Categories
PBT SELANGOR

MBPJ laksana zon caj parkir di 14 kawasan baharu

PETALING JAYA, 27 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan zon kutipan letak kereta berbayar di 14 kawasan baharu bermula 1 Disember ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pelaksanaan itu meliputi 63 lokasi jalan di sekitar pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Antara kawasan terbabit ialah Seksyen 5, PJS 1, PJS 3 (Taman Sri Manja), PJS 5 (Pusat Perniagaan PJCC), PJS 10; PJU 1A Ara Damansara (Pusat Perniagaan Taipan 1), Dataran Ara Damansara (Pusat Perniagaan Taipan 2) dan Pusat Dagangan NZX.

“Ini termasuk PJU 5 Taman Teknologi (Kota Damansara), Kota Damansara Seksyen 4; Seksyen 5; Seksyen 6; Seksyen 7 dan Seksyen 8 serta PJU 6 dan PJU 7,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ Bil.11/2019 di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Mohd Sayuthi berkata langkah itu bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan petak letak kereta awam dilaksana dengan cekap, sekali gus menjamin perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Katanya tindakan penguatkuasaan juga dapat dijalankan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan parkir.

“Kadar fi parkir di kawasan baharu sama seperti sedia ada iaitu 60 sen sejam atau sebahagian daripadanya, RM5 sehari dan RM100 sebulan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat bayaran dengan mendapatkan kupon letak kereta daripada ejen yang dilantik oleh MBPJ berhampiran lokasi atau menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).

Manakala, cara semak atau bayar kompaun ialah dengan melayari Sistem Perhubungan Pelanggan MBPJ https://embpj.mbpj.gov.my/, menggunakan aplikasi SmartPJenforcement (Google Playstore) dan Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).

Categories
PBT SELANGOR

Penduduk mahu MDKS batal cadangan caj tempat letak kereta

 

KUALA SELANGOR, 10 Jun : Penduduk Bandar Puncak Alam, Bandar Saujana Utama dan Alam Jaya di sini, memohon agar Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membatalkan atau mengkaji semula cadangan pelaksanaan tempat letak kereta berbayar, yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai hadapan.

Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA), Mohd Hanif Md Sultan berkata, tindakan MDKS melaksanakan caj parkir dibuat, tanpa mengambil kira pendapat dan kedudukan ekonomi penduduk setempat terlebih dahulu.

“MDKS sepatutnya menyelesaikan semua masalah berbangkit, seperti kualiti perkhidmatan pembersihan yang kurang memuaskan, jalan raya yang kurang diselenggara, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk sekitar sini terlebih dahulu.

“Selain itu, kemudahan prasarana di Puncak Alam masih belum sempurna, seperti tiada balai polis, balai bomba dan bank, pejabat agensi kerajaan dan agensi penyedia utiliti juga tiada di sini lagi,” katanya pada pada sidang akhbar mengenai bantahan perlaksanaan tempat letak kereta berbayar di sini hari ini.

Sidang media itu turut disertai Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin serta lebih 16 pengerusi persatuan penduduk sekitar tiga kawasan itu.

Mohd Hanif yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Sinar Alam menambah, terdapat kawasan yang tidak wajar yang turut dikenakan bayaran seperti kawasan lot kedai di taman perumahan, walaupun bukan kawasan komersil.

“Tempoh tamat operasi caj parkir juga tidak munasabah sehingga jam 6.30 petang, sedangkan urusan pejabat tamat jam 4.30 petang hingga 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Khairul Annuar berkata, pihaknya tiada menerima apa-apa notis rasmi berhubung perlaksanaan perkara itu.

“Kami tahu perkara ini pun melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook MDKS, dan bukannya melalui makluman rasmi mengenai pelaksanaan ini.

Tambah beliau, penduduk Saujana Utama sehingga kini masih membangkitkan mutu kerja MDKS yang kurang memuaskan, antaranya kemudahan lampu jalan rosak, jalan berlubang dan kutipan sampah tidak ikut jadual, sedangkan majoriti kawasan ini pembayar cukai.

“Kena tingkatkan mutu kualiti kerja dulu sehingga MDKS dinaik taraf kepada perbandaran, sebelum nak laksanakan caj parkir,” katanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

EXCO tempelak Najib isu harga parkir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 MAC: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menyemak dahulu fakta berhubung isu kenaikan caj parkir kenderaan yang ditimbulkannya, Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini lebih banyak mewarisi perjanjian yang diwujudkan sejak era Barisan Nasional (BN).

“Najib kononnya mengatakan sebanyak 70,000 lot parkir milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diserahkan kepada syarikat swasta dan rentetan daripada itu, harga caj parkir naik pada 1 April.

“Tetapi saya ingin nasihatkan Najib supaya semak fakta, ini kerana perjanjian dengan syarikat swasta yang disebutkannya ini bertarikh pada 1999, iaitu zaman BN,” katanya menerusi facebooknya.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Majlis Perbandaran Kuantan sudah mengenakan kenakan caj 60 sen sejam sejak 2006.

Sementara Majlis Daerah Cameron Highlands baru naik ke 60 sen sejam selepas Pilihan Raya Kecil Cameron.

“Adakah ini salah PAKATAN juga? Najib ada simptom mudah lupa,” katanya.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan kadar caj parkir di kawasan pentadbiran MBSA akan dinaikkan sebanyak 20 sen kepada 60 sen sejam mulai bulan depan.

Bagaimanapun MBSA berkata, caj tempat letak kereta tidak dinaikkan sejak 21 tahun lalu sehingga menjadikannya caj paling rendah berbanding Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf bandar raya di negara ini.

 

Categories
PBT SELANGOR

Caj parkir MBSA tak naik sejak 21 tahun lalu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MAC: Caj tempat letak kereta tidak dinaikkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sejak 21 tahun lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sehingga kini, caj terbabit adalah paling rendah berbanding Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf bandar raya di negara ini.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang ekoran hasil daripada caj itu akan diberikan semula kepada masyarakat.

“Ia melalui penyediaan perkhidmatan perbandaran seperti kutipan sampah; pembersihan awam; penyediaan kemudahan awam seperti dewan, pasar dan sebagainya.

“Pada masa sama, MBSA akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa rungutan orang ramai berhubung caj tempat letak kereta dinaikkan sebanyak 20 sen, bermula 1 April depan.

Semalam dilaporkan kadar caj tempat letak kereta di kawasan pentadbiran MBSA bakal dinaikkan sebanyak 20 sen kepada 60 sen sejam mulai bulan depan.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, caj sebulan dinaikkan RM30 kepada RM90 sebulan bermula 1 April ini.

Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan kadar baru itu, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5522 2882.

Categories
NASIONAL

Perkasa pengangkutan awam bukan naik caj parkir

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya berganding bahu memberikan tumpuan memperkasakan industri pengangkutam awam bandar tanpa memikirkan tindakan menaikkan caj parkir kereta.

Kenaikan caj  diumumkan semalam mendatangkan reaksi kurang senang netizen dan menyifatkan ia  menambah beban perbelanjaan mereka.

Aidil Shah menerusi akaun Facebooknya berkata tindakan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam dengan menjadikan bandar maju Tokyo sebagai contoh namun sistem sedia ada tidak memuaskan.

Parkir DBKL“Mungkin ini cara supaya rakyat di ibu kota hadkan penggunaan kenderaan sendiri agar kurang kesesakan jalan raya dan lebihkan kepada penggunaan pengangkutan awam LRT. Nak ikut cara bandar maju seperti Metropolitan Tokyo. Tapi tambang LRT pun naik, servis KTM pun lembab,” katanya.

Pandangan sama dikongsikan Panglima Hitam mempertikaikan pengangkutan awam disifatkan kurang efisyen meskipun berlaku pertambahan stesen transit bahkan pengguna berhadapan kesesakan setiap hari ketika menggunakannya.

“Nak menggalakkan orang naik pengangkutan awam tapi tengoklah servis LRT dengan KTM macam mana. LRT tambah stesen sampai Putra Heights tapi (jumlah) tren tidak ditambah.

“Buat frekuensi perjalanan makin kurang. KTM pula tren datang pada kadar setiap 30 hingga 40 minit. Sekali naik tren KTM padat sampai kaki sendiri tak nampak. Jadi bahagian mana nak suruh rakyat guna pengangkutan awam?,” soalnya.

Sheila Shakirin pula mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz sepatutnya memikirkan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam terlebih dahulu

Bagi Francois Fitri, tindakan mengaikkan harga parkir mengelakkan kesesakan jalan atau menggalakkan rakyat mengguna pengangkutan awam adalah kaedah salah.

Katanya, cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dibayar rakyat sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kemudahan awam seperti dilakukan di negara luar.

“Sepatutnya GST yang kita bayar selama ini digunakan untuk subsidi kepada tambang pengangkutan awam dan lain-lain. Lihat negara maju lain, rakyatnya bayar cukai yang tinggi tapi segala kemudahan terus dapat kepada rakyat seperti tambang bas/tren metro yang murah, barangan keperluan dapur paling murah jika ikut pendapatan sana.

“Di Malaysia, terbalik pula, bayar cukai tapi segalanya naik, naik dah naik. Kalau turun pun masa pilihan raya,” tulisnya.

EZY

Categories
NASIONAL

Caj parkir hospital tak wajar, pengguna terbeban

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Persekutuan digesa untuk mengkaji semula keputusan mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata tindakan itu tidak adil bagi golongan kurang berkemampuan yang kebiasaannya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

DAROYAHKatanya, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira aspek lebih menyeluruh terutama berhubung kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kalau boleh jangan dikenakan caj kerana tiada yang suka-suka mahu ke hospital melainkan ada hal kecemasan dan penting melibatkan kesihatan.

“Sudahlah mereka mahu ke hospital dikenakan tol, kos minyak tinggi dan sebagainya, sampai hospital dikenakan caj parkir pula. Janganlah zalim,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Graduasi PWB Mobile Spa Terapis melibatkan 20 ibu tunggal di Hotel De Palma di sini, pada 1 Disember lalu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di situ.

Katanya, KKM sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadarnya ditetapkan kerajaan.

EZY