Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: JPS bakal terima peruntukan RM89.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM89.2 juta disediakan kepada Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani isu banjir dan saliran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM47.56 juta bagi tujuan pembangunan projek tebatan banjir dan sebanyak sembilan projek fizikal telah disiapkan pada 2018.

“Antara projek yang dapat memberikan impak bagi mengurangkan kesan banjir kilat adalah Projek Tebatan Banjir di Sungai Semenyih di Kampung Batu 3 dan kerja-kerja berkaitan Mukim Semenyih Daerah Hulu Langat. Projek ini telah disiapkan pada 24 April 2018.

“Skop kerja bagi projek ini adalah pelebaran sungai, pembinaan ‘drop structure’ dan juga struktur pengukuhan tebing seperti counterwall, armour rock dan geobag. Kejadian banjir akan berlaku setiap musim monsun melanda.

“Namun setelah projek siap, sehingga kini tiada kejadian banjir berlaku di kampung yang terlibat,” katanya.

Selain itu, sejumlah RM22.59 juta pula disediakan bagi tujuan projek Menaiktaraf Sistem Saliran dan antara projek 2018 adalah di Kawasan Sungai Kandis, Daerah Klang.

“Projek ini juga telah memberikan impak positif dalam mengurangkan kejadian banjir kilat. Kawasan terlibat adalah kawasan perindustrian di Jalan Dato’ Sellatheivan dan banjir kilat sering terjadi jika hujan lebat berlaku.

“Projek ini telah siap pada 13 Januari 2018 melibatkan kos sebanyak RM13.523 juta. Skop utama projek ini adalah pembinaan struktur tebatan banjir menggunakan ‘post and panel system’, kerja mendalamkan sungai dan juga menggantikan jambatan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Pembangunan Rumah Selangorku capai sasaran awal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Pembinaan Rumah Selangorku telah mencapai sasaran awal sebanyak 15,000 seperti ditetapkan menjelang 2018 dengan kerjasama bersama pihak swasta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sehingga 31 Ogos 2018 sebanyak 28,639 unitdibina dengan 3,770 unit daripadanya telah diserah kunci.

Katanya, Kerajaan Negeri percaya bahawa permasalahan rumah mampu milik dapat diatasi dengan lebih banyak pembinaan Rumah Selangorku dibuat.

“Proses penawaran sudah dibuat terhadap 24,869 unit yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal 2025.

“60 peratus daripada baki 75,991 unit berada di peringkat Kebenaran Merancang manakala 40 peratus lagi di peringkat Pelan Bangunan.

“Pemantauan berkala dibuat bagi memastikan pemaju mematuhi dan mendahului pembinaan Rumah Selangorku terlaksana,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk membatalkan kelulusan yang telah diberi sekiranya pemaju tidak memberikan kerjasama walaupun rundingan dibuat selama 18 bulan selepas kelulusan diberi.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: B40 nikmati 25 meter padu Air Percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Golongan B40 berpeluang menikmati pemberian Program Air Percuma dari 20 meter padu sebulan kepada 25 meter padu sebulan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peningkatan pemberian itu akan dilaksanakan selepas Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula peruntukan program itu dan memberi fokus diberi kepada golongan sasar.

Katanya, golongan B40 itu ditakrifkan sebagai mereka yang didaftarkan atau berada dalam data E-Kasih.

“Pada tahun 2008, di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Kerajaan Negeri Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu.

“Program ini dicontohi oleh banyak kerajaan negeri lain kerana air telah terbukti program ini memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan sekarang diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Ini menunjukkan semua pihak menerima faedah hasil pemberian air percuma ini.

“Bagaimanapun, matlamat asal program air percuma ini adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin golongan B40 ini lebih berkeperluan dan lebih menghargai untuk bantuan air percuma ini.

“Mereka akan mendapat lebih manfaat dari pensejajaran semula air percuma nanti. Harapan kerajaan agar penjajaran ini bukan sahaja membantu mereka dalam kehidupan seharian tetapi membantu meringankan beban belanja bulanan dengan lebih berkesan,” katanya.

Amirudin berkata, selepas penjajaran dilakukan itu, sebanyak RM80 juta diperuntukkan dengan penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

“Penjimatan ini akan dapat dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM10 juta buat SSDU teruskan kecemerlangan Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan buat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) untuk meneruskan kecemerlangan Smart Selangor menjelang 2025.

Katanya, melalui peruntukan itu, perkhidmatan menerusi aplikasi mobile dijangka akan memudahkan rakyat .

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta digunakan untuk pengembangan sistem pembayaran parkir menerusi telefon bimbit Smart Selangor Parking (SSP).

“Kemudian sejumlah RM500 ribu pula untuk pembangunan sistem Smart CCTV bersama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memantau keselamatan awam menggunakan infrastruktur Bas Smart Selangor.

“Tidak ketinggalan, RM1 juta pula bagi projek Smart Selangor Bus Stop dan projek Smart Streetlamp di mana tiang-tiang lampu PBT akan dinaiktaraf,” katanya.

Amirudin berkata, kesemua pembangunan itu adalah asas penting yang harus dibangunkan untuk memastikan pertambahan produktiviti rakyat ke arah kehidupan yang lebih berkualiti.

“Iltizam Kerajaan Negeri untuk membangunkan Smart Selangor semenjak 2016 telahpun menunjukkan bibit-bibit kejayaan yang amat membanggakan dan wajar diteruskan sehingga 2025,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Empat PBT catat kecekapan lebih 90 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV : Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menunjukkan kecekapan lebih daripada 90 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu dicatatkan melalui 8,925 laporan yang telah diselesaikan sejak Februari 2017 hingga Julai 2018.

“Kerja penurapan jalan berlubang juga menunjukkan peningkatan kecekapan operasi pada kadar 80 peratus secara purata untuk kesemua PBT,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM610,000 ‘Road map’ khusus industri Bioteknologi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Bioteknologi adalah merupakan satu industri lain yang dikenal pasti dan diberikan tumpuan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin berkata, statistik terkini dikeluarkan Bio Economy Corporation menunjukkan terdapat sejumlah 94 syarikat berstatus Bio Nexus beroperasi di Negeri Selangor dan ianya menyumbang sejumlah RM1.19 bilion kepada ekonomi.

“Kerajaan Negeri mengenalpasti potensi industri ini di masa hadapan, sehubungan dengan itu juga pihak Central Spectrum Sdn Bhd telah diberi mandat untuk menyediakan tapak khusus bagi industri ini.

“Central Spectrum Sdn Bhd secara rasminya telah melancarkan Taman Bioteknologi pertama di Negeri Selangor iaitu – Bio Bay Selangor, yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

“Semestinya, ini akan menjadikan ekosistem bagi industri Bio Teknologi di negeri ini lebih lengkap dan ianya menjadi satu tarikan bagi pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri merancang memperuntukkan RM 610,000 di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri bagi perlaksanaan ‘Road Map’ bagi membuat kajian khusus dalam industri berkenaan.

“kelebihan sedia ada dan serta input diterima dari Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor 2018 adalah kebanyakan syarikat Bioteknologi Global melihat Status Halal sebagai satu nilai tambah yang mampu memberikan kelebihan buat mereka,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: High Bio-Convertion Grass kurangkan kos makanan ternakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri merancang untuk memulakan program penanaman rumput HBG (High Bio-Convertion Grass) bagi mengurangkan kos makanan ternakan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin berkata, HBP berkenaan merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai kadar protein yang tinggi.

“Kos makanan ternakan boleh mencecah sehingga 75 peratus daripada keseluruhan kos. Sekiranya program ini berjalan lancar kos makanan ternakan ruminan khususnya, boleh dikurangkan sehingga 30 peratus.

“Dengan penurunan kos makanan ternakan, diharapkan harga jualan daging ternakan dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyediakan peruntukan berjumlah RM6.458 juta akan melaksanakan projek penternakan biri-biri pedaging atau Program Agrotek (Ternakan) menggunakan baka Black Belly Barbadose yang mempunyai tahap ketahanan rintangan penyakit yang tinggi selain mudah membiak.

Katanya, konsep pelaksanaan projek itu adalah membabitkan masyarakat luar bandar yang berminat untuk membela kambing tersebut dan dalam masa yang sama mereka akan diberikan tunjuk ajar oleh mentor berkemahiran dan berpengalaman.

“Selain itu, program bagi meningkatkan pengeluaran daging atau sumber protein terus diperkasakan di mana bantuan berbentuk peralatan dan ternakan turut disediakan di bawah Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan, Pembangunan Komoditi Ternakan Unggas Dan Bukan Unggas serta Pembangunan Industri Asas Ternak,” katanya.

Untuk rekod ketika ini, negara kita mengimport lebih kurang 20,000 tan metrik daging kambing sejuk beku atau 1.5 juta ekor kambing pada setiap tahun.

Dari jumlah itu, 90 peratus adalah merupakan daging biri-biri manakala 10 peratus lagi merupakan daging kambing (feral goat) yang diimport dari Australia.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Tiga produk baharu diperkenal Yayasan Hijrah Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak tiga produk baharu akan dirancang Yayasan Hijrah Selangor tahun depan bagi memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tiga produk berkenaan itu membabitkan Pinjaman Bermusim, Program Inkubator dan Program Smart Partnership.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan dana pinjaman sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan program itu memerlukan dana tambahan dari Kerajaan Negeri.

“Semenjak penubuhannya, Yayasan Hijrah Selangor menerima sejumlah RM186 juta dana pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

“Oleh kerana sambutan cukup menggalakkan kepada program Hijrah, maka Yayasan Hijrah sedang merancang melaksanakan produk baharu di samping memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’ ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM31 juta digunakan untuk program ‘Zero to Hero’ yang berteraskan kepada konsep pemantauan ‘Mentor Mentee’ .

Katanya, sejumlah RM5 juta pula adalah peruntukan dana khas bagi melaksanakan program kepada golongan sasar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga ibu tunggal.

Amirudin berkata, pada suku ketiga tahun 2018, Hijrah Selangor menyalurkan modal pinjaman kepada seramai 54,609 usahawan dengan nilai pinjaman berjumlah RM405.47 juta.

“Daripada dana peruntukan RM185 juta, Hijrah berjaya menyalurkan gandaan pinjaman kepada RM405.47 juta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 80 peratus, Hijrah berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan menambahkan bilangan usahawan baru.

Katanya, rekod prestasi juga menunjukkan seramai 10,120 orang usahawan dengan nilai pinjaman RM 188.55 juta berjaya dijana melalui pembiayaan modal pusingan pinjaman kali kedua dan ketiga.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM6.35 juta berdaya usahawan kecil dan mikro

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM6.35 juta diperuntukan bagi memberdayakan usahawan kecil dan mikro supaya mereka berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pendekatan itu merupakan inisiatif baharu dan julung kali bakal dilaksanakan di peringkat negeri.

Katanya, bagi mengembangkan perniagaan usahawan secara drastik dari segi penambahan pendapatan perniagaan selain turut merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mencadangkan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi tujuan mengkomersialkan produk usahawan di bawah Program Usahawan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

“Ia akan dikomersialkan dengan kolaborasi bersama Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) dalam membangunkan platform perniagaan di atas talian (online) seperti Alibaba kepada usahawan negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkukuh serta menambahbaik pelaksanaan program keusahawanan di Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Pembungkusan Produk ‘Made In Selangor’ dengan peruntukan berjumlah RM550,000 setahun untuk 130 usahawan sedia ada yang mempunyai kapasiti pengeluaran produk secara berterusan.

“Mereka akan mendapat bantuan untuk meningkatkan kualiti reka bentuk pembungkusan produk. Ini kerana tanpa pembungkusan yang menarik dan berkualiti, sesuatu produk keusahawan tidak akan berjaya dipasarkan,” katanya.

Pada 2017, program itu membantu 19 usahawan meningkatkan hasil jualan mereka di mana seramai lapan usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 100 peratus manakala bakinya berjaya meningkatkan hasil jualan sekurang-kurangnya sehingga 50 peratus.

Categories
SELANGOR

BELANJAWAN’19: RM9 juta untuk SIBS 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Selangor International Business Summit (SIBS) pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM9 juta dalam usaha untuk mempromosikan dan mengukuhkan Negeri Selangor sebagai hab perdagangan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SIBS akan menjadi platform untuk memperkenalkan dan mengembangkan Gugusan-Gugusan Ekonomi Selangor yang dikenalpasti.

Katanya, tahun ini, SIBS berjaya menarik 25,981 orang pengunjung berbanding 16,694 pengunjung pada tahun 2017.

“Acara tahunan anjuran Invest Selangor ini berjaya mencatatkan transaksi bernilai RM 194.6 juta.

“SIBS merangkumi tiga segmen utama iaitu Selangor International Expo, Selangor-ASEAN Business Conference dan Selangor Smart City and Digital Economy Convention.

“Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hab perdagangan bagi rantau ASEAN,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pelaburan, Kerajaan Negeri melalui agensi penggalakkan pelaburan negeri, Invest Selangor akan meneruskan agenda dan perancangan bagi mempromosikan Negeri Selangor dengan lebih giat lagi dengan peruntukan berjumlah RM2.15 juta.

Katanya, program-program promosi dan misi pelaburan ke luar negara akan diteruskan dengan fokus kepada negara berpotensi untuk melabur di Negeri Selangor.

“Salah satu langkah adalah dengan menyertai pameran antarabangsa bagi tujuan ‘awareness and to position’ seperti Singapore Airshow, Farnborough International Airshow, Malaysia-China Entrepreneur Conference, MIHAS, Gulfood Dubai, Naning Expo dan SIAL Jakarta (Indonesia),” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor sasar jadi ‘Boston of Malaysia’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Tidak mustahil Selangor akan menjadi ‘Boston of Malaysia’ apabila Kerajaan Negeri akan memajukan gugusan pendidikan bagi kawasan Gombak, Sepang dan Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia berikutan wilayah tersebut mempunyai pusat pengajian dan puluhan ribu pelajar.

“Maka sejumlah RM87.64 juta atau 6.8 peratus akan diperuntukkan untuk memperkasa aspek pendidikan, ini kerana Kerajaan Negeri mahu kluster pendidikan akan menjadi suatu pelantar yang menumpukan pemberdayaan golongan belia, kelompok akademia dan warga penyelidik.

“Kerajaan berhasrat supaya kumpulan ini akan memperolehi akses kepada pembelajaran dan juga penyelidikan sejajar dengan kehendak industri dan jaminan pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, antara program yang bakal dilaksanakan adalah Ekspo Penyelidikan serta program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, program itu dijangka akan menghimpunkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang terkandung melalui Kluster Pendidikan tersebut.

“Dalam masa tiga tahun Kerajaan Negeri merancang untuk memastikan ekspo ini akan berkembang menjadi ekspo penyelidikan tersohor di Asia Tenggara.

“Ia juga dijangka akan mempunyai kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Institut Teknologi Bandung dari Indonesia, Nanyang Institute of Technology dari Singapura dan Mahidol University dari Thailand,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM5.15 juta galak aktiviti pelancongan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan untuk memperuntukkan sebanyak RM5.15 juta untuk merangsang aktiviti pelancongan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia khusus bagi memacu potensi pelancongan di gugusan yang berteraskan pelancongan termasuk Kuala Selangor, Taman Negeri, Pesisiran Pantai Morib dan Sungai Pelek.

Katanya, peruntukan tersebut dijangka bakal menarik minat para pelabur antaranya untuk membina hotel di kawasan berkenaan.

“Sebagai tanda kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memacu industri pelancongan Negeri, Program Latihan Hos Komuniti Selangor akan diteruskan kepada enam daerah berbanding tiga daerah sebelum ini.

“Latihan ini dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada hampir 300 penduduk tempatan menceburi bidang pemandu pelancong,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk memperuntukkan sejumlah sejumlah RM1.65 juta sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Melaluinya, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan awam bagi keselesaan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Oleh itu dicadangkan satu pesta atau pameran kraftangan bertaraf antarabangsa dianjurkan bagi mempromosikan hasil produk pengusaha kraftangan negeri.

“Produk pelancongan negeri dari Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan diberi perhatian dan keutamaan.

“Pembangunan ini merupakan suntikan utama bagi menjayakan penglibatan rakyat ke dalam ekonomi serta memangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.