Categories
AGENDA NASIONAL

AstraZeneca, CoronaVac lulus bersyarat sebagai dos penggalak

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac sebagai dos penggalak Covid-19 kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin siri primer daripada jenis yang sama (homologous).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut.

Bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima

“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham dalam mesyuarat sama itu turut memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin ‘AstraZeneca Solution for Injection’ bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co. Ltd Korea Selatan di mana pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn. Bhd.

Beliau berkata PBKD sebelum ini telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B.V. Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience Co., Ltd. Thailand.

Katanya, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pharmaniaga jamin vaksin CoronaVac berkesan, halal

SHAH ALAM, 3 FEB: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan vaksin Covid-19, CoronaVac keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), yang akan diterima rakyat negara ini adalah selamat, berkesan dan halal.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman, berkata vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif itu merupakan kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lepas.

“Kaedah sama juga digunakan untuk penghasilan vaksin penyakit berbahaya antaranya Polio dan Hepatitis A. Teknologi ini terbukti berkesan berbanding teknologi baharu lain yang belum diketahui risikonya,” katanya semasa membentangkan mengenai perkembangan vaksin berkenaan secara maya, semalam

Turut menyertai sesi pembentangan itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Dr Badarulhisam berkata kekeliruan mengenai keberkesanan vaksin berkenaan timbul selepas kajian klinikal di dua negara menunjukkan Turki memperoleh skor 91.25 peratus manakala Brazil 50.38 peratus.

Jelas beliau, kajian di Turki boleh dilihat sebagai penanda aras tahap keberkesanan vaksin CoronaVac kerana ia dijalankan ke atas populasi awam melibatkan 13,000 individu berumur 18 tahun ke atas berbanding Brazil yang melaksanakannya terhadap 13,060 petugas kesihatan yang terdedah kepada virus Covid-19 setiap hari.

“Bagaimanapun, kajian di Turki hanya akan lengkap pada awal bulan ini. Namun kita percaya, tahap keberkesanannya akan melebihi 90 peratus iaitu melebihi piawaian 50 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk sesuatu vaksin didaftarkan,” katanya.

Tambah Dr Badarulhisam, melalui kajian klinikal itu juga, tiada kesan sampingan serius termasuk ‘Vaccine Enhance Disease’ dikesan selepas dua dos vaksin berkenaan diberikan kepada peserta dan majoritinya hanya mengalami tindak balas ringan.

Dalam pada itu, Zulkarnain pula berkata Pharmaniaga telah meneliti kandungan, formula serta kaedah vaksin berkenaan dihasilkan dan yakin ia adalah halal untuk digunakan sepertimana dinyatakan oleh Majlis Ulamak Indonesia.

Beliau turut menjangkakan vaksin CoronaVac akan memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hujung bulan ini atau awal Mac sebelum diedarkan pada April.

“Mengikut perjanjian, Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin ini. Dalam bulan pertama, kita akan bekalkan sejuta dos vaksin CoronaVac diikuti dua juta dos pada bulan seterusnya untuk diedarkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada Pharmaniaga mungkin menjual vaksin berkenaan kepada pihak swasta terutamanya industri bagi kegunaan pekerja asing mereka, Zulkarnain berkata perkara itu ada dibincangkan dengan kerajaan.

“Kita sedang berunding dengan kerajaan (untuk menjual CoronaVac) kerana selepas membekalkan 12 juta dos vaksin ini, Pharmaniaga masih mempunyai bekalan dua juta lagi dos. Namun, kerajaan telah meminta vaksin turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan ‘economic fronliner’ selain pekerja asing dan ekspatriat.

“Pharmaniaga juga sedang mengumpul maklumat mengenainya dan sejurus selesai, kita akan berunding bagaimana ia akan dijalankan. Namun, agihan vaksin untuk rakyat Malaysia adalah keutamaan kami ketika ini,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membekalkan 14 juta dos vaksin Covid-19 yang mana proses pembotolan dilakukan di kilang berteknologi tingginya di Puchong, Selangor.

Pada 26 Jan pula, Pharmaniaga menandatangani perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

– BERNAMA