Categories
SENI

Cerpen: KAFE KATA

Oleh Rimanilzah

Meja 8

You suka laksa Kedah?”

Angguk.

“Bohong. You tak suka laksa Kedah.”

Geleng.

Meja 2

“Saya hanya pemerhati politik.”

“Aku sangsi akan orang yang mengaku dirinya sebagai pemerhati politik.”

“Mengapa?”

“Ada dua golongan yang mengaku dirinya sebagai pemerhati politik. Pertama, golongan yang kurang faham sebab itu asyik memerhati dan tiada pendirian politik. Kedua, golongan yang tiada testikal.”

Meja 9

“Cikgu Abang K, hubungan sulit itu apa?”

“Mengapa awak tanya?”

“Minggu lepas saya tidur satu katil dengan seseorang. Hubungan sulitkah itu?”

“Lelaki?”

“Ya, lelaki.”

“Mengapa awak tidur dengan dia.”

“Minggu lepas kami pergi ke Ipoh, ada Jom Heboh. Kami pergi naik bas. Dah tengah malam, kami nak balik Semanggol, mana ada bas. Jadi, kami sewa hotel murah di Ipoh. Kami tidur sebilik.”

Meja 18

“Bila bang?”

“Dah tak lama dah.”

“Tak lama?”

“Ya, cuba tengok tivi. Pembangunan. Pembangunan. Pembangunan. Tiap-tiap hari.”

“Yalah, dia orang ada tivi.”

“Yang tak ada tivi ada Youtube aje.”

“Adillah tu!”

Meja 10

“Aku tak percaya beliau seorang yang begitu.”

“Sudahlah. Mahkamah telah memutuskan.”

“Lembu pun akan melawan kalau dipegang tak tentu hal. Inikan pula manusia.”

“Sudahlah. Mahkamah telah memutuskan.”

“Tak masuk akal. Orang yang dipaksa diperlakukan begitu telah siap sedia membawa KY Jelly?”

“Sudahlah. Mahkamah telah memutuskan.”

“Hei, usai diperlakukan begitu… dia boleh hidang kopi dan karipap kepada orang yang memperlakukannya begitu. Tak masuk akal.”

Meja 8

“Mana you tahu I tak suka laksa Kedah?”

I tahulah. You makan laksa Kedah hanya untuk ambil hati I saja. Sebenarnya you tak suka.”

“Siapa yang beritahu begitu?”

“Jangan hipokritlah. You tak perlu buktikan cinta you kepada I dengan pura-pura gemar makan laksa Kedah.”

Meja 5

(Suara itu bergema dalam kepala perempuan genit berkain batik dan berbaju-T sendat.)

“Di sini banyak semut dan lalat, mama. Mengapa letak saya di sini? Saya dahaga akan susumu. Saya lapar mama.”

“Saya takut, mama. Anjing dan kucing berkeliaran di sini. Busuk dan hanyir di sini, mama. Ke mana mama pergi? Ke mana? Mengapa biarkan saya di sini?”

Meja 9

“Tadi awak kata sekatil.”

“Mula-mula memang sebilik, cikgu. Bilik hotel itu ada dua katil single. Saya tidur satu katil,. Dia tidur satu katil. Tapi… sedar-sedar pagi itu bila saya bangun, dia dah sekatil dengan saya.”

“Dia ada buat apa-apa dengan awak?”

“Buat apa cikgu?”

“Buat apa-apalah.”

“Tak ada. Dia tak buat apa-apa dengan saya.”

“Mana awak tahu dia tak buat apa-apa? Bukankah dia sekatil dengan awak?”

“Errr… errr… errr… .”

Meja 7

“Minyak dah turun harga, barang naik juga.”

“Saya tak kisah barang naik. Asal hidup kita bahagia.”

“Kalau selalu sangat barang naik, mana saya boleh tahan.”

“Biasalah barang naik. Mana kita boleh elak?”

Meja 18

“Sayang, nak pangkah mana?”

“Nak yang lama juga.”

“Hish!”

“Abang pula?”

“Bukannya apa, abang hanya inginkan keadilan.”

“Huh! Pangkahlah yang itu. Usah harap dapat memangkah lagi.”

Meja 13

“Bunuh saja model itu.”

“Syyy… perlahankan suara kau.”

“Kita bunuh saja model itu.”

“Model?”

“Kita bunuh saja penterjemah… ah, model tu! Tak pentinglah siapa dia. Yang penting kita bunuh dia. Bunuh dan kita letupkan dia untuk hapuskan bukti.”

“Apa motif kita nak bunuh dia?”

“Pembunuhan perlukan motifkah? Booodoh.”

Meja 9

“Mak bapak awak tahu, awak pergi ke Ipoh dengan dia.”

“Tahu.”

“Tahu? Mereka tak marah?”

“Marah. Mereka marah sebab saya janji nak balik malam itu juga.”

“Mereka tahu awak naik bas ke Ipoh?”

“Tahu.”

Tahu…?”

Jeda.

“ Hubungan awak dengan dia memang sulit.”

“Kami ada hubungan sulit, cikgu?”

“Maksud saya… hubungan awak dengan dia sulit untuk saya fahami.”

Meja 1

“Saya bukan pakar bom. Tapi, sesiapa pun tahu. Bunyi letupan yang kuat boleh dilenyapkan dengan bunyi letupan yang lebih kuat.”

Meja 5

(Suara itu terus bergema dalam kepala perempuan genit berkain batik dan berbaju-T sendat)

“Di dalam sana lebih aman, mama. Walau dunia sempit dan gelap. Di luar sini berantakan, mama. Walau dunia luas dan penuh warna.”

“Mama, kembalikan anakmu ke dalam rahimmu. Semula.”

Meja 7

“Dahlah hujan. Barang naik pula. Susah. Lagipun saya dah tua. Awak ni tak kisah langsung.”

Meja 10

“Sudahlah. Mahkamah telah memutuskan.”

“Yalah. Pengadilan telah selesai. Itu kerja manusia. Keadilan kerja Tuhan. Tunggu di sana.”

Meja 8

“Takkkan fasal laksa Kedah kita nak bergaduh.”

I bukan nak bergaduh. Tapi I tak suka you menipu I.

“Habis tu?”

“Habis tu? Kita habis. Kita putus.”

“Takkan fasal laksa Kedah kita nak putus.”

“Kita putus bukan kerana laksa kedah. Kita putus kerana you menipu I.

Meja Kerja di Dapur

“Kak Mah masak apa hari ini?”

“Masak macam biasa la. Pasaipa?”

“Pelanggan kita lain macam hari ini.”

Categories
SENI

CERPEN: Penikam Bayang

Oleh Nadia Azam
TERKEBIL-KEBIL mata Batrisyia ketika duduk di sofa usangnya yang diletakkan betul-betul bertentangan dengan televisyen. Waktu hampir jam 3 pagi.

Siaran rangkaian tidak berbayar itu sudah tamat. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan Batrisyia kecuali berharap matanya tidak mendera dengan tetap terbuka.

Dia mencapai alat kawalan jauh dan menekan butang merah. Televisyen terpadam. Suasana ruang tamu rumah Batrisyia kelam dan sepi. Sesekali angin menolak dahan pokok yang tumbuh di sebelah rumahnya. Kesejukan kian terasa.

Sejak ibu bapanya hilang secara misteri, Batrisyia tinggal sendirian di banglo dua tingkat itu. Dia anak tunggal. Royalti bukunya memadai untuk kegunaan harian. Selebihnya, harta peninggalan bapa menampung keperluan lain.

Selepas bertahun-tahun, kehilangan ibu bapa Batrisyia kekal misteri. Sejak pulang belajar di Amerika Syarikat, Batrisyia menjadi penghuni tunggal di banglo berkenaan.

* * *
“Trisy! Kau buat apa? Cepat sikit, boleh? Nanti ada orang nampak, macam mana?” Malora semakin rimas dan cemas. Puas Batrisyia menyental permaidani di ruang tamu itu.

Dia hampir menerima kenyataan betapa kesan merah itu tidak akan hilang sepenuhnya walaupun dicuci dengan cecair peluntur. Mungkin dia tidak perlu bersusah-payah kalau Malora setuju membakarnya. Tetapi, Malora degil. Kata Malora, permaidani itu menyimpan ribuan kenangan.

Di samping Batrisyia, ada sebaldi kecil air kemerah-merahan bercampur debu yang berterbangan dibawa angin.

“Ayuh! Hari kian senja. Cepat kita ke hutan belakang sana,” desak Malora sambil bergegas menyarung kasutnya.

“Ya, ya. Aku tahu. Tapi kali ini, giliran kau pula menanam. Aku penat menyental,” balas Batrisyia, mempercepat langkah takut tertinggal.

Malora memalingkan muka ke belakang. Langkahnya terhenti seketika. Direnung tajam wajah Batrisyia. Cuma, wajah itu nampak lebih garang dan menyimpan pelbagai misteri.

Malora memang ayu. Seayu Batrisyia. Bezanya cuma terlihat apabila Malora membuka mulut dan menggerak-gerakkan lidahnya. Amat jarang kata-kata Malora berlalu tanpa menyakitkan hati. Suaranya melengking dan ungkapannya tidak pernah ditapis.

* * *

“Dia memang patut mati. Hidupnya langsung tak membawa makna.”

Malora mengusap rambutnya sambil memandang Batrisyia yang terpaku di depan cermin. Bibir Malora mengukir senyum. Sinis lagi mengejek. Dia mendekati Batrisyia yang menunduk mencari kata-kata.

“Lora, aku…”

“Kau ada hati dengan Aisha kan? Huh! Aku dah agak!”

“Tak patut betul kau paksa aku bunuh Aisha. Dia tak buat apa yang orang lain selalu buat pada aku. Dia terima aku seadanya.”

“Kau hilang akal, Trisy? Takkan ada manusia sanggup terima kau? Kau bukan manusia biasa.”

“Diam, Lora!”

“Aku boleh diam tetapi hakikat tetap hakikat. Tak ada sesiapa di dunia ini boleh terima kau macam aku terima kau. Akuilah hanya aku tempat kau bergantung. Tanpa aku, kau tak wujud.”

Kemarahan Batrisyia tidak dapat dibendung lagi. Sudah lama dia bersabar. Malora tidak pernah jemu menghinanya. Dia akui Malora sebahagian daripada dirinya.

Namun, persahabatan itu dirasakan Batrisyia seakan-akan semakin menyakitkan. Menyeksakan. Dan air matanya banyak tumpah. Keadaan menjadi lebih rapuh apabila Malora asyik mengugutnya membocorkan rahsia Batrisyia. Rahsia yang selama ini dijaga rapi.

Sekarang dia perlu memilih – persahabatan atau rahsianya. Masalahnya, Batrisyia sudah jemu membunuh tetapi isu yang didepaninya itu berbeza.

Dia diugut oleh sahabat yang paling dipercayai. Batrisyia perlu membuat keputusan segera. Atau jika tidak, samalah seperti membiarkan racun menjalar ke seluruh tubuh.

* * *

“Kita ke mana, Trisy?” soal Malora. Ada nada cemas pada suaranya. Malora cuak melihat kelakuan Batrisyia yang seakan-akan orang hilang waras.

“Tak payah banyak tanya. Kau ikut saja, nanti kau akan tahu.”

“Kau nak bawa aku bersiar-siar, kan?”

Batrisyia sebaliknya memalingkan muka bagi menyembunyikan gemuruhnya. Dia tidak mahu Malora tahu niatnya. Jika Malora terhidu apa-apa, rancangannya akan total gagal.

Bunyi enjin kereta Morris Minor mini bergema di telinga Batrisyia ketika mereka meniggalkan banglo dua tingkat itu.

“Trisy, apa yang kau nak cakapkan pada aku, sebenarnya?”
Malora merenung tajam Batrisyia di sebelahnya. Dia menikmati keayuan wajah putih mulus itu.

“Aku nak tamatkan semuanya. Aku minta maaf tapi kau harus mati hari ini.”

Morris Minor itu semakin laju. Batrisyia menekan pedal minyak kian kuat. Enjinnya terdengar kian nyaring.

“Apa?”

“Maafkan aku, Lora. Hayat kau cuma di sini.”

“Trisy, kau dah gila?”

“Aku tak pasti siapa yang gila sekarang.”

Tiba-tiba, di tangan Malora terhunus sebilah pisau berkilat. Batrisyia panik. Perhatiannya kepada jalan raya terganggu. Dadanya bergetar kencang. Malora mengangkat tangannya bersedia menikam Batrisyia. Kereta meluncur laju menghampiri selekoh tajam.

Tangan Malora bersedia menghunjam pisau. Matanya mengecil memandang Batrisyia penuh kebencian.

“Kalau aku mati, kau juga harus mati, Trisy!”

Tangan kanan Malora menikam paha kiri Batrisyia. Batrisyia mengelak, namun tangannya yang memegang stereng bergerak bersama. Kereta mini itu meliar ke kiri ke kanan.

Hanya beberapa meter di depan, selekoh tajam menunggu. Paha kirinya terasa sakit mencucuk-cucuk. Darah mula meresap ke jeans lusuh Batrisyia.

Ketika menyedari keretanya bakal terbabas, sudah terlewat. Tidak banyak yang boleh dilakukan Batrisyia. Dia memulas stereng sekuat hati tetapi yang terpampang cuma belukar dan sebatang pokok kayu besar.

“Lora….”

Malora terkulai di sebelahnya. Tubuhnya tersepit di antara papan pemuka dan pokok kayu yang meremukkan pintu kiri kereta.

“Lora…”

* * *

Mata Batrisyia perlahan-lahan terbuka. Pandangannya kabur. Dia meraba dadanya yang sakit. Kepalanya juga. Batrisyia membengkok kaki. Tiba-tiba pergerakan kaki kirinya terhenti. Mukanya berkerut menahan sakit. Dia meraba kaki itu pula. Terasa lembab melekit pada jeans.

Batrisyia menarik tangan ke mukanya. Dia melihat jari tangan kirinya merah. Darah? Dia mendekatkan lagi ke hidung. Serta-merta deria baunya menangkap aroma hanyir. Darah!
Beberapa minit diperlukan untuk mencantumkan semula kepingan-kepingan ingatan. Detik menyental permaidani, memandu kereta dengan laju, selekoh tajam. Dia mula ingat Malora. Malora? Di mana Malora?

Dengan kesakitan dan kekaburan, Batrisyia bersusah-payah duduk sambil mengingat-ingat siapakah dirinya.

“Aku Batrisyia. Lahir pada 27 Mei 1983. Ibu bapaku sudah tiada. Dan aku sendirian di rumah terbiar ini.”

Di manakah Malora?

Jam 8 pagi. Batrisyia mengatur langkah ke bilik mandi. Kakinya melangkahi sebilah pisau di lantai. Sebelum sampai ke pintu, tangannya mencapai tuala kuning di tingkap. Sebaik saja berada di bilik mandi, Batrisyia melihat wajahnya di cermin. Sekarang baru dia teringat. Malora sudah mati.

Tiba-tiba, dari tepi katil Batrisyia terdengar suara seseorang memanggilnya dengan nada lembut dan manja.

“B-a-t-r-i-s-y-i-a….”

“Hai, er….”

“B-a-t-r-i-s-y-i-a…. Kenalkan, aku Rauna.”

“Oh, hai Rauna!”

Categories
SENI

CERPEN: Mencari mimpi

Oleh Hafiz Zainuddin

Pagi-pagi lagi dia sudah bangun sewaktu matahari masih bermalas-malas. Dia bangun dengan sepotong senyuman yang galak terukir tanda puas.

Kemudian, mengeliat. Kedua-dua tangannya diregang dan tubuhnya dilentik ke kiri, ke kanan, seperti seekor kucing yang tidur dengan perut menadah langit. Acap kali pun begitu.

Dia bangun tidur dengan senyuman kerana mimpinya sentiasa indah-indah. Kemudian, bangun dari tilam buruknya memulai hari menyantap sebatang rokok sambil membuka jendela kayu bilik.

Dari jendela, dia merenung laman kecil itu, memerhati orang lalu-lalang dan kawanan ayam yang takkan lupa mengais-ngais tanah; juga dengan senyuman. Begitu rutin paginya.

Malam tadi, dia bermimpi mendapat pekerjaan yang baik. Dia ditawarkan sebagai pegawai penyelia di sebuah syarikat multinasional yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kelmarin, dia bermimpi berjabat tangan dengan seorang menteri yang paling kacak dalam barisan kabinet.

Minggu lalu, dia bermimpi tidur di katil deluxe yang dipenuhi wang kertas seratus bertemankan beberapa wanita. Semuanya cantik-cantik, wajah mereka pula sesuai menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Sebab itu dia akan sentiasa tersenyum tiap kali bangun pagi. Mimpi indah itu cukup untuk hari ini, esok, akan datang lagi mimpi indah yang lain.

Hal ini jauh berbeza dengan teman-temannya yang sehendak boleh mahu tidur sampai tengah hari kerana tubuh mereka kehausan mimpi yang sempurna.

Dia berbangga tiap kali ditegur kawan-kawan. Kata mereka wajahnya sentiasa berseri dan menawan meski tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa memancing dan kadang kala secara sukarela membantu Makcik Susan basuh pinggan mangkuk di restoran.

“Umur sudah 35, bujang, menganggur pulak. Tapi kenapa selalu je kau nampak relaks, macam tak ada masalah. Kerja tak ada pun kau okay. Anak bini tak ada pun kau okay. Keluarga kau pun bukan orang senang, apa rahsia kau?” soal Lan, teman baiknya sejak sekolah.

Lan kuat bekerja. Selesai pejabat, dia mengajar tuisyen subjek bahasa Melayu. Tiap-tiap Ahad pula, dia, isteri dan dua anaknya turun pasar pagi jual produk kesihatan. Jadual hidupnya sentiasa penuh. Dia bekerja demi menampung kehidupan yang semakin menekan apalagi selepas berkuatkuasanya GST dan TPPA.

Gajinya besar, namun, keperluan untuk hidup dan masa depan terus bertambah, mencengkam leher. Dia terpaksa buat beberapa jenis kerja meskipun isterinya turut bekerja. Sesekali, dia berasa tuhan tidak berlaku adil kepadanya.

Wajahnya makin menua bukan kerana usianya sudah lanjut, tetapi akibat tekanan kerja dan tanggungjawab. Melihat temannya yang bahagia, dia hairan. Lebih-lebih pula temannya itu semakin tampak berseri, bertenaga dan bersemangat.

Mendengarkan soalan Lan, dia menghela nafas, merenung anak mata Lan hingga temannya itu berasa janggal dan pelik. Pada mata temannya itu sudah tergambar keluh kesah susah gelisah yang membelenggunya. Bahagia tidak pernah sampai dalam hidup Lan. Justeru, apa yang dikerjakan Lan nampaknya mempersenda kehidupannya sendiri. Begitu telahannya. Mungkin benar, mungkin tidak.

“Lan, aku tak ada rahsia, aku cuma mimpi. Bermimpi. Aku ada mimpi yang bagus.”

Lan membulatkan mata sambil mengerut dahi. Seperti dalam drama televisyen, dia membetulkan punggungnya di kerusi kayu restoran Makcik Susan. Menyalakan rokok, kemudian tangannya memegang dagu seperti sedang mengusap janggut.

images“Mimpi…?”

“Ya. Hampir tiap malam aku akan bermimpi yang bagus-bagus, indah-indah dan seronok-seronok. Jadi, mimpi itulah yang buat aku rasa semangat, ceria, happy macam sekarang.”

Lan mengangguk-angguk, dahinya berkerut, tangannya masih memegang dagu yang licin. Sesekali, dia menyapu kumisnya yang halus. Matanya terus mengecil memberi tumpuan pada temannya itu.

Dia mahu seperti temannya itu yang sentiasa tampak berseri dan ceria. Jauh dari masalah dan celaka yang tidak diketahui. Tidak seperti dirinya yang semakin terhimpit dan tertekan.

Lan tidak sempat bermimpi. Dia tiada mimpi indah. Jika ada, itu dulu, itu pun hanya mimpi yang ngeri-ngeri. Dia pernah bermimpi dibunuh perompak, dibakar hidup-hidup, bankrap, ditinggalkan isteri atau dikejar hantu.

Mimpi Lan mimpi buruk; dan menambah pilu, di luar mimpi dia berhadapan dengan realiti perit kehidupan. Isteri dan anak-anaknya terpaksa berkorban masa yang sepatutnya dipenuhi di rumah dengan kerja part time menjual produk penjagaan kesihatan setiap hari Ahad.

Mereka tidak pernah sekalipun ponteng berniaga sepanjang lima tahun disebabkan terlalu komited dengan kehidupan dan keperluan keluarganya. Perkara itu juga menyebabkan hubungan Lan dan sanak-saudaranya lain renggang. Lan suka cipta peluang, tambah keperluan.
“Kenapa kahwin adik kau tak datang Lan?”

“Pak cik kamu meninggal sampai hati tak ziarah…”

“Kamu mata duitan!”

Semua kata-kata ini begitu memakan rasa. Mereka semua tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan.

“Aku buat semua ini kerana janji kepada isteriku. Aku berjanji untuk menjaga mereka dan melengkapkan kehidupan mereka dengan segala yang terbaik. Aku buat semua ini sebab aku sayang.”

“Hmm Lan, kata-kata itu betul semuanya. Kau tak salah dan tak pernah salah dalam hal ini tapi jika nak jadi macam aku, kau perlu bermimpi.”

“Memang itu yang aku nak! Macam mana?” kata Lan bersemangat.

“Kau perlu kurangkan keperluan. Keperluan itu ciptaan kau dan iklan. Keperluan itulah yang sebenarnya memakan mimpi-mimpi kau yang sepatutnya. Mereka ciptakan mimpi baru untuk kau hingga buatkan kau jadi angau”

“Habis? Takkan kau nak sara anak isteri aku. Aku perlukan duit yang lebih tiap bulan untuk tampung belanja. Kau mana tau sebab kau tak pernah berkahwin dan ada anak. Kau tak ada tanggungan kereta, motor, rumah, wifi, telefon…”

“Lan! Kalau kau terus dengan sikap macam ni, aku minta maaf. Kau tak akan dapat mimpi macam aku. Kau takkan jadi macam aku. Sikit pun tidak”

“Takkan tak ada cara lain?” soal Lan dalam nada kecewa.

“Tak ada Lan, kalau kau mau bermimpi. Mimpi yang sempurna macam aku. Kau kena ikut cara aku, kalau kau tak mampu ikut, itu bukan masalah aku. Aku minta maaf.”

Lan tiada pilihan lain untuk dapatkan mimpi indah melainkan mengikut kata temannya itu. Namun, dia tak mampu. Dia mengetap bibirnya sambil tertunduk kemudian mengeluh panjang menoleh ke angkasa yang sudah samar-samar cerah.

Dia begitu cemburu dengan temannya itu yang hidupnya menghitung mimpi sempurna hampir setiap kali nyenyak, sedangkan dia terpaksa menghitung tunai dan waktu untuk dikerjakan.

Senja itu, Lan pulang rumah membawa sepotong kata hampa-kecewa kerana tidak mungkin mendapat kurnia seperti temannya itu. Mat, itu nama temannya yang sentiasa dihujani mimpi indah lagi sempurna.

Lan duduk di sofanya yang baru dibeli, memegang kepala, memicit-micit kepalanya. Seperti biasa, isterinya membawakan secangkir kopi.

“Kalah banyak ya?” soal isteri.

“Tak kalah, belum menang je…”

Tangan yang memicit-micit kepalanya itu dihala kepada secangkir kopi di depan meja. Dia menenung kopi legam itu sambil ditiup-tiup perlahan.

Satu teguk, dua teguk, tiga teguk.

“Ahh..”

Lan dapat idea! Idea itu semacam terpancut dari dalam kopi masuk ke mulutnya dan memberi syarat kepada bahagian otaknya yang paling dalam. Lan mengelamun sendiri berfikir untuk mencuri mimpi Mat.

Bermula hari itu, dia sudah ada mimpi.