Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut berserta hujan batu, 40 rumah di Kampung Kebun Bunga rosak

SHAH ALAM, 27 JAN: Kira-Kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini rosak akibat hujan lebat dan ribut yang disertai hujan batu di kawasan itu petang tadi.

Pemangku Ketua Kampung Batu 3 Mohd Syafiq Ali Bajunid Omar berkata hujan lebat, yang bermula pada 5.30 petang, turut disertai pusaran angin kecil yang mengakibatkan berpuluh-puluh bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ Batu Tiga untuk kemudahan penduduk yang terkesan akibat ribut petang tadi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PPS itu, yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir dari kampung sama, baru sahaja ditutup pada awal bulan ini.

Anggota bomba memotong keluli untuk mengalihkan bumbung rumah penduduk Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 Shah Alam diterbang ribut pada 27 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Peduli Rakyat Ahli Parlimen Shah Alam

Tinjauan Bernama malam ini mendapati kawasan sekitar kampung itu masih bergelap kerana terputus bekalan elektrik sejak petang tadi selepas beberapa tiang elektrik tumbang akibat kejadian ribut berkenaan.

Seorang suri rumah, Norhaslinda Nayan, 43, berkata kejadian ribut seperti itu adalah yang pertama dialaminya sejak lebih 20 tahun menetap di situ.

“Ribut yang melanda tidak begitu lama namun cukup menggerunkan seperti ada puting beliung di atas bumbung dan bunyi hujan di luar seolah-seolah hujan batu kerana terlalu kuat,” katanya.

Beliau berkata kediamannya yang baru sahaja dicuci susulan banjir pada akhir tahun lepas sekali lagi terpaksa dibersihkan kerana ribut turut merosakkan bahagian bumbung sehingga menyebabkan seluruh bahagian dalam rumah basah.

“Ketika banjir baru-baru ini, air naik sehingga paras siling rumah, saya baru sahaja balik dari PPS awal bulan ini namun tidak sampai beberapa hari, sekali lagi kami diduga dengan ribut seperti ini,” katanya.

Norhaslinda berkata beliau tidak berpindah ke PPS malam ini kerana suaminya telah memasang kepingan aluminium di bahagian bumbung rumah mereka yang terjejas.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Baik pulih bumbung `Flat Colombia’ siap awal, penghuni ceria sambut Syawal

 

SHAH ALAM, 11 MEI: Kerja baik pulih kerosakan bumbung Pangsapuri PKNS Taman Keramat AU 2 di Hulu Klang selesai sepenuhnya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembaikan bumbung bangunan juga dikenali Flat Colombia ditaja sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Alhamdulillah kerja selesai lebih awal untuk keselesaan penduduk,” katanya menerusi Facebook hari ini. Pengumuman itu dijangka menceriakan keluarga mangsa.

Pada 29 April Amirudin turun padang meninjau kerosakan susulan kejadian ribut sehari sebelumnya serta memberi jaminan pembaikan siap menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketika lawatan, beliau menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 diperlukan untuk membaiki kerosakan.

Dato’ Menteri Besar turut turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta keperluan barangan asas kepada lima keluarga terjejas.

Categories
PBT SELANGOR

Peruntukan RM600,000 ganti lif, bumbung Flat Cempaka

SHAH ALAM, 6 MAC: Penukaran lif di Flat Cempaka, Batu Caves akan menyelesaikan masalah hampir 2,000 penduduk selepas dilaporkan rosak penghujung tahun lalu.

Ahli majlis Zon 6 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata peruntukan hampir RM600,000 diluluskan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) semalam susulan tinjauan Dato’ Menteri Besar pada 26 Januari lalu.

“Flat ini berusia lebih 15 tahun dan kerosakan lif berlaku berulang kali walaupun sudah dibaiki.

“Selain penukaran dua unit lif, bumbung perumahan berkenaan juga dibaiki demi keselesaan penduduk,” kata Amir Fazlee Khalid ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan kerja baik pulih itu akan bermula dalam tempoh dua bulan lagi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKM Bandar Utama guna bahan kitar semula ganti bumbung usang

SHAH ALAM, 26 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar Utama memperuntuk RM5,000 bagi projek penggantian bumbung keluarga miskin di Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Cempaka.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Tetra Pak Malaysia menggunakan bahan kitar semula bagi membaik pulih kediaman yang rosak, baru-baru ini.

“Usaha ini membantu keluarga memerlukan untuk menjamin hak asasi mereka dengan memiliki tempat tinggal yang baik, sekurang-kurangnya bumbung rumah boleh melindungi daripada tempias hujan.

“Semoga projek ini memberi manfaat dan galakkan kepada orang ramai untuk bersama-sama menggunakan bahan kitar semula demi kelestarian alam,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi.

Beliau berkata bumbung tersebut dibuat melalui pengasingan komponen pek minuman meliputi 75 peratus kertas, plastik (20 peratus) dan aluminium (lima peratus).

Jamaliah berkata elemen plastik dan aluminium atau ‘Poly-Al’ kemudian ditukar menjadi genting bumbung sebelum diserahkan kepada pihaknya.

“Kami akan membantu dua buah keluarga lagi dalam masa terdekat dan berharap projek ini meyakinkan orang ramai bahan kitar semula banyak kegunaannya,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

RM400,000 kos baik pulih sekolah dilanda ribut

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 APR: Kerajaan Negeri menganggarkan RM400,000 untuk membaikpulih sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Sungai Manggis dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAMTTAR), Kuala Langat yang dipukul ribut, pada 12 April lalu.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan segera akan diambil dan kerja baik pulih dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat.

“Saya dan Pengarah Jais sudah membuat tinjauan semalam dan kos baik pulih dijangkakan sekitar RM400,000.

Yunus ribut“Insya Allah, tindakan segera akan diambil dalam masa terdekat untuk ganti bumbung keseluruhan blok bangunan yang terlibat.

“JKR Kuala Langat sudah mengambil tindakan baik pulih sementara,” katanya kepada Selangor Kini.

Kejadian angin ribut terbabit menerbangkan bumbung bangunan dua sekolah berkenaan selain kerosakan peralatan pembelajaran.

Difahamkan, tiada pelajar yang cedera dan kerja pembersihan kawasan sekolah sudah dijalankan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

APA KES?: Bumbung hentian bas flat Seksyen 7 dibaiki segera

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjalankan kerja pembaikan bumbung hentian bas bocor berhampiran Blok 31,

Flat PKNS Seksyen 7, di sini, dalam masa terdekat.

IMG_4793Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata masalah terbabit dalam perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dan tindakan

segera akan diambil bagi mengatasinya.

“Jabatan Kejuruteraan MBSA sudah mengarahkan kontraktor kawasan untuk menggantikan bumbung perhentian bas yang rosak dengan segera

demi keselesaan pengguna,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, Selangor Kini melaporkan bumbung hentian bas bocor berhampiran Blok 31, Flat PKNS Seksyen 7 sejak lebih dua bulan lalu

menimbulkan rasa tidak selesa pengguna pengangkutan awam.

Seorang pelajar Universiti Selangor (UNISELl) Farid Wahid memaklumkan, dia bersama pengguna bas awam lain akan terkena tempias air

hujan kesan daripada kebocoran bumbung berkenaan.

“Diharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya melalui e-mel.

-NFN-