Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kreativiti gamit pelancong domestik

Dari Kaca Mata MB

Sektor paling lambat pulih akibat Covid-19

Para penganalisis menjangka sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang paling terjejas akibat Covid-19. Walaupun kesannya masih terlalu awal untuk ditelah, hampir semua ahli ekonomi menyatakan sektor ini yang paling terawal menerima kesan akibat wabak ini dan juga yang paling terakhir akan pulih daripadanya.

Data daripada agensi khas pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB), UNWTO (United Nations World Tourism Organization) menunjukkan penurunan mendadak ketibaan antarabangsa daripada 22 peratus untuk tidak bulan pertama tahun ini hingga 57 peratus menjelang Mac dengan anggaran kerugian kira-kira AS$ 80 bilion.

Ia merupakan “krisis terburuk yang pernah dihadapi pelancongan antarabangsa semenjak 1950”. Tidak hairanlah mengapa ramai yang kehilangan punca pendapatan di seluruh dunia, kerana sektor ini mewakili 10 peratus daripada KDNK global menurut World Economic Forum.

Keadaan sekatan jalan raya dilakukan polis dan tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Malaysia sendiri tidak terkecuali. Dianggarkan negara kehilangan sebanyak RM2.4 bilion setiap hari sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dampak wabak ini kepada industri pelancongan Malaysia memberi kesan kepada kira-kira 3.5 juta pekerjaan. Jiran tetangga kita Singapura dan Indonesia yang merupakan antara pelancong tertinggi selepas China, juga sangat terkesan dan belum lagi pulih daripada tragedi ini.

Sektor pelancongan sememangnya berkait rapat dengan banyak sub-sektor lain dan melibatkan ramai pihak dalam rantaian pembekalan serta perkhidmatan. Dalam bidang perhotelan misalnya, kita dapat lihat betapa sensitifnya mereka terhadap kos lebih-lebih lagi dengan tambahan tatacara operasi piawai (SOP) dengan penyediaan termometer, cucian tangan serta proses nyahkuman berkala. Daripada staf penjaga kaunter, bankuet, kepada penyediaan makanan serta pendobian, sebarang pengecilan saiz ataupun pengurangan kapasiti guna tenaga akan membawa kepada kehilangan elaun, pemotongan gaji malahan pembuangan kerja.

Ternyata, nasib pekerja serta keutuhan sektor pelancongan untuk berdiri sendiri menjadi keutamaan saat ini.

Selangor mampu bertahan

Namun, dunia belum berakhir. Krisis-krisis sebelum ini telah menunjukkan kemampuan sektor pelancongan untuk melonjak kembali dengan cepat dan lebih kuat setelah menerima gegaran luar. Dan jangan dilupa bahawa selain sasaran pelancongan asing yang membawa kitaran wang yang lebih besar, pasaran pelancongan domestik sendiri menjanjikan pulangan yang lumayan. 55 peratus daripada pelancong di Selangor merupakan warganegara Malaysia. Dengan ini, Selangor akan mampu bertahan sekiranya mampu menggamit potensi pelancongan domestik.

Bagi mencapai maksud ini, jenis-jenis tarikan yang ada di Selangor harus dikenal pasti semula bagi menangani cabaran Covid-19. Tidak dinafikan bahawa selama ini keberadaan Selangor dalam peta pelancongan adalah berasaskan aktiviti sampingan dan bukan berdasarkan tarikan yang utama. Kebiasaannya, pelabur luar akan menginap dua atau tiga malam di Malaysia dan hanya akan ‘singgah’ sebentar di Selangor bagi menikmati keajaiban Kelip-kelip Kampung Kuantan ataupun Sky Mirror di Kuala Selangor. Selain dua tarikan dunia ini, paling lama mereka menginap di sini adalah bagi menikmati keunikan eksotik yang dapat ditemui di Sekinchan.

Namun, negeri ini mempunyai kelebihannya yang tidak tertanding. Kekuatan Selangor berbanding negeri-negeri lain masih terletak kepada kemudahan infrastrukturnya: lapangan terbang, lebuh raya juga ‘connectivity’ serba lengkap, sekadar menyebut beberapa contoh. Dengan kedudukan strategik Lembah Klang yang menempatkan banyak titik-titik pelancongan dalam radius dua jam perjalanan, ia boleh menjadi tarikan mudah kepada pelancong tempatan.

Ia juga menempatkan stadium, auditorium dan dewan yang cukup besar dan bertaraf dunia malahan taman tema yang berprestij untuk menganjurkan konsert, pameran serta persidangan antarabangsa. Selain daripada menjadi pilihan utama untuk industri MICE (Mesyuarat, Persidangan, Pameran), tidak hairanlah berbondong-bondong pelancong dari segenap pelusuk datang ke Selangor untuk menonton artis seperti Black Pink, Dewa 19 dan Ella.

Justeru, beberapa elemen kelebihan Selangor seperti yang telah disebut perlu diperkukuhkan lagi. Sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negara, orang ramai akan tetap ke Selangor.

Antara yang mungkin boleh dicuba untuk menjadikan sektor ini lebih mapan ialah menukar kepada jenis-jenis tarikan yang telah dikaji semula seperti yang disebutkan tadi. Yang pasti, ia akan mengambil masa yang panjang kerana Selangor tidak mempunyai aset seperti Melaka dan Pulau Pinang dengan sejarah kolonialnya yang panjang.

Mungkin model ‘experiential tourism’ ala Sekinchan boleh dijadikan contoh, terima kasih kepada usaha bersungguh-sungguh dan promosi berterusan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Lestarikan sektor pelancongan

Selain dari strategi di atas, terdapat beberapa lagi perkara yang boleh diambil kira bagi mendepani cabaran Covid-19 di masa hadapan sekali gus menjadikan sektor ini lestari.

Kuala Lumpur sebagai ibu kota ekonomi akan menjadi tempat terawal yang dijangka pulih. Di samping Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, kita juga harus memanfaatkan pemulihan lebih awal yang akan dinikmati bandaraya-bandaraya dalam Greater Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran, ekonomi dan sosial. Kemampuan logistik dan kapasiti demografi di lembah ini sahaja sudah menjadi daya tarikan tersendiri buat pelancong domestik–bayangkan pasaran yang sedia ada dengan jumlah guna tenaga Selangor yang tinggi berjumlah 3.45 juta!

Yang perlu difikirkan dalam dua tahun yang mendatang adalah, kewajipan para penggerak pelancongan untuk beradaptasi dan menjadi lebih kreatif. Wabak ini membawa seribu-satu ‘disruption’ dan kebijaksanaan kita menanganinya akan menjadi taruhan untuk lebih berdaya saing. Dua lokasi yang selama ini menjadi ikon Selangor iaitu Batu Caves dan Masjid Shah Alam, yang merupakan rumah ibadat akan dilupakan pelancong sekiranya kita tidak membuat sebarang langkah akomodatif sebagai satu bentuk penyesuaian.

Kita beruntung kerana Selangor mempunyai lebih 486 ejen pelancongan berdaftar serta 51 hos komuniti yang telah dilatih untuk ‘unlock’ potensi lokaliti-lokaliti di negeri ini. Salah satu inisiatif segera yang boleh dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah dengan menyokong aspek keusahawanan dengan sektor pelancongan.

Di sinilah peranan hos komuniti boleh diangkat untuk menjadi tiang seri kepada pelancongan tempatan, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang meruncing dengan banyak syarikat terbeban dengan kos ‘overhead’ yang banyak. Kerajaan Negeri boleh melangkah lebih jauh dengan memainkan peranan bukan hanya sebagai penyedia dana, tetapi melalui agensi Kerajaan Negeri seperti Tourism Selangor boleh bertindak sebagai badan pengawalselia yang mengaktifkan serta memantau hos komuniti ini.

Penyesuaian norma baharu

Antara kesan segera Covid-19 adalah terhentinya kegiatan ‘mega event’ seperti konsert dan festival makanan. Ia juga menghalang kegiatan pelancongan gaya biasa seperti rombongan besar dengan bas berbondong-bondong. Dengan itu, pelancongan masa hadapan barangkali akan bersifat runcitan.

Malahan mod sebegini mungkin akan bertambah relevan selepas ini memandangkan terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira apabila melancong contohnya insuran perjalanan, syarat dan peraturan negara yang berbeza, tahap kawalan umum, polisi penggantian atau pembatalan lawatan yang biasanya akan dilepas pandang oleh orang ramai yang bukan ahli dalam sektor pelancongan. Diharapkan para penggerak pelancongan akan segera membuat penyesuaian dengan norma baharu ini.

Benar, Selangor tidak mempunyai A’Famosa atau deretan kedai lama di Georgetown. Tetapi kita mempunyai produk yang sama standard dengan negeri-negeri tersebut contohnya makanan.

Amirudin Shari menunjukkan buah durian jenis XO ketika mengunjungi ruang pameran peserta Selangor AgroFest 2019 berlangsung di Bulatan Bazarena, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hampir semua jenis makanan utama dari pelbagai tradisi boleh ditemui di Selangor. Ini belum lagi kita ambil kira dusun durian dan buah-buahan lain yang menjadi sebahagian daripada apa yang dipanggil sebagai ‘food tourism’.

Selain itu, mungkin ‘eco-tourism’ juga salah satu jalannya. Peluang latihan baharu perlu dikenal pasti, terutamanya perkembangan produk dan akses kepada pasaran dan industri budaya dan kreatif (berkecimpung dalam kraftangan, festival, muzik, teater) selain sukan, perubatan dan pelancongan kesihatan.

Juga yang lebih mendasar untuk tidak ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ialah dengan latihan celik digital (digital literacy) agar semua pemain industri sedia ada dapat memanfaatkan teknologi baharu seperti tempahan atas talian ala Agoda dan AirBnb sebagai contoh. Hab Data Pelancongan sebagai sebuah sistem kepintaran juga dapat membantu dalam memantau perilaku dan membuat ramalan tren terbaharu.

Dengan lambakan hospital dan klinik serta kadar penyembuhan Covid-19 hampir 90 peratus, pelancongan kesihatan di Selangor juga sangat menjanjikan potensi yang besar.

Ingatan akhir sebelum mengakhiri tulisan ini: siapa antara kita yang dapat berbelanja untuk bercuti saat ini sedangkan ramai yang menghadapi kesempitan hidup? Hanya pemulihan ekonomi skala besar yang sebetulnya mampu memulihkan sektor pelancongan bila mana orang ramai mampu untuk berbelanja lebih untuk perkara bukan mustahak (non-essential items).

Hanya dengan itu, kepentingan pelancongan sebagai pemudahcara perubahan budaya, persefahaman bersama serta keamanan antara negara dapat dikekalkan. Ia juga faktor sosial yang dapat menghancurkan diskriminasi dan prejudis antara individu dan masyarakat.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Terokai ekonomi jingga, cipta peluang kerja

Ternyata cabaran norma baharu seharusnya ditangani dengan kreatif dan berstrategi. Cara kita belajar, bekerja dan menghabiskan masa lapang telah berubah dengan mendadak akibat Covid-19. Begitu juga dengan cara kita berhibur atau menikmati produk seperti muzik dan filem yang merupakan hasil daripada ekonomi kreatif.

Pelaburan kepada industri ini yang turut disebut sebagai ekonomi jingga wajar kita beri perhatian bagi mencipta pekerjaan dan kekayaan serta membangun ekonomi dengan jayanya.

Pengkaji tersohor ekonomi kreatif John Hawkins mengatakan ekonomi jingga ditakrif sebagai sektor yang perkhidmatan dan barangan adalah hasil hak cipta intelektual: seni bina, seni lukis dan seni persembahan, kraftangan, filem, seni reka, penerbitan, penyelidikan dan pembangunan, permainan dan alat mainan, fesyen, muzik, pengiklanan, perisian, radio dan TV juga permainan video.

Salah satu aspek ekonomi jingga yang semakin berkembang pesat ialah permainan video. Penting untuk kita merenung kenyataan bahawa industri permainan video global pada 2019 berjumlah 152 bilion dolar Amerika–melebihi Hollywood dan industri muzik dunia.

Jumlah ini meliputi kesemua jenis permainan video, daripada komputer peribadi dan konsol permainan serta memberi pekerjaan kepada seluruh rantaian berkaitan daripada para animator tiga dimensi, pengaturcara, serta turut merangkumi jualan kutipan muat turun (downloadable content atau disebut DLC).

DLC merupakan cara para pembuat permainan mencipta pengalaman permainan yang lebih mengasyikkan sekaligus memperpanjang jangka hayat satu-satu permainan. Ia juga antara ‘barang’ yang diperdagangkan secara elektronik; satu bentuk transaksi mikro (microtransaction) yang menjadi nadi kepada permainan dalam talian.

e-sukan, animasi lubuk pendapatan

Menarik juga untuk difikirkan betapa hadiah e-sukan tertinggi pernah dicatatkan kini mencapai jumlah 34 juta dolar Amerika. Walaupun Selangor sudah merintis langkah seawal 2014 dengan penganjuran Selangor Cyber Games, tetapi banyak lagi dasar-dasar yang lebih konkrit perlu dirangka bagi menceburi dengan serius bidang-bidang sebegini.

Perkara yang sama dapat dilihat dalam penghasilan filem animasi. Sejak tercetusnya Koridor Raya Multimedia (MSC), kita dapat lihat hasil yang dituai oleh industri berkaitan pada hari ini. Bermula dengan Usop Sontorian seawal 1996, membawa kepada Kampung Boy dan kemuncaknya Upin dan Ipin, industri animasi Malaysia boleh dikira cukup matang saat ini dan sudah mampu bersaing dengan gergasi antarabangsa. Dengan judul-judul baharu yang tidak pernah henti-henti diterbitkan seperti BoBoi Boy dan Ejen Ali, sekadar menyebut beberapa nama, kepakaran kita dalam industri ini tidak asing lagi.

Apakah relevannya statistik tadi dengan keadaan ekonomi kita sekarang? Bagaimana kemapanan industri seperti filem dapat dipertahankan, apabila panggung wayang masih lagi ditutup? Bagaimana kita mahu memperkembangkan pendidikan untuk menyokong industri sebegini?

Dengan wabak Covid-19 yang melatari setiap perancangan kita saat ini serta anjakan Industri 4.0 yang tidak dapat dielakkan, semakin wajar untuk kita meramaikan lagi tenaga kerja dalam industri kreatif sebegini.

Selain dari kepakaran teknikal seperti mengaturcara dan melakukan animasi yang boleh diberi pensijilan TVET oleh institusi pendidikan sedia ada, perkara yang sewajarnya diberi penekanan adalah pengisian atau ‘content’–satu olahan kreatif daripada minda yang kaya daya imaginasinya.

Imaginasi lebih utama daripada pengetahuan?

Ya, imaginasi merupakan suatu kata yang muluk tetapi sangat sukar diterjemah menjadi suatu bentuk pelaksanaan. Albert Einstein pernah mengungkap bahawa imaginasi lebih utama daripada pengetahuan. Dengan imaginasi, pemahaman sesuatu situasi atau pemerhatian terhadap fenomena yang berlaku dalam masyarakat boleh dipersembahkan kepada khalayak sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan, arca, filem animasi atau dijadikan permainan video. Pendek kata, apa yang kini disebut ‘content’ atau pengisian.

Ungkapan “content is king” pernah diutarakan oleh Bill Gates, mantan CEO Microsoft seawal 1996 lagi. Ungkapan itu kini menjadi mantra yang didakap kuat oleh para pereka permainan, selebriti media sosial (social media influencer) serta seniman secara amnya. Di sinilah keutamaan imaginasi. Dan di sinilah pentingnya pengisian.

Pengisianlah yang membezakan pengalaman pengguna (user experience atau disebut UX) antara satu-satu wadah dengan yang lain. Zaman pengisian janaan pengguna atau UGC (User Generated Content) yang lebih demokratik memberikan ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat duit malahan mereka boleh memperdagang diri menjadi suatu jenama!

Dalam analisis terakhir, pengisian yang menjadi penyebab mengapa seseorang sanggup bersengkang mata untuk melihat/ menonton (atau bersusah payah berlatih menari) berjam-jam deretan foto dan video di Instagram, serta menghabiskan beratus-ratus ringgit dalam urus niga mikro (microtransaction) seperti ‘menghadiahkan’ sekalung bunga maya ataupun e-kereta yang bernilai RM50 atau lebih di Bigo Live.

Melihat potensi kewangan yang besar daripada perkhidmatan sebegini, tidak hairanlah mengapa Kevin Mayer, yang mengetuai platform streaming Disney Plus sanggup menjadi CEO kepada wadah TikTok!

Mengambil kira potensi yang disebut tadi, ternyata pencarian kepada sesuatu teras perbincangan atau topik menjadi maha penting untuk diolah. Dan sebetulnya, sejarah dan budaya kita sangat kaya dengan pelbagai khazanah yang menunggu untuk digali dan bakal menjadi mata air kepada pengisian yang baik.

Lihat sahaja bagaimana tetangga kita Indonesia mempertaruhkan Gundala, sebuah komik adiwira daripada tahun 1969 yang telah diadaptasi untuk cita rasa penonton milenial. Begitu juga dengan beberapa filem epik berlatarkan sejarah seperti Bumi Manusia serta Tenggelamnya Kapal Van Der Wick dan filem autobiografi seperti Sultan Agung, Guru Bangsa Tjokroaminoto dan Soekarno sekadar beberapa contoh.

Barangkali kita juga tidak lekeh dengan cerita daripada khazanah karya kita sendiri yang boleh diceduk daripada Hikayat Malim Kundang ataupun filem autobiografi Tunku Abdul Rahman misalnya, sepertimana terhasilnya filem Puteri Gunung Ledang dan Tanda Putera.

Selain daripada filem mahupun animasi, ada potensi besar untuk kita turut menggunakan teras perbincangan yang sama dalam penghasilan permainan video. Watak mitos Mahabrata, Gatotkaca malahan menjadi salah satu watak yang boleh dimainkan dalam permainan Mobile Legends.

Tidakkah kita mahu Hang Tuah diberikan kesempatan yang serupa? Dengan pelbagai jurus silat yang ada di tanah air kita, mungkin tidak begitu terlambat untuk kita hasilkan permainan lawan mirip Street Fighter yang bernuansakan kebudayaan nusantara. Paling tidak, kita mungkin boleh menampilkan cerita-cerita yang berhubung kait dengan watak universal seperti Iskandar Zulkarnain dan Cheng Ho, misalnya.

Ekonomi kreatif penggerak budaya

Untuk permulaan, institusi pemikir dan pusat pendidikan di Selangor boleh turut sama membincangkan dengan lebih serius persoalan seni dan budaya. Perbincangan dasar ekonomi kreatif dapat memanfaatkan penggerak seni di Malaysia dan diharapkan mampu untuk digalas oleh institusi-institusi budaya.

Dan ini juga berpotensi membantu sektor pelancongan, sepertimana New Zealand mendapat limpahan manfaat daripada adaptasi filem Lord of The Rings karya J.R.R.Tolkien.

Selain daripada dapat menempa nama di persada dunia seperti Zee Avi, Yuna dan arwah Yasmin Ahmad, ekonomi kreatif ini juga sangat menguntungkan. Tanpa perlu menembusi persaingan global pun, kek ekonomi sedia ada sudah cukup besar untuk setiap pemain industri yang ada.

Lihat sahaja penerimaan Sheila Amzah di China. Dengan potensi pasaran sebanyak 600 juta orang, menceburi pasaran Asean sahaja sebenarnya sudah cukup memberangsangkan. Dan yang paling penting, kita tidak akan tertinggal dalam peperangan budaya yang akan menjadi penentu pada masa hadapan.

_________________________________

Kenyataan Dato’ Seri Amirudin Shari