Categories
SELANGOR

Penduduk Lega Pondok Bas yang Ditunggu Sejak 30 Tahun Akan Dibina

Jenice Lee Membina Bus Stop 01

AMPANG, 17 JAN: Penduduk Taman Seraya dan Taman Bukit Teratai tidak perlu lagi berjalan jauh menunggu bas apabila sebuah pondok menunggu bas bakal dibina di Jalan Bunga Melati 8, di sini.

Pondok bas bernilai RM20,000 dari peruntukan Adun Teratai, Jenice Lee itu dijangka akan siap sepenuhnya sebulan lagi.

Menurut Jenice pondok bas berkenaan merupakan satu-satunya laluan bas menuju ke Kuala Lumpur walaupun Taman Seraya sudah wujud sejak 30 Tahun lalu.

“Pondok yang ada sekarang hanyalah pangkin yang dibuat seorang penduduk sebab dia kasihan tengok orang ramai terutama orang tua dan wanita mengandung terpaksa berjalan jauh dan lebih teruk lagi bila hujan,” kata Jenice.

Beberapa penduduk yang ditemui TV Selangor melahirkan rasa lega dengan perkembangan terkini.

Penduduk Taman Bukit Teratai, Chin Loy Min, 65, sambil menyifatkan ia sebagai perkembangan positif berkata beliau pernah menyuarakan masalah ini kepada Ahli Parlimen dan Adun dari BN ketika BN berkuasa di Selangor.

Bagaimanapun aduan beliau bersama masyarakat setempat tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Penduduk Taman Seraya, Liew Chow Keng, 85, yang bertanggungjawab membina ‘pondok bas’ sementara tersebut pula berkata pembinaan pondok bas ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh pengguna bas di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jenice memohon kerjasama penjaja di bahu Jalan Bunga Melati 8 agar segera berpindah ke medan selera yang disediakan bagi memberi laluan kepada projek melebarkan jalan dua lorong itu kepada tiga lorong.

Selain itu, binaan gerai yang didirikan diatas 19 tapak gerai terbabit juga didapati menutup longkang dan menggunakan kawasan parkir premis berhampiran.

Penjaja-penjaja terlibat mula menjalankan akitiviti perniagaan tidak berlesen di atas tanah milik Kerajaan Negeri selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, penjaja-penjaja terlibat diberikan lesen perniagaan dengan syarat menyerahkan kembali tanah itu kepada Kerajaan Negeri sekiranya diminta berbuat demikian.

“Kita dapat tahu penjaja ini menyewakan tapak gerai mereka kepada warga asing dari RM2,000 hingga RM2,500 sebulan, sedangkan mereka tak dikenakan sewa oleh Kerajaan Negeri.

“Peruntukan dari Geran Selangorku sebanyak RM400,000 juga diluluskan Kerajaan Negeri,” kata Jenice.

Jenice memberitahu penjaja di situ haruslah menerima tawaran tapak perniagaan samada di Medan Selera Pekan Ampang, Medan Selera Lembah Jaya atau Medan Selera Taman Putra.