Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Celcom Axiata bantu transformasi digital PKS

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Celcom Axiata Bhd telah melancarkan kempen ‘Celcom Business: Reimagine SME for Tomorrow’ dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan usaha digitalisasi serta pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Susulan itu, Celcom Axiata hari ini melancarkan kerjasama dengan 13 rakan lain merangkumi agensi-agensi kerajaan, institusi kewangan, organisasi keusahawanan dan rakan teknologi bagi menyalurkan sumber serta pengetahuan berkaitan.

Rakan terbabit adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Bank Simpanan Nasional yang akan menggalakkan inisiatif-inisiatif kepada PKS terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan kelangsungan PKS diberi keutamaan serta mampu untuk pulih dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada masa sama, adalah penting bagi PKS untuk memanfaatkan penggunaan digital yang berkembang pesat di Malaysia atau terus ketinggalan.

Sementara itu, Alliance Bank Bhd dan SME Corporation akan membantu PKS dari segi pembiayaan untuk memperoleh sokongan digital Celcom.

Pihak lain yang turut terbabit sebagai rakan usaha itu termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Penghantaran & Logistik Selangor, Microsoft, Slurp! dan Avana Asia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL PENDIDIKAN

Telco tawar internet percuma sokong pendidikan, tingkat produktiviti

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Syarikat telekomunikasi (telco), Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) terus menyokong keperluan kerja dan pembelajaran orang ramai dalam bentuk perkhidmatan internet percuma yang baharu.

Pengendali-pengendali talian berkenaan dalam satu kenyataan bersama berkata inisiatif industri secara bersama ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menurut kenyataan itu, Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM akan menawarkan produktiviti internet percuma 1 gigabait (GB) setiap hari, untuk digunakan antara 8 pagi hingga 6 petang, bagi mengakses pelbagai perkhidmatan pendidikan dan produktiviti yang berkaitan dari 10 Jun hingga 31 Dis 2020.

Ini akan menggantikan internet percuma kelajuan tinggi 1GB yang dibekalkan oleh telco kepada pelanggan dari 1 April sehingga 9 Jun 2020.

“Pelanggan boleh merujuk kepada telco mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara menebus tawaran internet percuma ini termasuk senarai perkhidmatan yang disertakan,” kata kenyataan itu.

Telco ini juga akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi serta perkhidmatan berkaitan maklumat untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa dikemaskini dengan berita terkini mengenai Covid-19.

Sementara itu, YTL Communications akan terus menawarkan inisiatif Belajar Dari Rumah yang merangkumi kad SIM percuma dengan data 40GB kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah kerajaan, pelajar dan fakulti dari institusi pengajian tinggi yang menjadi rakan kongsi.

Kumpulan itu juga akan menyediakan telefon bimbit percuma dengan data 120GB untuk pelajar yang layak dalam keluarga B40.

Selain itu, YTL Communications juga akan terus menyediakan kandungan pendidikan dalam talian percuma yang dibuat dengan kerjasama Teach for Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya lagi, TM dan TIME dotCom Bhd memberikan sokongan kepada telco dengan menyediakan kapasiti serat tambahan bagi memenuhi keperluan trafik yang lebih tinggi sambil meneruskan penawaran mereka yang berkaitan untuk pelanggan sekarang ini.

-BERNAMA