Categories
PBT SELANGOR

MPSJ peruntuk RM29.8 kutipan sisa pepejal, RM23.6 juta pembersihan awam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak RM27.1 juta diperuntukkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk kutipan sisa pepejal menerusi Belanjawan Selangor 2019.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus, berbanding RM19.9 juta, pada 2018.

Katanya, bagi pembersihan awam pula sebanyak RM29.8 juta diperuntukkan berbanding RM23.6 juta dengan peningkatan 26 peratus.

“Peningkatan peruntukan bagi 2019 bukan disebabkan pengambilalihan oleh KDEB Waste, sebaliknya berdasarkan jumlah inventori semasa yang terdapat di kawasan, selain daripada sudut ‘economies of scale’.

“Ini bagi memastikan kontraktor yang bakal dilantik mampu melaksanakan kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan menyediakan segala keperluan seperti jentera serta tenaga buruh yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, kos pengutipan sampah bagi setiap unit rumah ditetapkan MPSJ adalah hampir sama dengan kadar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berstatus perbandaran lain, di Selangor.

Katanya, kos itu juga berbeza mengikut status dan kemapuan PBT.

“Anggaran harga KDEB Waste adalah berpandukan kadar harga untuk setiap premis digunapakai syarikat konsesi di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), di peringkat persekutuan.

“Malah, KDEB Waste akan menampung segala kekurangan kos operasi melalui mekanisme ‘cross subsidized’ daripada sedikit keuntungan diperoleh melalui perkhidmatan diberikan di PBT lain serta bantuan Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBI anjur taklimat Belanjawan’19 buat GLC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) menganjurkan sesi taklimat berhubung Rangkuman Belanjawan Negeri Selangor 2019 (Belanjawan’19) kepada semua wakil anak syarikatnya (GLC), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Taklimat yang menyentuh asas penemuan penyelidikan dan kertas kerja berdasarkan perspektif pembangunan ekonomi 2019 disampaikan Penasihat Ekonomi kepada Dato’ Menteri Besar, Dr Dzulkifli Zakaria.

Katanya, penekanan yang diterjemahkan dalam Belanjawan’19 menyentuh keseluruhan potensi, di bahagian Utara, Sentral dan Selatan Selangor.

“MBI perlu memberikan penekanan kepada ekonomi digital, pembuatan bernilai tinggi, hab aeroangkasa, hab halal, pengangkutan dan logistik bersepadu serta Rumah Mampu Milik.

“Penstrukturan GLC bersistematik perlu bagi membolehkan model kerjasama terbaik dapat diwujudkan bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu capaian komunikasi kepada rakyat, pembangunan industri pelancongan agro, di samping potensi penciptaan peluang pekerjaan kerana Selangor memperlihatkan kadar pengangguran kira-kira 98,000 daripada jumlah keseluruhan pengangguran negara berjumlah 585,000.

Selain itu, Selangor juga perlu memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan nilai eksport berbanding import.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shareen Raja Othman, dalam ucapannya sebelum itu turut mengingatkan GLC Selangor supaya memberikan perhatian sama terhadap Belanjawan Persekutuan yang turut menyentuh beberapa perkara berkaitan negeri.

Ia termasuk isu pembangunan kawasan bebas cukai di Pulau Indah dan aeroangkasa di Lapangan Terbang Subang.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: MBI yakin mampu laksana Rumah Mampu Milik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yakin mampu menyelesaikan projek rumah mampu milik seperti disasarkan dalam Belanjawan Selangor 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, MBI yakin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kawasan terbabit akan memberi kerjasama dalam memberi kebenaran merancang.

“Kesemua tanah ini adalah tanah milik MBI, maka sudah tiada masalah untuk MBI menjayakan projek perumahan mampu milik ini.

“MBI juga akan mendapatkan pemaju yang berkelayakkan untuk menjalankan kerja projek ini,” katanya kepada Media Selangor selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Projek terbabit membabitkan sebanyak 5,000 unit di Bangi Lama (1,100), Sungai Sering Hulu Klang (2,500) dan Paya Jaras (1,400).

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan MBI akan membina rumah mampu milik berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi.

Rumah berharga tidak melebihi RM250,000 itu juga dilengkapi dua parkir kereta, perabot seperti kabinet dapur, pemanas air dan penghawa dingin di setiap bilik.

“Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan sebanyak 30 ribu rumah dalam masa lima tahun demi memenuhi cita-cita ini,” kata Amirudin.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Sasaran kadar defisit 17% munasabah & berdaya saing

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan penyusutan Belanjawan 2019 hampir 17 peratus pada kadar sekitar RM200 juta berbanding 2018 bukan disebabkan halangan kewangan.

Katanya, belanjawan sebelum ini dibentangkan pada kadar defisit yang tinggi susulan langkah Kerajaan Negeri menampung perbelanjaan projek besar seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dan Semenyih.

“Ia bukan soal halangan. Dalam beberapa belanjawan sebelum ini kita telah menggunakan rizab (simpanan) agak banyak untuk projek-projek seperti Labohan Dagang 1 dan Semenyih. Ini dimulakan dengan kos sangat besar sekitar RM500 juta atau RM600 juta.

“Selepas projek-projek itu siap, projek pembangunan susulan yang saya umumkan juga tidak memerlukan dana sebegitu besar. Sebab itu kita dapat kurangkan defisit hingga sekitar RM300 juta berbanding RM800 juta pada tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, kadar 17 peratus disifatkan munasabah dan berdaya saing berbanding sebelum ini selain kejayaan sebelum ini yang berjaya mengurangkan defisit malah pernah merekodkan lebihan pada tahun 2015 walaupun mensasarkan defisit tinggi pada peringkat awal.

“Tahun ini kita anggarkan defisit RM800 juta tetapi saya anggap kita akan mampu mengurangkan RM500 juta hingga RM600 juta daripada sasaran awal. Kalau berjaya memenuhi semua tuntutan dan kutipan, kita mampu mengurangkan sehingga defisit RM400 juta,” katanya.

Katanya, pengurangan kutipan hasil bukan sahaja berlaku di Selangor malah turut berlaku di tempat lain tetapi Kerajaan Negeri akan terus mencari sumber baru bagi meningkatkan hasil.

Categories
SELANGOR

RM1 juta untuk I-Asuh, Guru Anak Istimewa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi membantu para ibu bapa mencari pengasuh yang sesuai dan terlatih bagi menjaga anak-anak mereka sementara mereka mencari rezeki untuk keluarga.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu membabitkan program ‘Work From Home’ (I-Asuh) dan Guru Anak Istimewa Selangor.

“Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes kematian bayi dan kanak-kanak yang menyayat hati melibatkan isu pengasuh.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu melibatkan pengasuhan kanak-kanak di rumah dizahirkan melalui pelaksanaan program-program pembangunan kanak-kanak iaitu Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) yang melibatkan pengasuh dan pengusaha taska di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, bagi program I-Asuh Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Negeri (JKM) Selangor untuk mendaftarkan para pengasuh di rumah ke dalam program ini supaya maklumat berkaitan pengasuh dapat dihimpunkan untuk dimanfaatkan oleh para ibu bapa berkerjaya.

Sementara itu, program Guru Anak Istimewa Selangor atau ‘Shadow Teachers’ pula dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran kanak-kanak berkepeluan khas.

“Penerimaan taska sedia ada terhadap golongan anak-anak berkeperluan khas pada masa kini adalah kurang dan sekali gus menjadi dilema kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak istimewa ke institusi yang menyediakan kemudahan dan pendidikan yang diperlukan oleh anak-anak mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM270,000 untuk menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Amirudin berkata, majlis itu akan menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor tentang perkara berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU dengan harapan agar golongan OKU dapat sepenuhnya turut serta dalam pembangunan negara dan masyarakat.

Categories
SELANGOR

RM16.6 juta untuk Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM16.6 juta bagi membiayai Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, biasiswa itu adalah Biasiswa Sagong Tasi, Biasiswa DYMM Sultan Selangor (Sekolah Alam Shah, Putrajaya) dan Biasiswa Menteri Besar.

“Pada tahun 2019, sejumlah RM16.6 juta peruntukan disediakan dengan cadangan pemurnian dasar dan penjajaran program Pendidikan di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor,” katanya.

Amirudin berkata, selain biasiswa peruntukan ini turut bagi membiayai Program Peduli Siswa Dalam Negara (IPTA/IPTS), Program Khas Kakitangan Awam, Program Khas Selangor Brain Bank (Pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga Phd) dan Program Khas Peduli Siswa Luar Negara.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Belanjawan’19: Selangor mahu terus jadi peneraju E-sukan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Selangor sebagai peneraju sukan elektronik (E-sukan) dengan mencadangkan peruntukkan sebanyak RM400,000 bagi tujuan pembangunan dan penganjuran pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor Cyber Games yang sudah dianjurkan sebanyak lima kali bermula pada tahun 2014 telah menjadi jenama yang disegani di kalangan penggiat E-sukan di negara ini.

“Bermula 2014, penyertaan sebanyak seramai 569 peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM 30,000.

“Kini dalam tahun kelima penganjurannya, Selangor Cyber Games 2018 telah berjaya menarik 1,100 orang peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM250,000,” katanya.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri turut menyasarkan peruntukan RM1 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan sukan E-sukan ke peringkat serantau.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Litar lumba bakal dibina di Sungai Tua

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan sebuah litar lumba di kawasan Sungai Tua, Gombak bagi merancakkan lagi bidang sukan permotoran di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tanah seluas 20 ekar akan diperuntukkan dan litar lumba ini akan dibina dengan kaedah ‘Public Private Partnership’ bagi menggalakkan pembangunan sukan permotoran serta penganjuran acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

“Pembinaan akan dibincangkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan yang besar diadakan di litar ini.

“Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya projek menaiktaraf kemudahan sukan di PBT juga diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.24 juta.

Menurutnya, kemudahan-kemudahan ini disediakan kepada atlet untuk membuat latihan di samping sebagai satu tempat penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

“Dalam usaha untuk memartabatkan dan mengekalkan kejuaraan dalam sukan, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah merangka Pelan Pembangunan Sukan Negeri Selangor berdasarkan konsep 2i yang berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh ke arah satu objektif iaitu ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’.

“Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2019 untuk membaikpulih Lampu Limpah Padang Sintetik Akademi Bola Sepak Merah Kuning,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: JPS bakal terima peruntukan RM89.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM89.2 juta disediakan kepada Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani isu banjir dan saliran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM47.56 juta bagi tujuan pembangunan projek tebatan banjir dan sebanyak sembilan projek fizikal telah disiapkan pada 2018.

“Antara projek yang dapat memberikan impak bagi mengurangkan kesan banjir kilat adalah Projek Tebatan Banjir di Sungai Semenyih di Kampung Batu 3 dan kerja-kerja berkaitan Mukim Semenyih Daerah Hulu Langat. Projek ini telah disiapkan pada 24 April 2018.

“Skop kerja bagi projek ini adalah pelebaran sungai, pembinaan ‘drop structure’ dan juga struktur pengukuhan tebing seperti counterwall, armour rock dan geobag. Kejadian banjir akan berlaku setiap musim monsun melanda.

“Namun setelah projek siap, sehingga kini tiada kejadian banjir berlaku di kampung yang terlibat,” katanya.

Selain itu, sejumlah RM22.59 juta pula disediakan bagi tujuan projek Menaiktaraf Sistem Saliran dan antara projek 2018 adalah di Kawasan Sungai Kandis, Daerah Klang.

“Projek ini juga telah memberikan impak positif dalam mengurangkan kejadian banjir kilat. Kawasan terlibat adalah kawasan perindustrian di Jalan Dato’ Sellatheivan dan banjir kilat sering terjadi jika hujan lebat berlaku.

“Projek ini telah siap pada 13 Januari 2018 melibatkan kos sebanyak RM13.523 juta. Skop utama projek ini adalah pembinaan struktur tebatan banjir menggunakan ‘post and panel system’, kerja mendalamkan sungai dan juga menggantikan jambatan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Empat PBT catat kecekapan lebih 90 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV : Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menunjukkan kecekapan lebih daripada 90 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu dicatatkan melalui 8,925 laporan yang telah diselesaikan sejak Februari 2017 hingga Julai 2018.

“Kerja penurapan jalan berlubang juga menunjukkan peningkatan kecekapan operasi pada kadar 80 peratus secara purata untuk kesemua PBT,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Tiga produk baharu diperkenal Yayasan Hijrah Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak tiga produk baharu akan dirancang Yayasan Hijrah Selangor tahun depan bagi memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tiga produk berkenaan itu membabitkan Pinjaman Bermusim, Program Inkubator dan Program Smart Partnership.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan dana pinjaman sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan program itu memerlukan dana tambahan dari Kerajaan Negeri.

“Semenjak penubuhannya, Yayasan Hijrah Selangor menerima sejumlah RM186 juta dana pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

“Oleh kerana sambutan cukup menggalakkan kepada program Hijrah, maka Yayasan Hijrah sedang merancang melaksanakan produk baharu di samping memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’ ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM31 juta digunakan untuk program ‘Zero to Hero’ yang berteraskan kepada konsep pemantauan ‘Mentor Mentee’ .

Katanya, sejumlah RM5 juta pula adalah peruntukan dana khas bagi melaksanakan program kepada golongan sasar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga ibu tunggal.

Amirudin berkata, pada suku ketiga tahun 2018, Hijrah Selangor menyalurkan modal pinjaman kepada seramai 54,609 usahawan dengan nilai pinjaman berjumlah RM405.47 juta.

“Daripada dana peruntukan RM185 juta, Hijrah berjaya menyalurkan gandaan pinjaman kepada RM405.47 juta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 80 peratus, Hijrah berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan menambahkan bilangan usahawan baru.

Katanya, rekod prestasi juga menunjukkan seramai 10,120 orang usahawan dengan nilai pinjaman RM 188.55 juta berjaya dijana melalui pembiayaan modal pusingan pinjaman kali kedua dan ketiga.

Categories
SELANGOR

BELANJAWAN’19: RM9 juta untuk SIBS 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Selangor International Business Summit (SIBS) pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM9 juta dalam usaha untuk mempromosikan dan mengukuhkan Negeri Selangor sebagai hab perdagangan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SIBS akan menjadi platform untuk memperkenalkan dan mengembangkan Gugusan-Gugusan Ekonomi Selangor yang dikenalpasti.

Katanya, tahun ini, SIBS berjaya menarik 25,981 orang pengunjung berbanding 16,694 pengunjung pada tahun 2017.

“Acara tahunan anjuran Invest Selangor ini berjaya mencatatkan transaksi bernilai RM 194.6 juta.

“SIBS merangkumi tiga segmen utama iaitu Selangor International Expo, Selangor-ASEAN Business Conference dan Selangor Smart City and Digital Economy Convention.

“Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hab perdagangan bagi rantau ASEAN,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pelaburan, Kerajaan Negeri melalui agensi penggalakkan pelaburan negeri, Invest Selangor akan meneruskan agenda dan perancangan bagi mempromosikan Negeri Selangor dengan lebih giat lagi dengan peruntukan berjumlah RM2.15 juta.

Katanya, program-program promosi dan misi pelaburan ke luar negara akan diteruskan dengan fokus kepada negara berpotensi untuk melabur di Negeri Selangor.

“Salah satu langkah adalah dengan menyertai pameran antarabangsa bagi tujuan ‘awareness and to position’ seperti Singapore Airshow, Farnborough International Airshow, Malaysia-China Entrepreneur Conference, MIHAS, Gulfood Dubai, Naning Expo dan SIAL Jakarta (Indonesia),” katanya.