Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor hulur makanan asas, baiki sistem paip keluarga B40

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan “Box of Hope” dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Sempena ulang tahun yang kedua ini, Air Selangor terus berbakti kepada masyarakat dengan
memperkasakan aktiviti komuniti khususnya dalam meringankan beban golongan yang memerlukan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dengan tema ‘Berkongsi Kegembiraan Bersama’, kami melaksanakan beberapa aktiviti bersama komuniti di
bawah program Sesama Mara, khususnya untuk golongan B40 yang amat memerlukan dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah agensi bantuan makanan asas melibatkan 222 individu dan keluarga di Kampung Ampang Indah, Taman Mulia Jaya, Persiaran Ampang Saujana serta Kampung Lembah Jaya Selatan.

Manakala inisiatif Perkhidmatan Pembaikan Paip untuk Golongan Kurang Berkemampuan melibatkan rumah kebajikan serta keluarga B40 sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha kami dalam memberikan kegembiraan kepada para pengguna, selain menerusi bekalan air bersih dan selamat yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor hulur bantuan makanan asas kepada 500 keluarga B40

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas kepada 500 keluarga berpendapatan rendah (B40) sejak Jun tahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata menerusi program ‘Box of Hope’ dengan kerjasama Village Grocer dan Yayasan Food Bank Malaysia, pihaknya menyumbang tepung, beras, makanan dalam tin, susu dan minyak.

“Inisiatif ini bermatlamat meringankan beban golongan tersebut yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19. Kita harap ia dapat membantu kelangsungan hidup terutama untuk mendapatkan sumber makanan harian,” katanya dalam kenyataan.

Elina menyeru orang ramai yang ingin menyumbang meletakkan barangan di lima lokasi ‘Box of Hope’ di Village Grocer, Tamarind Square Cyberjaya; MyTown Cheras; 1 Mont Kiara; I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

Selain itu, katanya, sumbangan melalui akaun bank juga boleh dibuat menerusi CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 dengan menyertakan catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’.

“Menerusi platform ini, orang ramai boleh terus membuat sumbangan tanpa perlu ke cawangan Village Grocer atau mana-mana pejabat wilayah Air Selangor,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ‘Box of Hope’ dan program Sesama Mara yang lain, boleh layari laman sesawang http://www.airselangor.com.

Hari ini, agensi itu turut mengagihkan sumbangan kepada 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor serah bekalan makanan, bantu 100 penduduk miskin

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) hari ini mengagihkan bekalan makanan kepada 100 penduduk kurang berkemampuan di Flat Taman Gasing Indah, Petaling Jaya.

Ketua komunikasi korporatnya berkata inisiatif ‘Box of Hope’ bertujuan membantu komuniti berpendapatan rendah yang kekurangan makanan asas sususulan pandemik Covid-19.

Elina Baseri berkata usaha yang dilancarkan pada 30 Jun lalu mendapat sokongan Yayasan Food Bank Malaysia dan berjaya membantu seramai 253 keluarga miskin.

“Sumbangan barang makanan boleh dibuat di lima lokasi ‘Box of Hope’ Village Grocer di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Air Selangor turut melancarkan platform baharu sumbangan melalui CIMB Bank Berhad (80-0798511-8) dengan menyertakan nota catatan bantuan inisiatif ‘Box of Hope’.

Elina berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan makanan asas khusus kepada penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin dan kawasan luar bandar.

“Dengan pelancaran akaun bank ini, Air Selangor berharap lebih banyak individu dan organisasi yang akan bersama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.