Categories
EXCO SELANGOR

Angkat status Perigi Tujuh Serendah, nilai tambah pelancongan negeri

SHAH ALAM, 5 JAN: Cadangan mengangkat status Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor sebagai Tapak Warisan Kebangsaan mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

EXCO pelancongan berkata data lengkap akan diserahkan kepada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi kajian lanjut sebelum diwartakan.

Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan. Foto BERNAMA

“Walaupun pewartaan perlu masa tetapi kita tetap komited untuk angkat status perigi berkenaan,” kata Hee Loy Sian pada program Bual Bicara: Terbelakah Nasib Pengusaha Pelancongan anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Pada 13 Disember 2020, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri berkata Perigi Tujuh Serendah diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk penyelidikan sebelum diwartakan.

Dalam pada itu, Loy Sian meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan membaik pulih lokasi tumpuan pelancong bagi keselesaan orang ramai.

“Meskipun Belanjawan Selangor 2021 ada dana bagi menaik taraf dan mengubah suai produk pelancongan, namun PBT juga perlu ada bajet sendiri untuk selenggara supaya tidak ketinggalan,” katanya lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Selangor unik, tawar banyak lokasi menarik

SHAH ALAM, 15 DIS: Hulu Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik dan unik berbanding kawasan pelancongan lain, menurut Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata antara lokasi menjadi tumpuan adalah Perigi Tujuh Serendah yang merupakan tapak warisan bersejarah di daerah itu.

“Selain tapak warisan bersejarah, daerah ini juga terkenal dengan aktiviti sukan lasak seperti mendaki, rakit redah jeram, berbasikal dan luncur udara di Kuala Kubu Bharu Paragliding Park, Kawasan Tapak Jejak Warisan dan Street Art,” katanya dalam kenyataan.

Pada 12 Disember lalu, MDHS menerima lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri ke daerah itu bagi meninjau potensi pembangunan aktiviti pelancongan.

Dr Mohd Azhar berkata, pihaknya berharap menerusi lawatan kerja tersebut dapat membantu pihak berkuasa tempatan itu memaju dan memperkenalkan lokasi pelancongan di Hulu Selangor.

“MDHS amat berbesar hati dengan kehadiran Yang Berhormat menteri dan diharap membantu pihak kami untuk memajukan industri ekopelancongan sekali gus meningkatkan bilangan pelancong,” katanya.

Menerusi lawatan itu Nancy berkata Perigi Tujuh Serendah antara 11 butiran di Selangor yang diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam kenyataan Ahad lalu.

Categories
AGENSI PELANCONGAN SELANGOR

Perigi Tujuh Serendah diangkat jadi Tapak Warisan Kebangsaan – menteri

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perigi itu antara 11 butiran di daerah Hulu Selangor/Negeri Selangor yang berada dalam senarai inventori jabatan itu di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi tujuan penyelidikan sebelum diwartakan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mengikuti Siri Jelajah Semarak Pelancongan Domestik di Hulu Selangor dan Bukit Fraser, Pahang hari ini, dengan disertai Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Hulu Selangor bagi memastikan tempat-tempat menarik di kawasan itu diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.

“Meskipun Perigi Tujuh Serendah di bawah seliaan dan penyelenggaraan Jabatan Pengairan Saliran daerah Hulu Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dari semasa ke semasa akan berbincang bagi tujuan penambahbaikan yang boleh dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Mengenai Bukit Fraser, Nancy mencadangkan agar sebarang pembangunan kawasan percutian itu mengekalkan tema atau konsep tudor sesuai dengan jolokannya sebagai ‘The Little England.’

Nancy berkata bukit itu perlu dibangunkan sebagai destinasi warisan tinggalan kebudayaan tarikan pelancongan dan segala cadangan pembangunan hotel baharu adalah di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Raub sebagai PBT.

“MOTAC juga menggesa agar sebarang pembangunan tidak mengganggu ekosistem di kawasan itu yang terkenal dengan kehadiran pelbagai spesies burung dan destinasi tempat memerhati burung,” katanya.

Nancy berkata pada masa ini Bukit Fraser hanya mempunyai tiga hotel dengan jumlah bilik 370 buah sahaja dan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung permintaan, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti umum.

“Premis penginapan baharu boleh menarik minat pelancong atau pihak korporat untuk berkunjung dan mengadakan program di Bukit Fraser,” menurutnya.

-BERNAMA