Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi SAR pesawat terhempas dihenti hingga ada maklumat baharu

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Polis menghentikan dahulu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat ringan yang dikatakan terhempas di kawasan perairan berhampiran Tanjung Bungah sehingga mendapat maklumat baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata SAR yang dijalankan hingga 6.30 petang semalam tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung insiden yang dikatakan berlaku kira-kira 2 petang semalam itu.

“Hingga 11 pagi hari ini, pihak polis masih belum menerima laporan mengenai kehilangan juruterbang atau pesawat ringan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mana-mana syarikat penerbangan untuk dikaitkan dengan kejadian tersebut.

“Polis juga telah membuat semakan dengan CAAM dan hingga hari ini semua pesawat yang keluar telah kembali atau tiba dengan selamat di tempat yang dituju, malah berhubung sebuah helikopter berwarna kuning yang dilaporkan kelihatan sebelum kejadian tersebut di kawasan perairan Pulau Pinang juga telah selamat sampai di Subang, Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Soffian berkata polis turut mendapatkan maklumat daripada orang awam termasuk pemancing dan nelayan yang berada di kawasan itu yang memaklumkan mereka tidak melihat sebarang kejadian pesawat ringan terhempas.

Mengulas lanjut beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh tiga individu iaitu dua nelayan dan seorang pengawal keselamatan, masing-masing berusia lingkungan 50-an, yang mendakwa melihat sebuah objek sebesar kotak mancis yang dikatakan turut mempunyai belon pada bahagian ekor, terhempas ke dalam laut.

Katanya berdasarkan siasatan awal, tiga saksi itu konsisten dalam keterangan masing-masing berhubung kejadian.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Semalam, polis bersama beberapa agensi lain menjalankan SAR di perairan tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan ternampak sebuah pesawat ringan terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah.

Laporan itu turut tular menerusi laman sosial.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Operasi mencari mangsa runtuhan disambung esok

GEORGE TOWN, 21 OKT: Empat belas orang tertimbus, tiga daripadanya ditemui mati dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini hari ini.

Sehingga lewat petang ini, usaha mencari dan menyelamat 11 pekerja binaan yang tertimbus itu masih giat dijalankan dengan kawasan pencarian dibahagi kepada tiga sektor untuk memudahkan anjing pengesan mencari mangsa yang tertimbus.

Sementara itu, seorang mangsa dilaporkan cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Kesemua mangsa terlibat dalam kejadian itu yang dikatakan berlaku dalam masa satu minit terdiri daripada seorang rakyat Malaysia; seorang Pakistan; seorang Rohingya; dua Indonesia dan sembilan Bangladesh.

Dua mayat berjaya dikeluarkan setakat ini adalah rakyat Bangladesh dikenali sebagai Yunus dan Hossain manakala seorang lagi dari ethnik Rohingya dikenali sebagai Mamun. Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar berkata kejadian tanah runtuh itu dilapor pada jam 8.57 pagi ketika 14 pekerja binaan itu sedang membuat kerja-kerja di bahagian bawah.

Tanah lereng bukit berhampiran tapak pembinaan itu runtuh menimpa struktur bangunan yang sedang dibina itu sekali gus menyebabkan 14 pekerja berkenaan tertimbus, katanya.

Ketika kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan sejak tiga hari lepas tiada hujan dilaporkan di kawasan tersebut.

Beliau berkata sehingga kini pasukan penyelamat telah mengalihkan tanah yang runtuh di kawasan telah dikenal pasti itu.

“Di bahagian dalamnya kita kena berhati-hati tak boleh buat secara kasar atau laju,” katanya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata fokus awal ketika ini ialah untuk kerja mencari dan menyelamat oleh agensi berkaitan memandangkan mangsa terlibat dipercayai tertimbus sehingga kedalaman 10 meter.

Pasukan mencari dan menyelamat melibatkan 130 orang terdiri daripada polis, pasukan bomba dan penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Putrajaya, Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia: Hospital Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Pulau Pinang; dan Rela dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Chuah berkata setelah mengenal pasti identiti mangsa, pihaknya akan memaklumkan kepada kedutaan yang terlibat untuk dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa dilihat menunggu di sekitar lokasi kejadian dan seorang daripadanya Mohd Awal Jafra Alma berkata adiknya, Mohd Abdul Rahman, 18, yang baru bekerja di tapak pembinaan itu, dipercayai masih tertimbus.

“Kawan beritahu dalam pukul 8 lebih…saya tak pasti keadaan adik saya…saya akan tunggu di sini nak tengok sendiri keadaan adik,” katanya sambil memberitahu kejadian itu belum dimaklumkan kepada ibu bapanya yang dirawat di hospital di Bangladesh.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 8 malam ini, dan akan disambung jam 8 pagi esok.

Turut meninjau tempat kejadian ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Maimunah Mohd Sharif.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kira-kira 20 mangsa dikhuatiri tertimbus di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN 21 OKT: Kira-kira 15 hingga 20 orang pekerja tapak pembinaan dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan bangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di George Town hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak JBPM menerima panggilan pada 8.57 pagi dan setiba di tempat kejadian, difahamkan terdapat 15 hingga 20 orang mangsa yang tertimbus di dalam tanah runtuh.

“Kami mendapat tahu antara 15 hingga 20 mangsa mungkin tertimbus dalam kecerunan tanah dianggarkan 10 meter dan kita telah memulakan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Setakat 11 pagi, difahamkan dua orang mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

GAMBAR: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kertas Undi Lebih Daripada Jumlah Sebenar

rafizi PC

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendedahkan penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu dengan dakwaan undi melebihi kertas undi dikeluarkan dalam peti undi sepertimana terjadi di kawasan Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bagi pengundian di saluran 2 di SRJK(C) Yu Chye tercatat perbezaan jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian dijalankan.

“Borang 13 iaitu Penyata Kertas Undi bagi Parlimen Balik Pulau menunjukkan sebanyak 424 kertas undi dikeluarkan.

“Selepas pengiraan dibuat dan keputusan dipindahkan  ke Borang 14 iaitu penyata pengundian selepas pengiraan undi, keputusan menunjukkan terdapat 562 undi di dalam peti undi iaitu 138 undi melebihi daripada jumlah kertas undi yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jumlah undi di dalam peti undi yang lebih menyeleweng keputusan bagi parlimen dan DUN di antara 138 hingga 318 undi.

Katanya, dengan majoriti yang rendah dan undi rosak yang tinggi, keputusan di saluran 2 itu sahaja sudah cukup untuk mengubah keputusan bagi peringkat Parlimen Balik Pulau dan DUN Telok Bahang.

“Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa undi yang dikira melebihi daripada kertas undi yang mulanya dikeluarkan memang berlaku.

“Ia berlaku di Balik Pulau dan sudah tentu juga berlaku di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, PR juga mendakwa mempunyai bukti berlaku insiden membeli undi sepertimana di Pulau Pinang dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa wang tunai diberikan kepada pengundi selepas keputusan tidak memihak kepada PR dengan penukaran baucer yang diberikan sebelum itu.

“Ia berlaku di DUN Bayan Lepas,  Pulau Betong dan Tanjung Bungah. Mereka memberi wang secara tunai di tiga tempat iaitu selama tiga hari beroperasi iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lepas.

“Kita telah melakukan pemeriksaan ke tempat itu dan laporan polis telah dibuat mengenainya,” ujarnya.