Categories
AGENDA NASIONAL

Usia 22 tahun sudah miliki kebun sayur, gaji enam pekerja

RAUB, 25 JULAI: Usianya baru 22 tahun, namun Azmani Nurdin yang merupakan Orang Asli suku Temuan boleh berbangga kerana berkeupayaan menggaji enam pekerja di kebun sayur miliknya di RPS Sungai Bilut di sini, yang diusahakan sejak tiga tahun lepas.

Azmani berkata kebun yang dilakukan dengan kaedah sistem fertigasi itu melibatkan timun, cili, terung dan petola yang ditanam secara giliran bagi memastikan kesuburan tanah terus kekal, sekali gus menjamin kualiti hasil tanaman.

Kebun seluas lebih 0.4 hektar itu mula diusahakannya seawal usia 19 tahun dan imbas Azmani, beliau terpaksa menebalkan muka memohon bantuan daripada pelbagai agensi selain meminjam daripada keluarga dan rakan untuk dijadikan modal permulaan.

“Ramai yang ragu-ragu dengan niat, kebolehan dan kesungguhan saya untuk memulakan projek ini. Usia yang muda mungkin menyebabkan ramai tidak percaya saya boleh pergi jauh…tambahan pula, saya tidak ada pengalaman.

“Saya hanya menoreh getah selepas tamat tingkatan lima dengan upah RM70 seminggu. Selepas itu, saya ke Pulau Pinang untuk belajar dalam bidang kemahiran. Jadi, tidak dinafikan saya kosong dalam pertanian,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di kebunnya hari ini.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada lima beradik itu mengakui bersyukur dengan sokongan ibu bapanya, Nurdin Ayob, 54, dan Rohani Jo, 45, yang membenarkan dia membuka tanah milik ibunya, selepas mereka berulang kali bertanya jika beliau benar-benar yakin boleh melakukannya.

“Tanah masih semak semasa saya baru membukanya. Semasa itu, saya terpaksa memekakkan telinga apabila ada yang bergurau menunjuk ke arah semak dan bertanya jika itu adalah sayur yang saya tanam.

“Selepas hasil pertama masih ada yang tidak yakin saya boleh meneruskan kerjaya sebagai petani. Tapi, alhamdulillah berkat usaha dan sokongan semua, mereka kini sudah nampak bidang pertanian boleh mendatangkan pendapatan,” katanya.

Seperti petani lain, Azmani berkata dirinya juga pernah diuji apabila tanaman cili yang diusahakan pada hujung tahun 2017 diserang penyakit sehingga mengalami kerugian hampir RM40,000 menyebabkan beliau ‘terduduk’ kerana bimbang bagaimana hendak membayar gaji pekerja.

Enggan mengalah, Azmani mengumpul pekerjanya untuk menerangkan situasi sebenar dan atas semangat berpasukan, mereka bangkit semula dengan menanam tanaman baharu bagi mendapatkan semula modal pusingan.

Buat masa ini, kebun itu diusahakan dengan tanaman timun dan jangkaan tuaian sebanyak 20 tan yang akan dipasarkan ke Pasar Borong Selayang, Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kiraan pulangan sebanyak RM20,000.

“Saya bersyukur kerana hasil tanaman boleh memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada keluarga. Jika dahulu ada masanya kami terpaksa makan ubi kayu, namun kini setiap hari kami boleh menjamah nasi.

“Saya sering mengingatkan diri supaya tidak lupa dengan kesusahan dahulu. Ada masa kami menjamu keluarga pekerja dan rakan-rakan selain turut bersedekah hasil sayur kepada mereka yang memerlukan sebagai berkongsi rezeki,” katanya.

Azmani berkata bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian, beliau mula menyambung pelajaran di Institut Pertanian Lipis, dekat sini pada awal tahun ini dan berulang-alik dengan menaiki bas pada setiap hujung minggu untuk ke kebun sebelum pengajian ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Sepanjang ‘peninggalannya’, kebun itu diselia abangnya Shukran, 23, selain turut dibantu bapa mereka bagi memastikan kerja harian seperti menyiram, membaja dan menuai jika sudah tiba musimnya dilakukan mengikut jadual.

“Saya harap masyarakat Orang Asli dapat mengambil peluang yang disediakan kerajaan untuk berjaya sama seperti kaum lain. Kita seharusnya mengubah nasib sendiri. Jika diberikan seribu bantuan sekalipun, ia tidak akan ke mana jika bukan kita yang berusaha.

“Kita juga tidak boleh mempunyai sikap senang berpuas hati. Walaupun kebun boleh dikatakan dapat memberi gaji, saya sudah merancang mahu menyewa tanah pak cik yang bersebelahan untuk diusahakan pada bulan hadapan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Orang Asal yang sekarang bukan dahulu

Oleh: LIZAWATI MADFA

MASYARAKAT Orang Asal Malaysia khususnya di Selangor bukan lagi seperti yang kita dengar dan lihat seperti 20 tahun dahulu yang duduk di bawah kepompong mereka sahaja, bahkan digambarkan tidak bercampur dengan dunia luar.

Kini, kebanyakan mereka sudah berjaya dalam bidang yang dipelopori, bahkan ada yang bergelar Ahli Dewan Negara iaitu Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah.

black 505 orang asli tapah 01Di Selangor, masyarakat Orang Asal dilihat lebih ke hadapan, bahkan tiada beza lagi jika dibandingkan dengan kaum majoriti lain dan ia amat berpadanan dengan statusnya sebagai negeri termaju.

Bukan sesuatu yang menghairankan untuk melihat mereka memandu kereta import, memiliki telefon pintar, bekerjaya profesional dan ramai juga dalam kalangan Orang Asal yang mewakili serta mengharumkan nama negara.

Dalam arena sukan, nama Norashikin Mohd Sayed, 22, bukan lagi asing dalam acara perahu layar. Malah, anak muda dari Kampung Bukit Bakong, Sepang ini berjaya menyumbang emas pada Sukan SEA di Singapura selain pernah menghadiahkan pingat perak kepada negara di kejohanan Sukan ASEAN 2010.

Begitu juga dengan Amizan Silai, 40, yang aktif melalui sukan golf. Beliau beberapa kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan positif bahawa usahanya untuk menyertai Malaysia Master akan berhasil suatu hari nanti.

Mula bermain golf seawal usia 10 tahun, ternyata persekitaran perkampungannya di Kuala Kubu Bharu dengan kemudahan padang golf banyak membuka matanya untuk menyelami sukan berprestij tinggi itu.

SULTAN DAN ORG ASLIMasih lagi berkenaan sukan, walaupun baru berusia 19 tahun, Azrul Affendi Hadi menempa sejarah tersendiri apabila beberapa kali menaiki podium Cup Prix, bahkan anak jati Kampung Bukit Tadom ini bersedia untuk menyertai Grand Prix.

Bukan itu sahaja, seorang lagi anak Orang Asal, Shahar Koyok atau lebih dikenali sebagai Shaq, 30, puas menjelajah seluruh pelusuk dunia bagi mempamer dan menjual hasil karya seni lukisan dan arcanya ke serata dunia antaranya, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

“Kami juga punya tulang empat kerat, akal, semangat, dan keinginan untuk berjaya serta mengharumkan nama bangsa, agama dan negara.

“Jadi, mengapa harus kami menjauhkan diri. Tiada sebab untuk kami ke belakang dan kini adalah masanya untuk terus ke hadapan,” terngiang-ngiang lagi antara kata semangat keempat mereka yang menerima Anugerah Ikon, baru-baru ini.

Ternyata, sikap Orang Asal bukan lagi seperti dahulu yang hanya tahu berburu dan sekadar kais pagi makan pagi atau sekadar duduk di hutan umpama katak di bawah tempurung tetapi Orang Asal hari ini celik segala segi termasuk pendidikan, agama, pembangunan, ekonomi juga politik.

Di Selangor, Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan untuk merai dan membantu Orang Asal untuk terus bergerak ke hadapan bersama kemajuan negeri paling maju di Malaysia.

Daripada segi pendidikan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta melalui Belanjawaran Selangor 2015 khusus bagi membiayai pengajian mahasiswa Orang Asal di kampus.

Diberi gelaran Biasiswa Sagong Tasi, bantuan itu diyakini dapat menjamin kelangsungan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah seterusnya dapat membantu Orang Asal meningkatkan taraf hidup.

Begitu juga dengan usaha menarik minat mereka yang keciciran persekolahan untuk menyertai kelas tambahan percuma melalui program Impian Malaysia anjuran DAP Kuala Kubu Bharu sebelum ini.

anak-orang-asli-pertak- NEWProgram itu diwujudkan bagi membangkitkan minat anak Orang Asal untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi selepas Kerajaan Negeri mengenalpasti masih wujud lagi dalam kalangan mereka yang sekadar menghabiskan sekolah rendah,

Bukan daripada segi pendidikan sahaja, bahkan urusan syariah Orang Asal yang beragama Islam turut diberikan perhatian.

Pada April lalu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Naim Mokhtar turun sendiri ke Perkampungan Orang Asal Sungai Lalang, Hulu Langat bagi menyelesaikan beberapa kes syarie.

Inisiatif itu juga diambil selepas memikirkan kesukaran Orang Asal untuk ke bandar bagi menghadiri sesi perbincangan dan perbicaraan kes membabitkan mereka.

Baru-baru ini juga, buat pertama kali, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meraikan Orang Asal dalam program jalinan kasih bersama lebih 300 masyarkat itu dari 74 perkampungan seluruh Selangor.

Ternyata Orang Asal gemibra diraikan dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada tahun akan datang.