Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor pandang serius serbuan terhadap BSM

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 4 JAN: Kerajaan Negeri memandang serius insiden serbuan oleh kakitangan bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) pada Khamis lalu.

Exco Hal Ehwal Islam, Sallehin Mukhyi, berkata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti dan menyemak operasi yang dijalankan kerana ianya merupakan perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.

suk“Bagi kejadian perampasan Bible pada Khamis lalu, saya telah meminta Pengarah JAIS untuk mendapatkan segera laporan terperinci kejadian termasuk meneliti hasil siasatan yang dikatakan dilakukan,” kata Sallehin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, ia merupakan kejadian kedua yang melibatkan JAIS dan penganut Kristian selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada tahun lalu.

Selepas kejadian tersebut Kerajaan Negeri meminta JAIS menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.

Semakan hendaklah antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh JAIS dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan.

Sallehen Mukhyi“Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.

“Kerajaan Negeri selari dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati agama Islam sebagai agama rasmi.

“Manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” kata Sallehin.

Beliau berkata, semua rakyat tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama.

EZY

 

Categories
SELANGOR

JAIS : Masjid di Selangor bakal jadi ‘universiti terbuka’

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 24 NOV : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam usaha menjadikan masjid di negeri itu sebagai ‘universiti terbuka’ bagi memudahkan masyarakat mendapat kefahaman berkenaan agama.

Pemangku Pengarah JAIS, Zaki Arshad, berkata pihaknya akan meneliti beberapa modul terbaik untuk dijadikan bahan kepada masjid yang terpilih di negeri itu bagi menjalankan kuliah dan program.

Katanya, program itu dilihat akan memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada orang ramai, di samping dapat mengimarahkan masjid sebagai institusi pendidikan agama.

“Kita mahu membina kefahaman rakyat dan perlu mengorak langkah untuk lebih ke hadapan. Kita juga mahu memindahkan institusi pondok kepada masjid.

“Hal ini kerana institusi pondok kurang mendapat sambutan dan kita boleh laksanakannya di masjid negeri Selangor,” katanya ketika membincangkan prosiding pengurusan masjid peringkat kebangsaan 2013, di Auditorium Datuk Yahya Ahmad, SIRIM, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi.

sallehin mukhyi green batik 01Sementara itu, Sallehin berkata, kerajaan negeri akan melantik jawatankuasa masjid yang akan mengendalikan tabung dan kebajikan golongan mualaf bermula tahun depan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengendalikan hal kebajikan golongan itu termasuk mengajar ilmu agama dan fardu ain.

Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan kerana terdapat 93 permohonan golongan mualaf yang mahu keluar daripada Islam.

“Mereka ini masuk Islam disebabkan mahu mendapatkan duit dan kita tidak mahu faktor ini menjadi punca masalah murtad. Kita mahu jawatankuasa ini membimbing mereka dengan cara yang terbaik selepas memeluk Islam,” katanya.

Program terbabit anjuran JAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Zakat Selangor yang menghimpunkan pentadbir masjid, imam besar, jabatan agama islam negeri dan pegawai takmir bagi membincangkan fungsi serta pelaksanaan pengimarahan masjid.

-NFN-

Aidil Adha disambut penuh kesyukuran di Selangor

saiz kecil 2

SHAH ALAM 15 OKTOBER : Cuaca baik biarpun hujan di awal pagi digunakan sepenuhnya oleh umat Islam di negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha dalam suasana penuh kesyukuran.

Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

06Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta barisan Exco Selangor seperti Sallehin Mukhyi dan Dr Daroyah Alwi di samping pembesar-pembesar negeri.

Sejurus selesai solat dan bacaan khutbah Aidil Adha, baginda serta Abdul Khalid meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai.

Sebanyak 39 ekor lembu termasuk dua sumbangan baginda dikorbankan di masjid ini, seterusnya diagihkan kepada semua asnaf yang layak di sekitar Shah Alam.

Manakala, Kerajaan Negeri menyumbangkan 753 ekor lembu yang bernilai RM2.25 juta untuk diagihkan ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tokoh Pendakwah sifatkan perkembangan Islam Selangor menakjubkan

Tokoh Pendakwah Selangor 2013

SHAH ALAM, 8 OKT: Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Menurut Shah Kirit Kakulal Govindji, keadaan itu didorong oleh kesungguhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak terlibat dalam menyebarkan kefahaman sebenar Islam.

“Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

“Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

“Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini,” ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah,” kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai ‘Fiqh Wanita’ di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji jaga nama baik

sultan masjidSHAH ALAM 25 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini supaya menjaga nama baik negeri.Baginda bertitah, mereka yang akan menjalankan ibadah Rukun Islam kelima itu harus menumpukan niat untuk beribadah, bukan tujuan lain.?Ikutlah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi di musim haji supaya segala urusan dapat dipermudah dan berjalan lancar,? titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Musim Haji Tahun 1434H/2013M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Hadir mengiringi, kerabat Diraja Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Exco Hal Ehwal Islam, Sallehin Mukhyi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Pengarah Lembaga Tabung Haji (LTH) Selangor, Md Ridza Md Zain.

Turut sama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Seramai 3,600 jemaah musim ini dari Selangor termasuk dua yang dikurniakan baginda iaitu Abdullah Apandi Ngalimin, 58 dan Baharun Mohd Noh, 71 manakala 14 lagi tajaan Tabung Bantuan Menunaikan Haji Waris, Kerabat dan Datuk-Datuk Diraja Selangor 1434H/2013M.

Sambil merakam ucapan tahniah kepada bakal haji yang terpilih, baginda bertitah, bakal haji diingatkan supaya tidak mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi semasa di Mekah dan Madinah.

?Beta tidak berkenan rakyat negeri Selangor yang pergi menunaikan haji atau umrah ke tanah suci Mekah dan Madinah mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi,? katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 400 sertai bantahan keganasan rejim Mesir di Shah Alam

demo

SHAH ALAM 16 OGOS : Lebih 400 orang berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini bagi mengutuk pembunuhan regim tentera Mesir terhadap ribuan rakyat mereka.

Perhimpunan ini disertai Exco Hal Ehwal Islam, Sallehin Mukhyi, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, serta beberapa aktivis dan pemimpin mahasiswa.

Sallehin di dalam ucapannya mengutuk keganasan dan tragedi pembunuhan beramai-ramai penyokong bekas Presiden, Dr Mohamed Morsi itu.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam yang dilakukan anggota tentera terhadap rakyat Mesir yang tidak membawa apa-apa senjata tetapi dibunuh sedemikian rupa,” kata Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu.

Bantahan anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) itu turut diadakan serentak di masjid negeri seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat.

Sehingga kini, media melaporkan hampir 3,000 terkorban dan lebih 10,000 orang cedera apabila anggota keselamatan menggempur khemah penyokong bekas Presiden, Mohamed Morsi, di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda, Mesir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Peruntukkan Lebih RM 9 juta Untuk Pembangunan Pertanian

padi_sabak_01

SHAH LAM 5 JULAI : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 9.141 juta bagi pembangunan pertanian dan industri asas tani di seluruh Selangor bagi sepanjang tahun ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aktiviti pertanian bagi meningkatan ekonomi Selangor dan pendapatan petani.

Antaranya pembangunan taman agro teknologi sebanyak RM 1.4 juta, pembangunan tanaman makanan (RM 5.04 juta),  pembangunan tanaman industri (RM 300,000), pembangunan industri bunga dan taman hiasan (RM 200,000).

Juga diperuntukan adalah pembangunan industri asas tani (RM 1.251 juta), pembangunan pertanian bersepadu (RM 700,00) dan pembangunan tanah terbiar (RM 200,000).

“Ia adalah usaha bagi memperbanyakkan industri hiliran di Selangor,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan (Pas) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan utama terhadap peningkatan hasil tanaman padi.

Usaha lain katanya adalah projek taman kekal pengeluaran makanan, pembangunan tanaman sayur-sayuran di samping membantu petani yang mengusahakan tanaman lain.

Petani Sekinchan Tidak Puas Hati BERNAS Turunkan Harga Padi

demo petani BERNAS ng sallehin 01

TANJONG KARANG 5 JUN: Petani di kawasan Sungai Burong dan Sekinchan berasa tidak puas hati dan kecewa terhadap penurunan harga pembelian padi yang ditawarkan oleh Padiberas Nasional (Bernas) di kawasan mereka.

Rata-rata petani mendakwa Bernas kini membeli padi daripada mereka dengan harga RM 1,150 bagi satu tan metrik. Iaitu kurang RM 130 daripada harga 1,280 satu tan yang ditawarkan kepada petani di Tanjong Karang.

Mereka mendakwa pengurangan kira-kira RM 130 satu tan melibatkan kerugian yang besar kepada para petani yang hanya bercucuk tanam dan menjual padi sebanyak dua kali setahun.

Seorang petani, Samsuddin Hussain, 62, mendakwa golongan petani dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menurunkan harga sewenang-wenangnya setelah petani bekerja keras menanam padi.

demo petani BERNAS ng sallehin 02“Petani ini macam tidak diambil berat, macam dipermain-mainkan, seolah-olah petani tak ada nilai diri sedangkan mereka adalah pengeluar makanan negara.

“Ini yang kami tak puas hati, dengan masalah harga padi yang diturunkan ini, kalau turunkan sama saja di semua kawasan, kita tak terasa sangat,” katanya.

Samsuddin ditemui bersama hampir 200 orang petani yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan di sini semalam.

Dianggarkan kawasan Sungai Burong, Sekinchan dan Sabak Bernam mempunyai seramai 5,000 petani yang terjejas dengan penurunan harga Bernas itu.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi dan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim.

Sementara itu, Sallehin yang juga Adun Sabak berkata, penurunan sebanyak RM 100 bagi setiap tan metrik adalah sangat membebankan kerana menanam padi merupakan perniagaan utama bagi penduduk di Sekinchan sehingga ke Sabak Bernam.

“Penurunan RM100 itu kecil, tapi kalau 10 tan metrik? Mereka (petani) sudah hilang RM 1,000, dan RM 1,000 ini terlalu banyak yang boleh digunakan kepada petani.

“Bahkan RM 1,000 ini telah melepasi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500 pada tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil pendekatan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum musim menuai berakhir.

Dalam pada itu, seorang lagi petani, Samudin Abdullah , 47, melahirkan perasaan kecewa kerana setelah mengeluarkan kos yang besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi tetapi harga pula diturunkan.

“Beza petani di negeri-negeri lain, kami petani di Selangor memang banyak mengeluarkan belanja untuk pertanian. Contoh kadar sewa yang tinggi, kadar racun yang mahal, jadi apabila harga padi menurun, jadi kami sangat merasa kerugian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sallehin : Struktur Semula Pembangunan Pekan Sabak Bernam Untuk Tingkatkan Ekonomi

pekan sabak bernam 17 mei 01

SABAK BERNAM 21 APRIL : Penstrukturan semula Pekan Sabak Bernam perlu dilakukan bagi mempesatkan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan bermutu bagi masyarakat setempat.

ADUN Sabak, Sallehin Mukhyi berkata usaha itu juga penting bagi menurunkan kadar kemiskinan kawasan Sabak Bernam yang dikatakan antara tertinggi di Selangor dan bagi mempertingkatkan taraf kehidupan penduduk lain.

Sallehin berkata kebanyakan prasarana dan bangunan di pekan tersebut seperti pasar sudah usang manakala belia-belia ramai meninggalkan kawasan itu kerana kekurangan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, usaha naiktaraf dan pembangunan semula pekan tersebut merupakan antara tugas utamanya dalam penggal pertamanya sebagai ADUN.

“Ramai masyarakat miskin di Sabak Bernam tinggal di kawasan ini yang sudah lama tidak distrukturkan.

?Jadi ia membantutkan persaingan dari segi ekonomi dengan keperluan yang terhad,? katanya ketika ditemui. Beliau berkata akan membuka pusat khidmat DUN di pekan tersebut dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Sallehin meminta jentera penerangan Pakatan Rakyat Selangor agar menggiatkan usaha penerangan kepada penduduk di Utara Selangor berkenaan program di bawah agenda .

Sallehin mengharapkan agar akhbar kerajaan negeri Selangorkini dapat diedarkan dengan lebih meluas di kawasan utara Selangor supaya penduduk di situ mendapat lebih maklumat tentang program Kerajaan Negeri.

Katanya, golongan yang berusia kurang mendapat maklumat daripada Kerajaan Negeri dan bergantung kepada maklumat daripada media massa yang dikawal Umno-BN.