Categories
GLOBAL SUKANKINI

Jokowi mahu isu bendera tidak diperbesarkan

JAKARTA 20 OGOS: Presiden Joko Widodo hari ini meminta semua pihak agar tidak memperbesar-besarkan isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Media-media dalam talian hari ini memetik Presiden Republik Indonesia itu sebagai berkata walaupun perkara berkenaan sangat dikesali namun rakyat negaranya diminta tidak bersikap berlebihan berhubung isu itu.

“Tidak usah dibesarkan-besarkan,” katanya seperti yang dipetik oleh Detik.com Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Malaysia haruslah memohon maaf secara rasmi kepada Indonesia.

“Kita menunggu permintaan maaf daripada pemerintah Malaysia, kerana menyangkut sebuah kebanggaan, nasionalisme daripada bangsa kita Indonesia.

Kita tunggu permintaan maaf rasmi,” kata presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu.

Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc) dalam kenyataan awal hari ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Menurut Masoc, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi Masoc akan membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya Imam Nahrawi, hari ini, untuk memohon maaf bagi pihak jawatankuasa itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Polis siasat bendera Indonesia dicetak terbalik

JOHOR BAHRU 20 OGOS: Polis menjalankan siasatan berhubung kesilapan bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata upacara pembukaan Sukan SEA ke-29 (KL2017), lapor BH ONLINE.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata kesilapan teknikal itu sudah diperjelaskan namun menyifatkan insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku.

“Kita tidak mahu insiden ini membuatkan pihak Indonesia berkecil hati.

“Saya belum mendapat maklumat dari pihak Indonesia namun kita mengambil langkah siasatan supaya perkara ini tidak berulang.

“Hubungan kita dengan negara jiran terdekat ini amat penting, lebih-lebih lagi mereka menyertai KL2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor, di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Semalam, bendera Indonesia dikesan disalah cetak terbalik pada buku cenderamata pembukaan KL2017.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada rakyat Indonesia atas kesilapan berkenaan.

=EZY=