Categories
AGENDA NASIONAL

Dua remaja ambil program vaksin bergerak untuk belajar bersemuka

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dua remaja perempuan berusia 18 tahun memanfaatkan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bagi memudahkan sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman yang bakal menyambung pengajian di Kolej Komuniti Hulu Langat dalam jurusan pengoperasian perniagaan minggu depan berkata pihak pengurusan mewajibkan semua pelajar mengambil dua dos vaksin sebelum dibenarkan ke kampus.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman

“Walaupun pembelajaran bersemuka hanya dibenarkan bermula pertengahan bulan depan tetapi saya akan mendaftar sebagai pelajar baru pada 22 September ini dan mungkin akan belajar dalam talian dulu.

“Disebabkan itu, saya perlu ambil vaksin dan secara kebetulan ibu beritahu ada program pemberian vaksin percuma berhampiran rumah hari ini selepas dia melihat status seorang rakannya di Facebook.

“Ibu segera membawa saya ke sini tanpa janji temu (walk-in) untuk mengambil dos pertama,” katanya yang merupakan antara 300 penghuni Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 menerima pelalian menerusi Selvax bergerak hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik berkata sebelum ini dia pernah mendaftar melalui sistem MySejahtera, namun tidak menerima sebarang slot janji temu kerana berkemungkinan belum mencapai usia 18 tahun.

“Ketika itu, saya belum cukup 18 tahun, tetapi sekarang sudah. Sepanjang tempoh menunggu memang saya risau sangat sebab tarikh mendaftar belajar semakin hampir.

“Alhamdulillah, akhirnya hari ini saya berpeluang mendapat vaksin. Prosesnya sangat cepat dan yang penting tidak sabar menunggu dos kedua,” katanya.

Sofea Jasmin Puteri Hisham

Sementara itu, Sofea Jasmin Puteri Hisham yang akan memulakan semester kedua pengajian di Kolej Tingkatan Enam Seksyen 24 bulan depan bersyukur kerana diberi peluang menerima vaksin melalui program tersebut.

“Seronok bila sudah vaksin walaupun perlu tunggu tiga minggu lagi untuk dos kedua. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu menunggu lebih lama kerana panggilan daripada MySejahtera belum diterima sampai sekarang.

“Selepas ini nak belajar pun rasa selamat sebab saya sudah bosan belajar dalam talian. Saya seorang yang susah untuk fokus dalam kelas, tetapi belajar secara bersemuka lebih selesa,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sesi belajar bersemuka Kuis bermula 1 Mac

SHAH ALAM, 17 FEB: Kira-kira 500 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bakal memulakan sesi pembelajaran secara fizikal mulai 1 Mac ini.

Rektornya berkata kemasukan pelajar ke kolej dilaksana secara berperingkat merangkumi enam kategori seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Buat masa ini kita beri laluan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak yang akan masuk kolej pada 20 Februari ini. Mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang pihak Kuis sediakan.

“Selepas itu diikuti pelajar dari Semenanjung. Bagaimanapun pelajar yang tidak termasuk dalam enam kategori kekal menjalani pengajaran dan pembelajaran dalam talian,” kata Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri kepada SelangorKini.

Enam kategori pelajar merangkumi:

1. Pelajar program pengajian Sijil, Diploma, Ijazah, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan latihan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas

2. Pelajar yang tidak mempunyai akses internet

3. Pelajar Asasi atau setara serta Diploma sedia ada di kampus

4. Pelajar antarabangsa sedia ada kecuali dari United Kingdom

5. Pelajar berkeperluan khas (OKU)

6. Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (Muet)