Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

KPN: Pastikan ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dalang sindiket dadah diheret ke muka pengadilan

JELI, 27 FEB: Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah menyebabkan polis sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri… saya akan berusaha bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Abdul Hamid berkata telah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan mereka dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan masyarakat akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis terhukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik title yang mereka ada itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah,” katanya.

Abdul Hamid turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga ke bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh, Perak, semalam, Abdul Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tukar pesakit, palsu laporan antara taktik sindiket tuntutan Perkeso

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Sanggup menukar pesakit ketika pemeriksaan doktor dan mengubah maklumat laporan perubatan merupakan antara modus operandi sindiket tuntutan palsu bagi mendapatkan bayaran faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata taktik berkenaan dipercayai dijalankan dalang bertindak seumpama agen insurans bagi mendapatkan pelbagai tuntutan faedah seperti tuntutan hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan tuntuan pencen ilat.

“Mereka (dalang) memperdaya pencarum dengan mengatakan mereka sebagai orang tengah yang boleh menjamin memperoleh tuntutan faedah dari Perkeso dan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 untuk tuntutan tertentu,” katanya.

Dr Mohammed Azman berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas tangkapan dalang penipuan dana Perkeso oleh SPRM, Isnin lepas.

Menurut beliau, sindiket tuntutan palsu tersebut dipercayai masih aktif di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Klang, Selangor.

Dr Mohammed Azman berkata sebanyak 415 kes penipuan pelbagai tuntutan dikesan dari 2017 hingga 2019 melibatkan kerugian RM26 juta dan jika dibayar berterusan tuntutan tersebut, ia akan melibatkan kerugian hingga RM68 juta.

“Kes (tuntutan palsu) berjaya kita kesan dan sebahagiannya sedang dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya sambil menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil atau agen yang boleh memudah dan meluluskan tuntutan faedah dari Perkeso.

Justeru katanya, pencarum Perkeso, yang ingin membuat tuntutan, perlu hadir ke pejabat Perkeso dan proses tuntutan adalah percuma.

“Jika ada pihak terlibat atau dah bayar duit dengan mana-mana agen atau dalang, sila tampil untuk memberi maklumat,” katanya menambah Perkeso memandangkan serius isu ini dan mahu aktiviti ini dihentikan segera.

Isnin lepas, sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka ditahan SPRM dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan faedah Perkeso yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Suspek yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya.

-BERNAMA