Categories
NASIONAL

Ilham Centre: Pengundi Muda Dan Luar Penentu Kemenangan PAS Di Kuala Besut

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 23 JULAI : Faktor pertambahan pengundi muda dan pengundi luar kawasan menjadi penentu kemenangan calon PAS, Azlan@Endot Yusof pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut esok.

Kajian dilakukan sebuah firma penyelidikan bebas, Ilham Centre memperlihatkan pengundi muda di DUN Kuala Besut ini mencecah sehingga 51 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Manakala pengundi luar berjumlah sekitar 2,000 orang yang tinggal di luar kawasan.

Berdasarkan senario ini, PAS menggunakan strategi untuk memenangi sokongan daripada pengundi muda kerana berdepan kesukaran untuk mengharapkan peralihan undi penyokong Umno-BN di sesetengah kawasan DUN berkenaan.

Bagaimanapun, tarikh pembuangan undi yang ditetapkan pada hari Rabu iaitu hari bekerja menyebabkan pengundi luar sukar untuk pulang mengundi dan memberi tekanan kepada PAS.

Kaji selidik itu turut meyatakan kemenangan PAS kini bergantung sepenuhnya kepada kekuatan calonnya, Che Long kerana beliau mempunyai hubungan erat dengan penduduk.

Sementara itu, kedudukan sosioekonomi penduduk di Kuala Besut yang terdesak serta di bawah garis kemiskinan mudah dimanipulasikan Umno-BN untuk mendapat kemenangan calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dengan kempen agresif dan mewah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.