Categories
RENCANA WAWANCARA

Catur kembali popular gara-gara The Queen’s Gambit

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Siri mini Netflix, The Queen’s Gambit yang ditayangkan sejak 23 Oktober lepas meningkatkan minat terhadap permainan catur di Malaysia, satu trend yang turut berlaku di seluruh dunia.

Ahli jawatankuasa Persekutuan Catur Malaysia (MCF) Muhammad Firdaus Ismail berkata ramai individu, yang sebelum ini tidak mempunyai minat dalam permainan strategi minda itu mula mempelajari dan membeli barangan berkaitan permainan itu sejak siri berkenaan mula ditayangkan secara dalam talian.

“Kita dapat melihat bahawa siri itu telah mempengaruhi ramai penonton untuk belajar lebih mendalam mengenai catur. Ini sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan permainan catur seperti papan catur dan pelitup muka berkaitan catur, ramai orang baru mula membeli barangan dengan kami,” katanya yang turut mengendalikan Kelas Catur Putrajaya Traju Team.

“Kami difahamkan bahawa pembelian dalam talian juga meningkat, kita melihat topik berkaitan The Queen’s Gambit turut menjadi bualan menerusi media sosial. Namun, kami menjangkakan kehadiran pemain ke kelas yang terkesan akibat pandemik Covid-19 hanya akan pulih dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada Bernama.

Siri The Queen’s Gambit yang diadaptasikan daripada novel fiksyen 1983 hasil karya Walter Tevis, dilaporkan sebagai siri terhad yang paling banyak ditonton, dengan lebih 62 juta akaun mula menontonnya dalam masa 28 hari pertama ia mula disiarkan.

Muhammad Firdaus Ismail yang ditemui di Pusat Catur Traju Team, baru-baru ini bercadang untuk melantik seorang jurulatih berstatus Grandmaster dari luar bagi memantap skuad catur negara. Foto BERNAMA

Berlatar belakangkan era 50-an dan 60-an, siri itu memaparkan kisah seorang wanita, Beth Harmon (lakonan Anya Taylor-Joy) yang mula bermain catur di rumah anak-anak yatim sehingga muncul sebagai pemain terbaik dunia di sebalik bertarung dengan emosi dirinya.

Portal National Public Radio, www.npr.org, dari Amerika Syarikat melaporkan bahawa Goliath Games, sebuah syarikat pengilang dan pembekal barangan permainan antrabangsa yang membekalkan set catur kepada Walmart di negara itu, mencatatkan lonjakan lebih 1,000 peratus dalam penjualan set catur, manakala penjualan dalam talian di eBay pula dikatakan meningkat sebanyak 215 peratus.

Seorang peminat catur di Malaysia, Dasmesh Kaur memberitahu Bernama bahawa siri itu telah mencetuskan minatnya untuk mempelajari catur dengan lebih mendalam dan memberi inspirasi kepada dirinya.

“Ia sangat kompleks, tetapi memuaskan hati untuk ditonton. Ia (siri itu) membantu untuk mempelajari pergerakan catur yang kompleks, pergerakan pemain dan pihak lawan… Tidak pernah saya lihat catur dalam perspektif begini sebelum ini,” katanya.

Pencarian di Google Trend turut menunjukkan pencarian untuk kata ‘chess’ dan ‘gambit’ (bermaksud langkah umpan) meningkat bermula awal November sebelum mula mengalami trend penurunan bermula awal bulan ini.

Sementara itu, Muhammad Firdaus yang juga pengurus pasukan catur negara, berkata pihaknya sedang mengatur langkah untuk meningkatkan pencapaian pada Sukan SEA Vietnam hujung tahun depan, selepas berjaya meraih emas sulung pada edisi lepas.

Salah satu babak dalam siri The Queen’s Gambit. Foto Instagram The Queen’s Gambit Netflix

Beliau berkata MCF telah mewujudkan Program Pelapis Kebangsaan bermula bulan lepas, iaitu program persediaan bagi edisi Hanoi 2021 yang lebih rapi untuk mengenal pasti bakat baharu dan melatih mereka, dengan seramai 10 pemain catur berumur bawah 21 tahun telah dikenal pasti setakat ini.

MCF juga bercadang untuk melantik seorang jurulatih berstatus Grandmaster dari luar negara menjelang temasya itu untuk memantap skuad negara, kerana Malaysia masih belum ada seorang pun pemain yang mencapai gelaran tertinggi itu daripada Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), katanya.

Selain Yeoh Li Tian, 21, yang meraih pingat emas acara Rapid Chess lelaki di Filipina, seorang lagi pemain muda Wong Yin Long, 18, turut menjadi sandaran pingat negara di Hanoi.

Di Filipina, Yeoh berjaya menamatkan kemarau pingat emas negara dalam catur sejak sukan strategi minda itu dipertandingkan buat kali pertama pada edisi 2003 di Vietnam. Malah, sepanjang empat kali (2003, 2005, 2011, 2013) catur dipertandingkan di Sukan SEA, skuad negara sekadar meraih sejumlah lima gangsa sahaja.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

220 peserta berentap rebut Piala Catur Adun Bangi

Oleh: LIZAWATI MADFA

BANGI, 19 OKT: Seramai 220 peserta dari seluruh negara termasuk Sarawak menyertai Pertandingan Catur Adun Bangi 2015 pada hujung minggu lalu.

Penganjuran yang memasuki tahun ketiga ini turut disertai bekas Johan Catur Kebangsaan, Mohd Kamal Abdullah.

CaturAdun Bangi yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Shafie Ngah berkata usaha akan terus digiatkan bagi menarik lebih ramai peserta di masa hadapan.

“Kita juga bercadang untuk menganjurkannya di tempat lebih sesuai bagi keselesaan semua.

“Kita mahu warga Bangi menguasai dan berada di hadapan dalam apa jua bidang terutama sukan,” katanya kepada Selangor Kini.

Bertempat di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS di sini, pertandingan turut menarik penyertaan peserta cilik berumur 8 tahun yang menyertai kategori 12 tahun ke bawah.

Sementara itu, Pengarah Pertandingan, Dahari Embong menyifatkan penganjuran kali ini sebagai berjaya dan menepati sasaran.

“Pertandingan kali ini juga mencatat sejarah sebagai paling ramai penyertaan selepas tiga kali penganjuran,” katanya.

Dengan tidak bersandarkan konsep kalah mati, peserta nyata gembira berpeluang mengasah minda bermain catur dengan orang yang tidak dikenali.

EZY

Categories
SELANGOR

Gemar bermain catur, sertai kejohanan di Klang Parade

SHAH ALAM 4 APRIL: Persatuan Catur Selangor mengalu-alukan orang ramai untuk datang dan menyaksikan Kejohanan Catur Tahunan Klang Parade pada 5 dan 6 April ini.

Ia dianjurkan oleh Klang Parade dan Pusat DAT Chess dengan kerjasama Persatuan Catur Selangor.

catur“Datang dan saksikan (atau mengambil bahagian) ke Kejohanan Catur Tahunan Klang Parade di mana golongan muda, berusia dan juga pada mereka yang telah bersedia dan berani untuk bersaing di dalam kejohanan ini,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

Pada tahun ini Kejohanan Catur akan menjadi acara kebangsaan yang bertaraf tinggi atau dalam erti kata lain, pertandingan ini akan menjadi lebih sukar dan penonton dapat mengharapkan persembahan yang mengagumkan serta bunyi papan catur yang bergema di seluruh kompleks membeli belah ini.

Kejohanan ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori Bawah 12 tahun & Bawah 18 tahun di mana ianya akan diadakan pada 5 April 2014 pada pukul 9 pagi, manakala pula Kejohanan Terbuka akan diadakan pada hari berikutnya di masa yang sama.

Peserta yang berminat menyertai pertandingan ini haruslah mengisi borang penyertaan dan hanya 100 penyertaan yang pertama sahaja akan diterima.

Peserta yang ingin menyertai di dalam Kejohanan Terbuka pula harus juga berbuat demikian untuk memastikan tempat mereka terjamin kerana peralatan yang disediakan adalah terhad.

Peserta yang didalam kategori Berkumpulan dikehendaki membayar yuran sebanyak RM 20.00, sementara peserta Kejohanan Terbuka pula adalah sebanyak RM 25.00.

Peserta yang berumur 12 tahun hanya dikehendaki membayar RM 15.00 untuk kedua-dua kejohanan.

Sijil penyertaan akan diberikan kepada kesemua peserta berserta wang tunai sejumlah RM1,500, hamper dan piala.

Penganalisa, pemain dan peminat catur boleh mengharapkan sesuatu yang menakjubkan.Oleh
itu, tajamkan minda anda, strategi anda dan datanglah ke Klang Parade untuk acara menguji minda ini.

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Cabaran Catur Bangi tarik minat ramai

PROGRAM Cabaran Catur Bangi anjuran Pejabat  Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi menarik minat 192 peserta termasuk pencatur yang pernah mewakili Selangor mahupun Malaysia.

Kejohanan berlangsung di Taman Putera Kajang pada 28 Disember lalu dan turut disertai peserta dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu, selain penduduk setempat.

Kata pengarah program itu, Dahari Embong, penganjur terpaksa menolak penyertaan yang lewat kerana tempat terhad kepada 150 penyertaan sahaja.

catur adun bangi

Progran hasil kerjasama DACS Serdang itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Ustaz Shafie Ngah yang mengucapkan tahniah atas penganjuran berkenaan.

“Ia secara tidak langsung mempromosi aktiviti sukan di Bangi. Dengan sambutan hebat  ini, kita berharap  dapat penyertaan lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

– FZL