Categories
AGENDA NASIONAL

Kelas secara bersemuka pelajar sekolah menengah mulai 4 April

SHAH ALAM, 5 MAC: Sesi persekolahan untuk 2022/2023 tetap dibuka mengikut tarikh ditetapkan pada 21 Mac ini, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata sesi persekolahan pelajar menengah dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terlebih dahulu selama dua minggu bermula tarikh buka sekolah.

Beliau menjelaskan pelajar sekolah menengah hanya dibenarkan hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 4 April tanpa penggiliran.

“Keputusan ini tertakluk kepada semua murid berkeperluan khas di sekolah menengah pendidikan khas (SMKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

“Ia turut membabitkan pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, prauniversiti,  International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Beliau berkata untuk sekolah berasrama penuh pula, pelajar yang dibenarkan pulang kes asrama pada 4 April adalah pelajar tingkatan 2, 3, 4, 5, prauniversiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara

“Pelajar tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian sehingga tarikh kemasukan ke asrama diumumkan,” katanya,

Categories
AGENDA NASIONAL

94,000 pelajar dari 10 negeri mula sesi persekolahan bersemuka hari ini

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sesi persekolahan secara bersemuka di 10 negeri melibatkan kira-kira 94,000 pelajar bermula hari ini, mengikut ketetapan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing.

Ia melibatkan pelajar di Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang berada dalam Fasa Dua; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang dan Sarawak (Fasa Tiga); Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan (Fasa Empat).

Pembukaan sekolah hari ini membabitkan pelajar Tingkatan Enam Semester Dua, kelas peperiksaan antarabangsa, murid berkeperluan khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang hadir tanpa penggiliran mengikut ketetapan Fasa Dua.

Bagi Negeri Sembilan dan Labuan, ia melibatkan murid prasekolah, MBK dan PPKI, pelajar kelas peperiksaan awam di sekolah asrama, sekolah harian dan swasta serta kelas peperiksaan antarabangsa, mengikut ketetapan fasa tiga.

Semalam, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

Johor dan Kedah hanya akan memulakan sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 10 Okt.

-BERNAMA