Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 400 sertai bantahan keganasan rejim Mesir di Shah Alam

demo

SHAH ALAM 16 OGOS : Lebih 400 orang berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini bagi mengutuk pembunuhan regim tentera Mesir terhadap ribuan rakyat mereka.

Perhimpunan ini disertai Exco Hal Ehwal Islam, Sallehin Mukhyi, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, serta beberapa aktivis dan pemimpin mahasiswa.

Sallehin di dalam ucapannya mengutuk keganasan dan tragedi pembunuhan beramai-ramai penyokong bekas Presiden, Dr Mohamed Morsi itu.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam yang dilakukan anggota tentera terhadap rakyat Mesir yang tidak membawa apa-apa senjata tetapi dibunuh sedemikian rupa,” kata Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu.

Bantahan anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) itu turut diadakan serentak di masjid negeri seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat.

Sehingga kini, media melaporkan hampir 3,000 terkorban dan lebih 10,000 orang cedera apabila anggota keselamatan menggempur khemah penyokong bekas Presiden, Mohamed Morsi, di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda, Mesir.