Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Labuan catat jumlah hujan tahunan tertinggi, Kuala Kangsar terendah

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Labuan mencatatkan jumlah hujan tahunan tertinggi iaitu 4,938.9 milimeter (mm) manakala Kuala Kangsar mencatatkan jumlah hujan tahunan terendah iaitu 1,955.4mm pada 2017, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu menerusi Kompendium (ringkasan) Perangkaan Alam Sekitar (KPAS) Malaysia 2018 memaparkan statistik alam sekitar bagi tempoh 2013 hingga 2017/2018 meliputi udara, air, tanah, dan penduduk serta keadaan alam sekitar, impak aktiviti manusia ke atas alam sekitar dan langkah yang diambil bagi mengurangkan impak itu.

“Selain itu, Malaysia turut mengalami iklim panas dan lembap dengan Jerantut, Temerloh dan Kuala Kangsar mencatatkan suhu tertinggi dengan bacaan 32.9 darjah Celsius, manakala suhu terendah 16.1 darjah Celsius dicatatkan di Cameron Highlands,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelepasan bahan pencemar ke udara pada 2017 berpunca daripada kenderaan bermotor mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 70.4 peratus, diikuti stesen jana kuasa (24.5 peratus), industri (2.9 peratus) dan lain-lain (2.1 peratus).

“Penggiat industri turut berusaha mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 (tahun rujukan 2015), sejumlah RM2.6 bilion telah dibelanjakan bagi melindungi alam sekitar dengan sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar iaitu 73.6 peratus,” menurut kenyataan itu.

Statistik itu juga turut memaparkan jumlah kejadian banjir pada 2017 iaitu sebanyak 498 kes dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 86 kes diikuti Sarawak (64 kes), dan Pahang (61 kes).

“Dalam pada itu, demam denggi mencatatkan 83,443 kes pada 2017 tanpa melibatkan kes kematian. Bagaimanapun, demam denggi berdarah mencatatkan 406 kes dengan 177 kematian manakala malaria mencatatkan 4,114 kes dengan dua kematian.

Bijih besi merupakan hasil bumi tertinggi dengan jumlah pengeluaran 3.92 juta tan metrik pada 2017. Import dan eksport mineral itu turut mencatatkan nilai tertinggi masing-masing iaitu RM3.27 bilion dan RM3.86 bilion,” kata kenyataan itu lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Amaran ribut petir di Selangor hingga lewat petang – METMalaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 NOV: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan Selangor berlaku sehingga lewat petang ini.

METMalaysia melalui kenyataannya di laman facebook rasmi memberitahu, kejadian ribut petir itu diramalkan berlaku di kawasan Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Amaran ribut petir yang dikeluarkan itu turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Johor.

“Sementara itu melalui ramalan kaji cuaca utama negeri mendapati, cuaca beserta ribut petir itu dijangka berterusan hingga Selasa depan, 4 Disember ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

NADMA sedia 50,000 kit makanan untuk agihan mangsa bencana

PELABUHAN KLANG, 21 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan 50,000 kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa bencana khususnya banjir di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu adalah sebagai permulaan dan ia akan ditambah jika keperluannya meningkat dari semasa ke semasa.

“Kit ini sebagai makanan tambahan mengandungi produk keluaran Agromas yang mudah disediakan seperti biskut, bihun kering, oats, sardin tin, bubur segera pelbagai perisa serta cawan dan sudu garfu plastik.

“Kita sedang dalam peringkat menghantar kit makanan ini ke lima depoh utama seluruh negara untuk diagihkan ke 165 stor bencana. Bagi mangsa banjir di Melaka, kira-kira 500 kit telah dihantar dan sedang diagihkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penyediaan kit makanan itu di depoh edaran FAMA, di sini hari ini.

Beliau berkata pengedaran kit berkenaan bukan hanya tertumpu kepada mangsa banjir tetapi juga bencana lain seperti tanah runtuh dan ia akan diberi kepada setiap ketua keluarga yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, Zakaria berkata kesiapsiagaan pihaknya termasuk pengurusan aset berada pada tahap tertinggi hasil latihan dan simulasi yang dijalankan sepanjang tahun.​​​​​​​

Sementara itu, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata sebanyak 67,837 kit makanan disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan NADMA sejak 2014, namun pada tahun ini sahaja, sebanyak 50,000 kit makanan perlu dibekalkan kepada mangsa bencana.

“Pertambahan jumlah kit ini menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu terhadap kebajikan mangsa bencana khususnya banjir. Malah produk yang kita sediakan juga boleh digunakan dalam jangka masa panjang kerana bertarikh luput sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai stok bekalan makanan semasa musim tengkujuh, Ishak memberi jaminan bahawa stok yang merangkumi produk makanan basah mahupun industri asas tani adalah mencukupi.

Jelas beliau, pihaknya telah membuat sasaran peningkatan permintaan produk makanan semasa musim banjir dan semua pusat usahawan FAMA di seluruh negara telah diarahkan untuk sentiasa memastikan barangan berkenaan mencukupi bagi mengelakkan manipulasi harga.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

142 kawasan berisiko banjir, persiapan dipertingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 NOV: Kesemua agensi terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor sudah bersiap sedia bagi menghadapi musim monsun yang melanda negara sehingga Disember nanti.

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana (UPB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, hal ini berikutan purata taburan hujan tinggi diterima mencecah 210mm hingga 320mm pada Oktober, 250mm-370mm pada November dan 200mm-300mm pada Disember.

“Kita telah mengenal pasti 142 kawasan yang membabitkan 225 kes banjir dan banjir kilat yang direkodkan di Selangor sebelum ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan supaya bersiap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor & Musim Monsun Timur Laut Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, setakat ini kesemua 142 kawasan banjir terbabit merupakan kawasan berisiko kejadian banjir kilat.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 75 kawasan di bawah tindakan Jabatan Parit dan Saliran (JPS), 18 kawasan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), 41 PBT dan satu lain-lain agensi.

Katanya lagi, kesemua agensi terbabit sudah diarahkan menjalankan tindakan di kawasan masing-masing bagi mengurangkan risiko banjir.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Rabu

KUALA LUMPUR 6 NOV: Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter diramal berlaku di perairan timur Condore dan Barat Reef North sehingga Rabu ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak setinggi 3.5meter sehingga Rabu ini juga dijangka melanda kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, barat Condore, Reef South, timur Reef North, Layang-Layang, Labuan dan Pahlawan.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Keadaan sama dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah dengan beberapa kawasan pantai terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah tinjau persiapan NGO hadapi banjir

KOTA BHARU, 4 NOV: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meninjau persiapan banjir badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Operasi Bencana Pertubuhan Bantuan Bencana NGO (BBNGO) di 12 Kompeni Ubat Askar Wataniah, Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Dr Wan Azizah yang tiba pada pukul 10.30 pagi, berada kira-kira 45 minit untuk melihat pameran disediakan NGO yang terbabit dengan pengurusan bencana di Kelantan dan mendengar taklimat berhubung pengurusan banjir oleh Pengerusi BBNGO Prof Dr Dinsuhaimi Sidek.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau turut menyaksikan penyerahan tiga buah ‘mobile repeater’ oleh Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail kepada Dinsuhaimi, Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bencana dan Kebajikan Kemahang Rasyiman Aziman Abdul Rahim dan Presiden Four Wheel and Dirt Bike Zulkiflie Said.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa (Komunikasi) BBNGO Dr Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah berkata tiga ‘mobile repeater’ berkenaan akan ditempatkan masing-masing di HUSM Kubang Kerian di sini, Kemahang di Tanah Merah dan Gua Musang.

Dr Mohd Shahrudin Shah yang juga Pensyarah di Jabatan Perubatan Kecemasan HUSM Kubang Kerian berkata universiti berkenaan menerima geran sebanyak RM187,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2015 untuk membangunkan ‘mobile repeater’ berkenaan.

“‘Mobile repeater’ ini boleh berfungsi menggunakan bateri kereta dan mampu bertahan selama seminggu. Ia akan digunakan sebagai alat komunikasi antara NGO untuk membantu mengeluarkan pesakit yang terperangkap akibat terputus hubungan ketika bencana berkenaan.

“‘Mobile repeater’ ini boleh memberi liputan di seluruh Kelantan kerana ia menggunakan gelombang radio untuk berhubung,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebanyak 40 NGO telah bersepakat untuk membantu agensi keselamatan dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir selepas berdepan bencana di negeri berkenaan pada 2014.

“Terdapat lebih 200 pacuan roda akan digunakan semasa banjir nanti,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Angin kencang, laut bergelora di Pantai Timur, Sabah & Sarawak

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah sehingga Selasa ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

“Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga Selasa,” kata jabatan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kmsj serta ombak setinggi sehingga 4.5 meter yang dijangka melanda kawasan perairan timur Condore dan barat Reef North bagi tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, barat Condore, Reef South, timur Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan sehingga Selasa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran angin kencang, laut bergelora di enam negeri

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah bermula esok hingga Jumaat, 2 Nov ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berlaku dalam tempoh sama.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca peringkat waspada di Kelantan & Terengganu

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu berikutan luruan angin timur laut yang dijangka bertiup kencang pada Isnin ini.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh 29 Okt hingga 1 Nov ini.

“Setakat ini kami mengeluarkan notis amaran peringkat kuning dan sekiranya kita menjangkakan hujan lebat berterusan, kita akan naik taraf amaran kepada peringkat cuaca buruk (jingga).

“Jika bertambah lebat dengan dengan jumlah hujan melebihi 240 mm sehari, amaran peringkat bahaya (merah) akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya, amaran peringkat kuning dikeluarkan apabila hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi.

Alui berkata musim monsun timur laut atau musim tengkujuh pada tahun ini lebih awal berbanding tahun lepas yang berlaku pada awal November dan berubah mengikut dinamik cuaca serta pelbagai faktor lain.

METMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan musim tengkujuh yang dijangka mengakibatkan hujan berterusan sehingga tempoh lima hari berturut-turut dijangka melanda negara bermula hari ini hingga Mac 2019.

Dalam tempoh tersebut, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku yang bermula di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember tahun ini.

Pada Disember 2018 dan Januari 2019, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta Sabah.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini serta sentiasa peka dengan amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet dan MMD Hotline di talian 1-300-22-1MET (1638).

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Amaran Ribut Petir Di Selangor

Dikeluarkan pada: 12:00 tengah hari, 21 Oktober 2018

AMARAN RIBUT PETIR

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim)

• Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub)

• Selangor (Sabak Bernam dan Hulu Selangor) • Sarawak: Miri dan Limbang (Limbang) • Sabah: Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga 3:00 petang; Ahad, 21 Oktober 2018.

SUMBER: MET MALAYSIA

Categories
SELANGOR

Cuaca hujan dan ribut petir di Selangor hingga Sabtu depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 OKT: Cuaca di Selangor diramalkan mengalami hujan dan ribut petir mengikut Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

Melalui laman webnya, ia berlaku termasuk di Hulu Selangor, Gombak, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

“Diramalkan pada waktu pagi cuaca hujan di satu dua tempat namun kemudiannya pada waktu petang berubah kepada ribut petir,” kata laporan ramalan itu.

Walaupun hujan berterusan sehingga Sabtu depan, namun cuaca di Sepang, Klang dan Kuala Langat dijangka cerah pada Isnin, 22 Oktober.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Bersedia hadapi banjir, purata hujan tinggi sehingga Disember

SHAH ALAM, 17 OKT: Penduduk di kawasan berisiko banjir digesa lebih bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa ekoran purata hujan yang tinggi dari Oktober hingga Disember terutamanya ketika fenomena air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (SSCC) memaklumkan, purata hujan itu dianggarkan antara 210-320 milimeter (mm) (Oktober), 250-370 mm (November) dan Disember sebanyak 200-300 mm.

Katanya, pasang surut air laut tertinggi pula dicatatkan 5.4 meter bagi kawasan Pelabuhan Klang pada 26 Oktober, 7 – 8 November manakala 4.9 meter bagi kawasan Permatang Sedepa pada 25, 26 Oktober, 7 – 8 November ini.

“Fenomena ini akan memberi impak kepada beberapa buah daerah di Selangor.

“Antaranya Daerah Petaling, Hulu Langat, Sabak Bernam, Gombak, Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor merupakan daerah-daerah yang berisiko banjir dan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, SSCC berkata, pihaknya mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersiap siaga dan meneruskan pemantauan di sebahagian kawasan banjir.