Categories
BUDAYA RENCANA

Hari tanpa kepala

 Oleh Tramizi Hussin

 

SAYA patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, pagi tadi saya bangkit tanpa kepala selepas matahari hampir membuka separuh matanya.

Saya gagau telefon bimbit, walaupun saya maklum benar yang tidak pernah ada mesej diterima selain daripada kumpulan borak “Geng Encik Bos” yang terpaksa saya bisukan selepas setiap kali habis waktu bekerja. Setengah jam di atas tilam, membuka media sosial yang sepi sapaan dan membaca berita terkini pagi hari yang saya cuba ambil peduli. Bagaimana saya melihat semua itu tanpa mata yang letaknya di kepala? Saya tidak pasti.

Waktu saya berdiri di depan cermin di dalam bilik air, mengelak mata bertemu bayangan sendiri, saya masih tidak sedar saya sudah tidak berkepala. Hanya waktu saya ingin menggosok gigi, barulah saya sedar mulut sudah tiada. Bukan sekadar mulut, tetapi juga seluruh kepala. Yang tinggal hanyalah leher dengan halkum bergerak naik turun. Sesak.

Saya kejur, bagaimana hendak hadapi dunia? Tidak, saya tidak rindukan kepala berwajah saya itu. Apalah yang hendak dirindukan kepada wajah bukan hero filem? Orang tidak berupa tidak patut melihat cermin selepas bangun tidur.

Anehnya, saya masih boleh melihat walaupun tidak bermata. Di cermin, leher berlapis lemak saya masih berombak mengagau nafas dan berusaha menahan tarikan graviti daripada menariknya lembik ke bahu. Saya masih boleh menghidu bau nasi lemak ditanak jiran sebelah dan saya masih mendengar anjing mengggonggong di luar rumah.  Adakah saya sudah jadi amoeba yang tidak perlukan organ?

Terlalu banyak pertanyaan pagi hari adalah perkara yang memenatkan. Jadi saya teruskan mandi membasuh badan tanpa kepala.

Saya mahu minta cuti hari ini. Tetapi, cuti tahunan sudah habis, mahu ambil MC adalah penyeksaan kerana pintu klinik terhampir rumah saya terpampang poster Dr Mahathir tersengih dengan tulisan Comis Sans besar warna merah darah: “Saya 93 tahun masih bekerja, awak mahu minta MC?”

Jadi, saya terus bersiap untuk bekerja. Keluar bilik, teman serumah sedang berlari-lari anak keliling ruang tamu. Dia mahu sihat untuk hidup seribu tahun lagi, saya tidak mahu. Di rumah bujang, kami mengelak bertembung muka di awal pagi, sesuatu yang tidak mengasyikkan untuk dipandang. Jadi, dia tidak sedar saya sudah tidak berkepala.

Kerana saya tidak berkepala, saya tidak memandang ke bawah, juga tidak mendongak ke atas di pejabat. Saya hanya memastikan leher stabil dan tidak terlesu di bahu.

Bos saya masuk kerja dengan marah-marah, menjerkah: “Mana otak kau? Buat kerja macam ni!”

Saya hanya tegakkan leher tanpa kepala.

Selepas itu, tiada siapa lagi yang menganggu. Seperti lipas, orang tidak halau kerana bimbang terbang mengacau, tetapi juga tidak hampir kerana kotor. Lipas boleh hidup tanpa kepala selama seminggu. Mungkin juga saya boleh.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, di stesen KL Sentral selepas habis kerja, walau sudah sepuluh buah gerabak berlalu, saya masih tidak berganjak.

Saya menunggu Dia. Saya tidak berkepala, tetapi saya masih berdada yang dalamnya ada jantung berdegup kencang. Hati saya masih berdiam menjalankan kerjanya supaya saya tidak jadi manusia kuning tanpa kepala.

Dia selalu muncul tepat jam enam petang, menunggu di platform yang sama dengan saya. Bertahun, saya setia menanti tetapi tidak sekalipun bertegur.

Saya turun di stesen sebelum Dia, saya tidak pasti Dia turun di mana. Dia mungkin turun di stesen terakhir, mungkin juga di salah sebuah stesen sebelum yang terakhir, saya tidak tahu.

Hari ini, saya berdiri di sebelahnya dan buat pertama kali Dia memandang. Tetapi kerana saya tidak bermata walaupun leher saya berputar ke arahnya, pandangan itu tidak jatuh ke jantung. Barulah saya menyesal tidak berkepala dan bermata hari ini. Tetapi, bukankah lebih menyakitkan jika saya berkepala?

Gerabak tiba dan pintu terbuka. Dia masuk ke dalam dan saya membontotinya, lagak lelaki penyumbaleweng cari peluang. Di dalam gerabak, manusia kepam berhimpit menolak saya ke arahnya. Dia memalingkan badan ke luar gerabak, tidak mahu mendepani saya.

Leher saya longlai ke bahu, mahu masuk ke dada membelit jantung pecah. Mungkin saya tidak perlukan jantung, seperti obor-obor yang hanya ikut arus. Obor-obor tanpa jantung boleh hidup berpuluh tahun. Mungkin juga saya begitu.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, waktu saya duduk luar rumah mengharapkan ada mulut untuk merokok, ada hantu yang mengensot datang. Hantu itu rambutnya panjang lurus menutup muka, sekurang-kurangya dia ada kepala, cuma tidak berkaki. Saya tidak pasti tentang jantung, saya tidak tanya.

“Berikan aku kaki kau, bukan kau guna pun. Aku datang pun kau tak lari,” katanya.

Saya berdehem tanda tidak senang dan tidak mahu.

“Bolehlahhhh,” rayunya dan mengengsot makin dekat.

Saya tidak jadi berdehem untuk kali kedua.

Perlahan-lahan hantu itu melilit kaki saya dengan tubuh bawahnya yang seperti ekor ular itu.

Bunyi tulang pecah kedengaran. Saya tidak berasa sakit dan saya tidak mahu melawan. Saya hanya mahu merokok sebenarnya.

Tahu-tahu sahaja, kaki saya sudah tiada. Saya pula yang kini mengengsot. Hantu itu sudah berdiri dengan kaki yang pernah jadi milik saya. Tersenyum lebar menampakkan deretan gigi tajamnya. Mukanya masih pucat lesu, matanya merah menyala. Saya tidak tahu apa jenis hantu, jangan tanya.

Dalam ruang kesedaran yang hampir lenyap, saya bertelapati kepadanya.

“Aku tiada kepala, tiada jantung, tiada kaki, apa aku nak buat?”

“Dasar pemalas. Meninggal je lah,” ejeknya sebelum berlari-lari anak masuk ke dalam semak.

Mungkin saya boleh hidup seribu tahun lagi.

Categories
BUDAYA RENCANA

Minit mesyuarat

Oleh Makna Nurjihad

 

MINIT mesyuarat adalah satu dokumentasi di atas kertas putih yang mempunyai kuasa untuk merubah dunia. Zalia percaya apa yang dicatatkan olehnya adalah hitam atau putih keputusan tindakan yang bakal digerakkan. Minit mesyuarat adalah susunan-susunan aksara dalam ayat pasif untuk tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat. Nuansa mesyuarat mewujudkan humor, sedih, gembira, menyayat hati, kemurungan dan kebimbangan.  Si polan A menyatakan dia pejuang kemashalatan ummat, disahut si Polan B yang mengakui dia lebih lagi. Ramai menyanggupi projek dengan peruntukan puluhan dan ratusan ribu Ringgit Malaysia. Apabila peruntukan sedikit mereka akan bertarik tali dengan alasan bukan dalam skop tugasan masing-masing. Mereka berdebat untuk menunjukkan warna diri masing-masing dari sisi yang paling indah. Hakikatnya mereka adalah seperti sesumpah yang bertukar warna mengikut dalam puak mana mereka berada pada ketika itu.

Kesimpulan dari kata-kata mereka dicatat Zalia, sebelum diringkaskan dan diserahkan kepada pengerusi mesyuarat kemudiannya. Minit mesyuarat adalah merupakan satu seni kata-kata untuk pencatat dan penulis seperti Zalia. Hasil kerjanya walaupun tidak diiktiraf seagung karya seni sastera Tolstoy, Shakespeare, Nabokov, Kurosawa, A. Samad Said atau Usman Awang. Minit mesyuaratnya ada peminat tersendiri. Buktinya sebelum dicetak dia akan menerima mesej-mesej dari telefon pintar mohon untuk diperindahkan ayat supaya beban yang bakal dipikul dapat diperingankan. Namun, Zalia yakin apa dipertanggungjawabkan padanya bakal dipersoalkan di negeri abadi kelak. Dia wajib hati-hati dalam mengisi kata-kata dalam lembaran minitnya.

Drama sebenar bermula apabila pengerusi menandatangani dengan pen berdakwat cair pada ruangan disahkan pada lembaran minit mesyuarat. Zalia membuat salinan, dilakukan pada mesin pengimbas dan diedarkan kepada ahli mesyuarat melalui e-mel. Bilik pengerusi mesyuarat akan mula dikunjungi tidak henti-henti, puluhan kertas kerja dimajukan, bahagian perakaunan mula sibuk melayani pelbagai sebut harga yang masuk. Masing-masing mencari kenalan untuk masuk tender, aliran wang mula aktif. Wang mengalir pada sekecil jamuan mesyuarat jawatankuasa pelaksana sehingga ke tender pembekalan. Jantung jabatan berdenyut laju, minit mesyuarat persis CPR kepada tubuh badan jabatan. Pada ketika itu akan kelihatan masing-masing mengakui mempunyai hak untuk mencari dan mencadangkan pembekal terbaik.

Maka minit mesyuarat akan dibawa menghadap pengerusi sekali lagi. Zalia terpegun dan geli hati apabila dua tiga pegawai eksekutif berada di dalam bilik pengerusi dengan salinan minit mesyuarat. Mereka mengulang-ulang ayat pada lembaran tadi seperti deklamator puisi sebelum disahut pada sebelah pihak yang lain pula. Zalia menanggapi pengerusi sebagai pengacara majlis dan dia sebagai pengadilnya. Kata akhir baginya adalah apabila dia mengumumkan pegawai eksekutif yang paling tepat dalam mentafsir minit yang ditaipnya dengan pengesahan pengerusi mesyuarat. Akhirnya akan ada pihak yang kecewa tidak dapat memanipulasi minit mesyuarat menurut nafsunya.

Minit mesyuarat adalah juga skrip kepada drama bersiri jabatan. Isu-isu berbangkit akan dibawakan ke mesyuarat seterusnya. Awal-awal lagi seminggu atau dua tiga hari sebelum tarikh mesyuarat bermula. Setelah agenda dan surat pangggilan mesyuarat dikeluarkan. Ahli mesyuarat akan berjumpa dengan  Zalia. Membawa senyuman beserta muka yang manis. Kadang kala membawa  hadiah berupa makanan, ajakan makan tengah hari dan kadang kala wang tunai. Hati Zalia juga terkadang goyah, tambahan dia merupakan seorang Dara yang sedang mencari Udanya. Mereka mengharapkan dapat menjampi hati Zalia dengan hadiah-hadiah, jampi mereka supaya Zalia akan teringat-teringat muka mereka dan menaip nama mereka dalam mengendalikan projek-projek mega dan melepaskan mereka dari beban kerja yang remeh temeh.

Pada permulaan mesyuarat seterusnya. Masing-masing ahli eksekutif tertunduk menancap meja. Tidak seorang berani mengangkat muka. Sebaik pengerusi membuka mesyuarat dengan surah al-Fatihah satu-satu nama disebut dengan sikap dan tingkah masing-masing. Zalia juga tertunduk bergemuruh jantungnya. Tangannya kaku untuk menaip dan fikirannya kosong untuk menyusun kata dan mentafsir maksud di sebalik patah-patah ayat dikemukan pengerusi. Pada kesudahan pengerusi menyatakan pada Zalia tidak ada minit pada kali tersebut. Memandangkan mesyuarat kali ini tidak lain hanya bertujuan untuk tujuan amaran dan peringatan semata.

Categories
BUDAYA RENCANA

Mutasi yang membumi

Oleh Ilya Alias

 

Jika boleh diibaratkan belantara ini dengan keajaiban Tuhan, jawapannya; bianglala yang lahir pada bulan Disember.

Keadaan kami yang bertelanjang bukanlah sesuatu yang dianggap tabu oleh komuniti. Kami hidup dalam sebuah belantara yang dipagari dengan pohon-pohon tua perkasa maha besar yang bersambung antara satu sama lain sehingga memungkinkan kami menggelarkannya, gerbang. Cukup besar sehingga memuatkan seratus ekor mawas jantan dewasa berjalan beriringan melaluinya, memasuki daerah kami yang mendedahkan rahsia Tuhan; mawas betina. Gerbang besar itu mengunci segala rahsia isi dalamnya.

Kami berjalan megah dengan bulu-bulu halus, panjang pada puting-puting merah jambu, mongel dan dada yang montok.

Kami tidak perlu mencalit gincu dengan kombinasi paling anggun dan mahal seperti manusia untuk nampak menawan.

Kami tidak perlu memakai pakaian dalam paling mewah untuk mengiurkan pandangan yang melihat.

Kami hanya perlu berjalan dengan juntaian bulu-bulu badan yang disisir rapi berserta sejuring senyuman yang melebar ke pelipat mata, pasti ada sahaja mawas jantan kegersangan yang matanya ke atas membuntuti kami penuh harap.

Kami gelarkan belantara ini sebagai kolosium paling tenang dalam galaksi. Gerbang itu persis perisai yang membina ruang vakum, menepis gangguan haiwan-haiwan liar lain yang mampu membenamkan kebahagiaan kami. Di dalamnya, kami terpelihara dan suci daripada segala onar. Bahkan, buah-buahan yang kami makan juga sifar gangguan serangga dan ketulenan rasanya mengecurkan deria. Wangian kulit isu yang dikopek persis haruman yang mampu mengalahkan taburan pewangi kelas satu dunia.

Saban mawas jantan yang maju ke gerbang akan terbuntang mata melihat pesona kami. Mereka bagaikan dipukau untuk meraba dada membidang yang baru tumbuh, cuba menjilatnya penuh hemah agar keindahannya terus mekar.

Bahkan setiap mawas jantan yang melintasi kami akan berteriak sakan hingga menggegarkan akar-akar meranti yang beratus-ratus tahun membanir.

Tandan-tandan pisang kuning dilayangkan penuh karisma untuk menarik perhatian kami serta anak-anak yang kian sesak. Mereka adalah pemilik kolosium ini suatu masa nanti.

Mengawan definisinya, indah.

Kami tidak pernah bersengketa kerana kami mengingini dan memiliki hal yang sama.

Mawas jantan yang paling hebat dan besar akan menjadi susuk paling dominan. Kami akan mengelilinginya beramai-ramai sambil bergayut pada dahan paling rendang dengan dedaun paling lebat serta leretan buah-buahan hutan paling labuh. Kami akan sama-sama bercengkerama hingga titis-titis terakhir kepuasan mengalir ke dada dan perut kami, mawas jantan itu akan tersenyum dan beredar pergi.

Istimewanya, kami tidak pernah mengawan dengan mawas jantan sama. Langsung tidak. Mungkin kerana jumlah mawas jantan di belantara lebih banyak daripada mawas betina, siapa tahu? Kami tidak pernah melewati lebih daripada gerbang tersebut.

Bilangan mawas jantan yang hadir ke ruang kami semakin banyak dan keadaan kian ganas. Sebahagian mereka sudah mula menghisap dan menggigit puting-puting sehingga berdarah dan kegersangan mereka kian bertambah apabila kami mengaduh kesakitan apabila bulu-bulu pada badan kami ditarik sambil mereka memancutkan saat paling enak dalam hayat mengawan.

Namun, kami tetap tabah melewati waktu-waktu tersebut kerana itu adalah kehidupan. Bahkan, kami masih tidak memilih mawas jantan untuk mengawan. Anak-anak kecil terus kami gendung tanpa sedikitpun kegusaran. Dan, kami bisikkan pada anak-anak kami bahawa zuriat adalah harta paling berharga. Kami mahu penuhi seluruh jagat raya dengan kawanan mawas, leraikan konkrit yang memagari zoo serta bina safari paling mewah untuk sekalian generasi. Kami tidak mahu lagi dilabel binatang oleh kawanan yang mengakui diri mereka memiliki akal; manusia.

Masih segar ketika kami belum berkampung di sebalik gerbang ini, saat zuriat kami diambil oleh beberapa kumpulan manusia untuk dijadikan uji kaji. Lolongan mereka yang nyaring dan kuat sayup-sayup kedengaran sehingga membataskan tidur nyenyak kami sehari-hari.

Hari ini, seperti dipanah petir paling kuat dan tajam, gerbang seolah-olah diperkosa tatkala seorang lelaki bertopi dan bersenapang melanggar kekebalannya dengan menunggang kuda hitam paling gagah. Kami kaget melihat lelaki dengan janggut yang meleret ke paras dada. Dia memakai kaca mata hitam dan menyeru beberapa orang lelaki lain mampir ke arahnya seraya menuding tangan ke arah kami yang bergentayangan di dahan.

“Kalian lihat! Inilah datuk moyang kita. Australopithecus!”

Sorakan garau daripada lelaki-lelaki lain beserta lepasan beberapa das tembakan ke udara mengejutkan kami.

“Turunlah kalian ke tanah, kita adalah serumpun. Kami adalah hasil mutasi, kalian adalah bentuk kami paling asli.”

Lelaki itu adalah ketua saintis terkemuka dunia yang memperjuangkan teori dangkalnya; bahawasanya manusia adalah mutasi kera. Kumpulannya menghabiskan sisa hayat mereka memperkatakan tentang kelahiran manusia adalah melalui proses mutasi kera secara semula jadi dan penuh ironi. Mawas jantan yang masih ralit mengawan dengan sebahagian daripada kami, bingkas bangkit. Mengeruh kuat, menggerunkan kuda-kuda gagah-hitam.

“Kalian usah risau, kami datang bersama tamadun paling cerlang.”

Kami cuba memahami tingkah manusia itu. Berhati-hati mengatur dahan demi dahan sambil pandangan kami terus tertancap pada laras-laras senapang yang panjang dan kurus di tangan mereka.

“Kita adalah satu! Zuriat kalian adalah permulaan hayat kami paling agung.”

Kami cuba memahami lagi bahasa dan lenggok katanya, sehingga seekor mawas jantan paling tua yang baru sahaja menyisir bulu pada perut yang penuh kutu berkata;

“Oh, Charles kita adalah saudara! Kamu adalah telur-telur yang kami titiskan dan mengembang memiliki akal paling sempurna.”

Kami yang mendengar ujaran mawas tua itu, terus bersorak. Membayangkan hak sama rata manusia dan haiwan bakal menjadi nyata dan kantung sejarah serta sains bakal berantakan. Pasti kehadiran hak sama rata ini membuatkan tujuh benua menjadi satu dan kami akan memonopoli seluruh galaksi. Kolosium ini bakal dilebarkan sehingga tidak mampu ditepis ruangnya oleh sesiapa sahaja. Kami terus bergayut dari dahan ke dahan sehingga membuatkan nyali manusia di sekeliling Charles kian mengecut. Senapang mereka dilaras tinggi, setinggi gayutan dan suara kami yang bergema ke seluruh bumi.

Categories
SELANGOR SENI

Carulean

OLEH WAFA AWLA

Februari, 2016

AIR mata tak sempat disambut hujung lengan baju kerana jatuh terlalu laju. Rindu – hanya sepatah kata, selebihnya kelu. Tidak terlalu susah untuk mencari bibir yang menyebut kalimah itu kerana di dadanya terbit cahaya biru samar kemudian bergemintang.

Dia yang seru saya datang. Saya bersemangat kerana dia orang ke-21 untuk saya sampaikan rindu. Kamu tahu maknanya? Ini kali terakhir saya akan lakukan tugas untuk orang yang menyedihkan. Sumpahan saya akan berakhir dan saya boleh kembali ke istana menjadi pari-pari semula.

Kalau gagal, saya perlu menghantar rindu kepada 40 orang lagi. Ini gila. Seperti biasa, saya terbang di tengah malam ketika orang itu tidur – dadanya akan ada cahaya biru yang perlu saya ambil dan hantar kepada orang yang dirinduinya. Syaratnya, ia mestilah orang yang menangis teresak-esak akibat rindu dan tertidur kerananya.

Tidakkah pekerjaan ini untuk orang-orang yang menyedihkan? Saya sudah saksikan berpuluh-puluh cerita sayu; itu melelahkan.

Ini tugas terakhir. Saya bertenggek di tepi jendela seperti hari-hari sebelumnya. Cahaya bulan memantulkan bayang-bayang ke lantai. Cahaya biru mulai bergerak-gerak dari dadanya, terapung perlahan-lahan pergi ke arah saya. Hening.

“Carulean?”

“Kamukah itu?” Suara itu kedengaran lagi. Saya masih diam. Lampu tidak begitu terang tetapi saya dapat melihat lelaki tua itu duduk di katilnya. Kami saling berpandangan.

Hadiah-sastera“Ka… kamu boleh lihat saya?” Tidak pernah dalam sejarah manusia boleh melihat Carulean. Apalagi bercakap-cakap!

“Semestinya kamu Carulean burung pembawa rindu. Saya fikir itu kisah dongeng!”

Suaranya sebak. Matanya berkaca. Saya kira dia teruja, kemudian menghampiri saya di jendela. Perlahan langkahnya.

“Seperti mimpi berjumpa kamu, Carulean. Tepat waktunya; saya hampir putus asa. Saya seperti sudah mati.” Terketar-ketar tangannya menarik kerusi duduk di depan saya. Nafasnya turun naik.

“Jadi rindu ini untuk siapa?”

Disember, 1941

Wo dengzhe ni huilai, wo dengzhe ni huilai

(Aku menunggu kaupulang, aku menunggu kaupulang)

Wo xiangzhe ni huilai, wo xiangzhe ni huilai

(Aku bermimpi kaupulang, aku bermimpi kaupulang)

Dia gadis Tionghoa bekerja di gerai seberang jalan. Saya selalu berulang-alik melalui jalan itu; kadang-kadang mengintipnya dari jendela rumah tumpangan. Kerana dia, saya menjadi orang yang mencintai malam. Waktu itulah ,dia membersihkan gerai jualan gula-gula sambil bernyanyi merdu walau saya tidak tahu maksudnya. Begitu indah.

“Ha, sudah kuagak! Kau sudah jatuh hati, Sim?” Nyaris gugur jantung disergah Maarof. Dia menyambung ketawa. Saya pura-pura tidak mengerti. Kemudian suatu malam, saya dan Maarof melewati depan gerai itu.

“Ayuh Kasim, tanya namanya. Lekas!” Saya geleng tidak mahu; sebetulnya malu. Tetapi Maarof tidak dipanggil Maarof kalau tidak panjang akalnya. Ditolaknya saya ke arah gadis itu kemudian menghilang. Kami saling memandang, serentak menunduk.

“Lagu yang cik nyanyi itu sungguh merdu.” Itulah ayat pertama. Kerana gugup, terlupa meminta maaf, apatah lagi bertanya namanya. Gadis itu sedikit terkejut; tersenyum malu.

“Bai Guang,” katanya.

“Wah, nama yang bagus.” Tiba-tiba dia tertawa.

“Bukan. Nama penyanyi lagu itu Bai Guang. Saya Liling.”

“Liling.” Saya mengulangnya.

INFO HADIAH SASTERALiling menyanyikan lagu itu lagi. Begitulah kami meraikan perkenalan. Semuanya berjalan baik. Saya bahkan membelikan Liling sapu tangan biru pekat dengan corak bersulam bunga Melur sempena ulang tahun kelahirannya. Saya menemui Liling petang itu; tidak meminta apa-apa, cukuplah hanya senyuman.

Berpusu-pusu kapal terbang tiba-tiba muncul. Nampaknya tentera udara mengadakan pertunjukan. Alangkah indahnya dunia meraikan hari ulang tahun Liling. Ramai orang keluar menyaksikan. Dari jauh saya melihat Liling mengadah ke langit.

“Liling!” Saya melambainya. Liling tersenyum manis; mengangkat tangan ingin membalas lambaian saya namun…

“Bom!”
Dentuman kedengaran di sana-sini. Semua lari bertempiaran. Ada yang lintang pukang berlari tapi ditembak pula. Tak sempat memahami kejadian itu, namun dada saya hampir terkeluar kerana terlalu kencang debarnya. Tanah bergegar. Saya menyembunyikan diri. Tangisan dan pekikan orang berselang seli. Sukar hendak diceritakan keadaan dahsyat itu kepada kamu tapi yang pasti, seluruh tubuh saya terketar-ketar.

Adakah dunia sudah kiamat?

Apabila keadaan reda, saya keluar dari tempat persembunyian. Mayat bergelimpangan tidak berkepala. Bangunan dan jalan raya hancur. Gerai Liling tak kelihatan lagi. Seseorang dari hujung kota memberitahu saya, Jepun telah menduduki Tanah Melayu. Memang Jepun berdendam dengan China sejak tahun 1937; Khabarnya, General Yamashita mengarahkan Sook Ching, operasi pembersihan etnik kaum Cina.

Perasaan nihil mencengkam jantung sehingga saya terlupa bagaimana untuk bernafas. Betapa berharap janganlah Liling ditembak rawak atau ditikam bayonet.

Saya ditangkap dan dijadikan buruh paksa. Bermulalah hidup saya seperti neraka. Bekerja mengangkut tanah dan menambak jalan. Berhadapan dengan rotan, sepak tampar, penyakit bahkan kematian. Terkadang tidak makan.

Tahulah saya, hidup ini ada bahagian yang kita tiada apa-apa pilihan. Bertahan untuk terus hidup adalah satu-satunya cara membuktikan kekuatan.

Entah bagaimana, saya terserempak dengan Maarof yang juga menjadi buruh paksa.

“Liling masih hidup, Sim. Kami sembunyikan dia. Cuma rambutnya dipotong dan berpakaian lelaki untuk lindungi diri. Kau harus pulang cari Liling.”

Maarof bukanlah Maarof kalau tidak panjang akalnya. Kami ke hutan kononnya mencari buluh. Maarof mengambil miang buluh dan memindahkan ke tubuhnya. Saya tiru perbuatannya. Apabila terbit keringat, tubuh kami bertukar merah. Tentera Jepun menyangka kami dijangkiti penyakit dan dihantar pulang.

Setiba di Tanah Melayu, saya lekas-lekas mencari Liling. Berjam-jam melewati jalan untuk sampai ke kampung yang dikatakan Maarof. Tiada yang kenal. Saya menyusup ke semak-semak mana tahu Liling bersembunyi di sana. Tidak ada. Saya tidak tahu harus seperti apa lagi mencari Liling.

Mungkin terlalu memikirkan Liling, saya selalu bermimpi dia menjerit nama saya seperti meminta tolong. Saya akan terjaga lalu teresak-esak menangis. Sejak itu, saya menyedari ada bahagian dalam diri saya yang hilang. Berkali-kali saya merayu supaya takdir mencabut rasa ini. Tiada apa-apa terjadi. Takdir menemukan, takdir menghukumkan.

Ni huishen bu huilai, ni huishen bu huilai

(Mengapa kau tak pulang, Mengapa kau tak pulang)

Wo yaodeng ni huilai, wo yaodeng ni huilai

(Aku menunggu kaupulang, Aku menunggu kaupulang)

Saya seperti terdengar suara Liling menyanyikan lagu itu sayup-sayup kemudian hilang dalam kesedihan yang panjang.

Februari, 2016

Dia menyeka air mata. Saya kira ceritanya sudah habis. Saya menatap kelopak matanya yang sarat dengan cerita lampau yang dipendamnya sendiri-sendiri. Saya baru sedar lelaki ini menggenggam sapu tangan biru lusuh di tangan kanannya.

“Pergilah, Carulean. Sampaikanlah rindu ini kalau dia masih hidup” Dia kemudian menerbangkan saya ke udara.

Saya sedang mencari Liling sewaktu kamu membaca catatan ini. Ahh, adakah kamu sedang merindu? Kerana saya mungkin akan tiba di jendela bilik kamu.

Categories
RENCANA SENI

Tetuang Udara

OLEH HANIFF YUSOFF

SAYA terasa seolah-olah memasuki zon kesunyian biarpun sebenarnya saya kini telah menetap di kota raya setelah menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta ternama. Semua sedia maklum bahawa di kota raya ini, berpusu-pusu manusia mencari rezeki. Kesesakan lalu lintas tidak perlu dirungkai cerita lagi kerana sehingga detik kita mengejar mimpi, bunyi hon dan enjin kenderaan ikut sama berkejaran. Walaupun begitu, yang saya rasakan hanyalah kesunyian di kota raya ini sejak pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

Sahabat-sahabat sepejabat mencadangkan saya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kata mereka, saya pasti teruja ke sana melihat pelbagai ragam manusia menjual dan membeli-belah terutama ketika menghampiri musim perayaan. Kata mereka lagi, saya tidak akan berasa kesunyiaan jika berada di sana kerana suasana di sana sememangnya riuh-rendah.

Suatu pagi pada hari minggu, saya bangun awal seperti biasa. Sememangnya sejak dari kecil lagi saya sudah membiasakan diri untuk bangun awal pagi. Pagi itu saya berencana untuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dikhabarkan hingar suasananya agar saya tidak merasakan kota raya ini adalah dimensi kesunyian yang tidak terlihatkan. Mungkin saya seorang sahaja yang merasakannya sebegitu. Entah, saya pun tidak pasti dengan rasa-rasa yang saya alami.

jalan tarPerjalanan pagi itu tidak mengambil masa yang terlalu lama memandangkan saya menggunakan kemudahan awam yang disediakan iaitu LRT. Mata saya meliar melihat pemandangan kota raya dengan wajah yang tidak berperasaan. Belum ada sesuatu yang menggugah rasa melalui pandangan melainkan yang kelihatan hanya bangunan konkrit di setiap fragmen cermin LRT.

Saya seperti susuk asing yang tiba di negara orang apabila setiap langkah saya ditemukan dengan warga asing. Bahasa-bahasa yang pelbagai bertembung tanpa salam dan ada ketikanya begitu merimaskan pendengaran. Beginikah keriuhan yang dimaksudkan oleh sahabat-sahabat sepejabat saya? Sukar untuk saya percaya. Saya menyelinap memasuki setiap lorong yang ada untuk mengubati rasa kesunyian yang saya rasai. Namun, saya harus jujur – saya masih terasa kesunyian yang amat.

Saya memilih untuk memasuki sebuah restoran makanan segera. Sambil menikmati hidangan yang dipesan, saya berfikir-fikir sendiri. Mungkin sudah ditakdirkan ruang lingkup kehidupan saya ialah kesunyian dan hanya saya seorang yang mengalaminya. Saya mengerling setiap sudut dalam restoran makanan segera itu. Saya melihat ramai anak muda bergelak ketawa bersama pasangan dan kawan masing-masing. Saya merasakan ada kubikel lut sinar yang memisahkan dimensi antara kami. Seketika akal saya bersuara ketika saya sudah menghabiskan sebiji burger. Mungkin seluruh hidup saya tidak dapat menerima sosiobudaya di sebuah bandar yang besar seperti di kota raya.

Saya meneruskan langkah, melalui celah-celah kehidupan manusia dan lorong yang ada. Ternyata, orang semakin ramai dan peluhpun kian berlumba keluar dari rongga badan. Langkah saya terhenti apabila ada graviti yang begitu kuat menarik perasaan saya ketika itu. Saya begitu tertarik pada sesuatu yang dijual oleh seorang lelaki yang lebih kurang separuh abad usianya.

Jalan TAR1“Anak…anak berminat untuk membeli tetuang udara ini?”

“Tetuang udara? Memang benda ini dipanggil tetuang udara?

“Ya. Namanya tetuang udara. Anak muda zaman sekarang manalah tahu. Asyik serap bahasa asing sahaja.”

Jantung saya berhenti berdegup sesaat setelah mendengar kata-katanya.

“Saya ada masalah, Pak Cik. Saya rasa sunyi sejak berhijrah ke kota raya walaupun saya berada dalam keadaan yang bising. Saya seolah-olah tidak berperasaan. Tetuang udara ini mampu ke mengatasi masalah kesunyian yang saya alami?”

“Kalau sunyi, dengarlah tetuang udara ini. Pilihan anak tepat sekali jika memilikinya. Anak tidak akan menyesal dengan keputusan untuk membelinya. Percayalah.”

“Masih berfungsi ke Pak Cik?”

“Masih elok, sebab itu Pak Cik jual. Anak bantulah Pak Cik dengan membelinya. Dengan izin Tuhan, Tuhan akan permudahkan urusan dan menghilangkan kekusutan yang bersarang dalam kepala anak.”

Saya membelinya tanpa sangsi. Saya begitu percaya pada kata-kata akhir si penjual. Mudah-mudahan kata-katanya itu menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan.

***
tetuang udaraSaya perhati lama-lama tetuang udara yang dibeli kerana begitu kagum akan reka bentuknya yang unik. Maklumlah, barang antik. Saya hidupkannya dengan dimulakan dengan lafaz basmallah. Mudah-mudahan tetuang udara yang dibeli berfungsi dengan baik dan dapat menghilangkan rasa kesunyian yang terlampau yang saya alami.

Lagu-lagu irama Melayu klasik bertebaran di setiap sudut ruang tamu. Susunan muziknya benar-benar menenteramkan kalbu. Liriknya indah belaka. Saya seolah-olah berada pada tahun 60-an, menikmati karya-karya Melayu yang belum dicemari keasingan terlampau. Keasyikkan saya mendengar lagu-lagu Melayu klasik menyebabkan saya semakin menjauh akan masalah kesunyian yang saya alami. Saya terasa jiwa saya dibuai-buai, bibir dan lidah saya terikut-ikut akan senikata lagu yang didendang.

Saya mendekatkan telinga saya pada tetuang udara kerana begitu asyik mendengar irama yang berkumandang. Entah bagaimana, tiba-tiba saya terasa diri saya disedut ke dalam tetuang udara. Saya mengecil dan menggelongsor dengan keadaan jantung berdegup begitu laju. Saya terhumban di tengah-tengah sebuah pentas.

Seorang wanita sedang mengalun sebuah lagu. Suaranya merdu klasik. Melodinya indah bercitra Melayu. Seni katanya pula puitis tanpa diskriminasi terhadap bahasa Melayu. Ketika itu saya begitu yakin Tuhan telah mentakdirkan saya menikmati kehidupan di dalam tetuang udara. Saya tidak mahu ke dunia asal dan mahu menetap di dalam tetuang udara selamanya. Tiada lagi kesunyian aneh yang menghantui.

Categories
SENI

Hari Remi Menjadi Rasis

Oleh: Haizir Othman

Remi sedang bermalas-malasan di depan televisyen sewaktu telefon pintar Opponya melantunkan bunyi notifikasi bertalu-talu. Mulanya dia tidak peduli malah sempat pula merakam filem Ombak Rindu yang sedang ditayang di siaran televisyen berbayar untuk ditontonnya kemudian, tetapi selepas beberapa ketika dia mula berasa ada sesuatu yang sangat penting sedang berlaku di alam virtual, lalu segera dia mengutip telefonnya yang tercampak jauh nun di kaki sofa.

“Meowww!”

Oh, dia tersilap ambil kaki kucing Siamnya, Mellow. Telefonnya di kaki yang satu lagi.

Dua puluh enam notifikasi. Sebelas daripadanya datang dari permainan-permainan online yang diasertai – Candy Crush, Criminal Case, Farm Ville dan lain-lain. Lima dari Norli, buah hatinya sejak dua hari lalu, satu notifikasi hari jadi Abu dan selebihnya dari grup bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Satu bangsa dan grup Bisnes Online Bumi.

remi-rasisRemi membaca kenyataan-kenyataan yang semuanya ditaip dengan Caps Lock,penuh dengan tanda seru dan tanda soal, sebentar kemudian darahnya mula mendidih. Di halaman lain, kenyataan-kenyataan diselang-selikan dengan kalimah takbir yang membangkitkan semangat religius Remi yang jarang ada. Satu pautan memaparkan video seorang budak Melayu dibelasah budak Cina beramai-ramai kerana dikatakan mencuri telefon bimbit. Wah, this is too much!, kata Remi seraya bangun dari sofa. Mellow di kakinya tiada sebarang reaksi yang meyakinkan.

Rakaman di televisyen dimatikan.“Ombak Rindu can wait!” kata Remi lagi. Remi perlu menelefon beberapa orang kawan dari grup Whatsapp Hanya Kita. Semangatnya memuncak lagi dan dia perlu mencari tempat di mana dia boleh melampiaskan semangatnya yang membuak-buak itu.Kawan-kawannya mesti dipertahankan dari kumpulan “chauvinis diaspora”, istilah yang baru dipelajarinya beberapa saat tadi dari seorang ustaz yang memimpin sebuahpertubuhan Islam dan Melayu.

Puak-puak ini memang perlu diajar.Mereka seperti parasit yang menumpang perumah dan menyedut segala nutrien untuk keuntungan mereka sendiri sahaja tanpa menawarkan sebarang balasan. Malah, segala masalah yang wujud dalam negara ini – kenaikan harga barang, siswazah menganggur, cetak rompak, keruntuhan akhlak remaja, inflasi, anak muda tidak ke masjid; semuanya berpunca dari mereka. Kalaulah penjajah Inggeris tidak membawa mereka masuk beramai-ramai dulu, pasti negara ini akan jadi lebih aman tenteram dihuni hanya oleh satu bangsa.

“Budak-budak kita dah berkumpul depan Plaza. Semua dah siap sedia. Allahu Akbar!!!”

Masuk mesej Abu dari grup Hanya Kita. Bersemangat sekali Abu. Barangkali kerana hari ini hari jadinya.

Remi pun sudah tidak sabar. Dia harus segera berada di sana bersama kawan-kawan seperjuangannya yang lain. Hari ini mereka akan melakar sejarah baru negara. Corak interaksi kaum di negara ini akan diwarnakan baru. Dia cukup bersedia, walau warna itu akan dipalit dengan menggunakan merah darahnya sendiri.

Remi menyelongkar almari baju. Dia mencari key hitam yang dipakai semasa menonton konsert Metallica di Stadium Merdeka beberapa tahun lalu. Itu sahaja kain hitam yang dia ada untuk dibawa pergi merusuh. T-shirt hitamnya belum kering dibasuh Mama manakala jeans lusuhnya berwarna biru pudar. Dengan tiba-tiba dia berasa menyesal tidak belajar silat sewaktu di sekolah dulu. Pada waktu itu dia tidak tahu kepentingan silat terutamanya pada waktu-waktu genting sebegini.Kalaulah dia tahu, pasti dia akan menyertai Persatuan Seni Silat Gayung, bukannya Pasukan Pancaragam yang ramai budak Cina itu.

Sepuluh minit kemudian Remi sudah berada dalam kereta menuju ke Plaza. Dia belum tahu apa yang akan dia buat di sana, tetapi sekurang-kurangnya dia boleh bertemu kawan-kawan dan budak-budak Melayu lain atas nama solidariti. Atau bergasak kalau perlu. Kalau kamu mahu tahu, negara ini memang terbina dengan semangat solidariti. Sewaktu Tunku mahu ke London berbincang dengan penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan, golongan wanita Melayu menyerahkan barang-barang kemas mereka untuk menampung perbelanjaan rombongan Tunku ke sana. Semangat solidariti dan sanggup berkorban inilah yang perlu dicontohi anak Melayu sekarang, menurut Remi.

“Plaza dah dikepung. Bila-bila masa kita akan langgar. Budak-budak 3 Line Klang dah sampai. Hidup Melayu!!!”

Abu lagi. Lain macam semangat dia hari ini.Apa yang Remi tahu, di sekolah, Abu budak pendiam yang tiada kawan selain Remi. Remi lebih banyak berkawan berbanding Abu. Kawan-kawan Remi sehingga ke kelas-kelas bersebelahan tapi semuanya budak Melayu. Dia bukan tak mahu berkawan dengan budak Cina dan India tetapi mereka ada kawan-kawan mereka sendiri sesama mereka. Yang berkawan dengan mereka hanya budak-budak perempuan. Remi terlalu sombong untuk berkawan dengan mereka. Nanti apa pula kata kawan-kawannya, budak-budak Melayu yang lain.

Remi meraba-raba bisepnya. Apabila timbul isu-isu begini, Remi tahu kawan-kawannya boleh diharap. Mereka akan muncul walau dari ceruk mana pun untuk berkumpul di tempat yang dijanjikan. Remi sebenarnya tidak ambil peduli sangat dengan kes curi, penipuan peniaga telefon atau samseng, tetapi apabila nama bangsa dan agamanya diusik, bulu tengkuknya akan berdiri tegak kemabukan.

Telefon Oppo Remi berbunyi lagi.Kali ini ada panggilan masuk. Dari Ayahanda. Remi memperlahankan kereta sebelum menjawab panggilan.

“Hello, Ayah!” suara Remi perlahan.

“Hah, Remi! Balik rumah sekarang! Ayah nak bawa Mellow pergi klinik. Nak guna kereta!Kereta Mama masih di bengkel!” suara di hujung talian begitu lantang. Remi jadi lemah lutut.

Perlahan-lahan, Remi memberi isyarat ke kanan sebelum membuat pusingan-U.

Categories
SENI

Manuskrip Dipungut Hantu

Oleh: Syafiq Ghazali

Suarabaru tahu manuskrip novelnya telah dipungut hantu. Dia mencapai resolusi itu memandangkan lima bulan setelah manuskrip itu dihantar —secara terus —ke sebuah sayembara dan kemudian berlalu pula dua bulan selepas keputusan pemenang diumumkan, nasib manuskrip itu masih tidak diketahuinya. Hantu jenis apa yang memungutnya Suarabaru tidak tahu, tapi pernah sekali dia rasa dia melihat hantu itu melintas di ekor matanya. Satu tingkah laku mengejek-ngejek tentu sekali, fikirnya.

Sebelum itu Suarabaru ada berfikir mungkin panel penilai sayembara itu telah mengesapingkan manuskripnya kerana tersalah anggap ia adalah manual penyelenggaran kereta, memandangkan dia menggunapakai nama pena ‘Subaru’. Namun, belum sempat fikiran itu dihadamnya dalam-dalam, Suarabaru terlebih dahulu mencampaknya jauh dari porsiakalnya. Panel penilai bukannya susuk lurus bendul, fikir Suarabaru.

Alasan bahawa manuskripnya ditolak kerana buruk kualiti tidak pernah dititik beratkannya. Dia tahu, sangat tahu, manuskrip itu adalah manuskrip yang berkualiti, sebuah karya yang memiliki gaya khas tersendiri. Ia tidak memihak pada mana-mana jenis sastera, sama ada arus perdana atau pun independen. Ia adalah produk sastera tunggal hasil cernaan imaginasi dan intelektualiti dirinya sendiri yang mana, dia percaya, bakal membuatkan penulis-penulis eksperimental terlopong kerana ternyata laci imaginasi mereka tidak seluas yang disangka, atau bakal mendorong para pengkritik sastera bersara awal setelah mendapat ivokabulari sastera mereka tidak mencukupi dalam membahas karyanya nanti.

Manuskrip dipungut hantuTapi karyanya itu belum diterbitkan. Ia kini berada di tangan seekor hantu yang tidak diketahui jenisnya atau namanya atau rupanya.

Dia ada menghubungi penganjur sayembara itu, sebuah syarikat penerbitan paling utama di negara ini, ingin bertanya jika dalam bangunan mereka ada bersarang hantu atau tidak. Tiada jawapan dari pihak sana; setiap kali dia telefon, setiap kali itulah talian sibuk. Kerana itu dia menelefon kawannya, Philip Marlowe, seorang detektif imaginasi, bagi membantunya menjejaki hantu itu.

Marlowe menyatakan dia tidak arif dalam hal-hal hantu, tapi pengalaman bertahunnya dalam dunia jenayah imaginasi memberitahunya bahawat empat terbaik untuk memulakan penyiasatan adalah lokasi terakhir ia berada: bangunan syarikat penerbitan. Keesokannya Suara baru dan Marlowe menuju ke sana.

Syarikat penerbitan itu terletak di atas sebuah bukit. Tempatnya jauh dari stesen LRT, dan hanya mempunyai satu jalan masuk. Oleh kerana tidak memiliki kenderaan sendiri, dan juga tiada wang yang cukup untuk menaiki teksi, Suarabaru dan Marlowe mengambil bas ke sana, seterusnya menyambung baki perjalanan dengan berjalan kaki.

Sewaktu berjalan, Suarabaru mengambil kesempatan untuk menghisap rokok khayalan dan menghembus asap halimunan. Marlowe, yang tidak senang melihatnya, mempersoalkan tingkah laku berpura-pura itu.Suarabaru sekadar menjawab: ‘Untuk bacaan umum’.

Tiba di sana, Suarabaru mengarahkan Marlowe untuk masuk ke dalam bangunan sementara dia melepaskan lelah di sebuah warung berhampiran. Sedang menunggu Marlowe membuat kerjanya, dia memikirkan kehebatan karyanya itu: baginya, karya itu layak memenangi tempat pertama.  Gagasannya melangkaui mana-mana gagasan sastera. Diksinya minimalis tapi sarat innuendo. Naratifnya menggabungkan didaktisme dan estetisisme sekaligus, yang digerakkan melalui kaedah arus kesedaran. Mudahnya, ia merupakan sebuah bom nuklear yang akan meletup-keluarkan kebijaksanaan dan keseronokan buat pembacanya (dia menyebut bom nuklear kerana ia sesuatu yang sensasi).

Plotnya dimodelkan dari The Third Policeman, yang mana ia adalah novel paling agung bagi Suarabaru, novel yang sama sekali tidak layak dikritik,  dan hanya patut dibiarkan melayang bebas ke mana saja ia mahu. Mengkritik novel agung ibarat mengurung merak dalam sangkar sempit, fikirnya (ia perbuatan jenayah! ). Namun, pada draf kedua, dia mendapati novelnya itu menyerupai The Third Policeman hanya pada permukaannya. Pada intinya, ia lebih mendekati labirin Borges.

Masuk saja draf ketiga, Suarabaru percaya ia adalah magnum opus pada cubaan pertama, sebuah novel pasca-eksistensialis yang setara dengan novel-novel besar dunia. Jika terbit, ia bakal mengejutkan imaginasi yang dah lama tidur dari dalam diri manusia yang membosankan, dan akan membuat mereka percaya bahawa diriny a itu bukan dirinya —imaginasi itu adalah dirinya yang sebenar, atau dirinya yang sebenar adalah imaginasinya.

Membacanya, Suarabaru merasa keliru sekali gus takjub, sebagaiman lagaknya Narcissus yang melihat wajahnya pada permukaan air. Tapi dia bukan Narcissus, atau refleksinya. Dia lebih merasa dirinya adalah gandaan Borges; Borges yang keliru dan meragui dirinya yang mana satu — Borges atau Borges — yang menulis Borges and I tapi masih percaya yang menulisnya tetap Borges.

Meski demikian, karyanya itu tidaklah seselirat labirin Borges. Dia mencanainya sesuai dengan tahap literasi pembaca negara. Dia Tidak mahu novelnya nanti jadi seperti Ulysses yang hanya dibaca oleh pembaca elit, atau seperti Finnegans Wake, yang kekal tinggal sebagai teka-teki agung — sebuah ‘Kekeliruan Moden’, Suarabaru menggelarnya — kerana jawapannya telah berkubur bersama penulisnya (bahkan Suarabaru percaya James Joyce sendiri tiada jawapannya. Kemungkinan besar dia dirasuk hantu mabuk sewaktu menulisnya. Buktinya adalah perkataan ini: bababadalgharaghtakamminarronnkonnbronntonnerronntuonnthunntrovarrhounawnskawntoohoohoordenenthurnuk!).

Berlalu satu jam, Marlowe kembali bersama manuskripnya. Kondisinya: kerunyut dan diselaputi apa yang kelihatan seperti sos tomato dan hingus kering. Untuk mendapatkan manuskrip itu, Marlowe memberitahu, dia terpaksa turun naik tangga banyak kali dan berjumpa dengan orang yang memintanya berjumpa dengan orang sekian-sekian yang kemudian memintanya berjumpa dengan orang sekian-sekian yang lain pula. Setiap yang ditemuinya, jawapan yang diaterima adalah ‘tidak tahu’.

Akhir sekali Marlowe menemui manuskrip itu dalam tong sampah besar di belakang bangunan syarikat penerbitan itu.

Suarabaru tak percaya, dan mula marah. Dia lenyapkan Marlowe begitu saja dan bergegas pulang. Tiba di rumah, dia masuk kebiliknya, dan situlah dia ternampak hantu yang dicarinya selama ini. Berdiri di depan cermin, dia lihat, betul-betul setentang dengannya, hantu itu sedang memegang manuskripnya.

Categories
SENI

ROSLAN MASUK TIVI

Oleh: Khairil Idham Ismail

Roslan keletihan. Dia bersandar di kerusi malas selepas seharian bekerja di pejabat kemudian terpaksa menyambung kerja menjual burger di tepi jalan tidak jauh di hadapan rumahnya. Anak-anak sudahpun masuk tidur. Dia terlihat bebe-rapa surat daripada sekolah dan taska anak-anaknya.

Satu surat meminta bayaran untuk gambar kenang-kena-ngan menamatkan pra-persekolahan, satu untuk yuran kelas tambahan abangnya dan satu lagi surat kebenaran ibu bapa beserta bayaran lawatan sambil belajar ke Petrosains untuk yang sulung.

Anak Roslan yang pertama cukup kagum dengan Dr Syeikh Muszaphar – Angkasawan Negara Pertama. Dia juga ingin menjadi seorang angkasawan. Tentu lawatan sebegini menaikkan semangatnya lagi untuk menjadi angkasawan Melayu pertama yang ke Planet Neptune pula.

imagesTapi Roslan tak pasti dari mana dia nak mencari duit lebih lagi. Bukan sedkit. Semua sekali hampir RM300. Dengan RM300 itulah biasanya Roslan gunakan untuk membayar sewa rumah flat mereka di tengah-tengah pinggiran urban bandar kosmopolitan. Ini tidak lagi termasuk belanja dapur, duit petrol motorsikal ke pejabat dan belanja poket seharian anak-anaknya ke sekolah.

Roslan menyalakan tivi di hadapannya. Dari satu saluran tivi kepada satu saluran tivi yang lain. Harga petrol naik. Roslan tak kisah walaupun pengumumannya ketika berita jam 12 tengah malam. Kenaikan harga minyak bukanlah kali pertama apatah lagi kenaikannya untuk kemakmuran negara.

Manakala gaji Roslan pula lebih RM100 daripada paras kelayakkan penerima BR1M. Sedangkan beban yang ditanggungnya setiap bulan bukanlah kepalang sikit. Tapi Roslan tetap berusaha menambahkan pendapatan dengan menjual tempeyek dan kerepek secara kecil-kecilan di tempat kerjanya.

Roslan memicit-micit lagi punat kawalan jauh tivi. Matanya kuyu hampir terlelap hingga matanya terkunci kepada siaran ulangan bual bicara bersama pakar. Isunya kali ini ialah “Bijak Ekonomi Di Aidilfitri”.

Beberapa tips telah digariskan oleh pakar tersebut termasuklah yang terakhir iaitu saranan tidak pulang ke kampung pada Aidilfitri. Bukan sahaja jimat duit minyak, belanja kuih raya malahan duit raya juga tidak perlu dikeluarkan.

Serta-merta Roslan mengeluarkan kunci daripada poket seluarnya lalu membuka matanya yang terkunci. Roslan membuka peti sejuk dan mengambil cili api dari laci terbawah peti sejuk lalu kembali ke hadapan tivi dan memasukkan dirinya ke dalam tivi tersebut.

orig_TV29 (1)  2“Nah, rasakan kau cili api ni!” sungut Roslan sambil menyumbat cili api ke dalam mulut pakar seribu pakar tadi.

“Kasihan, tentunya kau masa kecil tak cukup kasih sayang ayah dan ibu…” tambah Roslan lagi.

Pengacara, jurukamera dan penerbit rancangan tersentak bagaimana Roslan boleh masuk ke dalam tivi dan mencilikan mulut pakar tadi.

Sedangkan Roslan sendiri juga hairan bagaimana dia boleh memasukkan dirinya ke dalam kotak tivi empat segi sama.

Sebagaimana Roslan memasukkan dirinya ke dalam lembah jerlus hutang pinjaman peribadi, dia tidak tahu bagaimana ingin keluar daripada lembah tersebut.

Tinggallah Roslan di dalam kaca tivi, sebuah dunia seribu fantasi seperti dunia utopia yang bijaksana dan penuh intelektualisme. Kestabilan ekonomi, perdagangan tanpa inflasi, kereta terbang bebas minyak bahan pembakar, sifar kesan rumah hijau dan penguin serta anjing laut hidup sebagaimana hidupan di Kutub Utara seharusnya hidup.

Semuanya seperti yang telah dicanangkan sebelum tertanamnya kapsul Wawasan 2020. Seperti digambarkan di kaca tivi juga tatkala Roslan masih lagi kecil dan difantasikan masa hadapan yang utopia.

Sungguhpun pada hakikatnya, Roslan tidak mengerti apa-apa teori ekonomi, dan dia bukanlah siapa-siapa melainkan kerani kontrak yang disambungkan kontraknya tahun demi tahun oleh majikan.

Seingat Roslan, sepatutnya, lima tahun kurang daripada tahun 2020, Malaysia sudah masuk Piala Dunia. Paling tidak yang bakal diadakan di Moscow, Rusia pada tahun 2018. Kereta nasional menjadi setaraf kereta kontinental dan kestabilan ekonomi dan negara.

Namun sebaliknya, Roslan sendiri tertanya-tanya kecelakaaan apakah yang menimpa negeri bertuah ini? Sesudah pesawat milik Malaysia hilang tanpa bayang, pesawat lain pula ditembak oleh bayang-bayang yang sehingga kini tidak diketahui siapa sebenarnya dalang.

Kehilangan kapal di perairan Johor, kehilangan wang di dana dan apa yang menjadi kehairanan Roslan sendiri ialah kehilangan moral, integriti, kejujuran, toleransi sesama insani yang tidak diketahui siapa ke mana hilangnya.

Roslan sendiri juga tidak mengerti mengapa wujud demagogi yang suka memprovokasi sensitivi kaum dan agama. Bagaimana etika pemakaian baju ke kelab malam atau ke kandang mahkamah dihormati tetapi tidak di pejabat seperti pakai apa sahaja asalkan tidak bertelanjang?

Roslan tidak mengerti. Kusutnya dia lagi mengenangkan saudaranya di Kelantan yang masih tinggal di khemah selepas bah besar dan iparnya di Sabah yang terkejut dengan gegaran gempa bumi.

Apa yang Roslan tahu, dia harus keluar daripada tivi ini setelah mencilikan keceluparan mulut pakar tersebut. Ramai lagi yang ingin Roslan cilikan mulutnya tetapi hidup penuh kesempitan, Roslan juga tidak punya banyak cili di dalam peti sejuk.

Apa yang Roslan tahu juga anaknya ingin menjadi angkasawan Melayu pertama ke Pla-net Neptune. Cita-cita Roslan ialah melihat cita-cita anaknya terlaksana. Mahu tak mahu Ros-
lan mesti keluar dari kaca tivi ini dan menyerahkan duit bayaran ke Petrosains nanti.

“Ibu, Roslan dah cilikan mulut dia. Boleh ibu tolong keluarkan Roslan daripada tivi ni?”

Roslan sedar di bawah kesesakan hidup ini, sejauh mana dia berkelana ke kota dan akhirnya terperangkap di dalam tivi, kepada ibunya sahaja dia kembali.

Categories
SENI

CERPEN: Mikrofon

Oleh FIRDAUS ASRAF

‘Forum Ekonomi dan
Pendapatan Negara’
‘Pukul 9 malam ini.
Datang ke Dataran Ilmu beramai-ramai!’

Seorang anak muda membaca dengan teliti setiap patah perkataan yang tertera di poster itu. Terpapar wajah tiga individu; duanya Ahli Parlimen manakala seorang lagi pelajar di universitinya yang bakal bertindak selaku moderator forum itu nanti. Ahli-ahli Parlimen itu pula berlainan parti. Lawan. Berlainan haluan.

“Menarik. Jarang pihak universiti anjurkan majlis begini. Aku mesti pergi,” katanya sendirian. Dia sudah jemu menghabiskan malam-malamnya de-ngan menonton drama Korea akibat tandusnya penganjuran acara berfaedah di kampusnya.

Tepat pada sembilan malam, figura anak muda itu sudah terpacak di Dataran Ilmu. Namun penganjur mengumumkan para panel hanya akan sampai dalam masa setengah jam lagi. Dasar pemimpin, memang tidak tahu hargai masa orang lain, bentak hati anak muda itu.

Akhirnya, para panel tiba jua diiringi tepukan gemuruh para hadirin. Anak muda itu mengambil tempat di suatu sudut sambil bersandar di tiang lampu. Cukup selesa baginya. Tidak perlu duduk bersesak-sesak di tengah-tengah dataran itu. Rimas.

Majlis itu seperti majlis yang lain, dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan mukadimah oleh Presiden Majlis Pelajar. Tapi ucapannya ibarat masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri anak muda itu. Tidak diambil pedulinya. Dia lebih senang membelek telefon pintar di ta-ngan. “Kaki ampu,” bisiknya.

poetzcafe6Usai ucapan Presiden, si moderator mula mengambil alih. Perhatian para hadirin termasuklah anak muda itu kembali dicuri. Moderator tanpa membuang masa menyerahkan majlis kepada panel yang pertama, Ahli Parlimen A daripada parti pemerintah.

Ahli Parlimen A tinggi dan kacak orangnya. Berusia 40-an. Bagaikan pemidato agung, beliau petah membentangkan hujah-hujahnya. Bagaimana parti pemerintah berjaya memungut hasil cukai sebanyak RM42 bilion yang kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui pembinaan infrastruktur dan dana pendidikan, sesuai de-ngan topik forum; Ekonomi dan Pendapatan Negara.

“Seriuslah pulang kepada rakyat? Di kampung aku, sekolah pun tak ada dinding bah,” rungut seorang remaja dengan loghat pekat Sabah. Tersenyum simpul anak muda mendengarnya.

Setelah lima belas minit mendengar puji-pujiannya terhadap dasar kerajaan, Yang Berhormat A menutup ucapannya. Kedengaran hadirin menepuk tangan, namun tidak semeriah ketika pembukaan tadi.

Jejaka moderator mula membebel mengenai ekonomi negara yang disifatkannya mencapai tingkat positif dalam lima tahun kebelakangan ini. Setelah digesa oleh hadirin, barulah beliau menyerahkan maj-lis kepada Ahli Parlimen yang kedua.

Ahli Parlimen yang ini me-rupakan wakil parti pembangkang. Berkulit gelap dan tidak setinggi Ahli Parlimen yang pertama. Namun begitu, karisma dan aura yang ada pada beliau dapat dirasai. Beliau mula menghuraikan hujah-hujah yang dapat menyangkal dakwaan panel pertama.

Anak muda itu asyik mende-ngar pidato Yang Berhormat B. Keterangan faktanya amat jelas dan mampu memuaskan hati sesiapa yang mendengarnya. Dia menjeling jam di tangan. Baru lima minit berlalu. Terima kasih, masa. Sungguh perlahan kau berjalan malam ini!

Tiba-tiba pentas di data-ran itu didatangi dengan tiga orang lelaki berpakaian hitam yang entah dari mana datangnya. Situasi mula menjadi gegak-gempita dengan sorakan hadirin yang menantikan apa kesudahan drama ini.

“Aku bet kejap lagi ada gaduh,” kata seorang remaja perempuan berdekatan.

Salah seorang lelaki yang berperut boroi merapati Yang Berhormat B yang patutnya masih dalam giliran pidatonya. Dia berbisik sesuatu kepada beliau dan Ahli Parlimen itu menggeleng- gelengkan kepalanya, seperti enggan mengikuti apa yang dikatakan.

Mungkin berang arahannya tidak dituruti, lelaki itu bertindak merampas mikrofon daripada tangan Yang Berhormat B. Hadirin bersorak keriangan. Riuh macam di stadium bola sepak.

“Kami terpaksa suraikan event ni, sebab Yang Berhormat B tak dapat kelulusan untuk masuk universiti. Awak semua boleh balik sekarang,” kata lelaki gemuk itu melalui mikrofon yang dirampas. Keluhan membantah daripada para hadirin menyahut kata-kata itu.

Anak muda itu mengorak langkah pulang ke asramanya. Para pelajar di sekitar dataran itu masih tidak berganjak. Mereka tidak berpuas hati de-
ngan tindakan pengurusan universiti yang menyekat maj-lis ilmu itu tanpa alasan yang munasabah.

Dalam perjalanan pulang, terlintas sesuatu di kotak fikiran anak muda itu. Di dalam kawasan kampus, tempat yang sepatutnya penuh tamadun dan adab kehidupan, telah wujud kebiadaban yakni tindakan lelaki itu yang merampas mikrofon daripada Yang Berhormat B setelah merempuh dan mengganggu pidato beliau tanpa sepatah perkataan maaf keluar daripada mulutnya. Di hadapan ratusan anak muda, yang bakal menjadi pewaris negara. Teladan yang sungguh cemerlang!

Itu belum lagi tindakan me-reka yang seakan-akan menafikan hak para pelajar untuk mendengar pidato Yang Berhormat B. Bukankah sepatutnya mereka hentikan dari awal lagi sekiranya tidak dapat kelulusan? Kenapa kena hentikan ketika giliran beliau? Adakah kerana beliau mewakili parti pembangkang?

Aku keliru, soal hatinya. Adakah universiti tempat melahirkan modal insan negara atau hanyalah kilang menghasilkan boneka, yang kemudiannya hidup hanya di bawah kawalan tali pengawalnya? Dan lebih menakutkan, aku bakal menjadi salah satu boneka tersebut?

Ah, tonton drama Korea lagi bagus kalau begini gayanya!

Categories
SENI

Ulasan cerpen: Antara simbolik dan realiti semasa

Oleh:  Daeng Ramliakil

Syafiq Ghazali, pengarang cerpen berjudul Bergelongsor di Taman Tema Negara boleh sahaja tidak sependapat dengan saya.

Namun, disiplin kreatif dalam alam ini, sejak zaman Plato atau Aristotle kira-kira 2,000 tahun dahulu membenarkan tafsiran bebas dan tafsiran berpandu.

Tafsiran berpandu teori ciptaan ilmuan memang pelbagai dan impresionisme adalah aliran penting yang ada kaitan dengan simbolik atau pelambangan.

Menelusuri cerpen itu, ada beberapa frasa, klausa dan kalimat penting yang diguna pakai Syafiq iaitu Taman Tema Negara, seragam sekolah, menggelongsorkan tubuh, alur, disiram air dan habis basah.

Selain itu, bersimpang-siur, berpintal-pintal, tidak kelihatan hujungnya, Negeri Ajaib, tangga kecemasan bangunan, empat orang lelaki, si gemuk, gadis, rambut pixie, tapak tangan, senja, padang hijau, diri kita, raksasa dan terjaga.

Hakikatnya, dari sudut ilmu etimologi atau akar kata, setiap frasa, klausa dan kalimat ada makna jati dan makna simbolik.

cerpen-gelongsor-(SKini)Secara simbolik, katakanlah sebagai titik tolak, negara kita, Malaysia disimbolik pada klausa Taman Tema Negara.

Nah, dari titik itu, kita boleh memahami bahawa kita berada dalam negara sendiri yang kelam-kabut.

Banyak kerosakan pelbagai bidang kehidupan seperti politik, pendidikan, ekonomi, agama, sukan, perfileman, sukan mahupun perundangan.

Kehidupan ‘bergelongsor’ atau berlalu dengan pantas dan dialami pelbagai peringkat usia rakyat, tidak terkecuali, pelajar sekolah.

Realitinya, kita mengalami tragedi kehilangan pesawat MH370, MH17 ditembak, skandal 1MDB dan Tabung Haji, bah besar di Kelantan, gempa bumi di Sabah, 16 kematian di Gunung Kinabalu, hilangnya kapal di perairan Johor.

Perasaan dalaman atau impresion diluah menerusi karya kesenian sastera seumpama cerpen menjadi indah.

Pada abad ke-17, Sejarah Melayu mengandungi kisah sejarah yang disastera dan mengandungi cerita bahawa orang Melayu bermula di Bukit Seguntang, Sumatera dan berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain.

Lembu kenaikan raja muntahkan buih dan muncul lelaki yang dinamakan Bat. Kisah masuk ke dalam bumi, ke negeri dalam laut dan sebagainya adalah simbolik.

Simbolik tangga kecemasan bangunan merujuk keadaan ‘saya’ (watak dalam cerpen itu) boleh bermaksud berkeadaan kritikal atau berbahaya, namun masih boleh selamatkan diri.

Empat lelaki gemuk boleh merujuk menteri yang realitinya, memang hidup pun individu berkenaan yang hanya mementingkan rezeki untuk diri sendiri.

Dituduhnya pula sesat, terutama dirinya sendiri. Bijak sekali Syafiq bercerita untuk mengias.

Siapakah gadis cantik yang bergaun ringkas itu? Kita boleh merujuk duniawi yang bersifat indah, menggoda, bahaya, sekaligus mengajar manusia supaya kehadiran di dunia semata-mata untuk mencari diri sendiri.

Kata orang tua-tua – cari hakikat diri, apabila jumpa, akan kenal Allah. Dan, awaluddin maqrifatullah atau awal agama, mengenal Allah.

Mesej atau perutusan terpenting dalam cerpennya itu – cari hakikat diri sendiri, jangan sesat dan kita dijelaskan bahawa ‘saya’ ‘diselamatkan’ apabila Syafiq bercerita, kata-kata gadis cantik yang menjadi simbolik duniawi itu sudah tidak difahami.

Ertinya, ‘saya’ tidak terpedaya. Godaan duniawi gagal.

Mesej lain lebih bersifat iseng-iseng, antaranya, selamatkan diri sendiri, bijaksana bertindak, dan penutupnya, kita diperingatkannya, ‘…saya terus terjaga’ bermakna, janganlah kita tidak menyedari apa-apa akan realiti semasa.

Atau, dengan kata lain, jangan terus alpa, leka atau tertidur dengan tidak peduli apa-apa. Hakikatnya, maksud peribahasa, api dalam sekam berbahaya fenomenanya, iaitu bahaya yang tidak disedari atau kurang dipeduli rakyat akan menjadi pemusnah bergergasi apabila statusnya bersifat puncak.

Misalnya, isu rakyat negara Afrika, China, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Vietnam boleh menjadi api dalam sekam.  demikian jugalah anasir ajaran sesat.

Inilah mustahaknya karya sastera dalam bentuk cerita yang bukan bersifat romantis melulu atau gila babi ataupun picisan – walaupun karya popular lebih mendapat di ruang telemovie.

Karya sastera, baik cerpen, novel, puisi mahupun skrip berpengaruh dalam dunia pendidikan.
Tidak hairanlah, penjajah Inggeris memilih novella Robinson Crusoe, Gulliver’s Travel, Tom Sawyer, 39 Steps, Three Musketeers, Hunchback from Notre Dome dan sebagainya ke Tanah Melayu yang dijadikan teks persekolahan.

Cerita sastera indah dan boleh men-yentuh kalbu dan minda. Dengan itu, ingatan kekal jauh lebih lama berbanding karya lain termasuk berunsur agama.

Ertinya, pendidikan kerohanian sangat berpengaruh.

Tidak hairan jika dari dekad 1950-an hingga kini, minda kita masih disuap dengan filem Hollywood yang dihasilkan sasterawan, antaranya Ben Hur, Ten Commandment, Spartacus, Romeo and Juliet, Hamlet, Macbeth, Save Haven dan sebagainya.

Rakyat masih menunggu-nunggu karya sastera penting berasaskan kehidupan saudara Islam kita – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali atau ‘Correct, Correct, Correct’, tragedi Altantuya, skankal 1MDB,

Atau, apakah dunia sasterawan kini sudah dicerobohi manusia pura-pura?

Categories
SENI

CERPEN: Kereta Api Bunian 2

Oleh HAIZIR OTHMAN

Rosdi memasuki gerabak kereta api tanpa penumpang itu sebelum terfikir untuk melihat ke dalam ruang pemandu lalu dia bergerak menuju ke sana. Semakin Rosdi berjalan, rasa ingin tahunya semakin tebal. Adakah di sana juga kosong? Untuk apa juga kemungkinan di hadapan, Rosdi kini bersedia. Meski bulu romanya sudah setegak pembaris.

Di depan pintu yang memi-sahkan Rosdi dengan ruang pemandu, tiba-tiba satu ingatan datang menerpa fikirannya dengan laju. Ia adalah satu peristiwa yang pernah Rosdi dengar dan lihat sendiri dengan mata kepalanya kira-kira dua puluh tahun yang lalu, sewaktu Rosdi masih kecil.

Peristiwa yang berlaku kepada salah seorang kanak-kanak sebaya Rosdi di kampung pada waktu itu, sebenarnya telah ditanggapi oleh Rosdi dan orang-orang kampung sebagai satu kepelikan yang jarang-jarang berlaku. Ceritanya begini:

Budak itu bernama Isa. Dia budak biasa yang suka merayau sekitar kampung mencari apa-apa yang dapat memuaskan naluri suka bermainnya. Jika ternampak pokok duku yang berbuah lebat, Isa akan memanjatnya tanpa ragu-ragu untuk memetik beberapa tangkai sebelum duduk berehat di bawah pokok, menikmati hasil petikannya dari pokok orang itu. Isa terkenal cergas dan kasar. Kalau bermain bola dengannya, kita akan berasa menyesal kalau berada dalam kumpulan yang melawannya, kerana biasanya kumpulan lawan Isa akan kalah.

keretapi-bunian-2Selain kehandalannya berlari dan kekuatan sepakannya, Isa kuat menjerit memaki hamun lawan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. Sebagai budak yang pernah melawan Isa dalam satu permainan bola sepak, Rosdi merasai sendiri pengalaman ini apabila dia disepak dari belakang oleh Isa dan jatuh tersungkur. Perlawanan itu dimenangi kumpulan Isa.

Sehinggalah pada satu senja apabila orang kampung digemparkan dengan kehilangan Isa. Isa dikatakan berjalan-jalan seorang diri di tepi jalan kampung menyusur parit. Menurut Leha Cantik, budak perempuan berusia dua belas tahun yang tinggal di hujung kampung, dia melihat dengan matanya sendiri Isa menaiki sebuah kereta berwarna hitam yang berhenti di tepi jalan untuk mengambilnya. Sejurus Isa naik, kereta itu meluncur laju membelah jalan se-hingga hilang dari pandangan. Perkara yang lebih mengejutkan sebenarnya bukanlah insiden tersebut kerana kejutan sebenar hanya muncul pada malam itu, apabila Isa telah ditemui. Isa ditemui dalam keadaan lemah di tepi parit berhampiran tempat dia menaiki kereta hitam itu petang sebelumnya.

Apabila Isa dibawa pulang ke rumah, dia kelihatan seman, seperti tidak betul dan tidak dapat mengingat apa yang berlaku kepadanya. Di sinilah perkara yang mengejutkan berlaku iaitu apabila ibunya menanggalkan seluar pendek Isa yang kotor untuk ditukar, ibunya mendapati pada kemaluan Isa terdapat sehelai daun sirih yang berlipat. Dan yang lebih mengejutkan ialah di sebalik daun itu ialah kemaluan anaknya yang telah pun disunatkan. Walhal, dia tidak pernah menghantar Isa bersunat.

Berita Isa diambil bunian menaiki kereta dan disunatkan tersebar dengan cepat ke seluruh kampung. Isa bukan lagi Isa yang dulunya kasar dan lasak selepas peristiwa itu. Dia bertukar menjadi budak yang pasif. Budak-budak yang dibulinya dulu telah berani membulinya kembali selepas melihatnya begitu. Sudah tentu keadaan begitu merisaukan ibu bapa Isa. Dibuli bukanlah yang paling merisaukan mereka tetapi pelakuan baru Isa yang mula gemar duduk bersendirian dan bercakap-cakap dengan entah siapa yang tak dapat dilihat oleh sesiapa.

Selepas dua puluh tahun dan berhijrah ke bandar, perihal Isa tidak lagi diambil tahu oleh Rosdi. Adapun akan teringatnya Rosdi dengan peristiwa itu adalah kerana dia berasa dia juga kini sedang ditimpa peristiwa yang sama. Rosdi tiba-tiba berasa dia telah menaiki kereta api bunian berwarna hitam seperti Isa dua puluh tahun dulu yang menaiki kereta bunian berwarna hitam.

Serentak dengan ingatan yang menerpa itu, Rosdi ditimpa perasaan takut yang bertalu-talu. Dia mula menyesal menaiki kereta api yang memang sejak dari awal lagi sudah kelihatan pelik dan mencurigakan itu. Dia juga berasa telah ditimpa nasib malang sejak dari awal pagi bermula dengan dibuli teruk-teruk oleh penyelianya di stor. Apakah yang akan berlaku kepadanya sekarang?

“Rosdi!”

Ah, siapa pula yang memanggil Rosdi? Bukankah tiada siapa-siapa di sini?

Rosdi menoleh ke belakang sebelum rasa takutnya melonjak tinggi. Di depannya adalah seorang budak lelaki berkulit gelap dalam lingkungan usia sepuluh-sebelas tahun sedang bercekak pinggang. Berseluar pendek, tidak berbaju, budak itu merenung tepat ke mata Rosdi dengan pandangan tajam, dari matanya yang kemerah-merahan.

Dalam ketakutan, fikiran Rosdi sempat terganggu dengan ingatan dari masa lampau selepas budak itu meleraikan cekak pinggangnya, sebelum memasukkan tangannya ke dalam seluar, menyeluk sesuatu. Apabila budak itu mengeluarkan sehelai daun sirih yang berlipat dari seluarnya, Rosdi menjerit,

“Ahhh, Isa?”

“Isa” tersenyum sebelum ketawa kecil. Betullah budak ini Isa.

Berada dalam kereta api tanpa penumpang, bertemu Isa sewaktu kanak-kanak, Rosdi fikir dia sudah berada di luar dimensi manusia biasa. Barangkali betullah dia sudah berada dalam wilayah bunian.

Tapi, jika Rosdi fikir itu adalah situasi paling buruk, dia silap. Tanpa disangkanya, dari gerabak belakang muncul beberapa orang lelaki berpakaian serba hitam membawa sesuatu dalam bakul yang mereka jinjing. Di dalamnya adalah beberapa helai daun sirih. Dan sebilah pisau yang biasa digunakan tok mudim di kampung.

Rosdi ingin lari keluar. Tapi tangan dan kemaluannya telah dicekak Isa.

Glosari
Seman : hilang ingatan

Categories
SELANGOR SENI

CERPEN: Porphyria, Drakula dan ketua kampung

Oleh Hafizul Osman

Kisah kambing dan lembu yang heboh berbulan-bulan hilang serta-merta. Kisah manusia dan teman rapat yang pergi entah ke mana juga lenyap.

Gempar menguasai kampung itu. Ke-tua kampung mereka sudah meninggal dinihari tadi.
Semua penduduk berpusu-pusu ke rumah ketua kampung mereka yang terletak di atas bukit. Satu-satunya rumah di kampung itu dibina di atas bukit.

Pihak perempuan datang untuk menenangkan balu ketua kampung, Faridah yang menangis teresak-esak sejak malam tadi. Pihak lelaki pula menguruskan hal-hal pengebumian.

Ketua kampung yang sudah memegang jawatan selama 20 tahun itu me-ninggalkan tiga orang anak, dua orang lelaki dan seorang wanita. Mereka sudah bekerja di ibu kota dan dalam perjalanan pulang untuk menziarahi orang tua mereka ini.

Ghani, seorang lelaki separuh abad yang bertindak sebagai tukang menguruskan jenazah akan memandikan jenazah. Namun, niatnya tergendala. Ada se-suatu yang membuatkan hatinya gusar. Dia memanggil Faridah yang masih lagi teresak-esak. Mereka berbincang di satu ruang yang agak jauh dari orang ramai.

“Ketua kampung ada penyakit apa-apa ke? Habis kulit badannya jadi pucat dan merah-merah. Ada perkara yang dia cuba sembunyikan?” tanya Ghani.

“Saya tak tahu, Ghani. Saya tak tahu apa penyakitnya. Sudah seminggu dia jadi begini. Keadaan dia jadi teruk dari hari ke hari. Saya nak bawa dia ke hospital tapi dia tegah. Saya tak tahu nak buat apa-apa. Hanya tunggu ajal dia saja,” jawab wanita itu sambil menyambung esakannya.

Ghani menghela nafas. Patutlah dalam seminggu ni dia tak pernah nampak ke-tua kampung di mana-mana. Sangkanya betul dia telah jatuh sakit. Tapi, hendak datang melawatnya tempoh hari pun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah pula. Faridah sendiri yang menegah.

“Kami tidak dapat mandikan jenazah, Faridah. Dengan keadaan macam tu, kami takut badan kami pula yang akan terkena penyakit tok ketua. Begini, saya akan panggil pihak hospital. Biar mereka uruskan jenazah sebab mereka mempunyai kelengkapan yang lebih baik.” cadang Ghani.

Asalnya wanita itu tidak bersetuju dengan cadangan itu. Namun, Ghani berusaha untuk memujuk dengan alasan mereka mungkin dapat mengetahui apa penyakit ketua mereka itu. Wanita itu pun setuju.

Sebuah ambulans sampai dan jenazah ketua kampung itu dibawa ke hospital pekan berhampiran. Semua penduduk yang mampir ke situ melihat saja jenazah itu dibawa pergi. Ghani dan Faridah mengekori dengan kereta lain.

Di hospital, jenazah ketua kampung dibuat bedah siasat.

Setelah menunggu dalam satu tempoh yang lama, seorang doktor lelaki berumur 50-an memanggil Faridah masuk ke dalam bilik. Ghani mengekori sama untuk membantu apa yang patut.

“Takziah dengan pemergian suami puan. Hasil laporan autopsi yang saya te-rima, berkemungkinan besar suami puan telah mengalami satu penyakit yang ganjil. Penyakit ini sangat jarang dialami oleh manusia dan ini pertama kali saya lihat sebagai seorang doktor walaupun saya mengetahui penyakit itu.”

“Apa penyakit sebenar suami saya, doktor? Sampai merah-merah kulit badan dia. Ada juga di sesetengah tempat badannya macam jadi pucat dan reput.” Faridah mahu menyelesaikan teka-teki yang bersarang dalam kepalanya.

“Jadi, maksudnya puan pun baru kali pertama melihat keadaan suami pun begitu?” tanya doktor itu pula.

Faridah mengangguk-angguk.

“Begini. Dalam istilah perubatan, Allahyarham menderita penyakit porphy-
ria. Kalau dalam bahasa mudahnya, suami puan mengalami penyakit kekurangan sel darah merah. Bukan penyakit leukemia kerana tiada pertambahan sel darah putih dalam badannya.

Penyakit ini akan menyebabkan pesakit kekurangan sel darah dalam tubuh badan dan menyebabkan oksigen tidak dapat diangkut ke seluruh badan. Sebab itu badan suami puan jadi pucat dan ada yang reput kerana kurang menerima oksigen dan sel darah merah.”

Faridah menutup mulut. Ghani memeluk tubuhnya sendiri sambil mengangguk tanda faham.

“Apa yang menghairankan saya, bagaimana suami puan dapat bertahan dengan tanpa menerima sebarang rawatan. Setakat ini saya yang tahu, memang tiada lagi rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit itu. Melainkan…”

Bicara doktor itu terhenti.

“Melainkan apa, doktor?” Kali ini, Ghani pula yang bertanya.

“Pesakit perlu minum darah segar yang diambil dari haiwan berdarah panas ataupun darah manusia sendiri.”

“Tak mungkin!” Ghani menafikan. Dia tidak percaya ketua kampungnya itu akan bertindak sebegitu. Seperti drakula sedangkan tugasnya sebagai ketua kampung begitu cemerlang.

Namun, dia juga tidak dapat menafikan dalam tempoh 20 tahun itu, kampung mereka tidaklah aman sangat dengan ramai penduduk yang kehilang-an haiwan ternakan mereka. Juga beberapa orang penduduk yang dia kenali hilang tanpa dikesan.

Sampai sekarang terus menjadi misteri dengan ketua kampung sendiri tampak bersahaja menangani isu itu. Isu seperti perebutan dan penyempadanan tanah serta isu-isu yang bekaitan hal-hal rumah tangga penduduk yang menjadi tumpuannya.

“Saya mohon maaf kerana telah menyinggung hati encik dan puan. Tetapi, saya mengesyorkan untuk membuat siasatan lanjut mengenai hal ini. Saya mencadangkan untuk meminta pihak polis menyiasat kes kematian ini dengan lebih lanjut. Terutama dari segi pemakanan suami puan. Ini untuk kebaikan keluarga puan dan penduduk kampung juga.”

Faridah memandang ke arah Ghani mengharapkan buah fikir. Lelaki itu pula mengetap bibir. Dia pun keliru untuk membuat keputusan.

Adakah ketua kampungnya itu telah menjadi drakula yang menghisap darah selama hayatnya?

Dia tidak pasti.

Faridah dan Ghani hanya mendiamkan sahaja isu itu. Mereka berdua tidak mahu perkara ini diheboh-hebohkan. Biarlah misteri ketua kampung itu menjadi misteri. Jadi, urusan jenazah ketua kampung dilakukan di hospital itu sebelum dibawa balik ke kampung untuk dikebumikan.

Selesai bacaan talkin, Ghani menunggu seorang demi seorang pengunjung meninggalkan tanah perkuburan. Dia memandang kosong ke arah kubur ketua kampung. Bayang-bayang ketua kampung kelihatan di hadapannya. Bersih dan ceria.