Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga hari alih, bersih runtuhan bongkah batu

KUANTAN, 21 DIS: Kerja mengalih dan membersihkan runtuhan bongkah batu di Kilometer 40.70 Jalan Persekutuan ke Bukit Fraser melalui Raub, kira-kira 165km dari sini, awal pagi tadi dijangka mengambil masa selama tiga hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata ini ekoran saiz bongkah batu yang besar selain kerja tersebut perlu dilakukan dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian runtuhan susulan.

“Setakat petang ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub mengarahkan pihak konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd menghantar dua jentera pengorek kaut ke lokasi kejadian.

“Penilaian sedang dibuat untuk mengalihkan bongkah batu itu dengan menggunakan jentera berat yang bersesuaian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norolazali berkata pengguna yang hendak ke Bukit Fraser buat masa ini, dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Kuala Kubu Bharu, Selangor sehingga jalan itu dibuka semula apabila keadaan benar-benar selamat.

Beliau juga memaklumkan kejadian runtuhan bongkah batu itu merupakan kejadian kedua di lokasi sama, dengan kejadian runtuhan pertama berlaku pada Sabtu lalu, melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Bagaimanapun laluan itu kembali dibuka pada hari sama selepas kerja pembersihan dilakukan dan pemasangan tanda amaran serta makluman dilakukan selepas kerja pembersihan tamat.

“Runtuhan bongkah batu yang berlaku pada 5.50 pagi tadi bagaimanapun menyebabkan jalan itu perlu ditutup kepada semua kenderaan kerana runtuhan menghalang laluan sepenuhnya selain atas faktor keselamatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI PELANCONGAN SELANGOR

Perigi Tujuh Serendah diangkat jadi Tapak Warisan Kebangsaan – menteri

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perigi itu antara 11 butiran di daerah Hulu Selangor/Negeri Selangor yang berada dalam senarai inventori jabatan itu di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi tujuan penyelidikan sebelum diwartakan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mengikuti Siri Jelajah Semarak Pelancongan Domestik di Hulu Selangor dan Bukit Fraser, Pahang hari ini, dengan disertai Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Hulu Selangor bagi memastikan tempat-tempat menarik di kawasan itu diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.

“Meskipun Perigi Tujuh Serendah di bawah seliaan dan penyelenggaraan Jabatan Pengairan Saliran daerah Hulu Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dari semasa ke semasa akan berbincang bagi tujuan penambahbaikan yang boleh dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Mengenai Bukit Fraser, Nancy mencadangkan agar sebarang pembangunan kawasan percutian itu mengekalkan tema atau konsep tudor sesuai dengan jolokannya sebagai ‘The Little England.’

Nancy berkata bukit itu perlu dibangunkan sebagai destinasi warisan tinggalan kebudayaan tarikan pelancongan dan segala cadangan pembangunan hotel baharu adalah di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Raub sebagai PBT.

“MOTAC juga menggesa agar sebarang pembangunan tidak mengganggu ekosistem di kawasan itu yang terkenal dengan kehadiran pelbagai spesies burung dan destinasi tempat memerhati burung,” katanya.

Nancy berkata pada masa ini Bukit Fraser hanya mempunyai tiga hotel dengan jumlah bilik 370 buah sahaja dan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung permintaan, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti umum.

“Premis penginapan baharu boleh menarik minat pelancong atau pihak korporat untuk berkunjung dan mengadakan program di Bukit Fraser,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA PELANCONGAN SELANGOR

Selangor ‘miliki’ sebahagian Bukit Fraser

OLEH NADIAH ZAMLUS

BUKIT FRASER 18 JUN : Bukit Fraser, sudah pasti rata-rata diantara kita yang menjangkakan lokasi pelancongan itu terletak dalam Pahang sepenuhnya, namun sangkaan tersebut meleset memandangkan Selangor turut mempunyai sebahagian sempadan di bukit peranginan terkenal itu.

Pada 9 Mac 2018, Kerajaan Pahang dan juga Kerajaan Selangor pada waktu itu menandatangani Memorandum Perseahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan Pahang dan Selangor yang berkait rapat dengan Bukit Fraser.

Melalui MoU tersebut, jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 kilometer.

Malah pada 11 Julai 1994 juga terdapat MoU yang termeterai iaitu Bukit Fraser ke titik sempadan tiga negeri, Selangor, Perak dan Pahang dengan jarak 16.5 kilometer.

Usaha-usaha penandaan dan pengukuran tersebut telah bermula sejak 1993, dengan kerjasama Kerajaan Selangor dan Pahang pada waktu itu.

Mengikut cerita orang lama di Bukit Fraser, KS Durai, berkata, kedai kopi yang terletak di jalan masuk utama ke Bukit Fraser dari arah Kuala Kubu Baru adalah sempadan diantara Selangor dan Pahang.

“Ya kedai kopi ini seringkali dikunjungi oleh kerabat diraja satu ketika dahulu, dan di sini terdapat Istana Pelangi milik keluarga diraja Selangor.

“Tidak dinafikan memang ramai yang fikir Pahang mempunyai hak penuh terhadap Bukit Fraser, hakikatnya terdapat sebahagian kawasan adalah hak Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Kedai kopi Kheng Yuen Lee yang menjadi tanda utama sempadan Selangor dan Pahang itu juga diantara tarikan kepada pelancong yang datang ke Bukit Fraser, ramai diantara mereka yang tidak melepaskan peluang dengan mengambil gambar di lokasi berkenaan.

Oleh kerana wujudnya sebahagian Bukit Fraser dalam negeri ini, Kerajaan Selangor menerusi Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS) dengan kerjasama Tourism Selangor berusaha menarik orang ramai ke lokasi pelancongan tersebut.

Hampir saban tahun MDHS menganjurkan acara Pesta Burung Antarabangsa yang kini berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung dengan 800 penyertaan termasuk dari luar negara.

Pesta Burung Antarabangsa sekaligus menjadikan Bukit Fraser sebagai lokasi utama pertandingan.

Durai berkata, uniknya, Selangor diantara negeri yang berusaha menarik pelancong ke kawasan berkenaan dengan mengadakan Pesta Burung Antarabangsa saban tahun.

Hampir 32 tahun dalam bidang mengenalpasti spesis burung, Durai memberitahu kini terdapat hampir 300 spesis burung di atas Bukit Fraser.

“Kesemua burung ini ada diantaranya memang datang dari kawasan berdekatan dan ada juga migrasi daripada negara luar. Bezanya di sini burung berkenaan begitu unik kerana tidak akan ditemui di tempat lain,” katanya.

Bagi peminat burung, ia dianggap sebagai peluang keemasan sehingga menyebabkan peminatnya dari seluruh dunia sanggup datang ke Bukit Fraser bagi melihat sendiri spesis unik berkenaan.

Selain kaya dengan tarikan flora dan fauna, Tourism Selangor turut menawarkan penginapan selesa dan cantik di Bukit Fraser iaitu Rumah Rehat Sri Berkat (RRSB).

Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Saleh berkata, RRSB yang dibina dengan bercirikan bangunan klasik ala Inggeris sejak 1926 bakal menggamit pelancong.

“Menariknya ia ditaawarkan dengan harga serendah RM99 semalam dan boleh disewa dengan sebuah bangunan untuk pelbagai majlis keraian,” katanya.

Selain itu, Rumah Rehat Banglo Sultan Sulaiman yang juga dinamakan Banglo Sri Selangor pula dibuka kepada semua penjawat awam Selangor sekiranya ingin bercuti atas Bukit Fraser.

Bagaimanapun tempahan boleh dibuat melalui Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau melalui laman web, e-tempahan.selangor.gov.my.

=EZY=