Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020: Lima negeri dijangka dapat tumpuan khusus

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dijangka mendapat tumpuan khusus dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan esok.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana ekonomi di lima negeri terbabit masih ketinggalan dan harus mendapat peruntukan sewajarnya bagi menjana pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

“Pertumbuhan ekonomi harus terus rancak dan berkembang cepat dengan menyediakan infrastruktur serta prasarana penting seperti hospital sekolah juga lain-lain di kawasan luar bandar.

“Ini kerana antara komponen penting dalam Wawasan Kemakmuran Bersama adalah memastikan merapatkan kesenjangan ekonomi di antara wilayah, kelas pendapatan, kaum dan juga rantaian nilai,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media pada Persidangan Perniagaan Asean Selangor sempena Perhimpunan Perniagaan Antarabangsa Selangor ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu mendapat perhatian kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja muda berbakat dan berkemahiran tinggi.

Beliau turut berharap bidang itu diberi peruntukan besar dalam belanjawan nanti kerana golongan terbabit berpotensi menguasai teknologi baru bagi memenuhi keperluan industri hari ini khasnya pada era Revolusi Industri 4.0.

“Saya berpandangan Belanjawan 2020 penting untuk mengembalikan keyakinan kepada pelabur domestik dan asing bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Saya kira perlu diwujudkan beberapa inisiatif untuk memastikan kepenggunaan dapat dipertingkatkan dalam keadaan ekonomi yang lembab pada hari ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Pembangunan asas Orang Asal harus diberi tumpuan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Jaringan Kampung Orang Asal Semenanjung Malaysia (JKOAM) berharap kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan asas membabitkan masyarakat peribumi di negara ini melalui Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusinya Tijah Yok Chopil berkata, projek pembangunan asas seperti menyediakan kemudahan air bersih, menaik taraf klinik desa dan membaiki jalan raya harus diberi keutamaan selain penyediaan benih dan baja supaya masyarakat itu dapat menjalankan aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan.

“Tumpukan pada bajet pembangunan sebab pembangunan Orang Asal masih jauh ketinggalan, banyak kampung jalannya rosak, tiada jalan tar, projek terbengkalai dan sebagainya.

“Program seperti sukaneka dan motivasi yang dianjurkan sebelum ini harus dihentikan, ia bukan tidak bagus tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang kita harus tumpu kepada pembangunan asas Orang Asal dahulu,” katanya.

Tijah turut mencadangkan agar badan pemantau ditubuhkan bagi memantau bajet yang akan diperuntukkan kepada Orang Asal tahun hadapan supaya ia dapat ditadbir urus dengan baik.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM) Clive Allen Williams Hunt berkata, dalam memastikan pembangunan yang harmoni dalam kalangan masyarakat Orang Asal kesemua aspek antaranya ekonomi, kesihatan dan budaya harus diberi perhatian.

Menurutnya, perkhidmatan pembantu perubatan dalam kalangan belia Orang Asal perlu diwujudkan semula selain melantik mereka bagi mengisi jawatan di semua peringkat sama ada secara tetap atau kontrak.

“Inisiatif ini dilihat berkesan, kerana masyarakat Orang Asal dapat menyampaikan maklumat kesihatan menggunakan bahasa suku kaum mereka sendiri…kadang-kadang kita guna bahasa asing mereka kurang faham,” jelasnya.

Tambah beliau, penyediaan dana khusus harus diperuntukkan bagi latihan dan pembangunan sumber manusia belia Orang Asal melibatkan aspek keusahawanan, industri, kemahiran, teknologi dan profesional.

“Dana ini boleh diurus tadbir oleh Jabatan Kemajuan Orang Asal dan disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagi tujuan penganjuran dan pelaksanaan program pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, MBOAM turut berharap program latihan dan pembangunan kepada orang kurang upaya dalam kalangan masyarakat peribumi itu untuk memperluaskan punca pendapatan turut diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020: JBPM mahu kerajaan pertimbang aspek perkhidmatan bomba

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap supaya kerajaan mempertimbangkan aspek perkhidmatan kebombaan, penyelamatan, keselamatan dan khidmat kemanusiaan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada 11 Oktober ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata aspek itu antaranya merangkumi pembinaan balai bomba, penambahan aset operasi kebombaan, dan tugas mencari serta menyelamat (SAR) di air dan daratan.

“JBPM juga mengharapkan belanjawan itu nanti megambil kira aspek pengendalian bahan bahaya  anggota pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) selain kemalangan industri dan domestik,”
katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penambahan binaan balai bomba adalah untuk meningkatkan perlindungan keselamatan di bandar, luar bandar dan pedalaman manakala penambahan aset operasi bagi operasi kebombaan pula bertujuan untuk aktiviti pemadaman dan penyelamatan di bangunan tinggi, hutan dan struktur khas.

Belanjawan itu diharap dapat disalur ke arah penyelenggaraan aset sedia ada serta pemodenan kelengkapan kebombaan, katanya.
 
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan memberi perhatian kepada elaun anggota pasukan itu serta penyelenggaraan peralatan logistik.

Ketua Pengarah APM Datuk Roslan Wahab berkata elaun anggota dan pegawai APM kini masing-masing berada pada paras RM8 sejam bagi anggota dan RM9 sejam untuk pegawai.

“Kekuatan APM terletak pada sukarelawan, lebih ramai anggota perlu digerakkan ke lokasi,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif pengangkutan awam perlu jadi fokus utama Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kerajaan disaran memperluaskan inisiatif sedia ada dalam sektor pengangkutan awam pada Belanjawan 2020 dalam usaha mengurangkan kos hidup rakyat, kata penganalisis ekonomi selaku pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari.

Beliau berkata insentif seperti pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 memberikan manfaat kepada pengguna yang memilih pengangkutan awam sebagai pilihan utama bagi mobiliti mereka, perlu diteruskan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof turut mengutarakan pendapat bahawa perkhidmatan bas mini perlu diperluaskan berikutan permintaan tinggi terutama di kawasan perumahan dalam bandar.

“Pengenalan bas mini adalah satu perkara yang tepat sebab kita tahu sesetengah pengangkutan awam tidak dapat menyediakan perkhidmatan ke kawasan seperti di taman perumahan. Sekarang ini masalahnya adalah kesalinghubungan yang tidak efisien,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, Mohd Yusof turut mencadangkan sistem penggunaan satu tiket bagi memudahkan serta mengurangkan kos pengguna.

“Jadi pengguna tidak perlu membeli banyak tiket, sekarang ini perkara menyukarkan adalah, jika mahu menuju ke satu tempat ke tempat yang lain orang awam perlu membeli tiket berasingan. Ia menambahkan kos rakyat. Mungkin cadangan itu boleh difikirkan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bagi pengangkutan awam di luar bandar, Mohd Yusof berkata kerajaan perlu memikirkan cara yang lebih mudah dan fleksibel tanpa memerlukan perbelanjaan tinggi.

Mengambil contoh di Sabah, beliau menjelaskan terdapat beberapa kawasan pedalaman hanya menggunakan perkhidmatan van untuk membantu memudahkan urusan perjalanan penduduk setempat.

“Laluan pendek seperti kawasan kampung ke pusat bandar tidak memerlukan perkhidmatan bas kerana ia tidak bersesuaian jika mengambil kira kepadatan penduduk di kawasan itu. Jadi, perjalanan dengan menaiki van adalah lebih mudah dan murah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Jaringan Industri & Pengkormersilan), Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Dr Shahrin Nasir turut bersetuju pas perjalanan tanpa had itu wajar diteruskan kerana ia memberi kesan yang baik terutamanya mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya kemudahan seperti itu diperluaskan ke bandar lain agar usaha kerajaan itu dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Ambil kira kemampuan B40 miliki rumah

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kemampuan golongan B40 untuk memiliki rumah harus dititikberatkan dalam Belanjawan 2020 dengan mengambil kira kekangan kewangan dihadapi golongan itu.

Ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta Adzman Shah Mohd Ariffin berkata ini kerana kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah.

“Terdapat beberapa lapisan profil rakyat yang ingin memiliki rumah, iaitu B40, M40 dan individu yang baru berumah tangga, sebagai contoh. Bagi B40, mereka utamakan menyewa dahulu dan beli apabila ada kemampuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, kerajaan juga disaran mengkaji semula sasaran membina sejuta unit rumah mampu milik dari segi permintaan sebenar untuk membantu golongan ini.

“Kebelakangan ini, sektor perumahan negara dilihat menghadapi kemelut harga rumah tinggi dan bekalan rumah tidak terjual, namun berdasarkan pelbagai inisiatif kerajaan dengan jangkaan pengumuman (sektor perumahan) dalam Belanjawan 2020, peluang pemilikan dijangka bertambah baik dalam jangka masa lima tahun sekiranya paras pendapatan B40 bertambah,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata jurang perbezaan dalam pembinaan rumah yang tampak ‘berat sebelah’ perlu dikurangkan bagi menepati permintaan semua golongan.

“Apa yang berlaku di Malaysia adalah rumah yang dibina tidak menyamai permintaan. Rumah yang dibina itu memenuhi keperluan golongan tertentu sahaja.

“Perkara yang paling utama harus dilihat adalah dari segi pendapatan masyarakat sama ada mereka mampu atau tidak bagi memiliki rumah dan membayarnya bagi jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyarankan individu itu sendiri mengumpul duit terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa memiliki rumah dan berhadapan masalah hutang pada umur muda.

“Mereka boleh memiliki rumah tapi harus kukuh dari segi kewangan. Harga rumah naik mendadak akibat permintaan tinggi dan ia sekali gus memberi tekanan kepada pasaran perumahan,” katanya.

Seorang pelukis pelan di firma arkitek, Nurul Fatihah Md Yusof, 29, berkata generasi muda kebanyakannya berharap agar kelayakan minimum untuk permohonan rumah mampu milik diturunkan.

“Rata-rata generasi muda berhijrah ke ibu kota selepas tamat belajar dan mendapat pekerjaan tetap. Daripada membayar sewa mahal, adalah lebih baik sekiranya mempunyai rumah sendiri dan membayar ansuran rumah.

“Namun, apa yang mengecewakan adalah had kelayakan pemilikan rumah amat menyukarkan permohonan…pada masa sama tidak mahu membebankan ibu bapa bagi bantuan kewangan daripada mereka, jadi hasrat memiliki rumah sendiri terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Seorang jurutera, S.Vignesh berkata biarpun telah memiliki rumah sendiri di Rawang, kawasan tersebut jauh dari tempat kerjanya di Petaling Jaya.

“Harga rumah mahal di kawasan PJ, jadi saya terpaksa cari yang jauh sedikit dan yang mampu milik setimpal dengan kelayakan gaji. Saya tinggal bersama keluarga besar, menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kediaman selesa buat mereka.

“Mungkin kerajaan atau pihak pemaju boleh mengkaji semula harga rumah mampu milik dan menilai rakyat berdasarkan kemampuan pendapatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kertas Putih Pertahanan dibentang selepas Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kertas Putih Pertahanan Negara dijangka dibentang di Parlimen selepas Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Kertas Putih Pertahanan itu yang pertama kali dibuat di Malaysia, mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

“Sebelum ke Parlimen yang dijangka pada awal Disember, kertas putih itu akan dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, deraf kertas putih itu mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini berkata, kertas putih itu antaranya merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah-faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.

Beliau berkata, ia akan memberi ganjaran bukan sahaja terhadap profesionalisme dan pengalaman warga tentera, malah pengorbanan serta kesusahan yang telah mereka hadapi.

“Selain itu, anggota tentera juga mempunyai peluang untuk mengembangkan kepakaran profesional yang mendalam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka melalui gabungan pendidikan, latihan serta program pembangunan diri,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM yang ke-86.

Zulkifli berkata, daripada segi perkembangan kerjaya, Kertas Putih Pertahanan itu turut menggariskan proses dan peluang kenaikan pangkat daripada semua cabang serta peringkat yang hendaklah berdasarkan kelayakan/keupayaan profesonal termasuk pengalaman.

“Ia juga turut menyentuh kebajikan veteran ATM dengan penyediaan sokongan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta komprehensif, termasuk bantuan dan sokongan kewangan seperti rawatan hemodialisis serta pembelian peralatan pendengaran, konsentrator oksigen, ubat-ubatan dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, keperluan pekerjaan dan keperluan sosial warga ATM diberi perhatian dalam kertas putih itu iaitu membantu mereka mencari pekerjaan baharu selepas tamat perkhidmatan dalam angkatan tentera.

Katanya, ia juga akan memastikan keperluan sosial veteran dipelihara dengan baik serta meneruskan usaha menyediakan bantuan berkaitan perumahan, bantuan pendidikan dan kewangan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka pada masa akan datang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pewujudan kerja dengan gaji munasabah penekanan dalam Belanjawan 2020

PUTRAJAYA, 1 OKT: Belanjawan 2020 akan memberi penekanan kepada usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang kerja dengan gaji munasabah untuk memberikan semangat dan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk bekerja, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat peluang sama rata untuk mencari kerja yang memberikan gaji munasabah.

“Saya percaya pekerja Malaysia adalah lebih baik daripada pekerja asing daripada Bangladesh dan Myanmar tetapi anda perlu beri mereka insentif yang betul.

“Tiada sebab untuk pekerja kita terlepas peluang untuk bekerja kepada pekerja Myanmar dan Bangladesh, tetapi apa yang kurang mungkin motivasi dan semangat, yang boleh ditemukan menerusi gaji lebih baik,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019.

Lim berkata, penekanan juga akan diberikan tentang bagaimana untuk mewujudkan kerja yang memberikan gaji munasabah yang sepadan dengan kemahiran mereka.

Dalam ucapannya pada mesyuarat perundingan Belanjawan 2020 pada 27 Jun, Lim berkata, kerajaan kini aktif menguruskan tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat.

Kadar inflasi bagi Mac, April dan Mei 2019 kekal rendah dan stabil pada 0.2 peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan upah juga sama penting dengan pengurusan kos hidup kerana adalah kurang selesa untuk mengambil kira kedudukan daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sekiranya upah tidak turut naik.

“Untuk mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi, satu-satunya cara yang mampan untuk berbuat demikian adalah dengan meningkatkan produktiviti kita. Kerajaan telah mengenal pasti Industri 4.0 sebagai sumber baharu pertumbuhan produktivii dan ekonomi. Ini secara spesifiknya bermakna pendigitalan ekonomi, dan guna pakai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, data besar dan robotik dalam kehidupan seharian kita dengan lebih meluas,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk memangkin proses pendigitalan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), seperti skim jaminan oleh syarikat milik kerajaan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan RM3 bilion menerusi Dana Transformasi Pendigitalan Industri dikendalikan Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Sementara itu, Lim berkata, Kementerian Kewangan turut mengamalkan dasar baharu pada tahun ini yang akan memulangkan semua simpanan dibuat oleh mana-mana kementerian, menerusi pembaharuan pentadbiran, kepada kementerian yang sama.

Beliau berkata, di masa lepas, simpanan ini akan dikembalikan semula kepada kerajaan tetapi dengan dasar baharu ini, kementerian kini boleh menikmati sepenuhnya simpanan dijana daripada pembaharuan pentadbiran.

“Ini akan membolehkan mereka menjalankan lebih banyak projek kerana kerana mereka tidak lagi perlukan kelulusan Kementerian Kewangan apabila mereka perlu menggunakan simpanan itu.

‘’Kami melihat kementerian-kementerian sudah begitu bersemangat untuk mengurangkan kos kerana mereka boleh menggunakan simpanan untuk projek lain. Kami fikir ini akan menjadi pencetus perubahan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JBPM harap kelengkapan aset, peralatan diberi perhatian

KUCHING, 30 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap peruntukan dalam Belanjawan 2020 kepada jabatan itu akan memberi keutamaan kepada usaha bagi melengkapkan aset serta peralatan di lebih 30 balai bomba yang akan siap dibina tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, selain aset seperti jentera, pembinaan balai-balai baharu itu pastinya memerlukan penambahan anggota.

“Jadi kita berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dan ditimbangkan sebaik mungkin kerana kita melihat kepada keperluan yang mendesak dari segi kecemasan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari,” katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Kuching Fire Fighter’s Run di sini, semalam.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

Mohammad Hamdan berkata, kesemua kelengkapan terbabit perlu bagi membolehkan operasi jabatan berkenaan berjalan lancar.

Mengenai larian anjuran JBPM negeri pada 15 Mac tahun hadapan yang bertempat di Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu, beliau berkata, ia terbuka kepada orang ramai dengan objektif merapatkan hubungan orang awam dan jabatan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fokus Belanjawan 2020 tingkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan

GEORGE TOWN, 28 SEPT: Kerajaan akan memberikan tumpuan meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada 11 Oktober ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, selain itu, belanjawan itu juga akan memfokuskan kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kita nak tingkatkan penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan di mana penglibatan wanita kini hanya mencapai 56 peratus berbanding lelaki hampir 80 peratus,” katanya selepas majlis pelancaran tiga perkhidmatan baharu di Hospital Kanser Mount Miriam di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaaan itu bagi mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan belia.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Anggota Dewan Negeri Air Putih turut meminta semua pihak agar menghormati keputusan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang diputuskan Mahkamah Koroner semalam bahawa kematiannya akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Beliau berharap keadilan dapat ditegakkan dengan menangkap dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Disember tahun lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya tahun lepas.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Belanjawan 2020: Fokus sukan massa, infrastruktur, SUKMA

BANGI, 22 SEPT: Sukan massa, pembangunan infrastruktur sukan dan pencapaian kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) antara fokus Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Selangor 2020.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, belanjawan itu selaras hasrat Kerajaan Negeri membabitkan lebih ramai golongan muda dalam sukan.

“Saya yakin belanjawan kali ini banyak menyumbang kepada pembangunan generasi muda negeri kita.

“Selain itu, ia selaras hasrat Dato’ Menteri Besar yang mahu Selangor terus unggul dalam SUKMA 2020 di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Kejohonan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Penggiat Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang di Dewan Badminton Uptown Sport Bangi di sini, hari ini.

Sebanyak 91 beregu lelaki dan 16 beregu wanita mengambil bahagian pada kejohanan badminton kalah mati itu.

Kejohanan terbuka kepada mereka berumur 15 hingga 30 tahun itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada juara, RM1,000 naib juara dan RM500 bagi tempat ketiga.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri akan menganjurkan kejohanan Piala Budak Kampung membabitkan sukan bola sepak dan bola jaring pada November ini.

Katanya, kejohanan itu diadakan bagi memberi peluang kepada remaja bawah 12 tahun dan bawah 16 tahun yang tidak berpeluang mewakili sekolah atau mana-mana kejohanan luar sekolah.

“Kita mahu lebih ramai terbabit dalam sukan kerana sukan adalah medium yang mampu menyatukan rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu keselamatan diangkat inisiatif baharu dalam Belanjawan 2020

SHAH ALAM, 27 OGOS: Isu keselamatan akan diangkat menjadi inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada November nanti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di dalam kerangka gagasan Smart Selangor 2025.

“Konsep negeri pintar ini adalah yang terkini dan diguna pakai banyak tempat seluruh dunia yang menjadi latar belakang pelaksanaan program baharu Selangor iaitu, ‘Bandar Selamat, Negeri Maju, Komuniti Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin Shari pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata, antara yang mendapat perhatian beliau dalam dialog itu termasuk cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menambah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, selain cadangan menambah anggota PDRM, Kerajaan Negeri juga meneliti langkah meluaskan skop Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Polis Bantuan.

Beliau turut mengambil perhatian terhadap cadangan menambah kamera litar tertutup berdefinasi tinggi beserta jaringan kerja dengan agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.

Sebelum itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, perancangan dan pengurusan bandar selamat adalah tindakan pembangunan menyeluruh yang bukan tanggungjawab kerajaan sahaja.

“Semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, PBT, agensi penguatkuasa, badan korporat dan komuniti penduduk adalah pemain penting dalam mewujudkan bandar selamat,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Prosedur pinjaman, percukaian, pekerjaan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020

 

PUTRAJAYA, 27 Jun : Keperluan melonggarkan prosedur pinjaman, urusan percukaian dan pengambilan pekerja, termasuk pekerja asing, merupkan antara isu utama yang diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pada mesyuarat Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini, beliau berkata keperluan melonggarkan prosedur pinjaman bagi memudahkan perniagaan mendapatkan akses kepada peminjaman secara lebih meluas, akan diberi perhatian.

Isu aset penyampaian juga perlu diberi perhatian memandangkan terdapat pandangan bahawa birokrasi boleh dikurangkan, dan penyampaian oleh para anggota pentadbir boleh ditingkatkan supaya urusan rasmi dipermudah dan diselesaikan secara lebih efisien, katanya.

Kebimbangan tentang perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang akan menjejaskan iklim ekonomi negara, juga akan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020, katanya.

Turut diberi perhatian ialah mengenai perlunya menjalankan transformasi ke arah industri 4.0 supaya boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi digital untuk membolehkan perniagaan terus wujud dan berkembang, katanya.

Perkara lain yang juga diberi penekanan dalam penyediaan Belanjawan 2020 ialah sosial dan keselamatan, katanya.

“Keselamatan merupakan prasyarat untuk pembangunan ekonomi yang kukuh. Sekiranya kita tidak ada suasana yang selamat, sukar untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Kerajaan, katanya akan memberi penekanan kepada anggota atau pasukan keselamatan supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka secara profesional dan baik.

Mengenai isu kebajikan, Lim berkata program kebajikan akan diteruskan dan kerajaan juga bersedia mendengar cadangan baharu berkaitannya.

“Namun, kami berharap semua pihak faham akan kekangan kewangan yang kami terpaksa tangani, khususnya berkaitan kehilangan RM150 bilion, yang merupakan halangan yang menyulitkan usaha untuk melaksanakan semua program kebajikan,” katanya.

Menurutnya, kehilangan RM150 bilion itu antara lain berpunca daripada kerugian daripada isu berkaitan 1MDB, Tabung Haji dan Felda. -BERNAMA