Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan komited kukuhkan semula kedudukan kewangan awam

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan komited memperkukuh semula kedudukan kewangan awam dengan menambah baik rangka kerja fiskal terutamanya melalui pembaharuan institusi, semakan semula perbelanjaan awam dan pembaharuan dasar cukai.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, pembaharuan ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif dengan sokongan padu daripada semua pihak.

“Bagi tujuan ini, sesi libat urus secara berkesan dengan pihak berkepentingan merupakan faktor utama memastikan kejayaan pembaharuan fiskal,” kata MoF.

Pembaharuan fiskal yang dijalankan kerajaan perlu menyeluruh dan strategik dengan mengambil kira prestasi dan unjuran ekonomi domestik serta global.

“Langkah ini penting bagi memastikan kerajaan dapat memperkukuh kedudukan fiskal di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” menurut laporan itu.

Mengambil kira magnitud kesan negatif krisis global kepada negara yang mempunyai paras hutang tinggi maka sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal secara proaktif, kata laporan itu.

Pengalaman negara lain berkaitan pelaksanaan dasar dan pembaharuan fiskal menjadi rujukan penting kepada kerajaan dalam menerima pakai dan mengadaptasi amalan terbaik berkaitan inisiatif pembaharuan fiskal.

“Pembaharuan ini akan memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan seterusnya mewujudkan ruang fiskal untuk meningkatkan daya tahan ekonomi terutamanya semasa krisis,” kata laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah pembaharuan fiskal termasuk merasionalisasi subsidi, memperkemas agensi kerajaan dan meningkatkan ketelusan dalam perolehan kerajaan.

Katanya, langkah pembaharuan tersebut telah meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan antara lain melalui peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

“Rasionalisasi subsidi telah mengurangkan perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan sosial daripada RM39.7 bilion pada 2014 kepada RM22.3 bilion pada 2017.

“Namun demikian, subsidi hanya merupakan sebahagian kecil daripada instrumen dasar fiskal dan terdapat aspek lain dasar fiskal yang wajar disemak semula untuk tujuan pembaharuan fiskal,” kata laporan itu.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Maklumat terkini #Belanjawan2019 melalui whatsApp

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 NOV: Belanjawan 2019 akan mula dibentangkan di Parlimen hari ini, bermula jam 4 petang.

Justeru, Kementerian Kewangan Malaysia mahu memastikan setiap individu menerima maklumat terkini berkenaan bajet berkenaan yang bakal dibentangkan kerajaan baharu, Pakatan Harapan.

Paling menarik, kali ini, maklumat Belanjawan 2019 akan disalurkan melalui aplikasi whatsapp selain disiarkan melalui televisyen dan Facebook Live.

Untuk melanggan, anda hanya perlu menghantar “Hello MOF” ke nombor 011-1000 3001.

Ia adalah nombor rasmi Kementerian Kewangan Malaysia khusus untuk penggunaan whatsapp.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2019: Ambank jangka lebih banyak faedah untuk miskin bandar

KUALA LUMPUR, 31 OKT: AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) menjangka lebih banyak manfaat akan diterima golongan miskin bandar termasuk memperkenalkan bayaran bulanan menggunakan pengangkutan awam tanpa had dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

“Kami juga berharap kerajaan akan melihat isu perumahan untuk golongan kurang berkemampuan yang mampu menjadi pemangkin dalam membantu golongan miskin bandar membeli hartanah sendiri di bawah RM100,000, yang mereka sewa dari pihak ketiga,” kata Ketua Pegawai Operasi Ambank Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir dalam satu kenyataan hari ini.

Sulaiman berkata bank juga berharap belanjawan itu menyediakan lebih banyak pengecualian cukai untuk perbelanjaan pendidikan yang semakin meningkat dalam menghadapi situasi sosio-ekonomi dan meringankan beban orang ramai.

“Kami juga berharap untuk melihat lebih banyak pelaburan dan mengurangkan pemotongan dalam meningkatkan sektor pendidikan, selain fokus kepada kepentingan informasi teknologi dengan menggunakan solusi digital dan memperkenalkan sistem kod dalam kurikulum, sebagai contoh.

“Kami optimis Belanjawan 2019 akan berlandaskan dasar yang baik dan inisiatif rasional dan rangka kerja ini menjadi teras untuk ekonomi Malaysia berkembang dan kukuh dalam bersaing secara dinamik dan global,” tambahnya

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Selesai isu kekangan ekonomi dalam Belanjawan 2019

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengambil kira penyelesaian kekangan ekonomi dalam pengumuman Belanjawan Malaysia 2019.

Katanya, perkara itu tidak boleh dibiar berterusan kerana membabitkan derita kumpulan berpendapatan kecil walaupun ia berpunca daripada kerajaan dahulu.

“Saya gesa kerajaan mengambil kira perkara itu supaya gagasan reformasi tidak disalah anggap dan memberikan kegelisahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-11, di Dewan Rakyat.

Katanya, pembabitan rakyat juga penting bagi memastikan tatakelola kerajaan yang baik dan tidak melakukan percaturan elit politik bersama saudagar pilihan.

Pada masa sama, Anwar turut menekankan soal keprihatinan dan peduli terhadap keperluan rakyat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Belanjawan pertama PAKATAN pastikan kemakmuran rakyat

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Belanjawan pertama Pakatan Harapan yang akan dibentang pada Jumaat ini akan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dan memastikan kemakmuran rakyat dan generasi akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sekarang sedang dalam penyusunan semula, ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk menyediakan keupayaan kita untuk menyerap kejutan global atau sebarang pergolakan kewangan di hadapan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan tahunan Persekutuan Analisis Teknikal Antarabangsa 2018 di sini hari ini.

Perdana menteri memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu menyerap kejutan global dan menembusi cabaran global dan ketidakpastian melalui dasar-dasar yang akan sentiasa menjadi mesra perniagaan dan responsif terhadap idea dan cadangan baharu.

Beliau menegaskan bahawa, kerajaan tetap yakin bahawa dasar-dasar baru akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, keseimbangan antara perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan yang kuat.

“Saya juga ingin memberi jaminan kepada para pelabur bahawa sebarang perubahan dasar tidak akan memudaratkan perniagaan dan usaha mereka,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Menyentuh mengenai pasaran modal di Malaysia, Dr Mahathir berkata negara juga telah mengalami pelbagai perubahan daripada penyatuan kepada peraturan dan penyesuaian teknologi baharu dan teknologi yang dinaik taraf serta pengenalan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur runcit dan institusi.

Beliau percaya, kecairan yang lebih besar akan memastikan pasaran modal yang berkembang maju membawa lebih banyak peniaga, pemaju sistem, ahli strategi pasaran dan lebih banyak pemain.

“Pemain institusi yang tidak mengambil risiko, memerlukan saham modal yang lebih kecil dan meningkatkan idea penyertaan mereka secara langsung atau tidak langsung. Pelabur runcit dan peniaga pula perlu mengasah kemahiran mereka,” katanya.

Menurut beliau, sementara pelaburan jangka panjang adalah kritikal, perdagangan jangka pendek akan mendorong penyertaan lebih jauh dalam pasaran dengan itu meningkatkan kecairan keseluruhan dalam pasaran saham.

Dr Mahathir mengetengahkan bahawa kemahiran perdagangan bukan sahaja penting kepada kewangan profesional tetapi ia juga sangat relevan kepada keseluruhan orang awam yang melabur.

“Sekiranya lebih ramai orang mula berdagang dan memahami konsep asas, mangsa skim cepat kaya akan berkurangan dan bertambahnya jumlah individu yang celik kewangan akan membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan negara celik kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan semua idea ini, adalah penting untuk kekal relevan dari segi infrastruktur dan pengetahuan agar dapat berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tumpu perbelanjaan mengurus pada Belanjawan 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal memberi tumpuan khusus kepada perbelanjaan mengurus, pada Belanjawan 2019.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia membabitkan perbelanjaan RM339.38 juta, manakala pembangunan RM119.14 juta.

Katanya, menerusi belanjawan itu, anggaran perbelanjaan mengurus menurun RM19.04 juta, iaitu 5.3 peratus berbanding 2018.

“Perbelanjaan mengurus ini antaranya ialah menyelenggara jalan dan longkang terutama di kawasan perumahan dan kawasan bandar untuk keselesaan masyarakat yang bermastautin di bawah MBSA.

“MBSA akan turut memberi perhatian kepada pengurusan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai usaha mengekalkan Shah Alam sebagai bandar raya bersih dan indah,” katanya pada sesi pembentangan belanjawan, pada 2 Oktober lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zaharin berkata, melalui perbelanjaan pembangunan, MBSA mengambil langkah meningkatkan projek naik taraf bangunan dan infrastuktur, di sekitar bandar raya itu.

“Antara projek itu ialah pembinaan trek basikal sepanjang 15 kilometer (km) sebagai usaha menggalakkan masyarakat menjadikan basikal sebagai pengangkutan utama, di Shah Alam.

“Sebelum ini, kita membina trek basikal sepanjang 12.5 km yang siap, pada awal tahun ini dan MBSA mengambil inisiatif memperluaskan lagi trek berbasikal itu yang bertujuan menjadikan bandar Shah Alam rendah karbon menjelang 2030,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2019: MB tinjau apa belia mahu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi peluang kepada golongan muda bagi menyuarakan hasrat berkenaan Belanjawan Selangor, kali ini.

Peluang itu diberikan melalui kaji selidik ringkas dijalankan Amirudin melalui twitter peribadinya, bermula Sabtu lalu.

Katanya, ia bagi melihat keutamaan pilihan anak muda Selangor melalui Belanjawan Negeri 2019 yang bakal dibentangkan, pada November ini.

“Antara isu perumahan mampu milik, perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan dan perkhidmatan pengangkutan, apakah keutamaan anda sebagai anak muda dalam Belanjawan Selangor 2019?.

“Undi dan retweet supaya dapat dikongsi bersama yang lain,” tulisnya.

Tinjauan SelangorKini mendapati sehingga hari ini, peratusan undian tertinggi adalah bagi perumahan mampu milik iaitu 46 peratus, sementara peluang pekerjaan sebanyak 43 peratus, perkhidmatan pengangkutan 7 peratus dan perkhidmatan kesihatan, 4 peratus.

Salah seorang pengguna twitter, Nazmi Yaakun berkata, Kerajaan Selangor juga perlu mengutamakan peluang pendidikan sepanjang hayat.

“Ia tidak kiralah sama ada formal mahupun tidak melalui program pembudayaan keilmuan dan perbukuan di Selangor.

“Kerajaan Negeri perlu beri perhatian terutama membantu penganjur yang menghidupkan budaya ilmu,” tulisnya.

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2019: Kerajaan Persekutuan dijangka sedia insentif pikat pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 SEPT: Usaha menarik pelabur baru domestik dan asing dijangka bakal menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam belanjawan 2019 nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, ini kerana ekonomi negara dapat dipertingkatkan dengan peningkatan kemasukan pelabur dalam dan luar negara.

“Belanjawan kali ini akan beri tumpuan kepada usaha menggalakkan pelaburan domestik dan asing dengan menyediakan insentif pelaburan yang lebih menarik.

“Memberi insentif pelaburan yang menarik kepada pelabur adalah penting dan kritikal bagi menentukan ekonomi kita terus berkembang pada kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat melebihi enam hingga tujuh peratus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, kerajaan juga disaran meningkatkan sumber pendapatan negara dengan tidak membabitkan pengenalan cukai baru.

Katanya, antara langkah yang boleh diberi perhatian adalah dengan meningkatkan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, selain menumpukan usaha meningkatkan keuntungan syarikat GLC yang telah dikenal pasti berpotensi, kerajaan juga perlu mengambil langkah berani dengan menjual GLC yang sudah tidak mampu memberi keuntungan kepada kerajaan.

“Kerajaan berusaha meningkatkan hasil dengan ketiadaan GST di mana kerajaan telah gantikan dengan SST tetapi SST tidak mencukupi untuk menjana pendapatan yang cukup untuk kita sasarkan belanjawan berimbang.

“Kita kena lihat dalam segi belanjawan kerajaan, kena cari ruang mana belanja yang kita boleh potong kita kurangkan, mana kementerian dan jabatan yang kita boleh jimatkan perbelanjaan pengurusan tanpa melibatkan kebajikan kakitangan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sasar 30,000 unit rumah SelangorKu bakal dibina

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang akan membina lagi sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perkara itu diumumkan Dato Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapannya pada Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bertempat di Holiday Inn Glenmarie, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, cadangan itu dibuat selepas pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sealiran dengan Kerajaan Negeri serta kolaborasi pintar antara agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju industri perumahan.

“Dasar Rumah SelangorKu mula diperkenalkan pada 1 Januari 2014 dan ia sudah mencapai sasaran ditetapkan dalam mencapai objektif memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik lebih berkualiti serta selesa pada harga mampu milik antara RM42,000 hingga RM250,000 seunit.

“Kini, usaha dimainkan Kerajaan Negeri mendapat sambutan menggalakkan dan kita komited meneruskan usaha ini demi memberdaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Sehubungan itu, mengulas mengenai aspek pengurangan kos pembinaan pula, Amirudin berkata, penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan konsep pembinaan pasang siap perlu diperhebatkan lagi untuk pembinaan rumah mampu milik.

“Menerusi kaedah ini, kos pembinaan dijangka mampu menjimatkan sehingga 25 peratus berbanding kaedah konvensional.

“Namun, Kerajaan Negeri menyedari kaedah ini hanya ekonomik daripada aspek kos sekiranya mempunyai kuantiti besar untuk sesuatu projek. Oleh itu, suatu dasar khusus di peringkat negeri perlu dirangka bagi menterjemahkan hasrat tersebut,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB mahu ADN turun padang dengar syor rakyat rangka Belanjawan 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Menjelang pembentangan Belanjawan 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu semua Ahli Dewan Negeri (ADN) turun padang bagi mendengar syor atau teguran daripada rakyat.

Katanya, hal itu bagi membolehkan Kerajaan Negeri merangka belanjawan yang komprehensif tanpa menyisihkan mana-mana golongan.

“Pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu, kita memenangi undi yang besar. Saya mahu ingatkan kepada ADUN, selepas ini menjadi tanggungjawab kita untuk membawa Selangor jauh lebih maju dan lebih banyak nikmat dikongsi.

“Oleh itu, mulai Ogos ini, saya mahu semua turun ke bawah dan pelusuk kawasan masing-masing bagi mendengar pandangan rakyat, apakah cadangan atau syor untuk kita rangka dalam belanjawan.

“Ini kerana cadangan atau teguran ini dapat membina kerajaan yang lebih baik dalam memenuhi kehendak setiap lapisan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang, di Taman Pendamaran Permai, disini.

Amirudin berkata semua ADN perlu mendengar permasalahan rakyat demi memajukan negeri.

“Ini yang kita sebut maju bersama rakyat. Rakyat bersama kerajaan dan pemimpin tidak lupa akan rakyatnya. Saya mahu memastikan tiada sesiapa yang tertinggal atau tersisih dari kemajuan.

“Saya tidak rasa gembira Kalau kita mahu membangun tetapi rakyat tersisih. Saya bersyukur jika kemajuan dan kekayaan dikongsi kerana kekayaan ini bukan milik pemimpin tetapi rakyat.

“Menuju 2019, kemajuan dan kekayaan Selangor adalah milik bersama. Susah senang kita perlu bersama dalam negeri kita,” katanya.