Rakaman Forum : PROTES RAKYAT atau DEWAN RAKYAT

Forum ini telah disiarkan secara langsung pada 26 Ogos 2014, 830 malam bertempat di Kini Building, Petaling Jaya.

Fathi Aris Omar – Moderator
Datuk A. Kadir Jasin – Pengulas Politik
Datuk Saifuddin Abdullah – Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
Gan Ping Sieu – Bekas Timbalan Menteri Belia & Sukan
Maria Chin Abdullah – Pengerusi Bersih

Categories
KENYATAAN MEDIA

Siswa UiTM berhak sertai BERSIH 4

Kami mengecam kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Sahol Hamid Abu Bakar, yang menghalang siswa UiTM daripada menyertai BERSIH 4 dan ugutan yang beliau keluarkan terhadap siswa yang ingin menyertai perhimpunan aman ini.

Hakikatnya penyertaan himpunan BERSIH adalah sesuatu yang sah dan dilindungi di dalam artikel 10 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

Kenyataan Naib Canselor bahawa perhimpunan BERSIH 4 adalah haram merupakan satu kenyataan yang salah. Hak berhimpun secara aman seperti yang ingin dianjurkan BERSIH adalah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

BERSIH 4Sebagai seseorang yang bergelar Naib Canselor, beliau tidak seharusnya bertindak melangkaui tafsiran undang-undang terutamanya Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara. Kami meminta agar Naib Canselor menghormati Keluhuran Perlembagaan, Rukunegara yang ketiga.

Kenyataan terbaru Naib Canselor ini adalah sesuatu yang mengecewakan dan tidak mencerminkan status beliau sebagai seorang terpelajar, yang sepatutnya menggalakkan pemikiran kritis di kalangan siswa dan menghormati kebebasan akademik para siswa.

Hakikatnya, para siswa bebas untuk memilih dan pastinya bebas untuk mempunyai pendirian politik mereka sendiri. Ini bukanlah tugas seorang Naib Canselor untuk menakut – nakutkan siswa dan lebih lagi cuba menentukan pemikiran siswa masa kini.

Naib Canselor juga telah gagal untuk berlaku jujur apabila melibatkan penyertaan mahasiswa di dalam himpunan aman.

Faktanya, UiTM sendiri pernah membenarkan para siswa UiTM untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Ogos 2008, bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan membuka kuota pengambilan pelajar sebanyak 10% kepada pelajar bukan Bumiputera.

Himpunan ini tidak dihalang malah telah digalakkan untuk para siswa menyertainya. Ini menjadi bukti bahawa, menyertai perhimpunan aman adalah tidak salah di sisi undang – undang UiTM.

Kami selaku alumni UiTM, ingin menyeru semua mahasiswa, yang benar – benar peduli dengan masa depan kita dan negara ini, yang tidak sanggup lagi melihat kepincangan dan kebobrokan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional – bersama – samalah kita menyertai himpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos ini, waima di Kuala Lumpur, Kuching mahupun Kota Kinabalu menuntut perubahan demi menyelamatkan Malaysia.

Dr AFIF BAHARDIN (MBBS UiTM 2003 – 2009)
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
TImbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

DYANA SOFYA
Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan

27 Ogos 2015

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapa Bersih 4 dan mana martabat Parlimen Malaysia?

Oleh: OOI HENG

Setelah rombakan kabinet yang penuh kontroversi dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai 2015, salah satu hujah utama yang dilontarkan untuk mempertahankan tindakan drastik ini adalah bahawa tindakan seeumpama mematuhi prinsip kebertanggungjawaban kolektif (collective responsibility).

Hujah ini sah. Tiada pertikaian. Prinsip kebertanggungjawaban kolektif mendasari sistem parlimen berdemokrasi yang dipraktiskan oleh sistem perundangan di Malaysia. Malahan, perlembagaan persekutuan juga memaktubkan betapa pentingnya prinsip ini dihayati oleh cabang-cabang kuasa merangkumi kabinet dan parlimen Malaysia.

Apa yang menjadi pertikaian adalah, prinsip kebertanggungjawaban kolektif mempunyai tiga komponen yang mencorakkan makna sebenar pengoperasian kabinet dan parlimen. Sedangkan hujah yang dipropagandakan sebagai hujah arus perdana selama ini hanyalah menyentuh satu komponen dan mengetepikan dua komponen yang lain.

Tiga komponen yang dimaksudkan di sini ialah:

Pertama, berlainan dengan sistem presidential di mana warganegaranya memilih kedua-dua ahli kongres dan Presiden, dalam sistem kabinet yang dipraktis di Malaysia, rakyat memilih ahli Parlimen.

Selepas itu, parti atau gabungan parti yang memegang majoriti kerusi di parlimen membentuk kabinet. Perdana Menteri lahir daripada parti atau gabungan parti yang memegang majoriti kerusi dan melantik anggota kabinetnya.

Kedua, setelah dibentuk kabinet, ahli parlimen yang merupakan anggota kabinet dibezakan daripada ahli parlimen yang lain. Hal ini kerana anggota kabinet secara kolektifnya mewakili cabang eksekutif sedangkan ahli parlimen yang lain, secara kolektifnya, mewakili cabang perundangan.

Maka, dalam perbincangan prinsip kebertanggungjawaban kolektif, harus diingatkan bahawa Perdana Menteri diberi kuasa membentuk kabinetnya, dan kemudian, kabinet ini harus bertanggungjawab secara kolektif kepada parlimen.

Hal ini juga bermaksud, semua ahli parlimen, merangkumi ahli parlimen pihak pemerintah, pihak “bebas” dan pihak oposisi, mewakili parlimen dan harus berdepan dengan kabinet secara kolektif juga.

Jangan kerana Malaysia belum pernah mengalami pertukaran parti atau gabungan parti pemerintah di peringkat persekutuan, ahli parlimen backbencher terlalu asyik melihat diri sebagai sebahagian daripada parti atau gabungan parti pemerintah sehingga mengetepikan peranan sebenar ahli parlimen backbencher.

Ketiga, prinsip kebertanggungjawab kolektif cuba mengingatkan anggota kabinet bahawa kuasa mereka diamanahkan oleh rakyat dan pada masa yang sama, proses demokrasi yang menyaksikan kabinet lahir daripada parlimen melalui pilihan raya bermakna, legitimasi pengoperasian kabinet bergantung kepada sejauh mana kabinet mempraktiskan prinsip ini dalam keseluruhannya, khususnya apabila seorang Perdana Menteri dilanda kontroversi.

Hal ini bermaksud, daripada kuasa Perdana Menteri melantik anggota kabinet, kepada kuasa parlimen menyemak kuasa kabinet, dan kuasa rakyat menuntut letigimasi kabinet dan parlimen dipertahankan melalui perhimpunan jalanan secara aman, ketiga-tiga kuasa tersebut memenuhi semangat sistem demokrasi berparlimen yang dipraktiskan di Malaysia.

Hal ini juga bermaksud, Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2015, menonjolkan gerakan rakyat mempraktiskan dan melengkapkan prinsip kebertanggungjawaban kolektif dalam konteks demokrasi berparlimen.

Kes 1MDB dan RM2.6 bilion telah memalukan Malaysia di persada antarabangsa. Rakyat Malaysia berada di seluruh pelosok dunia. Pada ketika kabinet berdepan dengan krisis legitimasinya, kebangkitan rakyat yang cintakan Malaysia dapat mengembalikan maruah Malaysia dan mengangkat martabat parlimen, sekali gus menyelesaikan krisis legitimasi dalam konteks dan proses demokrasi berparlimen.

Saudara saudari ahli parlimen backbencher, mari kita bersama-sama bertemu di perhimpunan Bersih 4.

# Ooi Heng adalah Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Categories
KENYATAAN MEDIA

Wanita PKR sokong BERSIH 4

Oleh: ZURAIDA KAMARUDDIN

Wanita PKR menggesa semua anggota keluar beramai ramai untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4 pada 29-30 Ogos ini. Antara 5 tuntutan BERSIH 4 adalah 1) Pilihanraya yang bebas dan adil 2) Ketelusan kerajaan 3) Hak berhimpun 4) Memperkukuhkan sistem parlimen demokrasi 5) Menyelamatkan ekonomi negara.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu peka terhadap kegawatan ekonomi semasa yang sedang dihadapi negara dan harus menyuarakan kebimbangan ini disaat kita semakin hampir kepada Hari Kemerdekaan. Ini adalah satu peluang besar untuk mengadakan bantahan aman membawa suara rakyat yang perlu didengari oleh Kerajaan. BERSIH 4 adalah tanggungjawab bersama bagi mereka yang sayangkan negara ini dan mahu menyelamatkan Malaysia.

Wanita PKR berpendapat bahawa menjadi satu keperluan untuk menyediakan ruang yang lebih demokratik dan kurang campur tangan kerajaan terutamanya dalam hal-hal berkaitan penguatkasaan dan badan kehakiman. Pemisahan kuasa adalah asas kepada demokrasi yang sihat.

Maka, tibanya pengakhiran Ogos ini, Wanita PKR menjangkakan separuh kehadiran BERSIH 4 adalah wanita. Mereka akan berhimpun secara aman dan menuntut 5 perkara dalam tuntutan BERSIH 4. Wanita Keadilan mengucapkan tahniah kepada Maria Chin Abdullah kerana menganjurkan BERSIH 4 dan mengiktiraf usaha beliau dalam menjayakan perhimpunan aman ini. Tidak lupa juga sumbangan Dato Ambiga Streenevasan yang mempunyai matlamat sama bersama BERSIH. Pergerakan bersih jelas dapat disimpulkan sebagai “Wanita Turut Memimpin Perubahan”.

# Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pesta demokrasi 34 Jam Bersih4

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai Pesta Demokrasi 34 Jam Bersih 4 di Kuala Lumpur bermula jam 2 petang 29 Ogos 2015 sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos 2015.

Jawatankuasa Pengelola Bersih 4 telah memutuskan untuk berkhemah semalaman di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi mendesak penambahbaikan institusi demi 5 tuntutan Bersih 4 iaitu, Bersihkan Pilihanraya, Kerajaan Bersih, Hak Membantah, Kukuhkan Demokrasi Parlimen dan Selamatkan Ekonomi Malaysia.

BERSIH 4BERSIH 2.0 menjemput rakyat Malaysia untuk turut serta dalam perhimpunan yang pertama kali seumpamanya diadakan dalam sejarah. Para peserta dinasihatkan untuk membawa alas kanvas, beg tidur, khemah mudah alih, serta keperluan untuk bermalam dan menjalani hujung minggu di tengah ibu kota.

BERSIH 2.0 telah memaklumkan pihak Polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tentang perhimpunan Bersih 4 dan menyatakan kesediaan berbincang dengan pihak Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya keselamatan rakyat Malaysia terjamin dan lalulintas di ibu kota terkawal sepanjang berlangsungnya perhimpunan aman ini nanti.

Orang ramai dicadang berkumpul di lima tempat sebelum bergerak menuju Dataran Merdeka: 1. Brickfields 2. Pasar Seni 3. Sogo 4. Masjid Negara 5. Dataran Maybank.

BERSIH 4Kami telah menyusun pelbagai acara, termasuklah bengkel-bengkel pendidikan sivil, perbincangan awam, persembahan seni budaya serta aktiviti kerohanian selain pidato-pidato oleh pemimpin masyarakat untuk para peserta himpunan.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa pada tarikh 14 Ogos kami akan memulakan proses undian atas talian untuk pertandingan poster ‘Jom Bersih4Malaysia’ yang telah dimulakan sejak hujung minggu lalu, bagi mengajak anak muda yang berbakat untuk memperlihatkan sokongan mereka melalui hasil karya masing-masing.

BERSIH 2.0 juga amat menghargai kempen-kempen yang telah dimulakan oleh rakyat Malaysia atas inisiatif sendiri, termasuk poster-poster, kempen nyalakan lampu, dan kempen ‘YellowRising Malaysia’ yang menganjurkan supaya rakyat Malaysia mula berpakaian kuning, atau mengikat kain kuning di pagar, pokok, beg dan sebagainya demi menyokong Bersih4.

Bagi merancakkan lagi kempen ini, kami turut mengajak orang ramai untuk mengikuti ‘Bersih4 Challenge’, dengan mengambil gambar masing-masing secara selfie atau apa sahaja dan menyatakan kesediaan menyertai perhimpunan Bersih 4, dan kemudian mencabar rakan-rakan mereka juga untuk melakukan perkara serupa.

BERSIH 2.0 berharap perancangan untuk meraikan demokrasi dalam kerangka mendesak penambahbaikan institusi demi sebuah negara yang lebih bersih dan adil dari segi ekonomi, sosial dan politik akan berjalan lancar, selari dengan peruntukan undang-undang.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0