Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor hulur makanan asas, baiki sistem paip keluarga B40

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan “Box of Hope” dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Sempena ulang tahun yang kedua ini, Air Selangor terus berbakti kepada masyarakat dengan
memperkasakan aktiviti komuniti khususnya dalam meringankan beban golongan yang memerlukan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dengan tema ‘Berkongsi Kegembiraan Bersama’, kami melaksanakan beberapa aktiviti bersama komuniti di
bawah program Sesama Mara, khususnya untuk golongan B40 yang amat memerlukan dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah agensi bantuan makanan asas melibatkan 222 individu dan keluarga di Kampung Ampang Indah, Taman Mulia Jaya, Persiaran Ampang Saujana serta Kampung Lembah Jaya Selatan.

Manakala inisiatif Perkhidmatan Pembaikan Paip untuk Golongan Kurang Berkemampuan melibatkan rumah kebajikan serta keluarga B40 sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha kami dalam memberikan kegembiraan kepada para pengguna, selain menerusi bekalan air bersih dan selamat yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Laluan alternatif Jalan Batu Arang B27 dibuka sementara, baiki paip bocor

SHAH ALAM, 3 JAN: Laluan alternatif dibuka sementara kepada pengguna bagi mengelak kesesakan berikutan penutupan Jalan Batu Arang B27, Rawang bermula kelmarin, kata ahli dewan negerinya.

Chua Wei Kiat berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor yang berlaku di bawah tanah jalan berhadapan stesen minyak Petronas kira-kira dua minggu lalu.

“Pihak Air Selangor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah beberapa kali masuk ke bawah tanah sepanjang tempoh itu untuk memutuskan sumber air serta menurap jalan tetapi punca (air) tidak dapat dihentikan.

Kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor di Jalan Batu Arang B27 pada 3 Januari 2021. Foto ADN Rawang Chua Wei Kiat

“Susulan itu, saya bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen turun padang dan mengambil keputusan supaya kerja pengorekan jalan dan membaiki paip segera dibuat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata JKR diarah membuka laluan alternatif dan jalan sedia ada hanya dibuka kepada pengguna sebaik kerja baik pulih paip dan penurapan semula selesai.

“Kerja pembaikan dijadual selesai sepenuhnya semalam namun mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa masalah teknikal tidak dapat dielakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Chua menjangka kerja berkaitan mampu disiapkan hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Justeru, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika melalui jalan tersebut. Pekerja JKR dan Air Selangor ditempatkan di kawasan itu untuk mengawal laluan trafik,” katanya menambah tiada gangguan bekalan air sepanjang pembaikan dibuat.