Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM5.65 juta laksana kepelbagai biodiversiti

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM5.65 juta bagi melaksanakan kepelbagaian biodiversiti unik, di Selangor untuk memastikan ia terus dipelihara dan dipulihara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, RM2.5 juta diperuntukkan bagi usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, kesan perubahan iklim serta pemanasan bumi dengan memfokuskan Pelaksanaan Tanam Pokok Dalam Bandar juga Pengindahan Lanskap.

“Manakala sejumlah RM3.15 juta peruntukan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar ke atas bekas tapak pelupusan sisa pepejal,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM400,000 untuk melindungi sumber biodiversiti negara melalui aktiviti seperi Program Pendidikan Biodiversiti, Pameran penerbitan bahan cetak serta ceramah kesedaran.

Katanya, pelaksanaan Hari Tapir Peringkat Selangor yang diadakan pada setiap tahun juga adalah inisiatif Kerajaan Negeri mempertingkatkan kesedaran yang dimulai di peringkat sekolah.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: RM1.42 juta laksana kajian pembangunan bandar, desa

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM1.42 juta dicadang diperuntukkan bagi melaksanakan kajian pembangunan bandar dan desa melalui Kajian Rebakan Bandar Selangor, pada 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti had pembangunan rebakan bandar (urban sprawl) dan tren pembangunan fizikal yang akan memacu kualiti serta imej perancangan bandar Selangor.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam memastikan persekitaran mampan dan kehidupan komuniti sejahtera, supaya isu daya huni bandar ditangani.

“Oleh itu, amat perlu mengawal keseimbangan pembangunan untuk mengelakkan pencerobohan kawasan sensitif alam sekitar, kawasan tadahan semula jadi dan kawasan pertanian utama, di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, di sini.

Katanya, dalam melaksanakan pemajuan dan pembangunan fizikal pesat, Kerajaan Negeri turut menekankan serta menitik beratkan usaha pemeliharaan juga pemuliharaan warisan, sama ada dalam bentuk geologi semula jadi, adat budaya mahupun bangunan lama.

Justeru, katanya, RM1.3 juta diperuntukkan di bawah myPlan Malaysia untuk meneruskan lagi usaha mempromosi Permatang Kuarza bagi mendapat pengiktirafan UNESCO dalam kategori warisan semula jadi sebagai tapak warisan kebangsaan dan tapak warisan dunia.

“Kerajaan Negeri akan membuat publisiti berimpak tinggi bagi mengangkat pencalonan tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor kepada pihak World Heritage Committee baik di dalam mahupun luar negara menerusi multimedia, dokumentari dan penyertaan pameran, di persidangan antarabangsa.

“Warisan bernilai seperti ini harus dikekalkan dan dirancang secara holistik tanpa ada unsur pencerobohan yang boleh menggugat dan menghilangkan warisan yang terbentuk jutaan tahun dahulu.

“Kerajaan Negeri berharap dengan kepelbagaian biologi dan geologi di kawasan berkenaan, ia dapat dijadikan rujukan pengkaji dalam bidang berkaitan serta terus unggul sebagai legasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri tidak akan mengenepikan dan membuat pengenal pastian ke atas tapak warisan lain untuk diberi pengiktirafan serta dipertingkatkan, iaitu Bukit Malawati juga Taman Rimba Templer sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

 

Categories
SELANGOR

RM1 juta untuk I-Asuh, Guru Anak Istimewa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi membantu para ibu bapa mencari pengasuh yang sesuai dan terlatih bagi menjaga anak-anak mereka sementara mereka mencari rezeki untuk keluarga.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu membabitkan program ‘Work From Home’ (I-Asuh) dan Guru Anak Istimewa Selangor.

“Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes kematian bayi dan kanak-kanak yang menyayat hati melibatkan isu pengasuh.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu melibatkan pengasuhan kanak-kanak di rumah dizahirkan melalui pelaksanaan program-program pembangunan kanak-kanak iaitu Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) yang melibatkan pengasuh dan pengusaha taska di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, bagi program I-Asuh Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Negeri (JKM) Selangor untuk mendaftarkan para pengasuh di rumah ke dalam program ini supaya maklumat berkaitan pengasuh dapat dihimpunkan untuk dimanfaatkan oleh para ibu bapa berkerjaya.

Sementara itu, program Guru Anak Istimewa Selangor atau ‘Shadow Teachers’ pula dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran kanak-kanak berkepeluan khas.

“Penerimaan taska sedia ada terhadap golongan anak-anak berkeperluan khas pada masa kini adalah kurang dan sekali gus menjadi dilema kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak istimewa ke institusi yang menyediakan kemudahan dan pendidikan yang diperlukan oleh anak-anak mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM270,000 untuk menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Amirudin berkata, majlis itu akan menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor tentang perkara berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU dengan harapan agar golongan OKU dapat sepenuhnya turut serta dalam pembangunan negara dan masyarakat.

Categories
SELANGOR

RM16.6 juta untuk Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM16.6 juta bagi membiayai Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, biasiswa itu adalah Biasiswa Sagong Tasi, Biasiswa DYMM Sultan Selangor (Sekolah Alam Shah, Putrajaya) dan Biasiswa Menteri Besar.

“Pada tahun 2019, sejumlah RM16.6 juta peruntukan disediakan dengan cadangan pemurnian dasar dan penjajaran program Pendidikan di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor,” katanya.

Amirudin berkata, selain biasiswa peruntukan ini turut bagi membiayai Program Peduli Siswa Dalam Negara (IPTA/IPTS), Program Khas Kakitangan Awam, Program Khas Selangor Brain Bank (Pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga Phd) dan Program Khas Peduli Siswa Luar Negara.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

RM1.94 juta untuk ‘Fast Track SPM Tahfiz’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.94 juta bagi melaksanakan program tuisyen untuk pelajar tahfiz yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program ‘fast track’ SPM itu mampu membantu pelajar tahfiz yang tidak mengikuti aliran akademi seperti pelajar di sekolah kebangsaan.

“Kerajaan Negeri tertarik dengan inisiatif Univerisiti Selangor (UNISEL) yang telah beberapa tahun melaksanakan program tuisyen SPM khas untuk pelajar tahfiz yang tidak mengikuti aliran akademik.

“Oleh kerana program ini mendapat sambutan menggalakkan dan perlu dikembangkan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1,940,400.00 kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk meneruskan pelaksanaan program fast track SPM pelajar tahfiz persendirian dengan memanfaatkan fasiliti sedia ada sekolah-sekolah JAIS,” katanya.

Selain itu Kerajaan Negeri turut memperuntukan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah.

Katanya, ini merupakan forum untuk mengangkat kewibawaan anak-anak Selangor dalam berorganisasi, serta menjadi medium pembitaraan penting untuk para mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan maklumat perkembangan tanah air.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

BELANJAWAN’19: Sebulan gaji bantuan khas kewangan penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menghadiahkan khabar gembira kepada penjawat awam dengan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkannya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap keazaman mereka untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mereka mentadbir.

“Alhamdulillah sepanjang lima bulan ini saya memikul amanah sebagai Menteri Besar, saya merasa terharu dengan sokongan serta dokongan penjawat awam.

“Justeru, sebagai suatu rangsangan supaya penjawat awam melonjakkan lagi prestasi mereka suatu pembayaran bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

“Kecekapan dan keazaman mereka ini menjadi inspirasi kepada saya untuk berusaha lebih kuat demi rakyat dan negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan akan dibayar pada 20 Disember depan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

“Saya dan pimpinan negeri berikrar dalam Dewan Yang Mulia ini akan memastikan Negeri Selangor terus unggul sebagai sebuah negeri kosmopolitan yang sentiasa maju ke hadapan.

“Ia sekali gus berupaya berentap sebagai aktor ekonomi mahupun budaya di rantau Asia Tenggara dan teguh prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Jun lalu, seramai 17,109 penjawat awam di negeri itu menikmati bantuan khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji sebagai meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan perayaan berkenaan.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Belanjawan’19: Selangor mahu terus jadi peneraju E-sukan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Selangor sebagai peneraju sukan elektronik (E-sukan) dengan mencadangkan peruntukkan sebanyak RM400,000 bagi tujuan pembangunan dan penganjuran pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor Cyber Games yang sudah dianjurkan sebanyak lima kali bermula pada tahun 2014 telah menjadi jenama yang disegani di kalangan penggiat E-sukan di negara ini.

“Bermula 2014, penyertaan sebanyak seramai 569 peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM 30,000.

“Kini dalam tahun kelima penganjurannya, Selangor Cyber Games 2018 telah berjaya menarik 1,100 orang peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM250,000,” katanya.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri turut menyasarkan peruntukan RM1 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan sukan E-sukan ke peringkat serantau.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Litar lumba bakal dibina di Sungai Tua

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan sebuah litar lumba di kawasan Sungai Tua, Gombak bagi merancakkan lagi bidang sukan permotoran di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tanah seluas 20 ekar akan diperuntukkan dan litar lumba ini akan dibina dengan kaedah ‘Public Private Partnership’ bagi menggalakkan pembangunan sukan permotoran serta penganjuran acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

“Pembinaan akan dibincangkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan yang besar diadakan di litar ini.

“Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya projek menaiktaraf kemudahan sukan di PBT juga diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.24 juta.

Menurutnya, kemudahan-kemudahan ini disediakan kepada atlet untuk membuat latihan di samping sebagai satu tempat penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

“Dalam usaha untuk memartabatkan dan mengekalkan kejuaraan dalam sukan, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah merangka Pelan Pembangunan Sukan Negeri Selangor berdasarkan konsep 2i yang berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh ke arah satu objektif iaitu ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’.

“Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2019 untuk membaikpulih Lampu Limpah Padang Sintetik Akademi Bola Sepak Merah Kuning,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor Negeri Sihat sasaran 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM21 juta untuk tahun hadapan bagi menjayakan hasrat Selangor Negeri Sihat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, belanjawan negeri akan memfokuskan kepada program-program pencegahan untuk mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit di samping menurunkan kadar penyakit berjangkit.

“Peruntukan ini meliputi RM10 juta untuk Skim Peduli Sihat, Program Pencegahan Denggi RM3 juta, Program Bantuan Sihat Selangor termasuk Dialisis berjumlah RM5 juta serta bentuk bantuan lain.

“Semakin hari, kos rawatan semakin tinggi terutama apabila telah berada di tahap kritikal. Ini dapat dielakkan jika kita mencegahnya dari awal seperti kata pepatah ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’,” katanya.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan pelaksanakan program Selangor SLIM bagi menggalakkan semua masyarakat menjalani amalan hidup Sihat dengan mendapatkan dan mengekalkan berat badan ideal.

“Program ini menggalakkan masyarakat untuk menjalani aktiviti fizikal secara rutin, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan pemeriksaan kesihatan serta menghadiri kempen-kempen kesihatan yang dianjurkan bagi memastikan rakyat Selangor mempunyai pengetahuan yang luas serta bijak dalam penjagaan kesihatan. Program ini akan dilaksanakan di bawah Gaya Hidup Sihat dan diperuntukkan sebanyak RM2 juta.

“Keperluan nutrien ini dapat dipenuhi melalui pengambilan makanan yang pelbagai, seimbang dan sederhana berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia. Selari dengan kempen Pinggan Sihat Malaysia yang dilaksanakan di peringkat pusat, Kerajaan Negeri seiringan mendukung dan akan melebarkan liputan maklumat tersebut,” katanya.

Dalam menitik beratkan soal kesihatan, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penekanan kepada program kesihatan mental dengan memperluaskan peranan Pusat Kaunseling Selangor sedia ada menerusi pengaktifan sesi kaunseling atas talian.

Amirudin berkata, segala luahan rasa boleh disalurkan melalui panggilan telefon untuk mengurangkan tekanan dan mendapatkan nasihat lanjut terhadap kerumitan dialami serta berharap penglibatan NGO bagi merealisasikan usaha ini.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Kawasan luar bandar bakal nikmati internet lebih laju

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Beberapa lokasi luar bandar di negeri ini bakal menikmati kemudahan internet jalur lebar lebih laju berbanding sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan jalur lebar sehingga satu ‘gigabyte’ per saat itu akan diteruskan di empat daerah yang berpotensi untuk pembangunan ekonomi.

“Ia termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor di gugusan utara sementara Kuala Langat bagi gugusan selatan.

“Tumpuan akan dijuruskan kepada penyediaan infrastruktur fiber optik dan lain-lain teknologi yang membolehkan kecapaian ‘gigabytes’ merangkumi seluruh kawasan berpenduduk dan industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, hasrat itu akan direalisasikan dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Telekom Malaysia.

Katanya, kerjasama itu bagi meneroka potensi dana USP (Universal Service Provider Fund) dan diagihkan pelaksanaannya terutama sekali untuk penduduk luar bandar di negeri ini.

“Dengan adanya infrastruktur telekomunikasi yang mantap dan berdaya saing, rakyat Negeri ini boleh menikmati banyak kemudahan yang melibatkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Para pengusaha industri juga mampu untuk berdaya saing di peringkat global terutama dalam ‘Manufacturing 4.0’,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: INPENS komited sedia akses buat TVET

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri terus komited dalam menyediakan akses bagi program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru, INPENS International College menawarkan program yang releven dan responsif dengan keperluan industri.

Katanya, matlamat utama yang ingin dicapai adalah melahirkan graduan yang holistik, berkualiti dan bersifat ‘industry ready’ selain terus melestari institusi TVET yang kondusif.

“INPENS melihat pendedahan industri hasil kolaborasi dengan pemain industri dari setiap bidang yang didorong oleh industri dapat memperkukuhkan lagi kematangan dan profesionalisme graduan dihasilkan.

“Jalinan industri bersama Perodua, Yamaha dan Daikin melibatkan bidang automotif, motosikal dan penyaman udara dilihat berpotensi besar sebagai pemangkin kebolehpasaran graduan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menaungi INPENS International College di bawah Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan IKTISASS bagi merancakkan lagi industri 4.0.

“Ini dilihat sebagai usaha untuk menjadikan negeri Selangor sebagai hab TVET berkemahiran tinggi secara holistik.

“Dengan usaha ini diyakini pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, berproduktiviti dan berkualiti dalam semua sektor dapat diutamakan sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Selangor sebagai hab kemahiran tinggi utama negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Pasar dinaiktaraf, Smart Selangor Toilet bakal diperkenalkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf pasar-pasar di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus majlis daerah kepada pasar moden.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pasar yang moden dan bersih serta mempunyai kemudahan yang baik berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi peniaga tempatan.

“Dengan bilangan pengunjung yang ramai, Kerajaan Negeri berpendapat, adalah baik sekiranya pasar tersebut dijadikan sebagai satu platform yang dikenali sebagai Pusat Khidmat Setempat untuk membolehkan orang awam mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian daripada PBT masing-masing.

“Pusat Khidmat Setempat ini boleh dibuka sekurang-kurangnya dua kali seminggu di mana ia juga wajar digunakan oleh Ahli Majlis atau wakil rakyat sebagai satu medium engagement bersama komuniti setempat,” katanya.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi Smart Selangor Toilet (SST) dalam membantu usaha menaik taraf tandas di premis makanan termasuk membuat promosi secara meluas berkenaan kepentingan kebersihan tandas di premis-premis makanan.

Selain itu, turut dicadangkan satu pengiktirafan diberikan kepada premis makanan yang menyediakan kemudahan tandas yang bersih dan baik sama ada dengan pemberian sijil, penarafan gred kualiti tandas, insentif berbentuk wang tunai ataupun lain-lain insentif yang sesuai.

“Isu kebersihan tandas awam bukan perkara baru di Malaysia khususnya yang melibat premis-premis makanan seperti di medan selera dan restoran.

“Imej sesebuah premis makanan kadang kala tercemar hanya kerana kemudahan tandas yang disediakan kepada pengunjung dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.