Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR dilaksana dua minggu selepas cuti Aidilfitri

PUTRAJAYA, 26 APRIL: Sesi pembelajaran selepas cuti hari raya Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Radzi berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Beliau berkata selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

“Ini sesuatu yang baharu kita belajar. Jika tahun lalu ketika perayaan Aidilfitri sekolah tutup ketika itu, jadi kita tidak tahu data selepas raya macam mana.

“Kita khuatir terutama mereka yang akan pulang ke asrama kerana menjangkakan ada jangkitan yang akan didapati dari luar, jadi kita ambil langkah ini untuk mengawal penularan tersebut kerana selepas perayaan pelajar berada di rumah lebih lama,” katanya pada sidang media hari ini.

Radzi berkata pelajar dan murid yang tinggal di asrama sekolah di bawah KPM di seluruh negara turut akan dibenarkan pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga akan melalui PdPR dalam tempoh dua minggu selepas cuti itu.

Sebelum ini, takwim sekolah bagi 2021 menetapkan selepas cuti Aidilfitri, pelajar dan murid perlu hadir semula ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran selama dua minggu dan bercuti penggal selepas itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NUTP mohon KPM timbang semula cuti sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) menimbang semula cuti bersempena Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambutnya di kampung.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata ini kerana perayaan itu jatuh pada minggu persekolahan berikutan perubahan Takwim Persekolahan 2020.

NUTP mencadangkan agar diberi peruntukan cuti khas oleh Menteri Pendidikan Dr Mhd Radzi Md Jidin pada 30 Julai dan cuti pelepasan oleh Pejabat Pendaftar Negeri pada 29 Julai dan 3 Ogos ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya perkara itu akan memberi peluang orang ramai menyambutnya bersama sanak-saudara di kampung halaman.

“Orang ramai juga sebelum ini tidak berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan mereka sudah merancang untuk pulang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh semasa cuti penggal persekolahan berdasarkan takwim penggal persekolahan sebelum ini.

“Selain itu, perayaan hari raya bukan sahaja disambut oleh kaum Melayu malah turut diraikan oleh semua kaum di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA