Categories
AGENDA NASIONAL

Terbangkan dron rakam sambutan Thaipusam perlu kebenaran CAAM

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Mana-mana individu yang ingin menerbangkan dron bagi merakam suasana sambutan Thaipusam pada Selasa ini perlu mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil jika terdapat mana-mana individu yang melanggar peraturan berkenaan.

“Anggota-anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan turut akan digerakkan bagi membantu penugasan mengawal keselamatan dan kelancaran sambutan itu yang bakal bermula malam ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, di Selangor kira-kira 2,000 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan sambutan Thaipusam di dua lokasi utama di negeri berkenaan berjalan lancar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata seramai 1,500 anggota ditempatkan di sekitar Batu Caves manakala bakinya di Kuala Selangor.

Di Pulau Pinang pula seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan berkenaan menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CAAM: Pengendali helikopter wajib patuh peraturan keselamatan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan semua pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter mengikuti amalan pematuhan peraturan keselamatan berikutan beberapa kemalangan membabitkan helikopter.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi isu keselamatan membabitkan pengoperasian helikopter susulan tiga kemalangan melibatkan helikopter di negara ini dalam tempoh kurang enam bulan.

Beliau berkata amalan pematuhan peraturan keselamatan merangkumi latihan pengurusan keselamatan, mengenal pasti sebarang perkara berbahaya serta faktor dan penilaian risiko keselamatan untuk dipertimbangkan dalam pengurusan keselamatan bagi semua pihak termasuk organisasi kecil.

“CAAM ingin menjelaskan bahawa semua pengendali helikopter di Malaysia diperiksa sepenuhnya dan memiliki lesen sah serta sijil penyelenggaraan bagi memastikan kelayakan juruterbang adalah sahih selain layak untuk menerbangkan helikopter,” kata Voo dalam kenyataan hari ini.

Semalam dua cedera manakala tiga lagi selamat selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Voo berkata Biro Siasatan Udara Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu manakala CAAM akan melaksanakan latihan bagi memastikan risiko dapat dikurangkan seterusnya mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

“Tindakan ini akan dilaksanakan dengan peraturan yang adil dan paling penting ia dilakukan demi kepentingan keselamatan semua pihak,” kata Voo.

Pada 8 Nov tahun lepas, dua helikopter jenis 9M-HCA dan 9M-HCB bertembung dan terhempas di Taman Melawati mengakibatkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56 dan ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rai, 41, terkorban.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan penumpang Tan Chai Eian, 51, bagaimanapun dilaporkan selamat selepas melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan.

Pada 1 Januari lepas, dua lelaki cedera ringan setelah helikopter ringan yang dinaiki mereka terhempas di sebidang tanah kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesawat ringan mendarat cemas di Plus, juruterbang stabil

PUTRAJAYA, 22 NOV: Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah pesawat ringan kendalian mereka membuat pendaratan cemas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah selatan) dekat Sedenak, Johor pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo berkata pesawat persendirian yang dikendalikan Premier Air Singapore itu sedang dalam penerbangan dari Senai ke Melaka semasa kejadian.

“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru oleh kerana menghadapi masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan.

Voo berkata pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.

Menurutnya pasukan mencari dan menyelamat menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan dan siasatan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi SAR pesawat terhempas dihenti hingga ada maklumat baharu

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Polis menghentikan dahulu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat ringan yang dikatakan terhempas di kawasan perairan berhampiran Tanjung Bungah sehingga mendapat maklumat baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata SAR yang dijalankan hingga 6.30 petang semalam tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung insiden yang dikatakan berlaku kira-kira 2 petang semalam itu.

“Hingga 11 pagi hari ini, pihak polis masih belum menerima laporan mengenai kehilangan juruterbang atau pesawat ringan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mana-mana syarikat penerbangan untuk dikaitkan dengan kejadian tersebut.

“Polis juga telah membuat semakan dengan CAAM dan hingga hari ini semua pesawat yang keluar telah kembali atau tiba dengan selamat di tempat yang dituju, malah berhubung sebuah helikopter berwarna kuning yang dilaporkan kelihatan sebelum kejadian tersebut di kawasan perairan Pulau Pinang juga telah selamat sampai di Subang, Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Soffian berkata polis turut mendapatkan maklumat daripada orang awam termasuk pemancing dan nelayan yang berada di kawasan itu yang memaklumkan mereka tidak melihat sebarang kejadian pesawat ringan terhempas.

Mengulas lanjut beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh tiga individu iaitu dua nelayan dan seorang pengawal keselamatan, masing-masing berusia lingkungan 50-an, yang mendakwa melihat sebuah objek sebesar kotak mancis yang dikatakan turut mempunyai belon pada bahagian ekor, terhempas ke dalam laut.

Katanya berdasarkan siasatan awal, tiga saksi itu konsisten dalam keterangan masing-masing berhubung kejadian.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Semalam, polis bersama beberapa agensi lain menjalankan SAR di perairan tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan ternampak sebuah pesawat ringan terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah.

Laporan itu turut tular menerusi laman sosial.

-BERNAMA