Categories
AGENDA NASIONAL

RM20 juta panjangkan manfaat i-Suri

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) pada tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, program itu akan ditambah baik bagi membolehkan suami memilih untuk menyumbang secara sukarela sebanyak dua peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) isteri.

i-Suri diperkenal pada 15 Ogos tahun lalu bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.

Katanya, KWSP juga akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan dan profesional.

“Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebelum diperluas ke sektor lain,” katanya.

Guan Eng berkata Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Perkeso juga akan diperluas bagi membolehkan 18 kumpulan yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian mencarum dalam skim itu mulai tahun depan.

SKSPS diwujudkan pada Jun 2017 untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan sebagai permulaan skim itu diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing (perkhidmatan pengangkutan penumpang) dan pemandu bas.

Katanya, Perkeso juga akan membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos RM500 juta di Perak selepas kejayaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka.

“Pusat baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak berhasrat laksana semula GST

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya akan memperkenalkan Cukai Perkhidmatan Digital dan beberapa insentif cukai dan pengecualian bagi merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, Cukai Perkhidmatan Digital itu akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

“Ini antara lainnya akan membabitkan perkhidmatan seperti dan tidak terhad kepada muat turun perisian, muzik, video atau pengiklanan digital.

“Pembekal perkhidmatan asing boleh mendaftar dengan Kastam bermula 1 Oktober 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan struktur cukai pendapatan yang lebih progresif, banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan pada kadar 30 peratus iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi di negara ini, katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata kerangka insentif baharu itu, semakan semula menyeluruh dan penambahbaikan kerangka sedia ada akan siap menjelang 1 Jan, 2021.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun selama lima tahun bagi mentransformasi perniagaan Malaysia kepada perusahaan paling kompetitif dalam pasaran eksport global.

Katanya, insentif cukai yang diberikan kepada modal teroka dan pelabur budiman akan turut dilanjutkan sehingga 2023 bagi menggalakkan sumber pendanaan alternatif untuk syarikat pemula niaga selain menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Selain itu, Guan Eng berkata, dalam usaha menggalakkan aktiviti dengan nilai tambah tinggi dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) untuk beralih kepada ekonomi digital 5G dan Industri 4.0, kerajaan bercadang untuk memberi pengecualian cukai sehingga 10 tahun bagi syarikat E&E yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan tertentu.

Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia juga akan diberi, katanya.

Bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Guan Eng berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan pendapatan cukai boleh bercukai sehingga RM600,000 pada tahun depan berbanding RM500,000 ketika ini dengan kadarnya dikekalkan pada 17 peratus.

Ini tertakluk kepada PKS yang memiliki modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak lebih RM50 juta, katanya.

Mengenai GST, katanya berkata kerajaan berjaya mengembalikan pembayaran balik cukai itu berjumlah sehingga RM15.9 bilion kepada lebih 78,000 syarikat pada akhir September 2019 dan bayaran balik cukai berjumlah RM13.6 bilion kepada 448,000 syarikat dan 184,000 pembayar cukai.

Bagi menambah baik kecekapan pengurusan rayuan pembayar cukai, kerajaan akan menggabungkan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Tribunal Rayuan Kastam ke dalam Tribunal Rayuan Cukai.

“Menerusi cara ini, pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia boleh mengemukakan rayuan berkaitan cukai di bawah semua undang-undang cukai yang tertakluk kepada Tribunal Rayuan Cukai yang akan beroperasi pada 2021,” katanya.

Katanya, mulai Januari 2021, rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun dan entiti korporat akan diberi Nombor Pengenalan Cukai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penantian tiga tahun bomba akhirnya tertunai

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Penantian 14,400 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba akhirnya tertunai selepas kerajaan mengumumkannya menerusi Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid menyifatkan pemberitan elaun yang dituntut sejak 2015 itu akan meringankan beban kewangan pegawai dan anggota dalam menghadapi kos saraan hidup yang semakin mencabar.

“Kelulusan ini secara langsung akan menaikkan semangat dan moral serta sebagai elemen motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan dengan lebih cemerlang serta penuh dedikasi lagi,” katanya ketika dihubungi.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan elaun RM200 sebulan kepada anggota JBPM dan kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin berkata, kenaikan elaun itu mulai 1 Januari depan membuktikan kerajaan mengiktiraf tugas dan peranan jabatan itu.

“Saya percaya kenaikan ini akan memberi satu lonjakan moral kepada anggota dan seterusnya meningkatkan peranan kita dalam menjaga keselamatan komuniti,” katanya.

​​​​​​​-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: RM64.1 bilion sedia pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Komitmen kerajaan untuk melabur demi masa depan anak-anak dalam bidang pendidikan dan menyediakan pendidikan yang berkualiti jelas terlihat, apabila Kementerian Pendidikan (KPM) terus menjadi penerima peruntukan terbesar melalui Belanjawan 2020.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan kepada kementerian itu pada tahun hadapan berbanding RM60.2 bilion pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020 bagi memastikan sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Ia meliputi peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM300 juta untuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM50 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta) dan Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta).

Turut menerima peruntukan itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Tahfiz (RM50 juta), Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian (RM25 juta), Sekolah Pondok yang berdaftar (RM25 juta), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM20 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebanyak RM15 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata bagi SK, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan KPM di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembentungan sebanyak RM12 juta sekali gus memberi manfaat kepada 2,000 sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

500 bas elektrik pelbagai saiz perluas pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ berkata usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

Dalam pada itu beliau berkata pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL yang dilancarkan pada awal tahun ini memanfaat lebih 120,000 pengguna pengangkutan awam.

“Kerajaan juga melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan Rapid Ferry,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu bagi kemudahan penduduk luar bandar pula, beliau berkata kerajaan akan terus menyokong sambungan ‘last-mile’ di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi menaik taraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah.

“Ini akan meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk tempatan di samping menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Guan Eng berkata bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, kerajaan akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Katanya, melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik.

“Sebagai sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya.

Sementara itu bagi mengurangkan beban tol lebuh raya, Guan Eng berkata jemaah menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS dan cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan.

“Diskaun tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Berita baik buat penjawat awam, dapat bantuan RM500

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Beberapa berita baik diumumkan dalam Belanjawan 2020 bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti 1.6 juta penjawat awam yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam, selain turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara kerajaan yang turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen.

Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berhubung penambahbaikan saraan penjawat awam, Guan Eng berkata kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

Beliau berkata, kerajaan juga membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Menawarkan Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100,000 secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya.

Bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, Lim berkata kerajaan akan memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Jan, 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan RM26 juta.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan RM35 juta bagi 2020, yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia. Oleh itu, bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM35 juta,” umumnya lagi.

Selaras falsafah 3R (Repair, Replace and Restore), Lim berkata kerajaan akan memperuntukkan RM330 juta kepada Bahagian Pengurusan Hartanah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam.

Sebagai tambahan, RM150 juta untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan sama, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lapan juta pemandu nikmati subsidi petrol

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bermula Januari 2020, PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan itu, akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

“Pertama ialah bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal.

“Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata kategori kedua iaitu bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Katanya, Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.

“Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur dan ini akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan, yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak kerajaan.

“Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter,” katanya.

Guan Eng turut menegaskan bahawa kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi tersebut.

Katanya, kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau​​​​​​ kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

“Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja,” katanya.

Tambahnya, pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

“Sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP ini, maka kerajaan bersedia menerima permintaan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM30 juta tangani jerebu dari Indonesia

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan dan pencemaran di negara ini dizahirkan melalui peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia bagi menangani isu itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti kedua-dua agensi tersebut.

Katanya, usaha itu juga untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar setelah negara dikejutkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dan masalah jerebu rentas sempadan baru-baru ini sehingga menjejaskan kesihatan rakyat negara ini.

Bagi mengurangkan insiden banjir kilat, Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM443.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir manakala RM150 juta bagi menyelenggara pengurusan kolam takungan banjir sedia ada.

“Selain itu, untuk membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta untuk menyediakan pinjaman pada kadar faedah empat peratus,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Guan Eng berkata kerajaan juga komited dalam memulihara keaslian hutan dan biodiversiti semula jadi dengan memperuntukkan RM48 juta bagi tujuan tersebut.

“Sejumlah RM10 juta akan dikhususkan kepada sektor swasta melalui geran padanan. Usaha ini termasuklah menyokong inisiatif Central Forest Spine dan Heart of Borneo selain memulihara hutan terosot,” katanya.

Kerajaan juga katanya, menyokong segala usaha melindungi haiwan terancam termasuk spesies Harimau Malaya dan orang utan dengan menyediakan RM15 juta kepada Perikatan Pemuliharaan Malaysia bagi Harimau (MYCAT), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, dianggarkan terdapat kurang daripada 200 Harimau Malaya dan 11,000 orang utan yang menghuni hutan.

Untuk tujuan sama, Guan Eng berkata sejumlah RM20 juta disediakan bagi melantik renjer daripada kalangan askar bersara dan masyarakat Orang Asli setempat untuk melindungi flora dan fauna dengan baik.

Mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), katanya kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk dana padanan bersama SDG antara Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membiayai inisiatif SDG.

“Sebagai tambahan, kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta untuk Jawatankuasa Pilihan Khas dan aktiviti berkaitan SDG di peringkat akar umbi membabitkan Ahli Parlimen dan masyarakat setempat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skim rumah belia pemilik pertama dilanjut hingga 31 Disember 2021

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu belia memiliki rumah pertama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata skim itu juga menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.

Katanya, melalui kerjasama sektor swasta, kerajaan juga melancarkan Kempen Pemilikan Rumah di mana pemaju menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

“Setakat ini, kira-kira 21,000 unit rumah bernilai RM13.44 bilion telah berjaya dijual di bawah kempen ini yang melebihi sasaran jualan awal RM3 bilion.

“Oleh itu, kerajaan juga melanjutkan tarikh akhir kempen ini selama enam bulan lagi daripada 30 Jun kepada 31 Disember tahun ini,”

Katanya, bagi membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah, kerajaan juga akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki.

Melalui skim untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

“Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

“Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan, serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli,” katanya.

Lim berkata pada Januari tahun ini, Bank Negara Malaysia telah melancarkan Dana Rumah Mampu Milik bagi membantu pembeli rumah golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah pertama mereka, dengan nilai hartanah sehingga RM150,000 pada kadar faedah konsesi sehingga 3.5 peratus.

Sejak 1 Sept lepas, kriteria kelayakan ini telah diperluaskan dengan menetapkan nilai hartanah sehingga RM300,000 bagi isi rumah berpendapatan maksimum RM4,360 sebulan, yang merupakan pendapatan ambang untuk B40.

“Sehingga September 2019, sebanyak 2,840 permohonan berjumlah RM472.7 juta telah diterima. Kadar kelulusan adalah sebanyak 77.9 peratus dengan 982 jumlah permohonan bernilai RM156.2 juta diluluskan,” katanya.

Katanya, bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019, kerajaan turut akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing.

Sementara itu, Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta pada tahun hadapan untuk membaik pulih keadaan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik.

Beliau berkata peruntukan itu bagi memastikan perkhidmatan lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung adalah selamat dan berada dalam keadaan baik.

“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dan akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat serta program keselamatan lain,” katanya.

Manakala sebagai respon kepada pandangan rakyat berhubung Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas pelupusan harta tanah oleh individu warganegara dan pemastautin tetap selepas tempoh lima tahun, kerajaan akan menambah baik layanan CKHT dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan harta tanah bagi harta tanah yang diperoleh sebelum 1 Januari 2013 berbanding 1 Januari 2000 yang ditetapkan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gaji minimum naik RM1,200 di bandar utama

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar utama.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Pada Januari 2019, kerajaan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu akan meliputi empat perkara iaitu pertama, meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Katanya, kajian semula itu turut membabitkan langkah memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.

“Ketiga, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan keempat, memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan memperuntukan RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi taman asuhan kanak-kanak (taska) terutamanya di hospital dan sekolah bagi menambah baik persekitaran kerja bagi wanita dan ibu bapa.

“Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke taska dan taman didikan kanak-kanak (tadika) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000,” katanya.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan berjaya menyediakan 66 taska baharu di bangunan kerajaan dengan peruntukan RM10 juta (dalam Belanjawan 2019) berbanding sasaran awal 50 taska.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan Musim Tengkujuh: Pekebun kecil nikmati peruntukan RM200 juta

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Memahami kesan harga komoditi yang rendah terhadap mata pencarian pekebun kecil, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta melalui Bantuan Musim Tengkujuh, kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

“Kerajaan memahami kesukaran disebabkan harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh. Dalam masa sama, kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua kerajaan Pakatan Harapan, sejak ia memerintah pada Mei 2018.

Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Guan Eng berkata kerajaan akan terus menyokong industri tersebut dengan pelbagai langkah bagi membela nasib golongan tersebut.

Katanya, kerajaan akan memperuntukkan RM810 juta untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan memperuntukkan RM250 juta untuk program meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka manakala RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka.

Beliau berkata, sejumlah RM100 juta akan disalurkan untuk bekalan air FELDA dan RM70 juta untuk perumahan generasi baharu peneroka FELDA.

“RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA,” kata Lim.

Katanya, peruntukan sebanyak RM738 juta akan disalurkan kepada RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan.

“Peruntukan ini akan memanfaatkan lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta FELCRA,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020: Jaringan digital berkualiti di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan akan membangunkan infrastruktur diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun.

Pelaksanaan itu akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti, di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata pelan itu akan membabitkan pelaburan RM21.6 bilion, melalui kerjasama awam swasta.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan membiayai lebih separuh daripada pelaburan yang diperlukan, dengan pelaburan oleh sektor swasta dalam bidang telekomunikasi melalui geran padanan.

“Sebagai sebahagian daripada NFCP, kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara.

“SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit,” katanya.

Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM210 juta untuk mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutama sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian di mana keutamaan akan diberikan kepada lokasi di negeri yang dapat memudahkan dan mempercepat pelaksanaan NFCP.

Katanya, kesungguhan melaksanakan NFCP adalah penting dalam memperkenalkan teknologi dan perkhidmatan 5G kepada rakyat, justeru bagi menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat Malaysia dalam menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia, yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G, kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memperuntukkan RM25 juta untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan, untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri, teknologi ‘blockchain’ serta produk dan perkhidmatan lain yang memanfaatkan pelaburan dalam infrastruktur gentian optik dan 5G.

“Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi, misalnya pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem.

“Oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital, khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kemakmuran bersama dengan syarikat digital yang berjaya, kerajaan akan memperkenalkan konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang merupakan komitmen sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital, untuk masyarakat yang memerlukan.

“Untuk tujuan ini, sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberikan potongan cukai,” katanya.

Katanta, dalam tempoh setahun ini, reformasi kawal selia oleh SKMM bagi Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), telah berjaya mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan mencetuskan anjakan permintaan pengguna untuk rangkaian internet yang lebih pantas.

-BERNAMA