathlullah.

Justeru, beliau merayu agar orang ramai khususnya penderma darah untuk tampil menderma darah mereka, bagi kegunaan golongan yang memerlukan selain mengelakkan bekalan darah turun ke paras kritikal.

Beliau menjelaskan sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, penderma darah dibenarkan hadir untuk menderma.

“Pemohonan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk PDN dan tabung darah menjalankan kempen derma darah serta membenarkan penderma hadir, telah diluluskan.

“Penderma perlu membawa buku derma darah atau salinan slip janji temu menderma sebagai bukti perjalanan di sekatan jalan raya (SJR), selain itu kami turut merayu agar polis (di SJR) memudahkan proses pergerakan penderma,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata sekiranya bekalan darah mencapai tahap kritikal, ia mampu bertahan untuk keperluan kurang lima hari, selain hanya mampu disalurkan bagi kegunaan kes-kes kecemasan sahaja.

Jelasnya, PDN memerlukan sekurang-kurangnya antara 500 hingga 600 bag kutipan darah sehari, untuk menampung kegunaan darah di hospital seperti kes pembedahan, kemalangan, ibu mengandung dan pesakit Talasemia.

Dr Tun Maizura berkata bekalan darah di pusat itu dan tabung darah di seluruh negara umumnya, menunjukkan trend penurunan sejak negara dilanda penularan Covid-19 dari tahun lepas, berikutan orang ramai khuatir dijangkiti wabak itu menerusi proses pendermaan darah selain banyak program derma darah secara bergerak, terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau berkata proses pendermaan darah ketika ini dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, bagi menjamin kesihatan penderma dan petugas daripada dijangkiti wabak itu.

“Penderma darah tidak perlu khuatir kerana proses menderma darah dilakukan penuh teliti dan mengamalkan norma baharu, seperti merekod suhu badan, malah kita turut membuat deklarasi saringan Covid-19 bagi setiap penderma yang hadir,” katanya.

Orang ramai dan penderma darah boleh menderma di PDN Jalan Tun Razak dan PDN Donation Suite, Midvalley Megamall di Kuala Lumpur, serta Suite Derma Darah Puspanitapuri, Putrajaya, selain lokasi kempen derma darah anjuran PDN dan tabung darah di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi PDN atau www.pdn.gov.my .

– BERNAMA