Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Majlis Perbandaran Selayang sita empat lori buang sampah haram

Lori yang disita anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang dalam operasi di Batu 8 1/2, Jalan Gombak pada 11 Februari 2022. Foto MPS

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita empat lori kerana terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram dalam dua operasi berasingan sekitar daerah itu.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata tiga lori disita dalam operasi dijalankan anggota penguatkuasa MPS di Batu 8 1/2, Jalan Gombak semalam, manakala sebuah lagi di Jalan Kampung Baru Kundang Rawang kelmarin.

Menurut Mohamad Zin, pemilik lori berkenaan turut dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 21 di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS (2007).

“Kesemua lori yang disita sudah dibawa ke depoh tahanan MPS dan akan ditahan selama 30 hari,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa terutama di lokasi yang sering berlaku aktiviti itu atau lokaliti panas bagi membanteras kegiatan sedemikian.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dikesan melakukan aktiviti pencemaran alam sekitar di kawasan pentadbiran MPS.

“Bersama kita lindungi alam sekitar dan pastikan buang sampah di tempat yang dibenarkan kerana MPS amat memandang serius isu pembuangan sampah haram,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

48 lori KDEBWM giat angkut sisa banjir di Taman Sri Nanding

SHAH ALAM, 27 DIS: Lori KDEB Waste Management (KDEBWM) sedang giat menjalankan kerja mengangkut sisa banjir dan sampah di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, kata Dato’ Menteri Besar.

“Pergerakan 48 buah lori ‘armroll’ bagi mengangkut serta membersihkan sisa banjir dan sampah setelah pembersihan besar-besaran di Taman Sri Nanding.

“Data dipantau secara ‘live update’ di Command Center KDEB Waste,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.


Pergerakan lori sentiasa dipantau menerusi Pusat Arahan KDEBWM. Foto Facebook KDEBWM
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk diminta tidak halang laluan lori KDEBWM angkut sisa banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta kerjasama orang ramai agar tidak menghalang laluan lori sampah yang memasuki kawasan perumahan bagi mengeluarkan sisa pascabanjir.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata kontraktor perlu mempercepatkan proses mengangkut sisa tinggalan tersebut supaya lebih banyak pusingan dapat dilaksanakan di setiap kawasan terjejas.

Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir

“Apabila mangsa pulang ke kediaman masing-masing, sudah tentu mereka akan periksa barang dan asingkan sampah termasuk meletak kenderaan rosak yang ditenggelami air di luar rumah.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Lori Roll On Roll Off (RoRo) tidak dapat masuk, ditambah pula laluan kawasan tersebut sempit sekali gus menyukarkan proses mengangkut sampah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberi sokongan dalam melancarkan kerja berkaitan.

“Banyak pihak bantu kita kali ini, ada lebih 20 PBT luar turut serta dengan membawa segala aset yang ada termasuk barangan keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa bencana,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak Ahad lalu secara berperingkat dan menjangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada PBT negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penduduk dirayu tidak halang laluan lori sampah ketika parkir kenderaan

SHAH ALAM, 28 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) merayu kerjasama penduduk agar meletakkan kenderaan lebih teratur agar tidak menghalang laluan lori sampah domestik.

Pengarah Urusan Ramli Mohd Tahir berkata tindakan segelintir individu yang tiada kesedaran menyukarkan operasi kutipan sampah mengikut jadual.

“Saya faham ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 80 peratus bekerja dari rumah dan bakinya di pejabat. Malah, kenderaan juga akan lebih banyak berbanding biasa.

“Justeru, saya menyeru mereka yang berada di kediaman bertingkat atau tidak tolong letakkan kenderaan di tempat sepatutnya dan tidak menghalang laluan lori,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa 300 kakitangan KDEBWM menerima vaksin dos pertama menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bangi, semalam.

Sementara itu, Ramli berkata beliau menyeru orang ramai membuang pelitup muka terpakai dengan cara yang betul dan di tempat sepatutnya.

Menurutnya, pembuangan secara salah akan menyebabkan virus Covid-19 merebak sekali gus memberi risiko kepada pengutip sampah.

“Perkara ini amat penting kerana kita tidak tahu berapa tempoh masa virus itu hidup di pelitup muka tersebut dan secara tak langsung boleh merebak kepada pengutip sampah atau orang lain yang bersentuhan dengannya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bendera terbalik: Polis tahan pemandu lori, empat pekerja

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Seorang pemandu lori sampah dan empat pekerja warga Bangladesh semalam ditahan, berhubung bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di depan lori mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 36 tahun, berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pengadu menahan lori berkenaan dan menegur pemandu serta merakam insiden itu di hadapan sebuah masjid di Bandar Country Homes di Rawang, semalam, sebelum ia menjadi tular di media sosial.

“Ekoran itu, pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Sekyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain pemandu lori berumur 48 tahun ditahan, turut ditahan adalah empat lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja syarikat yang sama, berumur lingkungan 30 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arifai berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan akan direman esok.

-BERNAMA